Assalam
Kita perlu jatuh untuk tahu siapakah yang menjadi kawan setia kita. Biasanya bila kita sedang berada di atas atau di kemuncak, semua orang sukakan kita. Malah, ada yang sanggup buat apa sahaja asalkan dapat faedahnya. Walhasil, beginilah manusia. Masing-masing seringkali fikirkan diri sendiri dan jarang sangat mahu fikirkan tentang orang lain.
Sebaik sahaja kita jatuh, maka bertaburanlah mereka lari! Bukan sekadar lari, ada itu tak mahu mengaku yang kita pernah baik dengannya! Nauzubilah minzalik. Namun perkara seperti ini, seharusnya menjadi pengajaran buat kita. Pilihlah kawan kita. Jangan percaya cakap semua orang di keliling kita. Ramai yang suka bohong! Ramai juga yang kaki pembelit. Kata orang putih, 'manipulate'. Memang payah nak cari yang hatinya ikhlas, apatah lagi untuk berkawan dengan kita. Kadang-kadang, memang ada manusia yang pilih kawan segak berupa, pilih warna kulitnya, pilih latar belakang keluarganya, pilih bangsanya, pilih semua yang baik untuk dirinya. Jarang-jarang mahu berkawan dengan mereka yang mempunyai kekurangan. Masing-masing mahu untung. Malah, ada ketika, kita tak ingat pun sebenarnya dunia ini sekadar tempat kita menumpang sahaja. Ada ketika kita naik di atas, ada ketika, kita jatuh ke bawah. Hargailah teman-teman yang berada dengan kita ketika kita berada di bawah.
Bagi sayalah, terlalu ramai manusia di negara ini yang mulutnya pedih bila berkata-kata. Memang orang Malaysia tak pandai berperang, tapi kalau mulutnya itu, kalah peperangan di Syria atau di Iraq. Rata-rata orang Malaysia sangat terhibur bila dapat mengutuk orang lain. Bertambah terhibur kalau dapat mengaibkan orang yang mereka benci. Mungkin dulu pernah suka, tapi bila dah tak suka, berguni-guni kata hina yang dikeluarkan.
Cukup-cukuplah tu. Tak payah terlalu menghina orang lain, sebabnya kita tak tahu apa perhubungannya dengan Allah SWT. Mungkin hari ini dia hina di mata kita, tapi di akhirat nanti, mungkin Allah mengangkat pula martabatnya kerana terlalu ramai yang menghinanya ketika di dunia. Wallahuaklam.
Apa-apa pun, di bulan Ramadhan yang mulia ini, biarlah kita jaga tingkah laku dan lidah kita. Jagalah jari kita, jangan main tulis yang bukan-bukan, atau forward yang tak benar atau yang mengaibkan. Semua itu adalah dosa buat kita juga.
Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita dan jadikan kita insan yang berkahlak mulia.
Aamiin ya Rabbal alamin.