Assalam
Malam tadi ada dinner di rumah jiran yang juga merupakan kawan baik kami. Kebetulan, jiran saya menjemput kawan-kawan lama semasa di UM dulu. Alhamdulillah, memang dah lama tak jumpa Charlie dan Maziah (Dato' dan Datin), jadi memang banyaklah yang kami bualkan. Adik perempuan Maziah dan juga seorang lagi kawan turut hadir sama.
Sembang punya sembang, bercerita juga kami tentang zakat. Kami punyai macam-macam pandangan, tetapi kami bersetuju yang zakat ini perlu diberikan kepada yang betul-betul perlu. Kalau keadaan sangat daif, pihak zakat sepatutnya beri kepada yang berkenaan dengan bayaran yang sepatutnya, bukan main bagi tapi macam lepas batuk di tangga saja. Ada juga cerita yang mengatakan kalau ada kena-mengena dengan orang-orang yang mereka kenal, tak layak pun boleh dapat juga. Huh! Tak seronok betul dengar cerita macam ni. Kebetulan, kawan saya Maziah merupakan pegawai tinggi kerajaan. Kebetulan, kebanyakan rakan-rakan UM saya merupakan mereka yang memegang post teratas di barisan pengurusan kerajaan hingga ke tahap KSN. Saya pun tak sedar sebenarnya hinggalah diberitahu semalam.
Apa-apa pun, kembali kepada bayaran zakat ni... saya tak peduli dengan apa kata orang atau imam, saya bayar kepada siapa yang saya rasa layak betul-betul. Saya tak mahu terikat dengan siapa-siapa dan tak mahu pilih kasih.
Sebagai manusia atau insan yang beragama Islam, sepatutnya kita bersyukur kalau sentiasa mampu untuk membayar zakat dan sedekah, bukan merupakan orang yang menghulur tangan untuk meminta sesuatu daripada orang lain. Tangan yang memberi itu adalah lebih baik daripada tangan yang meminta. Kita usahakan agar kita merupakan orang yang memberi. Itu adalah saham akhirat kita.
Tak usahlah kita jadi manusia yang terlalu berkira-kira. Sibuk nak sukat sama ada kita patut bayar zakat ataupun tidak, seolah-olah puas hati kalau tak layak membayar, sedangkan sebenarnya kalau kita jenis yang suka infakkan harta kita sama ada membayar zakat atau sedekah, itu adalah sesuatu yang sangat membanggakan kita, kerana kita sedang mengumpul harta bagi menghapus segala dosa-dosa kita.
Memang ramai yang tak ambil berat tentang bayar zakat ni. Ada tu, bayar 'income tax' boleh pula dan konon-konon duit dia habis sebab kena bayar income tax. Hah... dia tak nampak pun yang bayar zakat itu adalah lebih baik lagi. Kalau tahu, sebenarnya bayar zakat itu boleh dipotong dari income tax. Tapi kalau tak ambil tahu, memang tak adalah nak bayar zakat atau sedekah. Asyik rasa tak cukup sahaja. Lagi diri rasa tak cukup, memang selama-lamanyalah akan tak cukup. Tapi kalau kita rajin bayar zakat dan rajin pula bersedekah, rezeki kita juga tak akan putus, insyaa-Allah.
Yang peliknya, dapatlah banyak mana pun. Memang tak akan cukup-cukup, siap berhutang keliling pinggang lagi! Memang bahaya. Kalau biasa berhutang, sampai bila-bila pun akan berhutang. Sepatutnya kita berhutang bila keadaan memaksa, bukannya kita memaksa diri untuk berhutang untuk rasa kesenangan. Sampai mati pun tak akan senang! Wallahuaklam.
Wassalam.
