Assalam
Semoga hari Jumaat ini diberkati dan dirahmati Allah swt buat kita semua, aamiin.
Mungkin elok juga kalau saya ingatkan diri kita semua supaya dalam hal mencari rezeki setiap hari, kita perlu berlaku amanah dan jujur. Jangan amal budaya atau sindrom mengelat. Jangan pula bila hari Isnin sahaja, kita mulalah rasa tak sedap badan. Hari Jumaat sahaja, mulalah rasa sakit perut pula. Kalau tidak pun, bila hari Isnin kita pun hubungi pejabat tempat kerja dan beritahu ofis bahawa nenek kita tak sihat. Hari Jumaat pula, pak mentua tak sihat. Wal hasil, kita cari alasan untuk memanjangkan hujung minggu kita. Inilah yang dikatakan sindrom ponteng hujung minggu. Sindrom mengelat. Tak cukup Sabtu dan Ahad, Isnin dan Jumaat juga kita mahu cuti lagi. Kalau selalu sangat beri alasan seperti ini, memang sahlah kita ni kaki ponteng dan tak amanah.
Kalau kita berperangai seperti ini, sangat eloklah kalau kita ubahkan sikap kerana kalau kita tak berubah, sampai ke tualah kita akan amalkan sikap tak amanah.
Ada tu pula, mungkin caranya yang lain. Dengan kuasa yang ada, mungkin dia akan kelentong sana sini. Kuasa yang ada pula bukanlah kuasa hak sendiri, tetapi kuasa yang diberi kerana tugasan. Bayangkanlah kalau ada manusia yang seperti ini. Mereka akan guna dan ambil kesempatan untuk buat perkara-perkara yang tak sepatutnya. Sebagai contoh, mungkin kita kerja di pejabat agama dan kita pula merupakan pegawai lelaki. Bila ada sahaja kes yang melibatkan kaum lelaki, kita jadi bias atau berat sebelah kerana kita rasakan bahawa kita patut sokong kaum kita sendiri. Jadi kita pun cari jalan untuk lepaskan lelaki dalam apa jua segi yang boleh kita lakukan tanpa peduli atau ambil kira tentang 'hak' atau 'keadilan'. Inilah yang dianggap sebagai tak amanah. Sekali lagi budaya mengelat diamalkan.
Ada pula tu, mungkin kerjanya di kaunter dan mengira wang. Bila datang sahaja pelanggan yang punyai wang banyak, biji matanya pun terbuka besar. Mungkin ada hasad dengki atau mungkin pula sedang berkira-kira macam mana nak belitkan pelanggan yang berduit tadi. Kalau dia perempuan, mungkin juga merasakan dia boleh kelentong pelanggannya dengan 'mengurat' nya, tak kiralah sama ada pelanggan itu suami orang atau bukan. Malah, mungkin juga dirinya merupakan isteri orang. Sekali lagi amalan mengelat kita amalkan.
Zaman sekarang memang terlalu ramai manusia yang tak ambil hal tentang 'amanah' dan tanggungjawab', kerana masing-masing leka dengan cara untuk mencari wang dengan mudah. Biar salah tak apa, janji poket tak kosong. Biar dianggap tak amanah tak apa, janji orang tak tahu apa yang ada di hatinya. Manusia sering terlupa bahawa setiap kesalahan yang ada itu, Allah tetap tahu, tak payahlah nak sorokkan. Sekadar sorok dari manusia lain tak akan ke mana pun, kerana akhirnya Allah yang mengaturkan hidup kita ini termasuklah rezeki kita. Allah yang memberi dan Allah juga yang mengambilnya.
Semoga kita kuatkan iman, berlaku jujur dan amanah dalam apa jua tindakan yang kita perlu lakukan. Ingatlah bahawa apa sahaja yang kita buat, kita lakukan kerana Allah swt. In syaa Allah.
Wassalam.
