Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, March 30, 2009

Bermanja-manjalah

Biasanya, pasangan suka bermanja-manja bila baru lagi... terutama bagi mereka yang baru kahwin. Macam tak cukup-cukup. Malah, ramai juga yang masih merupakan sekadar 'couple' sudah terlebih manjanya. Tetapi apabila dah lama kenal, terutama bagi mereka yang dah lama kahwin, semakin lama semakin bosan. Tak usahkan nak bermanja-manja, kadang-kadang tu nak berbual pun dah malas. Ada pasangan, kalau nak dikirakan, tak adalah lama sangat usia mereka berkahwin (mungkin baru melepasi lima tahun), tetapi sudah hilang rasa sayang dan seronok. Yang suami mungkin sibuk di pejabat atau bersama kawan-kawan pergi main futsal dan isteri pulak sibuk pulang ke rumah emak dan sibuk menguruskan anak kecilnya.

Banyak pasangan yang mula berenggang sebaik sahaja dapat anak. Mungkin semasa dapat anak sulung, mereka agak okey lagi, tetapi masuk sahaja anak ketiga, semuanya jadi tak okey dah. Apatah lagi yang dah banyak anak dan dah berbelas-belas tahun berkahwin. Nak pandang muka pun dah malas. Tak usah haraplah nak bermanja-manja. Kesiannya.

Kenapa agaknya jadi begitu, ya? Saya ingin berkongsi andaian. Mungkin ini terjadi kerana kita hanya turut sahaja rutin harian, tanpa mahu melakukan sebarang perubahan. Kita tak pandai buat kejutan. Kita tak bijak mencari kelainan. Sememangnyalah kalau setiap hari kita lakukan benda yang sama, kita akan terus rasa bosan. Malah bukan itu sahaja, tetapi cara kita pakai dan bersiap. Kalau asyik pakai benda yang sama (Terutama semasa di rumah) dan tak ada usaha untuk melakukan sesuatu yang lebih menarik, hidup kita pasti akan dilanda kebosanan. Apabila kita dah rasa bosan, hidup kita turut jadi malap. Maka akan timbullah macam-macam yang akan membuat kita mahu berpisah sahaja. Semuanya akan jadi tak kena. Kalau dulu semuanya cantik dan indah belaka, kini semuanya dah jadi buruk dan menyakitkan. Fikir-fikirkanlah.

Sunday, March 29, 2009

Kehidupan yang Indah

Biasanya, kalau kita risau, atau banyak yang kita fikirkan tentang masalah kehidupan kita, pada malamnya memang kita payah nak lelapkan mata. Kadang-kadang, sekalipun dah terlelap, tapi fikiran kita masih fikirkan benda-benda yang merisaukan kita itu. Mungkin soal kewangan, soal pelajaran, soal cinta, soal rumah tangga, soal penyakit, soal anak-anak... atau apa-apa saja yang merunsingkan kita. Biasanya juga, bila kita bangun pagi, itu juga yang akan datang ke fikiran. Seolah-olah payah untuk kita bernafas selagi masalah yang mengganggu tidak dapat kita selesaikan.
Pun begitu, ada orang yang jenis tak suka ambil kisah sangat. Jadi, masalah macam itu, tidak membebankannya. Sekalipun risau, dia masih okey lagi. Tapi, ada juga yang tak pandai nak kawal perasaan. Ada ketika, masalahnya mungkin tak besar mana pun, tapi dek kerana tak pandai kawal, dia akan hilang kawalan. Mungkin akan berdepan dengan 'depression' atau apa yang kita panggil tekanan jiwa.
Bagaimana kita boleh mengatasi perasaan yang begitu?
Bagi saya... perkara utama, ialah berdoa pada Tuhan. Allah SWT tak pernah menghampakan kita. Sekalipun mungkin masalah kita tak pergi dengan mudah, tetapi perasaan kita tidaklah bagaikan tak terkawal. Masih 'cool' orang kata. Kita masih mampu relaks, tidaklah jadi macam orang yang tidak siuman!
Setiap pagi, selepas kita bangun... tunjuklah rasa bersyukur. Tuhan anugerahkan kehidupan buat kita kerana Dia mahu kita hidup, bukan suruh kita jadi lemah atau separuh mati dalam kehidupan yang diberi itu. Hargailah kehidupan kita itu. Indahkanlah hari-hari kita, sekalipun ada seribu macam masalah dan tekanan yang datang mengganggu. 'Life is Beautiful'.

Saturday, March 28, 2009

Cari Produk Baru di Pasaran

Kita perlu fikirkan tentang kelainan yang perlu ada dalam bahan bacaan. Bukan terus-menerus buat apa yang orang lain dah buat. Di Malaysia ini, masih banyak benda-benda lain yang boleh kita jadikan sebagai produk baru untuk dipasarkan. Yang peliknya saya perhatikan, penerbit yang ada, suka ikut sama buat produk-produk yang sudah ada berlambak-lambak di pasaran. Kalau kita cuba pasarkan benda yang sama juga, bukankah akan jadi masalah untuk dipasarkan nanti?
Kalau kita tahu yang buku cinta dah berlambak di pasaran, buat apa kita nak terus menimbunkan lagi buku cinta? seolah-olah orang kita dah tak tahu nak baca benda lain. Tak apalah sekalipun nak buat buku cinta, tetapi kenapa nak buat buku cinta yang biasa-biasa saja yang macam orang lain dah buat? Asyik jalan cerita yang sama juga?
Kalau kita tengok yang sejak kebelakangan ini dah ada banyak buku kanak-kanak di pasaran, kenapa kita pun sibuk nak buat benda yang sama juga? Kenapa kita tak nak fikirkan tentang produk yang lain yang masih kekurangan di pasaran? kalau sekalipun nak buat benda yang agak sama dengan orang lain, carilah konsep yang berlainan supaya pembaca akan jadi seronok untuk membaca produk kita itu. Jadilah orang yang lebih kreatif yang berfikir luar dari kotak biasa.

Friday, March 27, 2009

Joys of Reading

Insya-Allah Rabu depan saya akan ke sebuah sekolah di Kuala Lumpur kerana dijemput untuk memberi ceramah atas tajuk 'Joys of Reading / Knowledge from Books'.
Sekalipun saya sedang sibuk gila, kerana pesta buku sudah hampir tiba, namun saya tetap akan ke sekolah berkenaan untuk menyampaikan ceramah yang diatur itu. Bukannya apa, saya memang seronok untuk ke sekolah. Ia mengingatkan saya kepada zaman persekolahan saya dulu.Zaman saya suka curi baca buku. Hari ini, saya dijemput ke sana dan ke mari untuk memberi motivasi kepada remaja kita, supaya rajin-rajin berjinak dengan buku. Buku payah nak buat kita jadi tua dan semua orang tahu membaca dapat membuat otak kita sentiasa bergerak aktif.
Apabila kita membaca, bukanlah bermakna apa saja yang kita baca itu kita terima bulat-bulat. Tak semestinya kita terima pendapat penulis. Tetapi, itulah masanya kita boleh duduk berfikir tentang apa yang kita baca, baik buruknya tentang benda yang diperkatakan. Buku boleh mematangkan fikiran. Memang tak rugi baca buku. Membaca tentunya lebih baik daripada menonton televisyen atau berdepan dengan komputer dan bermain 'game'.

Wednesday, March 25, 2009

Masuk Dalam Buku

Saya pernah diketuk guru kerana ralit membaca novel semasa guru mengajar. Bukannya apa, saya terlalu asyik dengan membaca hinggakan susah nak berhenti. Ada ketika novel saya dirampas, sekali lagi kerana tak beri tumpuan dalam kelas. Malah, hampir semua guru tahu yang saya ni memang kaki membaca novel. Masa tu memang novel bahasa Inggerislah yang menjadi bahan bacaan saya. Kadang-kadang saya berkhayal, konon-konon dah sampai ke tempat yang menjadi latar buku.

Masih saya teringat lagi, kali pertama saya ke Scotland... melihat lanskapnya yang menakjubkan, saya terasa seperti memasuki novel-novel yang pernah saya baca yang berlatarkan tempat itu. Saya tak pernah kisahkan sangat pada hero-hero 'mat salih' (Sebab tu tak pernah syok dengan mat salih pun), tapi saya suka pada perjalanan cerita novel-novel lama yang pernah saya baca. Apa pun bagi saya, banyak perkara positif yang saya ambil dari buku-buku itu untuk dijadikan amalan seharian saya. Apa yang saya anggapkan negatif, saya ketepikan tanpa rasa takut. Yang penting, buku membantu untuk mematangkan fikiran saya.

Tuesday, March 24, 2009

Jatuh Cinta Dengan Buku

Semasa saya kanak-kanak, saya tinggal di kampung yang terletak agak jauh juga dari bandar kecil di bahagian utara negeri Perak. Malah, kehidupan saya sehingga akhir remaja memang berbeza daripada mereka yang dibesarkan di bandar. Pun begitu, pengalaman dan 'exposure' yang saya lalui tidak membezakan diri saya daripada mereka yang dibesarkan di bandar. Saya telah tinggal di kampung saya dan terus belajar di bandar kecil itu hinggalah selesai peperiksaan HSC (Hari ini kita panggil STPM). Semasa saya memasuki Universiti Malaya, tak ada orang pun tahu yang sebenarnya saya datang dari kampung. Saya percaya, bukulah yang telah mengasah perjalanan hidup saya. Membaca telah membuat fikiran saya terbuka. Malah, saya mampu bertutur dalam bahasa Inggeris mungkin jauh lebih baik daripada mereka yang dibesarkan di bandar. Ketika itu, saya banyak membaca buku-buku dari luar negara termasuk Indonesia. Sekalipun ketika itu, saya belum pernah ke luar negara, namun bukulah yang telah membuka minda dan membuat saya berjaya melangkah perjalanan dengan perasaan yang yakin.Buku telah berjaya menambahkan ilmu buat diri saya dan seterusnya tidak mengasingkan diri saya daripada mereka yang tinggal di tempat lain.

Tidak rugi kalau kita jatuh cinta dengan buku. Jangan terlalu memilih dan biasakanlah diri untuk membaca. Lagi banyak kita membaca, bertambahlah ilmu di dada. Wallahu'alam.

Monday, March 23, 2009

Role Model Kita Siapa?

Saya bukan kaki tengok wayang. Pun begitu, ada juga tayangan yang saya suka tonton dan ada juga karakter pelakon yang saya gemari. Antara yang saya suka ialah 'Will Smith' (pelakon Hollywood lah). Saya suka cara dia berlakon. Malah, suatu ketika dahulu (masa tu anak-anak saya masih kecil lagi), saya suka satu program komedi yang dibawa oleh pelakon kulit hitam itu... 'Prince of Bel Air' (kalau saya tak silaplah), kisah seorang remaja kampung yang datang ke kota menumpang rumah bapa saudaranya yang kaya-raya. Memang lucu dan dari situlah Will Smith membawa watak-watak yang berlainan untuk dilakonnya.

Yang menariknya, pelakon kulit hitam ini mampu juga membawa watak-watak serius dan kini, anaknya juga turut berlakon dengan baik. Apa yang saya suka dengan 'Will Smith' ialah semangat juangnya. Dia sedar yang orang kulit hitam di Amerika Syarikat, kalau tidak bekerja keras memang tidak ke mana. Kini, Will Smith merupakan antara pelakon Amerika yang terkaya. Pun begitu, dia tidak bangga diri dan hidup seperti orang biasa sahaja sekalipun hartanya mencecah berbilion dolar. Will Smith suka membantu dan sentiasa berkhidmat untuk masyarakatnya. Baginya, hidup bertambah bermakna sekiranya kita membuat orang lain turut bahagia sama. Dia sentiasa tersenyum dan bagi saya, sekalipun dia bukan orang Islam, namun saya kagum dengan caranya yang sederhana itu. Hari ini, Will Smith menjadi salah seorang 'role model' kepada masyarakat di Amerika. Siapakah agaknya 'Role Model' kita pula?

Thursday, March 19, 2009

Telegram

Mungkin orang muda hari ini, tak tahu pun tentang kewujudan 'TELEGRAM' dalam sistem komunikasi yang ada. Ini merupakan satu sistem yang terpenting sebelum adanya Internet dan juga telefon bimbit. Buat suatu masa dahulu, telegramlah merupakan cara terpantas untuk menghantar mesej penting.

Saya ingat suatu masa dahulu, kalau ada telegram yang dikirimkan, hati pasti akan jadi berdebar-debar, takut ada berita buruk yang dikirimkan. Kecualilah kalau kita sedang menantikan sesuatu, misalnya tentang ketibaan seseorang itu! Hah... mesej yang macam tu, memang mendebarkan juga!

Saya masih ingat lagi suatu cerita yang benar-benar telah berlaku. Semasa itu, saya baru lagi berkhidmat di UKM... masih muda lagi. Seorang rakan rapat (Macam adik angkatlah), tiba-tiba saja berubah hati. Tak jadi nak menikah dengan tunangannya. Katanya dia telah dipaksa dan hatinya tak ada pada si gadis yang tinggal jauh itu. Suka tak suka, terpaksalah dia menghantarkan telegram untuk menyampaikan berita yang pahit bagaikan racun itu. Saya teringat lagi pada wajah 'Mr. Postman' yang terpaksa menghantar mesej itu. Aduhai... memang tak enaknya!

Semalam, saya baca sebuah novel mat salih. Pakwenya mengirimkan telegram yang menyampaikan mesej cinta. Katanya kalau hantar SMS atau e-mail... tak adalah bukti dan kenangan untuk disimpan. Aduhai... romantiknya. Bayangkanlah bila anda terima telegram yang menyatakan, "Aku rindukan mu bagai nak gila... dan kaulah cinta hatiku..." Mesti nak simpan telegram itu sampai bila-bila. Nak tunjukkan pada anak cucu.

Monday, March 16, 2009

Romantik Tu Macam Mana, Ek?

Ada orang kata, seorang jejaka itu dikatakan romantik kalau suka berikan 'pasangannya' bunga. Ada orang lain pula kata, kalau jejaka itu suka berkata-kata dengan menggunakan ayat-ayat puitis. Ada yang lain pula kata, kalau jejaka itu akan bukakan pintu untuk Sang Wanita, buka pintu kereta atau buka apa-apa pintu yang lain, memberi laluan kepada wanita dulu. Ada pula kata kalau jejaka itu rajin buat 'kejutan' yang menyeronokkan. Macam-macam teorilah! Apa pun bagi saya, semuanya tertakluk kepada keikhlasan hati. Kalau hatinya tulus ikhlas, sekalipun sekadar setitik air yang dihulurkan sudah cukup romantis dan bermakna. Begitu juga dengan kata-kata, sekalipun sekadar satu perkataan sahaja mungkin sudah cukup untuk melembutkan perasaan kita. Perkataan apa agaknya yang boleh membuat hati Sang Wanita cair? 'Masya-Allah'?

Sunday, March 15, 2009

Suka Duka Cuti Sekolah

Seperti biasa, apabila sekolah ditutup untuk memberi ruang kepada anak-anak dan guru-guru mereka berehat, inilah masanya famili mengaturkan majlis kenduri kahwin untuk anak-anak mereka. Maklumlah untuk memudahkan kaum kerabat datang dari jauh. Malah, malam tadi pun saya dah menghadiri jemputan seorang rakan lama. Saya bertemu keluarga ini semasa kami di England dulu. Sama-sama melalui detik-detik manis dan pahit bersama dan sehingga kini, kami masih rapat. Walaupun anak mereka lebih muda daripada anak kami, nampaknya mereka lebih dulu mendapat menantu.

Dalam begitu, saya juga berasa sedih kerana pada Jumaat petang, semasa saya menjemput anak saya pulang dari solat Jumaat, saya terserempak dengan sebuah kemalangan. Salah seorang teman sekolah anak saya telah dilanggar orang semasa berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Rumahnya terletak dekat sahaja dari sekolah. Yang sedihnya, kanak-kanak perempuan tingkatan dua itu, sebaik sahaja dilanggar kereta yang dipandu oleh seorang wanita, telah koma dan seketika kemudian telah kembali kerahmatullah.

Harap-harap, kita yang sibuk dengan suasana seronok di musim cuti sekolah ini, sentiasalah berwaspada. Maklumlah, kemalangan mungkin berlaku di mana-mana sahaja. Pastikan anak-anak sentiasa diberi perhatian.

Friday, March 13, 2009

Adilku Sayang

Seorang pembaca saya telah maklumkan kepada saya yang dia suka kepada watak utama dalam novel berjudul 'Hanya Kita Berdua' yang bernama Adil.

Saya pula bertanya, "Kenapa Adil?"

"Dia mengingatkan saya kepada pakwe saya. Cinta pertama saya."

Katanya, dia pernah jatuh cinta dengan seorang jejaka muda di tempat tinggalnya, tetapi malangnya, lelaki itu anak orang susah.Katanya lagi, keluarga pembaca saya itu bukanlah kaya raya macam Najla dalam Hanya Kita Berdua, tetapi jauh lebih okey daripada pakwe yang dia suka itu. Kerana itu, hajatnya untuk kekal berkawan dengan lelaki itu tak kesampaian. Lelaki itu membawa diri tinggalkan kampung halaman.

Kata pembaca saya lagi, lelaki idaman hatinya telah mencari rezeki di tempat lain (luar negeri, bukan luar negara)dan selepas lapan tahun, dia kembali ke kampung mereka. Ketika itu, pembaca saya sudah pun berumah tangga dengan orang lain. Lelaki itu masih kekal bujang dan mungkin masih menantinya.

Kebetulan juga, pembaca saya itu tidak kekal pula perkahwinannya. Suaminya telah berkahwin lain dan meninggalkannya terkapai-kapai. Sekarang ini... dia sedang melalui proses perceraian. Katanya... 'Adil saya, Kak Aina... masih tunggu saya kot.'

Alahai, Adil...

Thursday, March 12, 2009

Tanda Sayang

Apakah tanda sayang? SMS 24 jam? call setiap 10 minit?
Huh! bosannya! Kalau buat macam ni, alamatnya lepas dua bulan je, habislah. Mesti tak tahan. Dahlah duit habis, perasaan jemu akan membuak-buak. Bahaya besar.
Apa pun yang kita hendak lakukan, buatlah berpatut-patut. Tak terlebih dan jangan pula terkurang. Sederhana sahaja. Kalau sayang, tak payah bertindak macam orang tak waras.
Seelok-eloknya, dengan Tuhanlah kita ingat setiap saat dan masa. Kalau ingatkan Tuhan sentiasa, insya-Allah kita dipeliharaNya. Kita akan sentiasa berada di jalan yang benar. Hati sentiasa aman dan tenteram sekalipun ombak Tsunami yang mengancam!

Wednesday, March 11, 2009

Kahwinkanlah Aku!

Kesian saya membaca coretan seorang lelaki muda. Katanya pendapatan bulanannya tak seberaba sahaja. Dia dah lama juga bekerja tetapi gaji tak besar mana. Sekarang ini pula, dah terasa nak berumah tangga. Malangnya duit tak ada!

Katanya lagi, kos perkahwinan hari ini terlalu tinggi. Bukan setakat mas kahwin sahaja, tetapi ada pula duit hantaran yang biasanya memang tinggi melambung! Dah tu, ada pula perbelanjaan yang lain-lain. Duit bajulah, duit mekaplah, duit barang-barang hantaranlah, duit jurufotolah... macam-macam songeh! Kesiannya saya dengar. Memang banyak tu. Takkan kalau tak dapat nak sediakan semua tu, tak payah kahwin? Isy!

Ini yang saya tak faham. Kenapa Jabatan-jabatan Agama tidak mahu mendidik orang-orang kita supaya jangan pentingkan adat sehinggakan Agama diketepikan. Sebabkan duit hantaran dan benda-benda yang tak penting ni, ada orang tak payah kahwin. Kalau rasa nak kahwin tapi tak boleh kahwin, tidakkah nanti akan terjadi maksiat sana sini? Itulah yang menakutkan.

Kalau kita ada anak perempuan dan anak perempuan kita memang dah sampai masa nak kahwin, kahwinkanlah! Jangan tunggu sampai ada orang yang nak bawak beribu-ribu untuk anak kita barulah kita nak lepaskan dia. Kalau kita rasa nak meraikan anak kita tu, buatlah apa yang kita mampu, tapi tak payah nak tunggu orang bawak duit barulah kita nak kahwinkan anak kita.

Kalau kita ada anak lelaki pula, tolonglah mana yang patut. Kalau tak mampu juga, suruh anak kita cari anak dara yang tak mahal harganya. Sebenarnya kita tak tahu yang Tuhan akan murahkan rezeki dan berkati sebuah perkahwinan yang tiada pembazirannya! wallahu'alam.

Tuesday, March 10, 2009

Bahasaku

Kecoh sekarang ini sebab soal bahasa sedang menjadi tajuk utama di negara ini. Ramai yang tak puas hati apabila bahasa Melayu di ketepikan dan bahasa Inggeris pula di utamakan. Memanglah sedih kerana orang Melayu akan hilang bahasanya apabila perkara itu tidak diambil peduli oleh orang politik. Sungguh pelik bila dikenangkan nasib orang Melayu di negara ini. Yang masih kekal di peringkat kemiskinan, tak dapat dinafikan memang orang Melayu, sedangkan bangsa lain masih okey. Tak usahlah kita ambil kisah tentang harta di negara ini... memang kita tahu pun hampir sedikit sangat yang orang Melayu punya. Kalau ada pun, yang membolotnya adalah mereka daripada golongan 'Melayu elit'. Begitu juga dengan bahasa. Di negara ini, walaupun dikatakan bahasa formalnya ialah bahasa Melayu tetapi rata-rata bahasa Inggeris yang diutamakan. Kerana itu juga kalau ada graduan atau lepasan sekolah yang tidak tahu berbahasa Inggeris, maka payahlah dia hendak mendapat kerja, tambah pula di pihak swasta. Sekarang ini, kalau bahasa Melayu dijadikan bahasa penting semula, pernahkah kita soalkan sama ada anak-anak kita yang tidak tahu berbahasa inggeris akan diberi peluang yang sama seperti mereka yang boleh berbahasa Inggeris? Bila dikenangkan, memang sedih. Dalam hampir semua hal, orang Melayulah yang kerugian. Paling sedih kerana kita sudah lebih 50 tahun merdeka dan selama tempoh itu, kenapa orang kita terlalu jauh ketinggalannya? Apa yang dah berlaku? Tak usahlah kita menipu dengan berkata itu tak benar. Mungkin akan ada yang memngatakan bahawa orang Melayu sudah diberi pelajaran dan mendapat segala peluang, tetapi apakah jawapan kita kepada kedudukan ekonomi negara? Maju sangatkah bangsa Melayu?

Saturday, March 07, 2009

Bunga atau Coklat?

Kalau anda seorang wanita, apakah yang anda suka? Bunga atau coklat? Ada orang kata, kalau dapat bunga nanti cepat layu. Lagipun bunga bukannya boleh dimakan. Coklat pulak... katanya nanti cepat gemuk. Hehehe... kalau saya, dua-dua pun saya suka. Kalau ada yang nak beri, tak kisahlah bunga atau coklat.

Dari dulu sampai sekarang, saya boleh kira berapa kali suami saya berikan bunga kepada saya. Memang jarang. Tapi kalau coklat tu... memang selalu. Kalau dia keluar negara saja, itulah yang rajin dibelinya untuk saya dan anak-anak. Biasanya untuk saya, dia beli lain dari anak-anak... always something special! kalau saya nak kongsi dengan anak-anak, ikut saya lah, dia tak kisah.

Bunga pula, saya teringat suatu masa dahulu semasa saya lahirkan anak kedua. Suami saya berikan bunga orkid, tapi bukan sejambak bunga macam orang lain selalu buat, tetapi empat pokok bunga hidup yang berada di dalam pasu. So romantic! hehe... dia kata bagi macam tu, bunga tak cepat layu dan lagi bunga boleh tumbuh lagi. Saya ingat lagi... semua orang hairan, mungkin sebelum ini tak pernah pun lihat orang bagi bunga hidup macam tu. But that's my hubby... always a practical man... hehe.

Thursday, March 05, 2009

Syurgamu

Ramai kaum wanita apabila umurnya meningkat sudah tak tahu hendak berbuat apa lagi ketika berada di rumah. Ada yang rajin pergi mengaji dan menumpukan perhatian dengan aktiviti di surau atau masjid. Mungkin pada usia yang sudah senja, kematian sudah hampir kepada mereka dan kerana itulah mereka juga rajin melakukan susuatu untuk mencari pahala. Pun begitu, saya percaya ada macam-macam cara yang boleh kita lakukan untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT. Kalau setakat mengaji tetapi tidak memahami dan menghayati al Quran itu mungkin tidak cukup.

Banyak perkara lain yang kita boleh lakukan untuk agama kita yang mulia ini selagi umur dikandung badan. Kalau kita sentuh tentang dakwah, macam-macam yang boleh kita hulurkan agar agama kita sentiasa dipeliharai di dunia ini. Cara yang baik ialah dengan memberi contoh melalui perbuatan kita seharian. Tidak sombong, tidak bongkak, tidak kedekut, taat kepada perintah Allah SWT, melakukan perkara baik-baik, bersedekah, menolong dan macam-macam lagi yang boleh membuat hati orang lain yang memandang, jadi lembut.

Yang penting, orang perempuan yang masih ada suami, taatlah kepada suami mereka dan sayangilah mereka. Tak guna kita lakukan apa-apa kalau suami kita ketepikan. Pintu syurga akan terbuka untuk anda sekiranya anda mentaati suami. Wallahu'alam.

Tuesday, March 03, 2009

Matahariku


Kenapa saya pilih tajuk ini untuk novel terbaru saya? Hah, mestilah ada kaitan dengan ceritanya. Tak ada kena mengena dengan lagu Agnes Monica (betul ke nama dia macam ni?). Langsung tak ada. Malah lirik lagu itu pun tiada kaitan dengan cerita saya ini. Matahariku mengisahkan gadis Lembah Klang yang sedang mencari 'sesuatu' untuk dipautnya. Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga poligami. Mamanya memang jenis 'materialistik' dan dia paling takut kalau orang lain melabelkan dirinya seperti itu juga. Syakirah sangat sayang pada papanya. Tetapi, papanya sudah tak hebat macam dulu lagi. Mamanya pula paling takut untuk hidup susah dan kerana itu dia mendesak agar Syakirah berkahwin sahaja dengan anak rakan baiknya. Tapi, bolehkah masalahnya diselesaikan? Syakirah pula, bukan jenis gadis matang seperti mereka yang sebayanya. Dia lebih suka menghabiskan masa di alam animenya. Bukan itu sahaja, dia juga seronok melayan mereka yang tidak dikenalinya semasa berada di alam maya. Perkara seperti inilah yang dapat menghiburkan hatinya yang selalu resah dan gelisah.

Dalam kerjayanya sebagai seorang 'interior decorator' dia sangat menghormati bosnya suami isteri, Adam dan Amani. Amani dijadikan 'role model'nya dan dari situ dia mempelajari sesuatu untuk memperbaiki diri. Semasa bertugas, dia bertemu dengan karakter ini... karakter yang paling menakutkan dirinya. Ada orang suka memerhatinya. Siapa pula ni dan boleh percaya ke?

Hah! cukuplah... nak tahu kena baca sendiri.

Monday, March 02, 2009

Bila Dah Kahwin

Bila belum kahwin, terlonjak-lonjak rasa macam nak kahwin. Teringin nak jadi macam orang lain yang ada pasangan. Berangan-angan bila balik rumah ada teman yang akan bertemu kita. Ada teman yang akan berbual-bual dengan kita, ada teman makan bersama dan tidur bersama. Masalahnya... kahwin bukan semudah itu saja.

Macam-macam yang kita kena adjust. Dulu kita tak tahu tapi sekarang dah tahu. Kita kena bertolak ansur dan tak boleh fikir diri kita sahaja tetapi kena fikirkan pasangan juga. Yang paling penting tetapi yang paling mudah orang lupa, bila kita berkahwin kita ada tugas dan tanggungjawab. Kalau kita perempuan, kita bertanggungjawab untuk menghormati suami. Kita kena belajar menyayanginya dan kena belajar menuruti perintahnya, bukan kita pula yang memerintahnya.

Begitu juga sang suami. Kenalah bertanggungjawab sebagai suami dengan menjaga makan minum isteri dan bertugas menjaga isteri dan mencari rezeki. Jangan pula suami mengharapkan isteri untuk mencari rezeki. Apabila kita suami isteri tidak tahu tugas dan tanggungjawab dan mengabaikan peranan yang diperintah Allah SWT, maka perkahwinan kita mungkin akan menemui kegagalan kerana kita yang menggagalkannya. Jangan ingat kahwin itu macam main masak-masak sahaja.

Suami isteri kena selalu menghormati satu sama lain, sayang-menyayangi, tahu peranan masing-masing, jangan bersikap kasar dan berkurang ajar, berunding selalu, tolong-menolong dan sentiasa bertolak ansur. Yang paling penting, ingatlah bahawa tujuan kita berkahwin ialah kerana Tuhan bukan kerana benda-benda yang lain. Yang lain itu sekadar support sahaja sebab-musabab kita berkahwin. Insya-Allah, perkahwinan kita akan diberkati Allah SWT.