Buatlah apa yang hati kita suka dan apa yang kita tahu Allah akan suka. Buat baik akan dibalas baik...
Nature
Cinta baru dalam hidupku
Followers
Friday, September 07, 2012
Ada Tanda Noktah di Hujung Sana
Salam
Hari ini hari Jumaat dan pastinya hujung minggu ini kita akan kesibukan semula. Esok, insya-Allah saya akan ada tetamu (maklumlah raya kan sebulan?) dan lusa pula salah seorang jiran akan melangsungkan majlis pertunangan anak perempuannya.
Hari ini saya nak bualkan tentang sesuatu yang pasti akan kita rasai dalam hidup ini. Ia itu 'ujian'. Saya pasti sangat mustahil kalau ada insan di dunia ini yang hidup tanpa ujian, tambah pula kalau anda seorang Muslim.Tak tahu betapa teguhnya iman kita kalau kita tidak diuji. Itu bermakna bila kita diuji, Tuhan menyayangi kita, kerana dalam keadaan berdepan dengan ujian, pasti kita dekatkan diri dengan Tuhan. Masya-Allah.
Pastinya juga kita semua akan pergi tinggalkan dunia fana ini. Ada tanda noktah dalam kehidupan kita, kerana semuanya pinjaman belaka.
Seorang ibu muda bercerita kepada saya. "Jiwa saya macam nak hilang bila bayi kecil saya meninggal dunia dengan tiba-tiba. Saya menangis hingga tiada air mata. Saya tak dapat tidur berbulan-bulan dan saya sentiasa termenung. Saya rasa macam Tuhan tak sayangkan saya sebab itulah beri saya dugaan macam tu. Tiba-tiba satu hari selepas saya solat dan berdoa, terdetik di hati saya bahawa Tuhan lakukan ini semua buat saya agar saya lebih dekat pada-Nya. Dulu, kalau solat saya buat sambil lewa sahaja. Tak pernah saya duduk berdoa lama-lama. Sekarang (sejak kehilangan bayinya) ini saya duduk lama di atas sejadah. Saya rajin buat solat sunat. Kalau boleh, saya sentiasa hendak berada di sisi Allah, sebab hanya Dia yang dapat tenangkan jiwa saya. Bukan itu saja, saya juga jadi lebih baik dari dulu. Saya mudah kesiankan orang terutama kanak-kanak. Saya lebih menyayangi orang tua saya termasuk mentua saya. Saya rapat dengan adik-beradik saya. Subhanallah."
Saya turut sebak mendengar ceritanya. Sesungguhnya, kita tak akan lari daripada diuji. Kalau tak sekarang, mungkin di masa akan datang. Biasanya juga berkali-kali, ada ujian kecil dan ada juga ujian besar. Semuanya untuk kuatkan iman kita sebagai Muslim. Masya-Allah.
Seorang lagi wanita muda bercerita juga, "Bila saya diberitahu doktor yang saya ada luekimia, saya macam tak percaya. Tapi bila saya terpaksa buat kimoterapi, gugur semua rambut di kepala, ambil darah dari tulang sum-sum, melalui segala kesakitan dan keperitan, saya tahu bila-bila masa sahaja saya boleh mati. Tapi alhamdulillah, dalam tangisan dan kepayahan itulah saya menjadi seorang wanita yang lebih tabah dan kuat. Sekarang ini, setiap saat dan masa itu sangat berharga buat saya. Selagi Tuhan berikan saya umur (sekarang ini dia dah sihat) selagi itulah saya sentiasa bersyukur. Saya bersedia untuk hidup dan juga untuk mati, insya-Allah. Saya tahu Tuhan sayangkan saya."
Subhanallah. Begitulah kita yang menumpang di dunia Tuhan ini. Kalau kita berdepan dengan masalah, bayangkanlah mereka yang jauh lagi menderita daripada kita. Kalau kita tak diuji, jangan ingat sampai bila-bila pun kita tak akan diuji. Namun begitu, bila cabaran dan ujian datang kepada kita, bertenanglah. Ingatlah bahawa Allah sayangkan kita.
Wassalam.
Subscribe to:
Posts (Atom)