Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, July 31, 2012

Harus Lelaki Kahwin Lebih Daripada Satu?

                        Sekadar hiasan

Salam

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, sengaja saya bawa tajuk ini untuk saya luahkan perasaan tentang satu subjek yang selalunya menjadi hangat bila dibicarakan. Apa pun, saya teruja untuk bincangkan hal ini kerana baru-baru ini adalah seorang ulamak di negara kita yang membangkitkan hal ini. Katanya, sepatutnya lelaki Malaysia yang beragama Islam harus berkahwin lebih daripada satu untuk menyelamat kaum wanita yang ada di negara kita ini. Saya tak bangkang kerana ini merupakan sesuatu yang Tuhan tidak haramkan asal jangan kahwin lebih daripada empat orang.

Cumanya, kadang-kadang saya teramat bimbang, bukannya apa kerana takut lelaki kita di negara ini mungkin tak mampu untuk berkahwin lebih daripada satu walaupun Islam tidak pernah melarang. Kalau kita lihat pada kes-kes kemiskinan di kota Kuala Lumpur, rata-rata adalah wanita yang berstatus ibu tunggal. Kebanyakan mereka bukan kematian suami tetapi telah ditinggalkan suami. Ada yang tinggal begitu sahaja tanpa diceraikan dan ada pula diceraikan  tetapi tanpa apa-apa nafkah untuk anak-anak. Bayangkanlah kalau ada lima atau enam orang anak, tentulah kalau tak mempunyai pendapatan yang cukup, si ibu dan anak-anak akan hidup dalam kemiskinan. Jadi... kalau begitulah keadaannya lelaki kita yang tak ambil peduli pada anak-anak mereka sendiri, bagaimana agaknya kalau mereka mempunyai lebih daripada seorang isteri?

Tentunya bukan semua lelaki begitu. Ada yang sangat bertanggungjawab dan sangat religious dan saya percaya lelaki begini mungkin mampu untuk berkahwin lebih daripada satu. Kalau lelaki mempunyai akhlak mulia, mereka mampu untuk menjadi imam terbaik dan saya sokong lelaki begini mempunyai isteri lebih daripada satu. Pun begitu, kadang-kadang lelaki baik akan berdepan dengan masalah isteri pula. Bukan semua isteri sanggup hidup bermadu. Bagaimana pula mahu berdepan dengan kerenah isteri-isteri?

Poligami yang sukses perlukan cantuman antara lelaki dan wanita-wanita tinggi imannya. Bukan sekadar religious, perlu ada harta yang cukup dan tanggungjawab pada semua. Malah, mempunyai perasaan simpati dan kasih-sayang yang tak boleh pudar kerana ramai yang terlibat dalam keluarga begini. Berapa keratkah orang kita yang mampu hidup begini? Kalau ada, alhamdulillah. Saya percaya ramai yang akan menyokongnya.

Saya pula? Saya paling benci pada lelaki yang tak bertanggungjawab. Kalau seorang pun tak mampu untuk pelihara dan jaga, perlu apa ada dua tiga isteri? Wallahua'lam.

Wassalam


Monday, July 30, 2012

Kenapa Tak Suka Bisnes?

           Jualan - Sekadar hiasan

Salam

Saya telah mendapat maklumat bahawa mengikut statistik, rata-rata orang Melayu sangat gerun untuk buat bisnes. Rata-rata juga orang Melayu sangat selesa makan gaji sahaja, terutama bekerja dengan badan-badan kerajaan. Oleh kerana itu, rata-rata juga di Malaysia ini, yang kaya-raya adalah bukan Melayu kerana rata-rata, bukan Melayu lebih senang buat bisnes. Kalau kita lihat kepada sejarah dahulu kala, orang Cina dan juga orang India yang datang ke Tanah Melayu ini, rata-ratanya bermula dengan kehidupan yang susah. Mereka menjadi buruh lombong, buruh getah dan macam-macam lagi. Namun kini kehidupan mereka sudah lama berubah. Ini adalah kerana mereka sudah lama menceburi bidang bisnes. Sedangkan orang Melayu, kalau dulu-dulu lebih senang buat kerja pertanian di kampung, kini lebih selesa makan gaji sahaja. Jadi, dari dulu sampai sekarang, orang Melayu tak banyak berubah. Malah, makin lama makin kerugian, kerana rata-rata, hartanah di negara ini dimiliki oleh orang bukan Melayu.

Sekalipun orang Melayu tahu bahawa bisnes itu adalah sunnah Nabi dan orang Islam sangat digalakkan untuk menjanlankan perniagaan, namun orang Melayu masih tak suka bisnes. Dikatakan (mengikut kajian yang dijalankan) bahawa Malaysia merupakan antara destinasi pelancong yang sangat popular buat umat Islam seluruh dunia dan dikatakan sekitar RM100 bilion merupakan hasil pelancongan Muslim setiap tahun di negara ini, tetapi malangnya orang Melayu sekadar mendapat tempias sahaja kerana rata-rata, semua fasiliti perniagaan adalah kepunyaan bukan orang Melayu.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, kenapa tidak kita renung-renungkan dan belajar untuk galakkan anak-anak kita memasuki bidang perniagaan. Biar bermula kecil-kecilan dan perlahan-lahan. Biar tidak selesa pada mulanya, tetapi insya-Allah, percayalah kata-kata Nabi Agung kita Muhammad SAW bahawa perniagaan itu banyak barakahnya. Jom kita mula sikit-sikit, lama-lama nanti akan jadi bukit.

Wassalam.

Sunday, July 29, 2012

Hari Ulang Tahun Perkahwinan

Salam

Saya lambat update blog sebab pagi tadi saya keletihan. Apa pun, hari ini ialah hari ulang tahun perkahwinan saya. Tarikh saya kahwin, sama macam tarikh kahwin Prince Charles dengan Princess Diana, tapi kami kahwin beberapa tahun dahulu sebelum mereka. Pejam celik pejam celik, dah 34 tahun kami berkahwin dan hidup bersama sebagai suami isteri. Syukur alhamdulillah kerana Tuhan izinkan kami terus berpasangan dan masih kukuh bercinta lagi, walaupun sekarang ini kami dah pun ada cucu. Semua ini adalah di atas izin-Nya.

Hari ini, saya ke KL, bukanlah kerana nak menyambut ulang tahun, tapi saya ada barang yang perlu dibeli. Saya pilih Pavilion sebab mudah buat saya (kaki saya sakit) berjalan dan hari ini semasa di sana, saya terserempak dengan dua orang selebriti. Kedua-duanya lelaki dan mereka bersama isteri masing-masing. Seorang ialah pengacara TV dan baru lagi berumah tangga dan seorang lagi pelakon dan kini dia juga menjadi pengacara TV.

Okeylah, tak ada apa sangat yang hendak saya cerita, tetapi alhamdulillah saya pulang ke rumah untuk buka puasa. Malas betul untuk buka puasa di luar. Insya-Allah kita jumpa lagi esok.

Wassalam.


Saturday, July 28, 2012

Berbuka Puasa Dengan Keluarga

                 Sekadar hiasan

Salam

Semalam saya sibuk kerana tiba-tiba sahaja ibu saya tak sihat. Kalutlah juga, sebab saya terpaksa bergegas ke klinik. Alhamdulillah, ibu saya tak apa-apa, mungkin perut dia masuk angin (maklumlah berpuasa), jadi angin tu buat dia sesak dada. Sekarang ni ibu saya dah okey. Adik-adik saya pun kelam-kabut datang dari Gombak. Semalam juga saya telah rancang untuk sediakan makanan untuk surau dekat rumah saya, jadi bertambahlah sibuk. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

Hari ini, kami kesibukan sekali lagi kerana ramai ahli keluarga yang akan datang berbuka puasa dengan kami semua. Insya-Allah, rakan-rakan Yemen yang belajar di sini juga akan berbuka puasa dengan kami. Hari ini menunya ialah beriani kambing (suami saya yang akan masak - dibantu oleh saya dan adik). Ibu saya (walaupun semalam tak sihat, hari ini dah bersemangat untuk masak) sedang menyediakan 'mahsyi' ia itu sejenis masakan Arab (daging cincang disalut dengan sayuran seperti kubis, timun dan terung). Pencuci mulut pula akan ditaja oleh adik-adik ipar saya (pelbagailah agaknya). Yang menariknya, kami semua akan berkumpul dan tentunya mengingatkan kami di zaman kanak-kanak yang pernah kami lalui bertahun-tahun yang lalu.

Mungkin anda juga begitu, kan? Bila hujung minggu, tentu ada perancangan untuk berkumpul dengan ahli keluarga di bulan Ramadhan yang mulia. Kalau anda mempunyai ibu dan ayah yang sudah berusia, memang eloklah pergi melawat mereka. Kehadiran anak-anak dan cucu-cucu tentunya akan menyeronokkan mereka. Kadang-kadang memang penat bila orang datang ke rumah kita, tetapi keseronokan yang akan wujud nanti mampu melupakan segala rasa penat yang ada. Biasanya bila sanak-saudara saya rancang untuk berkumpul, saya akan tanya dulu apa yang mereka rancang nak bawa (kalau adalah) supaya saya akan sediakan yang lain-lain, supaya tidaklah nanti terlalu banyak makanan yang disediakan.

Semoga anda sekelian bergembira sambil beribadah di bulan yang mulia.

Wassalam.

Friday, July 27, 2012

Orang Melompat Selalu Rugi


Salam pagi Jumaat

Biasalah, kan? Kalau kita dengar lagu itu aje berulang-ulang kali, lama-lama kita jadi bosan. Sedap macam mana sekalipun, kita akan jadi bosan. Mungkin elok kita dengar sekali-sekala aje untuk tidak membuat ia jadi bosan. Sangat berlainan dengan mendengar orang mengaji al-Quran. Walaupun ayat yang sama diulang-ulangkan, kita tak berasa jemu. Insya-Allah, itulah hikmahnya. Semoga kita rajin mengaji di bulan Ramadhan ini.

Hari ini, saya nak bercerita sesuatu tentang 'attitude' orang muda hari ini, terutamanya orang Melayu. Walaupun tidak semua begitu, tetapi ramai juga yang macam itu. Terlalu suka melompat tempat kerja. Malam tadi setelah pulang dari surau, suami saya bercerita. Katanya pagi semalam dia menemuduga beberapa orang calon untuk post jurutera bagi membantu untuk mengendalikan sebuah projek baru. Rata-rata calon Melayu yang ditemeduga itu kebanyakan mereka jenis yang melompat tempat kerja. Paling lama ialah enam bulan, biasanya lima bulan dah berubah tempat kerja. Suami saya bertanya mereka dan inilah jawapannya, "Hendak mencari pengalaman."

Bagi suami saya itu merupakan satu alasan yang terlalu lemah, kerana jawabnya, "Pengalaman apa yang awak boleh dapat kalau bekerja setakat berapa bulan sahaja? Bukak fail pun tak sempat, macam mana nak dapat ilmu apa-apa?"

Sebenarnya kata suami saya, banyak orang muda hari ini terlalu kejarkan gaji tinggi. Bila ada offer gaji lebih sikit (kadang-kadang tak banyak mana pun), mereka terus berubah tempat, sedangkan di tempat lama tak sempat nak belajar apa pun.

"Awak tahu tak yang awak rugi besar bila buat macam ni? Kalau nak belajar kita kena duduk di satu-satu tempat tu lama sikit. Paling cepat ialah tiga tahun, paling baik ialah sekurang-kurangnya lima tahun, barulah awak banyak belajar. Kalau awak lompat sana-sini, apa pun awak tak belajar. Bukan itu sahaja, orang lain pun tak yakin dengan awak, kerana tahu awak tak boleh diharapkan sangat."

Suami saya dah 35 tahun berkecimpung dalam dunia kejuruteraan dan katanya, masih banyak yang perlu dia belajar. Sesungguhnya dia sangat hairan bila orang muda hari ini tak ambil berat untuk menimba ilmu. Mereka terlalu terkejar-kejar pada 'material' hinggakan mereka yang rugi.

Apa yang saya sampaikan ini sekadar untuk menegur dan mengingatkan mereka yang muda yang datang ke blog ini, semoga kita fikirkan tentang hal ini, untuk mengumpul ilmu dan pengalaman dalam bidang kerjaya yang kita lakukan. Jangan terlalu ambil kisah tentang hal material atau ganjaran dari segi wang sahaja, kerana akhirnya nanti, kalau kita kurang ilmu dan pendedahan, kita yang akan kerugian di masa depan. Wallahua'lam.

Wassalam.

Thursday, July 26, 2012

Jangan Suka Marah-Marah


Salam

Ada kala kita marah, kan? Tapi mungkin dalam bulan Ramadhan ni kita kawal dan cuba untuk tidak luahkan kemarahan kita pada insan lain. Bukan senang untuk kawal, tapi kalau kita mampu untuk lakukannya, itu merupakan satu kemenangan buat kita. Salah satu cara untuk buat diri kita jadi lembut, elok kalau kita rajin-rajin untuk beri makanan kepada haiwan, tak kira haiwan apa pun. Paling mudah, kita berilah makan makanan yang tak habis kita makan kepada burung-burung yang berterbangan. Insya-Allah, akan kurang rasa marah kita itu. Wallahua'lam.

Antara cara mudah juga ialah dengan rajin berzikir dan berwirid. Sambil buat kerja, kita boleh lakukannya dalam hati. Dengan buat begitu, apa-apa rasa marah, insya-Allah dapat kita kawal. Malah, bukan setakat kawal marah, tapi dapat kawal segala perbuatan yang tak baik, termasuklah sakit hati dan dengki. Insya-Allah.

Dalam bulan Ramadhan ini, jom kita lakukan semua yang baik dan cuba jauhkan yang tak baik. Saya rasa amat terkesan bila mendengar berita bahawa kota Kuala Lumpur di katakan antara kota besar yang mempunyai ramai insan yang biadab kalau dibandingkan dengan kota-kota besar lain di dunia. Aduhai... takkan kita nak nafikan kot? Memang betul pun. Kalau tak percaya, cubalah berinteraksi dengan pekerja kedai, pak guard2 yang on duty, pemandu teksi, malah di kaunter-kaunter, memang payah nak jumpa orang yang berbudi bahasa. Tapi tak apalah, semoga kita sama-sama usahakan untuk berbudi bahasa dengan orang lain.

Wassalam.

Wednesday, July 25, 2012

Bila Kita Pinjam dan Tumpang

    Tandas awam yang bersih - ada macam kat Malaysia tak?

Salam semua

Pernah tak kita terserempak dengan kereta yang dipecut macam ribut, melintas di depan kita? Yang membawanya ialah bukan tuan punya, tetapi orang yang meminjam kenderaan itu. Mungkin adik tuan punya, mungkin teman tuan punya, atau siapa-siapa. Ada juga pemandu tuan punya (memandu bila tuannya tak ada). Kadang-kadang memang begitulah keadaannya. Bila itu bukan harta kita, kita pun buat sesuka hati kerana kita tak menilai tinggi harta orang lain. Sedih sungguh. Tetapi kadang-kadang memang itulah realitinya. Ada insan di dunia ini tidak menghargai barang yang dipinjam atau ditumpang. Malah, ada ketika ada juga insan yang tak ambil peduli pada rumah atau tempat yang ditumpangnya.

Sebab itulah kalau kita pergi ke tandas awam (yang dibayar pun lebih kurang sama) di Malaysia ini, jarang-jarang kita jumpa tandas yang bersih dan tidak berbau. Malah, kalau musim cuti sekolah, tandas yang disediakan di kawasan rehat (ada pekerja yang mencucinya), tak terdaya kita nak masuk kerana bau yang hancing dan bau najis. Teruk betul, kan? Pada hal orang Malaysia semuanya pergi ke sekolah, tapi tak tahulah kenapa susah nak menghargai benda dan tempat yang dikongsi guna. Seolah-olah kerana bukan harta kita, maka kita pun tak ambil berat dan tak kisah. Buruk betul perangai. Bukan hanya di kawasan tandas awam, malah di masjid pun lebih kurang serupa. Susah nak jumpa tandas yang tak berbau hancing. Pelik, kan?

Suatu ketika dahulu, saya pernah sewakan rumah saya pada seseorang (berkeluarga) yang saya sangat hormati. Rupa-rupanya dia pun sama juga dengan orang lain, tak ambil peduli dengan harta yang bukan haknya. Pada hal saya menyewa dengan kadar yang terlalu rendah kalau dibandingkan dengan nilai rumah saya itu, konon-konon dengan harapan rumah saya akan dijaga baik. Tapi hampeh! Bila saya balik dari luar negara, rumah saya macam nak punah dibuat oleh anak-anaknya. Semuanya rosak termasuk tandas, siap ada bola tersumbat di dalamnya. Hampa sungguh perasaan saya. Malah, saya berasa malu kerana percaya bahawa orang yang berilmu mampu buat begitu. Nauzubillah. Orang yang sama, kemudiannya telah membina rumah baru untuk keluarganya dan kerana itu adalah rumahnya, pandai pula dia pastikan rumah itu elok. Hisy!

Mungkin kerana sikap itu ada pada diri kita sebagai manusia, maka ramailah yang tak ambil pusing ketika hidup di dunia ini. Pada hal kita semua tahu bahawa dunia ini adalah tempat tumpangan kita. Harta kita pun adalah hak-Nya, bukan hak kita pun. Tapi... ramai yang tak kisah. Kita bersikap seolah-olah kita tidak menumpang. Seolah-olah dunia ini kita punya. Malangnya juga, ada yang tak menghargai apa-apa yang ada, seolah-olah kita tidak meminjam semuanya daripada Tuhan.

Insya-Allah, dalam bulan yang mulia ini, semoga kita sama-sama berfikir untuk menghargai segala apa yang ada, bersyukur di atas apa sahaja pemberian Allah swt, tak kiralah besar atau kecil, menghargai segala rezeki pemberiannya dan menghormati apa sahaja yang ada, tak kisahlah sama ada kita rasa macam pinjam atau rasa macam hak kita.

Wassalam.

Tuesday, July 24, 2012

Nostalgia Berbuka Puasa

        Macam Sedap Aje - cilok dari fb orang

Salam

Semoga kita semua banyak beramal dan mengerjakan ibadah di bulan yang mulia ini. Okeylah... bila sentuh aje bulan Ramadhan, tentu kita banyak cerita lama, kan? Banyak pengalaman yang kita lalui semasa dalam bulan mulia ini.

Dulu masa saya kecil, memang saya suka sangat bulan Ramadhan ni. Walaupun biasa letih sebab banyak bermain, tetapi saya suka sangat dengan moodnya. Setiap petang (bila berpuasa di rumah sendiri) kami akan berkumpul beramai-ramai (saya mempunyai keluarga yang besar) dan biasanya semasa buka puasa, arwah ayah saya akan melarang kami daripada minum air dulu. Semestinya kami menjamah buah tamar dan kemudiannya kami makan buah-buahan. Selepas itu kami makan 'syurba' iaitu sup Arab. Biasanya arwah ayah saya akan solat dulu dan lepas itu barulah kami makan yang berat sikit. Tapi biasalah kan... masa kita kanak-kanak memang agak nakal lah. Adik-adik saya (kebanyakan lelaki) mereka akan turun di bawah meja untuk curi minum air bila arwah ayah saya sibuk benda lain. Masing-masing sangat takut dengan arwah ayah saya.

Arwah ayah saya memang sangat garang dengan anak-anak lelakinya, tetapi sentiasa bercakap lembut dengan anak-anak perempuan. Maklumlah kami ramai, jadi macam-macam kerenahlah. Ketika itu, arwah ayah saya sudah tua dan kami pula semuanya masih kanak-kanak dan tentunya merunsingkannya (agaknya lah) melihat kelakuan anak-anak yang nakal. Dalam ramai-ramai, sayalah yang paling tidak nakal. Malah, adik beradik perempuan yang lain juga agak nakal kalau dibandingkan dengan saya. Sejak kecil saya memang tak banyak cakap, bila dah betul dewasa, barulah banyak cakap (di rumahlah). Saya suka membaca dan saya banyak habiskan masa membaca (buku cerita) dan kerana itulah saya tidak nakal. Hehe...

Kami anak-anak perenpuan memang tak pantas memasak kerana tugas itu dilakukan oleh ibu-ibu kami (ketika itu saya mempunyai tiga orang ibu). Namun begitu, kami mempunyai tugasan yang perlu dilakukan di bulan Ramadhan. Maklumlah keluarga kami sangat besar dan adik-adik pula sangat nakal.

Setiap kali bulan Ramadhan tiba, tentunya saya teringat pada kisah lama yang pernah saya lalui bersama keluarga besar saya dan setiap kali Ramadhan, saya teringat pada arwah ayah saya (sebenarnya saya ingat pada dia setiap kali saya solat) dan kisah kami bersamanya ketika Ramadhan. Keadaannya sangat unik, mungkin tak pernah sama dengan keluarga orang lain.

Wassalam.

Monday, July 23, 2012

Mencari Tempat Indah Untuk Novel

          Masa saya ke Terengganu - cantik, kan?

Salam semua

Pagi ini macam tak ada mood nak berceloteh. Begitulah kita, kan? Ada kala mood naik tinggi menggunung, ada ketika pula, mood jatuh merudum. Mood saya tak adalah jatuh merudum, cuma keletihan sikit. Walaupun awal pagi, mood saya belum datang lagi. Tapi tak apalah... mungkin pagi ini saya lagi seronok nak berkongsi tentang tempat yang saya pernah pergi dan tulis dalam novel saya. Saya bangkitkan hal ini sebab saya dapat e-mel seorang pembaca yang beritahu saya bahawa dia suka novel saya sebab saya banyak membawa dia berjalan-jalan. Bukan hanya di luar negara tetapi di dalam negara juga. Ada tu memang tempat-tempat yang dia pernah tahu, tapi bila saya sentuh dalam novel, mungkin saya berjaya untuk menghiburkan hatinya. Insya-Allah.

Saya ni orang Perak, kan? Jadi banyaklah tempat di Perak yang saya jadikan latar belakang. Bukan apa, kadang-kadang mudah begitu, sebab saya lagi senang bercerita tentang orang-orang yang berasal dari negeri saya. Walaupun saya dah lama tinggal di tempat lain (Selangor, England dan juga Negeri Sembilan), saya tetap mempunyai banyak kenangan di Perak. Ada juga kenangan di Johor, sebab masa saya kecil saya pernah tinggal di Batu Pahat, Johor. Kiranya kawasan Kluang, Batu Pahat dan juga Muar, sangat familiar lah. Bila kahwin pula dengan orang Johor Bahru, adalah juga rasa-rasa Johor tu dalam diri saya. Namun begitu, ada banyak tempat lain di Malaysia ni yang saya sangat suka. Misalnya saya suka Kuala Perlis dan Kuala Kedah di Utara. Saya juga suka kawasan tepi pantai sepanjang Pantai Timur, dari Kelantan ke Pahang. Saya sangat menggemari kawasan pedalaman, terutama yang ada perkampungan orang asli.

Sebenarnya saya sangat suka untuk berkongsi rasa tentang tempat-tempat yang saya minat dengan mereka yang membaca novel saya. Mungkin inilah satu cara saya untuk memberi pengetahuan tentang tempat-tempat itu kepada pembaca terutama mereka yang masih muda. Masa saya remaja dulu, itulah yang membaut saya teruja bila membaca, kerana saya akan berkenalan dengan tempat-tempat baru. Bayangkanlah, dula saya baca tentang Scotland dan bila akhirnya saya sampai di sana, saya teringatlah pada buku-buku yang saya baca dulu. Gambarannya sangat sama dengan apa yang saya lihat dan rasa.

Insya-Allah, itulah yang cuba saya lakukan, berkongsi pelbagai perkara dengan pembaca yang suka membaca novel dan buku-buku saya. Anda semualah penghibur hati saya. Bila saya menulis saya selalu teringat pada pembaca saya. Alhamdulillah, semoga kita diberkati Allah swt di bulan Ramadhan ini.

Wassalam.



                   

Sunday, July 22, 2012

Mana Perginya Hero Malaya?

                            Sekadar hiasan

Salam

Pada suatu hari, sedang memandu kereta dan mendengar celoteh sebuah stesen radio, saya berfikir-fikir juga. Betul ke kata mereka yang sedang bersembang-sembang di stesen radio tu? Kata mereka, sejak kebelakangan ini, memang susah nak jumpa lelaki Malaysia yang jujur dan ikhlas dalam percintaan. Kata wanita-wanita yang memanggil, kalau ada lelaki yang baik hati semuanya sudah berkahwin. Yang 'single and available' semuanya tak boleh pakai! Aduhai... gerunlah saya mendengarnya. Kalau betul, habis tu mana pergi semua hero-hero Malaya? Takkan tak ada kot, takkan tersorok kat dalam gua kot? Isy! Ni yang tak seronok ni. Kata mereka lagi, lelaki sekarang tak ada yang gentleman, kalau ada pun... sekali lagi, mereka sudah pun berkahwin!

Ada juga yang berkata bahawa kebanyakan suami pun tak boleh pakai. Lelaki-lelaki di Malaysia ni semuanya bukan dari kualiti yang bagus-bagus. Spesie yang ada sekarang ini sudah tinggal yang berkualiti rendah. Lelaki baik budi sudah pupus! Nauzubillah. Saya pun rasa susah nak percayalah, tapi sebenarnya dah banyak kali juga saya dengar macam-macam kes dan tahu macam-macam hal tentang isu ini. Malah, tahu sangat-sangat tentang satu kes yang serupa seperti apa yang mereka katakan. Salah siapa ek?

Dalam pada itu juga, saya perhatikan semakin banyak perempuan kejam dan zalim pada hari ini. Ada banyak juga kaum hawa yang berkualiti rendah. Budi bahasanya tiada, sikapnya juga pentingkan diri sendiri dan tersangat materialistik, hingga sanggup lakukan apa sahaja untuk kaut keuntungan. Boleh dikatakan memang ada lelaki tak baik dan perempuan juga tak baik.

Apa pun, tak kiralah siapa baik atau tidak, tetapi kalau kita tidak pandai mengimbangkan apa yang baik dan apa yang tidak, kemungkinan besar kita akan jadi orang yang tak baik di mata orang lain. Namun dalam banyak hal, ibu bapa juga mainkan peranan besar dalam memberi latihan dan pengetahuan, agar anak-anak membesar dengan cukup ilmu untuk menjadi manusia yang berakal dan berhati perut. Kita hidup di dunia ini bukan sekadar fikirkan untuk diri kita sahaja, tetapi untuk orang-orang yang di sekeliling kita, seperti ibu bapa, suami, isteri, anak-anak, saudara mara, kawan-kawan dan jiran. Kita juga harus bertimbang rasa pada alam persekitaran kita. Semua ini adalah tanggungjawab kita sebagai insan yang menumpang dunia Tuhan. Kalau kita biarkan kualiti diri kita menjadi rendah, maka baka yang datang daripada kita juga akan menjadi bertambah rendah.

Dulu-dulu orang kita biasa susah, dan kerana itu orang dulu lebih 'tough' dan rajin kalau dibandingkan dengan orang sekarang. Orang sekarang lebih suka relaks dan nak yang senang-senang sahaja. Kalau jadi suami pula, isteri ada yang bekerja, jadi ada suami yang suka lepas tangan. Begitu juga isteri, ada yang sangat materialistik hinggakan suami ditindas. Huh! Tak suka! tak suka!

Dalam bulan Ramadan yang mulia ini ada eloknya kita fikirkan tentang kehidupan kita di dunia ini. Siapa kita nak jadi, insan yang berguna atau yang tak berguna? Semoga kita sama-sama cerminkan diri dan cuba perbaiki apa yang kurang, semoga juga Tuhan menerima amal ibadah kita semua.

Wassalam.

Saturday, July 21, 2012

Kau Datang Lagi



Salam Ramadhan buat semua

Biasanya pagi-pagi macam ni, saya akan bawa secawan kopi untuk teman saya semasa berada di depan komputer. Namun Alhamdulillah, kopi itu tidak penting, yang penting ialah untuk berada di bulan yang mulia ini. Syukur alhamdulillah, kau datang lagi buatku.

Dalam pada itu, kenapa setiap tahun, ada negara-negara yang menyambut Ramadhan jauh lagi awal daripada kita? Siapa yang salah kira, mereka atau kita, atau sama-sama betul? Ada tu, hari Khamis lagi dah mula puasa, ada juga pada hari Jumaat dan kita pula pada hari Sabtu. Tak apalah... kalau dah mereka kata kita mula berpuasa pada hari Sabtu, maka mulalah kita kan.

Sememangnya ada orang, bukan main takut dengan bulan Ramadhan ni. Bukannya apa, takut sebab tak dapat makan kat kedai di waktu siang. Ada insan yang memang ketagih makan di waktu siang, kalau tak makan, boleh jadi pening kepala dan meronta-ronta. Ada tu memang dah biasa tak pernah puasa, jadi nak buat apa puasa pun? Ada tu memang tak akan berusaha untuk puasa, buat susah aje. Teruskan sahaja untuk hidup tak berpuasa. Tapi bila sampai hari raya, dia yang beraya bersungguh-sungguh, kalah mereka yang dah puas berpuasa. Aduhai. Jom kita doakan agar mereka yang liat untuk berpuasa akan berubah hati dan fikiran lalu mahu cuba untuk berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia.

Mungkin ada baiknya juga kita belajar untuk lakukan sesuatu yang lebih positif di bulan yang mulia ni. Kalau dulu kita malas, kita cuba untuk berlaku lebih rajin. Kalau dulu kita suka ponteng (tak kiralah ponteng sekolah atau kerja), kita belajar untuk jangan ponteng. Kalau dulu kita kaki menipu atau kelentong, kita belajar untuk tidak buat semua tu dan berlaku lebih jujur. Kalau dulu kita cari alasan untuk tidak berbuat baik, jom kita cari alasan untuk buat baik pula. Insya-Allah, setelah habis bulan Ramadhan, kita akan teruskan usaha kita ini.

Bulan Ramadhan bukan untuk kita bermalas-malas dan jadi lembik kerana berpuasa. Bulan Ramadhan sepatutnya membuat kita lebih tekun untuk beribadah. Kerja dan belajar itu juga beribadah. Apa sahaja yang baik-baik itu dan kita lakukan untuk Allah swt, semuanya adalah ibadah. Semoga kita bermula dengan sesuatu yang lebih positif. Banyakkan amal ibadah kita, rajin-rajin buat solat sunat (yang wajib jangan tinggal pula), rajin-rajin membaca al-Quran dan tahu maknanya sekali. Rajin bersedekah dan rajin-rajinlah buat segala yang murni.

Selamat kerjakan ibadah puasa.

Wassalam.

Friday, July 20, 2012

Sabar, Kau Jadilah Temanku


Salam pagi Jumaat

Esok kita mula berpuasa di bulan Ramadhan. Semoga kita sama-sama berusaha untuk jalankan tanggungjawab kita sebagai muslim sejati, ameen.

Dalam kehidupan kita ini, salah satu ciri penting untuk kuatkan iman kita, kuatkan semangat kita, malah untuk menjadi yakin pada diri ialah 'SABAR'. Biasanya bila kita belum tahu lagi akan kehebatannya rasa 'Sabar' itu, kita mudah melenting, mudah marah-marah, mudah buat tuduhan, mudah buat fitnah, mudah naik angin dan mengamuk, mudah sakit hati dan mungkin mudah lepaskan geram tak kira tempat. Namun bila kita mengerti bahawa 'Sabar' itulah yang dapat mengawal nafsu kita, dapat mengawal rasa sakit hati dan segala sikap tak elok dalam diri, insya-Allah kita mampu menguruskan hidup kita dengan lebih cemerlang. Biasanya juga bila umur kita meningkat, kita akan mengerti bahawa 'Sabar' itu sungguh besar maknanya dalam kehidupan kita. Insya-Allah juga Tuhan lebih sayangkan mereka yang amal rasa 'Sabar' itu.

Bila kita berpuasa, itulah yang kita belajar iaitu untuk bersabar daripada melakukan segala perkara yang kita tak boleh lakukan. Kita tak boleh makan dan minum, kita tak boleh melakukan segala perkara yang tak baik (bulan lain juga begitu) tetapi kita perlu lakukan semua yang baik-baik. Bulan Ramadhan merupakan tempoh yang boleh kita gunakan untuk mengajar diri 'bersabar' dengan lebih lagi.

Kalau kita bersabar, biasanya juga kita akan dianugerhakan kecemerlangan dalam hidup. Segala ujian yang datang pada diri kita dan kita terima dengan rasa rendah diri dan 'sabar', insya-Allah kita akan dihadiahkan sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup kita. Kadang-kadang kita akan terasa seolah-olah diri kita ini sentiasa ditimpa malang, namun berkat rasa 'sabar' yang kita ada, mampu untuk melonjakkan diri yang terbeban itu ke tahap yang jauh lebih baik. Sabar itu adalah ubat untuk merawat segala rasa yang tak enak pada diri, jadi jangan jauhkan diri daripada rasa 'sabar' itu. Malah, dalam segala usaha kita di dunia ini, bawalah perasaan sabar untuk sentiasa meneman kita, semoga kita akan menjadi lebih kuat lagi.

Kalau kita belum kahwin, insya-Allah berkat sabar yang ada ini akan membawa kita kepada jodoh yang terbaik buat kita. Kalau kita sudah bercerai, semoga Tuhan gantikan jodoh kita dengan sesuatu yang akan membawa kita ke syurga. Kalau kita pernah gagal dalam apa jua yang kita lakukan, semoga kita jadi kuat untuk teruskan perjuangan kita. Kalau kita pernah rasa kosong, jangan takut untuk isikan apa yang kita idamkan. Insya-Allah Tuhan maha mendengar segala rintihan kita, semoga kita hidup dengan penuh makna dan semoga akhirat kita juga cemerlang buat kita semua.

Wassalam.

Thursday, July 19, 2012

Ya Ramadhan


Salam

Esok lusa dah nak masuk bulan Ramadhan, kan? Semoga kita semua dapat jalankan ibadah puasa dengan amannya, insya-Allah. Pastikan anda yang hutang puasa tu dah pun ganti semula, kalau tidak, jangan pula lupa bayar fidyah. Jangan buat-buat bodoh je. Alahai... bukannya mahal mana pun. Lagipun, rumah anak-anak yatim ada di merata-rata tempatkan, hulur ajelah kepada mereka yang memerlukan. Begitu juga zakat pendapatan (tak kiralah bisnes, makan gaji atau bertani), jangan lupa bayar eh? Kalau kita kongsi harta dan pendapatan kita, insya-Allah kita akan terus merasa nikmatnya. Lagipun, harta kita tu datangnya dari Tuhan pun, bukannya tiba-tiba aje ada.

Okeylah, tentunya bila tiba Ramadhan, banyak orang jadi kalut sebab fikir dan risaukan hari raya. Kalau nak diikutkan, Ramadhan tu jauh lagi mulia dari hari raya, tetapi orang kita dah terbiasa, lebih muliakan hari raya. Apa-apa pun, semoga kita sama-sama fokus dan buat yang terbaik di bulan Ramadhan, agar kita juga merasa nikmatnya. Insya-Allah.

Wassalam dan selamat menyambut Ramadhan al Mubarak.


Wednesday, July 18, 2012

Nilai Persahabatan - Tiada Harganya


Salam semua

Ya, saya masih keletihan, tapi tak apa. Memang seronok nak update blog ini. Perjalanan saya ke Kampung Gajah memang seronok, bertambah seronok kerana dapat bersembang dengan kawan lama saya. Iyalah, perjalanan yang lama. Bila sampai pula di kampungnya, kami telah dihidangkan makan tenga hari ala tipikal masakan Perak. Memang best giler, siap ada ikan patin masak tempoyak, rebung masak lemak cili api, ikan pari bakar dengan air asam, ikan rebus goreng, ulam gajus dengan sambal belacan. Aduhai, nak apa lagi, kan? Memang perfect! Lepas tu kami melepak di tepi Sungai Perak. Teringat episod dalam novel 'Seharum Kasih'... memang nyaman, walaupun kini kampung teman saya itu agak sunyi.

Saya memang kenal baik dengan adik beradik kawan saya itu, terutama kakaknya yang suatu ketika dahulu bertugas sebagai jururawat dan ketika kami berada di Universiti Malaya, kakaknya (kami panggil Kak Nor), rajin datang melawat. Sekarang ini Kak Nor tinggal di Ipoh dan dialah yang menyediakan makan tengah hari untuk kami. Rumah ibu bapa teman saya pun sudah diperbaiki dan sekarang ini sangat cantik dan praktikal. Memang seronoklah... kebetulan semalam angin sepoi-sepoi bahasa sentiasa bertiupan dan cuaca pun tak panas.

Kami singgah juga di tepi jalan untuk beli kelapa muda dan mamat yang menjual kelapa tu, friendly sangat. Saya usik suami saya dan berkata, "Hah, orang Perak memanglah macam ni. Mesra alam." Hehe... siap kami beli kuih kacang lagi sebab mamat tu duk buat promosi. Tak menyesal beli, memang enak. Semasa berhenti di RnR, kami singgah beli putu kacang dan agar-agar kering. Lepas tu kawan saya sibuk beli ketupat pulut dan rendang tok, habis dia makan... di Mexico tak jumpalah makanan macam tu.

Apa pun, bagi saya masa yang kami habiskan bersama sangatlah bernilai kerana jarang-jarang kami dapat bersembang macam tu. Kami teringat kisah kawan-kawan masa di kampus dulu termasuklah seorang teman yang kini merupakan seorang Menteri Besar dan dua orang lagi yang sedang bertugas di Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran. Semua kawan-kawan saya ni sudah bergelar 'Datuk' atau 'Datuk Seri'. Tapi saya juga yang masih berseri-seri! Huhu...

Okeylah, semoga anda juga seronok berkawan dan pastikan silaturahim tidak putus, insya-Allah.

Wassalam.

Monday, July 16, 2012

Esok, Teman Nak ke Perak

Salah satu pekan yang dekat dengan kampung kawan saya

 Salam

Semoga anda berada dalam keadaan baik hendaknya. Semalam, saya mendapat tetamu jauh. Teman baik saya yang bertugas di Mexico telah pulang untuk mengikuti kursus dan sebelum pulang semula ke sana, dia telah datang ke rumah saya. Kebetulan juga, rumah yang terletak bersebelahan rumah saya ialah rumah kawan baik saya ini (kerana dia telah membelinya dari tangan jiran saya sebelum ini). Kiranya, kawan baik saya itu sudah pun jadi jiran saya, cumanya dia belum tinggal di rumahnya itu (dia mempunyai rumah lain di tempat lain). Satu hari nanti, insya-Allah, dia akan tinggal bersebelahan dengan saya. Itulah impiannya, untuk menjadi jiran saya, insya-Allah kalau kami panjang umur.

Apa pun, insya-Allah juga, esok saya akan teman kawan saya itu untuk pulang ke kampungnya di Perak yang terletak tidak jauh dari Kampung Gajah (sangat nostalgia). Malah, kisah dalam novel saya 'Seharum Kasih' telah saya pinjam kampungnya di sana. Saya tak tahu kenapa, tetapi saya sangat suka dengan kampungnya dan juga keluarganya. Walaupun saya agak sibuk, tetapi bila kawan saya menyebut yang dia ingin untuk pulang ke kampungnya (untuk menjengah ibu saudara, ibu bapanya sudah tiada), saya jadi teruja dan bersetuju untuk temankannya. Malah, cik abang saya pun bersetuju untuk ikut kami. Teringat masa dulu-dulu.

Saya pernah cerita di blog ini, semasa saya di tahun akhir Universiti Malaya, teman saya ini telah menjaga saya ketika saya mengidap demam Malaria. Ketika itu, saya mempunyai projek di perkampungan orang asli di kawasan hutan Cameron Highlands, dan kembali dari kerja lapangan itu, saya telah ditimpa demam Malaria. Kawan saya itulah yang menjaga saya siang dan malam (hampir seminggu) kerana saya tak boleh bangun, asyik muntah. Malah, dialah yang memimpin saya untuk ke bilik air dan bila saya muntah dia yang mencucinya. Waktu malam, dia tidur di kamar saya, saya di atas katil, dia pula di atas tikar di atas lantai. Bagi saya, dia merupakan teman yang baik hati. Sangat ikhlas dan kami berkawan baik, dari dulu hinggalah sekarang. Sekarang ini, teman saya itu memegang jawatan penting dan sudah bergelar 'Datuk', namun kami tetap baik macam adik-beradik yang sangat rapat. Anak-anak kami juga sangat rapat. Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur kerana Tuhan izinkan saya mempunyai kawan-kawan yang sangat baik hati.

Kemungkinan besar saya tak update blog ini esok. Mungkin ada cerita menarik yang akan saya ceritakan bila balik dari Perak nanti. Take care semua.

Wassalam.

Sunday, July 15, 2012

Suka Baca Atau Suka Tulis?



Salam semua

Pagi Ahad yang tenang ini saya nak bersembang tentang sesuatu yang saya suka buat. Apa yang saya suka buat? Tentulah menulis. Kalau tak tulis sehari, kepala saya jadi pening. Huh! Mesti nak tulis beb. Okeylah, kata seorang pembaca saya, "Kak Aina... sekarang ni banyak sungguh penulis, sampai tak kenal. Novel pun dah macam-macam sekarang ni sampaikan saya pun tak tahu nak baca yang mana satu. Kalau baca komen orang pun, bukan semuanya betul. Ada tu kata novel best, tapi bila saya baca macam hampeh aje."

Saya kata pula padanya, "Mungkin di masa yang terdekat ni, tak pening kepala kot. Boleh baca e-book yang dijual secara komersil. Harganya murah dan kalau sekalipun tak memenuhi citarasa, masih tak rugi dan tak sakit hati. Kalau baca buku yang 'free', biasanya orang bagi 'free' benda yang tak ada harga, kecuali kalau al-Quran, yang itu memang Tuhan dah bagi kita 'free' siapa pun boleh baca dan disuruh baca."

"Best ke kak, kalau baca buku melalui tablet ni?"

"Kena cubalah. Sekarang ni dah macam-macam tablet boleh termasuk android. Sikit lagi PC pun boleh. Yang bestnya kita boleh ubah font dari kecil ke besar atau apa-apa font yang kita suka. Ada bookmark juga dan boleh bawa ke mana-mana. Semuanya macam biasa tetapi lebih canggih dan sangat praktikal. Penting untuk tahu dari sekarang lagi sebab esok-esok, insya-Allah banyak yang akan berubah jadi e-book termasuk buku sekolah dan buku universiti. Perubahan juga akan berlaku di library. Takkan kita nak ketinggalan kot?"

"Orang tak boleh cetak rompak ke?"

"Kalau buat secara betul, memang tak boleh. Kita tak boleh download sembarangan, hanya di tempat yang dibenarkan sahaja. Jadi... kalau kita nak jadi penulis e-book pun okey, tak kisah kalau kita tak ada modal atau susah nak cari penerbit, kita boleh terbit sendiri. Kalau nak tahu lagi... masuklah ke laman sesawang www.e-sentral.com.my  Anda boleh dapatkan macam-macam maklumat dan boleh hubungi pihak mereka, sama ada nak cuba beli e-book atau nak terbitkan e-book anda. Kalau tak cuba memang anda tak akan tahu."

Sekarang ini orang selalu bercerita tentang plagarism, ramai yang dah kena. Tambah pula banyak novel e-book di merata-rata tempat yang buat secara suka-suka bukan secara profesional. Yang tukang ciplak pun ramai juga. Sebab itulah kita kena berjaga-jaga jangan sampai ada yang ambil hasil karya kita dan dijadikan karya mereka. Malah dari novel biasa pun terjadi juga. Di luar sana memang ada yang teringin nak tulis tetapi malangnya ada juga yang tak tahu nak tulis apa, jadi ambil sana sikit dan ambil sini sikit. Bila kita baca, kita rasa macam familiar. Mahu tak familiarnya, mungkin cerita lain tetapi mood, gaya, malah perwatakan karakter serupa dengan karya orang lain yang pernah kita baca. Jadi... kalau nak jadi penulis, biarlah menulis dari hati yang suci, tak ambil apa-apa daripada orang lain, tetapi datang dari jiwa kita sendiri.

Saya sekadar berkongsi pengalaman dengan anda yang suka menulis dan membaca. Semoga kita semua dapat kembangkan lagi dunia penerbitan buku di negara ini dan lebih ramai rakyat kita yang suka membaca. Insya-Allah.

Wassalam.

Saturday, July 14, 2012

Muda Selama-lamanya Ke?

                  Sekadar hiasan

Salam pagi Sabtu,

Semalam saya tak sempat nak update blog saya ini sebab sepanjang hari saya berada di luar dari jam 6.45 pagi lagi saya dah keluar rumah. Dah lama tak drive sendiri jauh-jauh dan lama-lama. Bila balik rumah, rasa pening kepala. Huh... kesian saya. Apa pun, di sebelah petang tu, saya berada di kampus UKM bersama kawan-kawan lama kerana mengahadiri sebuah mesyuarat persatuan yang kami sertai. Seronoknya jumpa teman-teman lama terutama mereka yang dah bertahun-tahun saya tak jumpa macam Cik Yam (datin) dan Kak Nik yang kini tinggal di Kota Bahru Kelantan. Sekali-sekala bertemu teman-teman lama ni memang seronok, teringat pula kisah-kisah nostalgik yang pernah berlaku dulu-dulu. Ewah!

Okey, bagi anda yang masih muda dan terasa muda, apa sekalipun yang sedang berlaku pada anda hari ini, jangan lupa untuk menghormati mereka yang tua kerana macam mana muda sekalipun anda sekarang ini, suatu hari nanti anda juga akan tua. Selagi ada umur, kita akan melalui proses yang sama, dari kecil hingga ke tua, ada yang sampai nyanyuk. Kalau anda bertemu dengan siapa-siapa dalam famili anda atau jiran anda yang sudah nyanyuk, kasihanilah mereka kerana anda juga tak tahu mungkin penyakit ini akan menginggap anda bila tua nanti.

Bagi saya, memang kurang sopanlah orang muda yang suka pandang hina pada mereka yang tua. Takkan bila kita muda, kita akan muda selama-lamanya, betul tak? Sedar tak sedar, umur meningkat dan kita juga akan jadi tua. Tapi... memang ada insan-insan di dunia ini yang suka pandang rendah pada mereka yang berusia. Seperti yang pernah saya cerita dalam blog saya ini, salah seorang teman saya yang agak berusia, pernah dihina dalam blog kerana umurnya itu dan kerana dia menulis kisah cinta. Bagi saya memang peliklah kalau ada insan yang merasakan bahawa orang berusia ini tak layak menulis kisah cinta sedangkan orang berumurlah yang lebih memahami hidup ini kalau dibandingkan mereka yang masih muda. Betul tak? Umur yang matang dan pengalaman yang dilalui oleh orang yang lebih berusia itu tentunya mampu memaparkan banyak kisah hidup yang ada di sekeliling kita. Apa bezanya perasaan cinta dulu dan perasaan cinta sekarang? Perasaan itu tetap sama, yang mungkin berbeza ialah keadaan dan suasana. Takkan mustahil untuk orang yang matang usia memahami keadaan sekarang.

Saya juga berusia matang dan bagi saya, insya-Allah tidak ada masalah untuk memahami orang sekarang kerana saya dikelilingi oleh orang-orang yang jauh lagi muda daripada saya. Pun begitu, sejak dulu lagi saya sentiasa menghormati mereka yang tua daripada saya. Dulu semasa saya bekerja, saya pernah baik dengan seorang pegawai wanita yang jauh lagi berpangkat dan berusia daripada saya. Namun begitu, dia sentiasa menghormati saya sebagai rakan kerjanya hinggakan kami terlupa jurang umur dan pangkat kami. Alhamdulillah, dia mengajar saya untuk jadi manusia yang terbuka fikiran untuk menerima baik apa-apa sahaja yang ada di sekeliling saya. Kini, teman saya itu telah lama tinggalkan dunia ini, tetapi saya tak pernah lupakan 'ilmu' yang saya pelajari daripadanya. Semoga Allah swt cucuri rahmat buat rohnya.

Saya juga pernah dihina oleh seorang 'penulis' lain yang berasa muda melalui orang ketiga. Tapi saya buat tak tahu sahaja kerana saya percaya suatu hari nanti dia akan sedar bahawa dia juga  akan 'tua'. Lagipun umurnya dengan saya tidaklah terlalu ketara bezanya.

Apa pun, dengan semangat positif, saya bersyukur kerana terlalu ramai pembaca saya yang 'muda' dan mungkin ada yang terlalu muda, namun alhamdulillah, mereka sentiasa menghormati saya sebagai penulis. Ada yang ramai berkawan dengan saya melalui alam maya.  Bagi saya itu adalah nikmat yang dianugerahkan Ilahi buat saya. Sekali lagi alhamdulillah.

Semoga anda berbahagia di hujung minggu ini.

Wassalam.


Thursday, July 12, 2012

Siapa Nak Bom Mekah?

                    Mekah dari sudut atas


Salam semua

Alhamdulillah, walaupun kaki kanan saya ni masih sakit sikit-sikit tapi 'over all' saya okey aje. Sihat, masih ceria dan seronok untuk update blog ini. Semoga anda sekelian juga berada dalam mood yang baik, insya-Allah.

Saya perasanlah, di Malaysia ni, kalau kita tengok news atau berita di televisyen, tak banyak sangat cerita luar negara yang diperkatakan. Kalau ada pun sekadar kisah-kisah tragedi yang terjadi sana sini. Sebab itulah saya bergantung pada berita yang disampaikan oleh saluran luar negara seperti Al Jazeera dan lain-lain. Tetapi semasa saya di Turki, saya teruja melihat 'news' yang dipaparkan. Pelbagai kisah penting disiarkan dan ada banyak komen dan pendapat daripada macam-macam orang tentang sesuatu yang terjadi itu. Kita sebagai penonton tentunya rasa puas. Kalau di negara kita pula, berita asyik mengisahkan hal-hal politik negara hinggakan kita terlupa akan perkara penting yang sedang terjadi di dunia.

Sebagai contoh, ketika saya di Istanbul Turki, saya melihat sebuah program khas yang menyiarkan tentang perancangan pihak CIA di Amerika Syarikat dan juga pihak zionis yang membuat perancangan atau mengaturkan perancangan untuk mengebom Mekah dan Madinah di negara Saudi dengan bom nuklear! Mesti kita terkejut bila dengar macam tu, kan? Tapi inilah yang diperkatakan di sana. Kalau tak ada angin yang meniup, takkanlah daun-daun di pokok saja-saja nak bergoncang kot. Beberapa kali perkara itu dibangkitkan oleh beberapa saluran TV ketika saya di sana.  Mereka anggap perkara itu sangat besar dan penting untuk umum tahu. Saya tertanya-tanya juga kenapa kita di Malaysia langsung tak bangkitkan hal ini? Sama ada seratus peratus benar atau tidak, perkara itu sepatutnya menjadi sesuatu yang perlu kita bincangkan. Mustahil itu merupakan sesuatu yang sengaja dibangkitkan tanpa kebenaran apa-apa. Macamlah kita semua tak kenal zionis dan tak tahu apa muslihat pihak Amerika Syarikat selama ini!

Perkara yang saya perkatakan itu ada kaitan dengan kita semua. Namun kalau berita atau perkhabaran seperti itu tidak dibincangkan dan diperkatakan, maka ia tidak menjadi penting buat kita. Selama ini, apa sahaja yang dikatakan pihak Amerika, kita main turut sahaja seolah-olah Amerika itulah kiblat kita. Kita tak ambil kisah untuk berjaga-jaga. Malah, kita sangat sibuk bergaduh sama sendiri di negara sendiri.

Okeylah, saya memang tak suka bercakap tentang hal polotik ini, tetapi saya sangat ambil berat tentang hala tuju kita. Ke mana agaknya kita sedang mengarah? Adakah kita ambil peduli tentang apa yang terjadi di luar sana? Atau kita main ikut sahaja tanpa kisah untuk fikirkan apa-apa. Orang sokong, kita pun sokong. Orang bangkang, kita pun membangkang tanpa faham apa isu sebenarnya.

Mungkin elok kalau kita duduk dan fikirkan tentang apa yang sedang terjadi hari ini. Bukan sekadar di negara kita, tetapi juga di luar sana. Wassalam.

Wednesday, July 11, 2012

Sampai Mati Pun Masih Kosong

       Kalau cute pun, biar ada ilmu di dada!


Salam

Saya berasa seronok kerana ramai pembaca saya dah mula membeli novel saya secara e-book. Kata mereka, mudah begitu. Sangat praktikal dan sangat murah. Malah, dalam masa yang terdekat ini, anda juga boleh membeli novel ebook melalui alat-alat tablet android dan juga melalui PC biasa. Huh, lagi best, kan? Maklumlah ebook sangat murah kalau dibandingkan dengan harga buku biasa. Jadi, apa lagi... jom kita beli ebook! Boleh baca banyak-banyak!

Semalam juga, saya tersenyum seorang diri ketika melihat dan mendengar kisah nostalgia tentang Allahyarham Azah Aziz, tokoh budayawan negara di televisyen. Saya melihat wajahnya ketika muda. Sangatlah cantik orangnya. Kata rakan wartawannya, wajahnya mirip mendiang Elizabeth Taylor. Sungguh, bagi mata saya, Allahyarham memang cantik. Katanya juga, Allayarham tak sempat masuk universiti bila dia diminang oleh Profesor diraja Ungku Aziz. Ketika itu, perang dunia kedua baru tamat. Kata Ungku Aziz kepadanya, "Kalau berkahwin dengan saya, serupa masuk universiti juga." Aduhai... mungkin itulah cara mereka berkongsi ilmu.

Itulah yang ingin saya katakan pada hari ini. Sekalipun pasangan kita tak kaya atau tak kacak atau lawa, biarlah dia mempunyai ilmu di dada kerana memang payah untuk berbincang dengan orang yang tak berilmu dalam apa jua perbincangan yang mahu kita uruskan. Begitulah hidup berumah tangga, seharusnya si suami ada ilmu untuk membimbing isteri dan keluarganya. Kalau tak ada ilmu, maka sangatlah payah kerana hidup di dunia ini perlukan ilmu auntuk buat pelbagai keputusan. Silap besar kalau kita memilih pasangan hidup yang sangat kurang ilmunya atau tak berilmu langsung!

"Ada ke orang yang tak berilmu ini?"

"Apa pulak tak adanya. Kalau semua dia tak tahu, itu bermaksud dia tak berilmulah. Misalnya, kalau si lelaki itu tak tahu bahawa sebagai suami dia wajib bertanggungjawab untuk beri nafkah pada anak dan isteri. Wajib jugak membimbing keluarganya. Tahu untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga dan jiran tetangga, bukan tahu untuk berjoli sahaja. Kalau yang mudah macam tu pun tak tahu, maknanya di dadanya memang kosong, tak ada apa-apa."

Sebenarnya kalau kita rasa diri kita tak tahu macam-macam, semua itu kita boleh belajar. Kalau kita berusaha, maka bolehlah kita memperbaiki diri. Kalau kita buat tak tahu sahaja, sampai mati pun kita akan terus jadi insan yang jahil. Masih kosong. Nauzubillah.

Wassalam.

Tuesday, July 10, 2012

Perginya Azah Aziz

Allahyarham Azah Aziz bersama suami dan Sultan Azlan

Salam semua

Sebagai seorang penulis wanita, pemergian  Allahyarham Sharifah Azah AlSagoff (dikenali sebagai Azah Aziz) tentunya mengusik jiwa saya. Beliau merupakan seorang tokoh wanita yang juga merupakan ikon budaya Melayu. Walaupun berketurunan Arab dan Turki, beliau sangat menjaga budaya Melayu dan memang tak ramai pun di negara ini yang ambil kisah tentang hal itu. Dari segi bahasa, budaya, pakaian dan macam-macam lagi yang berkaitan dengan orang Melayu, Allayarham sentiasa ambil berat. Beliau juga merupakan seorang penulis yang banyak memaparkan karyanya tentang hal yang sama. Semoga rohnya dirahmati Allah swt. Al Fatihah.

Monday, July 09, 2012

Bila Hutang Keliling Pinggang


Salam

Pagi Isnin yang ceria... hehe, harap-harap ceria untuk semua orang. Kalau ada masalah pun, jangan terlalu memikirkannya sangat. Biasanya, kebanyakan orang masalahnya ada kaitan dengan duit. Jadi... biarkanlah. Sekalipun setinggi gunung duit yang ada, akan tetap ada masalah. Apatah lagi kalau kurang duitnya. Lagipun, apa nak kisah... duit aje tu.

Pagi ini nak sembang sikit tentang stail hidup orang kita. Mungkin juga ini terjadi di merata-rata tempat di dunia ini. Saya terbaca satu artikel yang menjalankan kajian tentang cara orang kita berbelanja. Ramai yang suka berbelanja lebih daripada pendapatan. Misalnya, gaji sebulan ialah RM2,500, tetapi perbelanjaan setiap bulan ialah RM3,000. Bermakna setiap bulan terpaksa tambah hutang sebanyak RM500. Tapi yang peliknya juga, setiap bulan, kebanyakan perbelanjaan ialah untuk membayar hutang. Hutang kereta, hutang kad kredit, hutang bayar perabot dan macam-macam lagi. Yang tinggal untuk makan, terlalu sikit. Kalau tak betul gaya, setiap hari memang terpaksa kurang makan.

Biasanya juga, sekalipun kurang mampu, sudah menjadi lumrah manusia untuk memaparkan kemampuan masing-masing. Sebab itulah, selain daripada masalah transport, kebanyakan kita tak mahu dilihat tanpa ada kereta. Biar duduk di dalam rumah yang tak selesa, tapi kereta mesti ada maa... sebab itu juga, jalan raya tak pernah sunyi daripada kesesakan lalu-lintas. Maklumlah tak kira berapa gaji sekalipun, mesti ada kereta. Kalau dah ada kereta tu, tentulah nak kena beli minyak. Dan bila ada kereta, mesti nak selalu berjalan-jalan. Bertambahlah habis duitnya.

Sebab itulah ada orang beli pakaian pun berhutang. Nak beli baju biar yang dah siap (untuk perempuanlah) sebab senang, tak payah nak cari tukang jahit. Jadi, beli baju sehelai, bayar tiga atau empat kali. Lepas empat bulan, baru selesai bayar. Habis tu kalau nak pakai lebih dari sehelai, bermakna banyaklah hutang yang nak kena bayar. Begitu juga perabot rumah. Orang ada 'flat screen' kita pun nak ada juga. Jadi biar kita berhutang tak apa, janji ada. Huh!

Macam-macam lagi yang menjadi keperluan (perlu ke?) tetapi tak mampu dibeli dengan duit cash, jadi bila nak beli juga, maka berhutanglah kita. Bila makan gaji, kita payah nak tambah pendapatan. Ini adalah kerana gaji kita merupakan pendapatan tetap. Kalau nak buat 'over time' pun ada limit, kadang-kadang memang tak ada pun. Jadi macam mana? Nak pergi buat bisnes sambilan, masa pula tak cukup. Dah tu modal pun tak ada. Akhirnya... berhutang lagi.

Jangan biarkan hutang keliling pinggang, takut nanti terasa nafas pun ada udara hutang!

Apa pun, kalau nak berhutang sekalipun, biarlah berjaga-jaga, jangan sampai berhutang dengan Ah Long. Kalau kita pergi ke situ... aiyaaa... baik pergi aje ke tali gantung. Sebab kita akan memerangkapkan diri dan mungkin akhirnya kita mati begitu saja. Nauzubillah.

Kalau anda masih muda dan belum lagi bekerja, biarlah berjaga-jaga dari mula. Aturkan hidup anda dan uruskan baik-baik. Jangan berhutang, terutama benda-benda kecil seperti pakaian, perabot dan juga makanan. Wallahua'lam.

Wassalam.

Sunday, July 08, 2012

Kenapalah Kasar Sangat Ni, Sayang Oi?

                        Sekadar hiasan


Salam

Kemungkinan besar anda semua sedang relaks-relaks pada hari Ahad ni, kan? Saya tak dapatlah nak relaks sangat sebab hari ini ada orang nak datang rumah saya. Malah, malam tadi rumah saya penuh sebab adik dan kakak saya datang dengan keluarga mereka. Kecohlah jugak kat rumah saya ni. Tapi, sempat juga saya ke Sri Menanti mencari durian. Ada satu spot tu memang tempat saya cari durian kaw-kaw. Dalam perjalanan balik, saya singgah pula di sebuah restoran Cina Muslim, beli makanan untuk mereka yang bertandang.

Hari ini, suami saya kata dia nak masak, jadi okeylah tu.

Apa pun, saya teringatkan suatu hal ini. Cara suami isteri menegur sesama sendiri. Saya memang rasa teramat pelik sangat kalau saya dengar suami isteri yang suka menengking sesama sendiri. Orang kata cakap kasar. "Oi, cepatlah sikit! Apa awak buat ni, tak nampak ke saya tengah sibuk ni?" Aduhai... kalau saya yang kena, memang menangis lah, beb. Saya memang tak boleh kalau suami saya berkasar walaupun dengan tak sengaja. Saya mesti menangis. Sebab tu lah suami saya tak pernah berkasar dengan saya walaupun dia tengah marah. Saya pun macam tu, saya tak reti nak bercakap kasar dengan dia. Kalau saya marah pun habis-habis saya diamkan diri. Tak payah keluarkan suara. Itu kalau marah, kalau tak marah memang tak adalah nak berkasar. Kami tak retilah.

Tapi memang saya tak faham kenapa ada couple yang cakap kasar-kasar, tambah pula kalau couple tu sangat educated. Pelik bin ajaiblah. Memang stail bercakap kot. Pada hal dia orang tu kira macam okeylah, tak adalah pulak tak ngam. Bagi saya sangat kasar kalau sesama suami isteri memanggil 'Oi'. Apa pasal nak panggil 'oi'. Kalau nak guna 'oi' tu, mulalah dengan 'sayang' dulu, barulah okey. Macamlah tak boleh panggil elok-elok. Kalau tak nak bermanja-manja dengan panggil sayang ke abang ke, intan payung ke, darling ke... janganlah panggil 'oi' begitu saja. Huh! Mungkin selesa kot. Tapi kita yang dengar jadi gerun dan tak selesa. Bunyinya kasar.

Sudah tu, bila bercakap suara asyik tinggi. Pada hal cakap dengan isteri atau suami sendiri. "Oi... you pergilah cepat sikit. I banyak kerjalah!"

Aiya... tak usahlah macam tu, yang oi...(ni baru betul), jangan biasakan diri bercakap kasar suami isteri. Tak romantik maa. Kalau dah sentiasa cakap kasar, bila masanya nak bermesra? Mesti payah, kan? Takkan bila dah puas cakap kasar, kejap lagi berubah jadi romantik. Mesti susah maa... lagipun, bila asyik berkasar aje, diri pun jadi tension dan sangat stres!

Kalau anda membaca entri ini... dengarlah cakap saya. Janganlah cakap kasar sesama suami isteri. Belajarlah untuk cakap lembut-lembut dan baik-baik. Kalau kita ni bos besar sekalipun, dengan suami atau dengan isteri, kita janganlah main jerkah-jerkah aje. Tak baik, berdosa dan tak manis anak-anak kita tengok, apatah lagi orang luar. Wallahua'lam.

Wassalam.

Saturday, July 07, 2012

Hanya Kita Berdua

                Hanya Kita Berdua - sekadar hiasan


Salam

Masih musim orang kahwin-kahwin, kan? Setiap hujung minggu, kami dapat jemputan. Misalnya hujung minggu lepas, kami ada tiga jemputan kahwin dan alhamdulillah kami dapat tunaikan. Salah seorang ialah designer cover buku saya semasa menulis untuk Alaf 21. Tahniah Faizal. Saya tak pernah lupakan dia walaupun dah lama saya tinggalkan Alaf 21, insya-Allah begitu juga dia. Semasa saya menulis untuk Alaf 21, Faizal sentiasa melayan kerenah saya. Dia selalu bertanya dengan saya, "Kak Aina nak cover buku  macam mana?" Hehe... Alhamdulillah, dah pun kahwin Si Faizal kita ni. Biasanya juga, setiap kali pesta buku, dia akan menjengah saya di booth KarnaDya.

Okeylah, minggu ni pun ada lagi orang kahwin. Tak jauh dari rumah saya. Kadang-kadang tu saya rasa macam nak makan angin pergi ke mana-mana, tapi asyik tak dapat saja sebab ada komitmen 'jemputan orang kahwin'. Cik Abang saya ni bertanya juga pada saya, "You nak relaks-relaks tak? Jom kita jalan-jalan nak?" Tapi bila saya check penerbangan yang 'last minute' ni, semuanya payah time. Ada satu tempat ni memang saya teringin nak pergi, tapi asyik tergendala aje. Tak apalah, mungkin bukan rezeki saya lagi. Ingatkan nak pergi sebelum bulan puasa, tapi memang payah. Timingnya tak tepat. Jadi, saya relakslah sambil buat apa-apa yang patut. Sebenarnya saya kesiankan cik abang saya tu, dah lama tak dapat rehat. Ada saja tugasan dia di luar dan kadang-kadang terpaksa keluar berhari-hari. Penatlah. Mungkin cuti raya nanti barulah dapat rehat kot. Insya-Allah.

Atas sebab tertentu, saya sedang membaca semula novel saya 'Hanya Kita Berdua'. Huh! Nak tergelak pun ada sebab memang lama benar saya tak selak-selak novel tu. Dah empat tahun kami terbitkan novel HKB, sejak tahun 2008. Alhamdulillah sambutannya masih bagus lagi dan bila saya membacanya semula, rupa-rupanya saya dah lupa 'detail' ceritanya. Memang kelakar, saya jadi tertunggu-tunggu nak tahu kisah selanjutnya sebab saya dah terlupa apa yang saya tulis! Paling kelakar (kelakar ke?) saya jadi sedih bila baca part yang touching dalam novel tu. Laaa... macamlah tak tahu. Sebab tu lah dulu bila novel dah siap, saya tak baca semula sebab memang ada 'part' yang sangat sedih. Banyak pembaca tegar saya, terutama mereka yang suka 'heavy novel' sangat suka dengan HKB ni, tapi yang suka novel jiwang-jiwang, mungkin terasa novel HKB terlalu berat. Iyalah HKB banyak mengisahkan tentang keluarga Najla Haifa yang 'kaya harta' tapi tak 'kaya budi bahasa'. Cerita ini ada saya ambil daripada kisah sepupu saya (ada sebahagian sahaja) dan ada tu saya ambil kisah sebuah keluarga yang saya kenal masa dulu-dulu. Tapi nama 'Adil' tu saya ambil nama abang saya yang sangat saya sayang! Bila saya baca tentang 'Adil', saya teringat pada abang saya yang sekarang ini tinggal di sebuah kawasan terpencil, tapi sangat best tempatnya! 'Miss you Abang Cik'.

Bila saya baca HKB, saya terus berkata dengan anak-anak saya, "Jom kita pergi Lumut atau Pulau Pangkor, nak?" Tapi malangnya, hotel yang saya berkenan semuanya dah penuh. Alahai. Lepas tu terfikir juga nak pergi ke Kota Kinabalu, tapi... sayanglah kalau pergi dua hari je. Jadi... tak jadilah nak ke mana-mana. Duduk ajelah kat rumah... hehe.

Okeylah... kalau anda tak pernah baca HKB, cuba 'try' baca... hehe. Yang mana dah pernah baca, cuba baca sekali lagi.

Okeylah salam sayang buat anda semua.

Wassalam.

Friday, July 06, 2012

Sampai Hati

                       Sekadar hiasan

Salam pagi Jumaat

Semalam, saya memang berasa sedih. Teringat kepada guru sekolah saya semasa di Sekolah Menengah Raja Perempuan Kelsom (dulunya bernama GEGS), Kuala Kangsar. Adik saya maklumkan bahawa bulan November ini mereka sedang aturkan satu perjumpaan bekas pelajar sekolah ini di Kuala Lumpur dan insya-Allah saya memang bercadang untuk turut serta kerana beberapa orang guru kami akan hadir sama. Bayangkanlah, guru-guru kami semuanya dah tua. Bila adik saya bercerita tentang guru-guru, saya teringatlah kepada guru Bahasa Melayu saya. Saya bertanya, "Cikgu S tak datang sekali ke nanti?"

"Rasanya tak kot. Dia susah nak bergerak. Dah lama macam tu."

"Kenapa? Dia sakit ke?"

"Taklah, alhamdulillah dia masih sihat. Tapi... Cikgu S dah lama sibuk sebab terpaksa bela cucu."

"Hah? Bela cucu? Bukan ke Cikgu S dah tua? Macam mana dia nak bela cucu?"

"Dah lama dia bela cucu-cucu dia tu. Sejak dulu lagi sampailah sekarang. Sekarang ni cucu-cucunya dah besarlah..."

Kata adik saya, Cikgu S yang mempunyai seorang anak tunggal (perempuan) telah pun kehilangan anak perempuannya itu akibat penyakit kanser. Sebaik sahaja anaknya meninggal dunia, Cikgu S dan isteri Cikgu S (juga seorang guru suatu ketika dahulu) terpaksa menjaga cucu-cucu mereka kerana menantu Cikgu S main blah aje, tinggalkan anak-anaknya. Selepas itu pula, isteri Cikgu S meninggal dunia. Terpaksalah Cikgu S bela cucu-cucunya itu seorang diri.

Sedih sungguh saya mendengar cerita ini. Masih terbayang lagi wajah Cikgu S semasa mengajar kami dulu. Cikgu S memang jenis insan yang ceria dan sentiasa menceriakan hidup kami. Semasa mengajar kami Bahasa Melayu, Cikgu S suka mendendangkan syair-syair, siap berlagu-lagu lagi. Bagi kami semua, Cikgu S memang macam ayah kami. Saya sedih bila dapat tahu yang Cikgu S terpaksa bertungkus-lumus menjaga cucu-cucunya dari kecil sampai besar. Sekarang ini Cikgu S dah tua dan semestinya banyak yang sudah dilaluinya. Cuma bagi saya, memang tak mengerti dan tak faham mengapa ada insan di dunia ini yang hidup tanpa tahu tanggungjawab, hinggakan tak rasa apa-apa pada zuriat sendiri. Sampai hati sungguh, sanggup lepas tangan begitu sekali. Mana pergi akal dan hati perutnya? Tak ada ke? Memang pelik, kan?

Apa pun, saya berharap sangat agar Cikgu S kini lebih selesa daripada dulu. Semoga Tuhan melindunginya dunia dan akhirat.

Wassalam.

Thursday, July 05, 2012

Gosip Hangat di Blog!

                  Sekadar hiasan


Salam

Kawan saya bertanya, "Tahu tak blog ..........?"

Saya jawab, "Tak tahu. Tapi rasa macam pernah ternampak. Ada apa?"

"Itulah tempat depa duk letak gosip hangat pasal orang."

"Oh, ya ke?"

Alhamdulillah, walaupun dah tahu tu, saya tidak pula teringin untuk menjenguk. Kadang-kadang, bila meronda-ronda di alam maya ada juga terhinggap di tempat orang duk bergosip. Kalau saya nampak macam semacam aje, saya pun akan keluar dari blog berkenaan. Bukannya apa, saya takut juga baca pasal 'AIB' orang ni. Takut tak sahih. Takut juga kalau ia adalah benar tetapi kita yang membacanya akan terlibat sama dalam hal untuk menyebar fitnah tentang insan lain. Sebab itulah kalau saya bercerita tentang orang lain (yang tak elok), saya tak menyebut namanya. Kalau bercerita pun, sekadar untuk mengingatkan kita, bukan untuk menjaja aib orang.

Saya tak tahulah kenapa ada orang suka sangat menayang cerita-cerita panas di blognya. Tentulah yang paling seronok bila dapat bercerita tentang selebriti. Iyalah kalau mengisahkan tentang 'minah' atau 'mamat' yang orang tak kenal, nak buat apa, kan? Paling seronok kalau mereka dapat paparkan kisah-kisah yang memalukan, terutama sekali ada kaitan dengan pelbagai skandal seperti  'seks', tentang 'aurat', akhlak,  tentang alaman yang bertentangan dengan agama, dan macam-macam lagi yang tentunya dikatakan 'AIB' orang.

Kalau ada yang menegur atau merungut tentang perbuatan menayang aib orang ini, alasannya ialah "Kita kenalah tegur orang yang buat tak betul ni." Ataupun alasannya ialah "Alah, dia kan selebriti, orang mestilah nak tahu." Atau, "Kita sesama Islam mestilah nak kena jaga agar perbuatan yang tak elok ini tidak dijadikan ikutan." Dan macam-macam lagi alasannya.

Mungkin betul lah kita nak tegur orang, tapi adakah itu caranya dengan memaparkan 'AIB' mereka di alam maya? Sekalipun mereka adalah selebriti, itu tidak bermakna mereka tidak ada maruah, tidak ada perasaan! Sekalipun mereka sedang lakukan perbuatan yang tak betul atau tak manis, itu juga bukan caranya untuk membetulkan jalan mereka yang yang tak betul.

Kadang-kadang kita nak menegur akhlak orang lain, sedangkan akhlak kita juga tak betul. Jadi bagaimana mungkin kita nak bawa mereka ke jalan yang lebih baik? Sebenarnya memang tak ada untung apa-apa pun (kecuali mungkin iklan kita laku kerana ramai yang nak baca gosip) sekiranya kita 'menjual' atau 'menjaja' 'AIB' orang di alam maya, apa yang kita dapat ialah satu kerugian, kerana kita mungkin membuat fitnah dengan melakarkan sebuah cerita 'tak benar' kalau memang itu sebuah cerita yang 'tak benar', dan kalau kita menyebarkan sebuah cerita yang benar dengan cara 'menjatuhkan maruhnya', kita tetap bersalah di sisi agama kerana kita 'MENGAIBKAN' orang lain.

Cuba bayangkan kalau kita sendiri yang berada di situasi seperti itu, di mana orang lain pula menjaja 'pekung di dada' kita untuk tatapan alam maya. Apakah perasaan kita? Kalau tidak kita, mungkin anak-anak kita, adik-adik kita, ibu bapa kita dan macam-macam lagi yang ada kaitan dengan kita. Aduh... mesti kita bengang, kan?

Seelok-eloknya kalau nak bercerita apa-apa tentang aib orang, mungkin kita berlapik, mengisahkan sesuatu tanpa menyebut nama siapa-siapa pun. Dengan cara itu, kita tidak mengaibkan orang lain. Kita kena ingat bahawa Allah SWT Maha Pengampun Lagi Penyayang. Orang yang buat salah mungkin akan diampunkan dosanya kalau mereka betul-betul buat salah dan minta ampun pada Tuhan. Tapi orang yang 'mengaibkan' orang lain, belum tahu lagi keadaannya. Orang yang membaca 'gosip panas' dan mengedarkannya mungkin menambahkan dosa yang sudah ada. Wallahua'lam.

Wassalam.

Wednesday, July 04, 2012

Kalau Hidup Ini Umpama Burung...

 
 Bebas macam burung yang terlepas dari sangkar


Salam semua

Sejak semalam lagi, cik abang saya berada di Johor. Seperti biasa, saya tak ikut dia kalau dia sibuk bekerja. Saya pula, sibuk juga... hehe... macam-macam nak buat ni. Ada yang dah bertanya, novel baru dah siap ke? Novel baru? Aduhai... duk terhegeh-hegehlah ni. Kadang-kadang memang saya tak ada mood langsung nak tulis apa-apa. Kalau dalam keadaan yang macam tu, saya tak akan tulis. Mungkin membaca. Iyalah, kadang-kadang kepala otak pun nak relaks juga. Huhu

Okeylah, pagi ini saya hendak berkongsi cerita tentang perasaan seseorang yang baru lagi berpisah dengan bekas suaminya. Dia memberitahu apa yang rasa di hati. "Saya tak sangka yang saya boleh terasa lega macam ni. Masya-Allah. Sungguhpun Tuhan tak suka kalau kita bercerai, tapi ada kala, perceraianlah jalan yang terbaik dan saya percaya apa yang saya lakukan ialah jalan yang terbaik, insya-Allah. Kalau berkahwin tapi rasa macam hidup dalam neraka, lebih baik bercerai, kan? Sekarang ni saya rasa macam burung yang terlepas dari sangkarnya. Tidak lagi terkurung dan terbeban untuk hidup dengan orang yang tidak menghargai kasih dan sayang yang cuba saya serahkan. Alhamdulillah, saya tidak rasa kecewa atau hampa tetapi saya rasa teramat lega."

Masya-Allah, kadang-kadang itulah yang terjadi dalam hidup kita. Siapa yang berkahwin dengan niat untuk bercerai? Tentu tidak, kan? Namun begitu, ada ketika apa yang dirancang itu tidak sama dengan perancangan Tuhan dan tentunya perancangan Tuhan itu adalah yang terbaik. Kita tidak melihat apa yang Tuhan tahu dan kadang-kadang kita menjerat diri kita sendiri dengan melakukan sesuatu yang menyusahkan hidup. Pun begitu, bila kita tewas dalam perancangan, jangan pula kita berputus asa, kerana selagi ada hayat, biarlah kita terus berfikiran positif. Setiap apa yang kita lalui itu adalah pengalaman dan pelajaran. Kita belajar untuk kuatkan semangat melalui segala rintangan dan kepedihan dalam hidup ini. Kita belajar untuk jadi lebih cemerlang melalui segala kegagalan yang datang bertandang dalam hidup kita.

Kalau kita umpamakan hidup ini bagaikan burung, biarlah kita jadi burung yang mampu untuk terbang, bukan burung yang terperangkap dalam sangkar. Sekalipun sangkar emas, tetapi kalau hanya boleh duduk sahaja di dalamnya dan melihat di luar, apalah guna jadi burung, kan?

Wassalam.

Tuesday, July 03, 2012

Igauan Cinta Pertama


Salam semua

Pagi ini teringat pula saya hendak bercerita tentang cinta pertama. First Love yang biasanya tinggalkan kesan yang mendalam buat mereka yang pernah melaluinya. Mungkin anda bernasib baik kalau terus sahaja berkahwin dengan orang pertama yang anda jatuh cinta (huhu... macam pernah dengar aje). Pun begitu, tak semestinya bila pilih untuk berkahwin dengan cinta pertama, anda akan bahagia. Kadang-kadang, kita tak dapat menduga apa yang akan berlaku bila pilih orang pertama yang menyayangi kita.

Biasanya juga, sebelum betul-betul jatuh cinta, anda mungkin akan jatuh cinta berkali-kali. Mungkin dalam keadaan begini, cinta pertama hanya merupakan satu cerita sahaja. Bila saya kata 'cinta pertama' saya maksudkan cinta yang datang dalam hidup anda buat pertama kalinya dan bagi tempoh yang lama. Ada orang bercinta selama lima tahun, ada tu hingga sepuluh tahun. Tentunya bagi masa yang panjang itu, kalau terputus tentulah yang merasanya akan terkesan sangat-sangat. Maklumlah, bukan senang nak lupa pada 'cinta pertama'.

 Antara novel penulisan saya, 'Sesuci Cinta', 'Setulus Janji', 'Bunga-Bunga Kemboja', 'Hanya Kita Berdua' banyak membincangkan perasaan dan rasa dalam hal 'cinta pertama'. Misalnya dalam BBK, cinta pertama Nabil tidak menjadi walaupun dia bercinta dengan Nadya selama tujuh tahun, namun kesan yang ditinggalkan sangat mendalam.

'Cinta pertama' buat Nuraina dalam 'Sesuci Cinta' dan 'Cinta pertama' buat Najla Haifa dalam 'Hanya Kita Berdua' meninggalkan kesan yang payah untuk kedua-dua Nuraina dan Najla Haifa lupakan kepada 'cinta pertama' mereka itu. Nuraina berkahwin dengan cinta pertamanya, begitu juga Najla pada akhirnya.

Kadang-kadang, sekalipun kita sudah tinggalkan 'cinta pertama' dan berkahwin dengan orang lain, namun 'cinta pertama' tetap melekat di sanubari dan payah untuk dilupakan. Ada ketika menjadi igauan siang dan malam sepanjang hayat. Huh!

Dalam hal ini, saya bernasib baik kerana berkahwin dengan 'cinta pertama' saya. Insya-Allah akan terus berkekalan hingga akhir hayat, itulah doa saya. Dalam hal ini juga, bagi anda yang sudah pun hilang 'cinta pertama', biarkanlah dan teruskanlah dengan hidup anda. Masih banyak lagi di luar sana yang mampu untuk berikan kebahagiaan kepada anda, insya-Allah.

Wassalam.

Monday, July 02, 2012

Semangat Mesti Kuat

David Silva yang comel - masukkan gol  pertama buat Sepanyol

Salam semua

Sepanyol menang! Huhu... saya okey aje walaupun agak keletihan kerana menonton TV pagi tadi. Tapi... iyalah... dah final pun, tak naklah miss, kan... apatah lagi Sepanyol antara team yang masuk final. Saya memang kurang gemar dengan Itali. Apa pun... okeylah tu dan tak sangka pula Sepanyol menang 4 - 0, macam senang sangat pulak dah. Kira hebat jugaklah Sepanyol ni dalam permainan bola sepak kerana telah memenangi tiga piala besar, berturut-turut. Patutlah saya suka Sepanyol kot!

Saya tak nak bincang pasal bola ni, dah habis pun, apa yang saya nak perkatakan ialah tentang kehilangan. Mungkin saya terasa bila Diha (entri semalam) berdepan dengan sesuatu yang tidak diduga. Sungguhpun kita semua tahu satu hari nanti kita semua akan kembali kepada-Nya, namun  biasanya juga kita tidaklah mahu pergi dalam usia yang masih muda. Apatah lagi bila anak-anak masih kecil dan perlukan kita. Pun begitu, hanya Tuhan yang tentukan ajal hidup kita dan hanya Tuhan juga tahu segala hikmah dan hidayah di sebalik segala yang berlaku.

Salah satu sebab mengapa kita yang hidup ini diduga ialah kerana Tuhan menyayangi kita. Setiap kali kita berdukacita, maka Tuhanlah tempat kita mengadu. Dengan itu, kita akan bertambah dekat dengan-Nya. Sememangnya tiada siapa pun yang mampu mententeramkan segala gundah-gulana yang menimpa setiap insan, kecuali Allah SWT. Walaupun duit dan harta melimpah-limpah, namun jiwa tidak aman bila ada sesuatu yang berlaku lalu menduga perasaan seperti satu kesakitan, kehilangan atau sebuah kematian. Maknanya, segala material tidak dapat meredakan rasa sakit dan perit yang ada di lubuk hati kecuali rasa dekat dengan Tuhan.

Renung-renungkanlah dan belajarlah untuk bersabar, semoga kita mampu menguatkan iman dan kuatkan semangat untuk terus berjuang. Insya-Allah.

Wassalam.

Sunday, July 01, 2012

Doaku Buatmu, Diha

Salam

Pagi ini, saya mendapat berita sedih dari Johor. Menantu arwah Kak Nor (meninggal semasa Ramadhan yang lepas dan pernah saya cerita di blog ini), suami kepada Madiha, meninggal dunia jam 8.30 pagi tadi. Kami semua sangat terkejut kerana suaminya itu masih muda dan mempunyai anak-anak (dua orang) yang sangat kecil. Namun, siapalah kita hanya sekadar manusia yang tiada kuasa untuk menentukan bila ajal kita tiba. Dikatakan bahawa Abdul Halim terjatuh lalu meninggal dunia. Semoga rohnya dirahmati Allah swt. Al Fatihah.

Doaku untukmu, Diha semoga kuat untuk berdepan dengan dugaan yang diberikan Tuhan. Semoga Diha selamat dunia akhirat.

Wassalam.