Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, December 31, 2007

Percayalah

Percayalah, jikalau hari ini anda berdepan dengan sesuatu yang memeritkan, mungkin esok atau lusa perasaan itu akan berlalu pergi.
Percayalah, sekiranya hari ini anda dihimpit segala macam himpitan, esok atau lusa anda akan terlepas jua.
Percayalah, sekalipun hari ini anda berdukacita, mungkin esok atau lusa anda terasa bahagia.
Percayalah... Tuhan Maha Kaya dan Maha Esa.... segala dugaan datang dengan hikmahnya. InsyaAllah apa sahaja yang kita hadapi yang mungkin menggelisahkan jiwa raga, akan ada sesuatu yang menanti kita di hujung sana yang tentunya akan menggembirakan.

Saturday, December 29, 2007

Terima Kasih

Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan-rakan, pembaca setia, rakan penulis, adik-beradik dan anak-anak buah saya, yang tak putus-putus menyampaikan kata ucap 'selamat hari jadi' kepada saya sepanjang hari, semalam. Sepanjang umur saya, inilah pertama kalinya saya menerima ucapan-ucapan sebanyak itu, mula dari jam empat pagi hinggalah ke malamnya. Terima kasih, semua. Tak payahlah saya sebutkan satu-satu kerana mereka semua tahu bahawa tak kiralah apa saja, hanya Tuhan saja yang mampu membalas budi baik kalian. Kepada semua pembaca setia saya, saya tak ada kata-kata yang lebih hebat daripada betapa terharunya saya kepada ingatan anda semua. Salam sayang saya buat semua.

Thursday, December 27, 2007

Ibu dan Anak

Kalau anda merupakan pembaca saya atau pernah membaca karya saya, tentu anda perasan yang semua karya saya akan ada kisah antara anak dan ibunya, tak kira sama ada anak itu anak lelaki atau anak perempuan. Mungkin itu adalah sebahagian daripada naluri hati saya sebagai seorang ibu. Sekalipun mungkin kisah cinta yang saya paparkan, kisah keluarga tak pernah saya abaikan kerana apa sekali yang kita sebagai manusia lakukan, hidup kita tetap dalam sebuah keluarga. Seribu kali anda jatuh cinta dengan seorang lelaki atau perempuan, tidak mampu mengalahkan cinta ibu anda terhadap anda. Itulah yang saya rasakan. Namun, ada kala apa yang kita rasakan tak mudah untuk kita khabarkan. Hanya Tuhan yang mengetahui hati seorang ibu.

Thursday, December 20, 2007

Pengorbananku

Pada hari yang mulia ini, itulah yang datang bermain-main dibenakku. Apakah pengorbanan yang telah aku lakukan dalam hidupku ini? Untuk agama, untuk keluarga dan untuk diriku sendiri. Pada pagi yang mulia ini, aku tak mahu memandang negatif dalam hidup ini, kerana selagi Tuhan izinkan, aku mahu menikmati hidupku dengan sebaik mungkin. Banyak perkara yang aku tak suka lakukan, namun kulakukan jua agar aku tidak menyakiti hati insan lain. Mungkin itu merupakan sebahagian daripada pengorbananku, wallahu'alam.

Sunday, December 16, 2007

Pementasan Teater 'Tengku Kudin'

Seolah-olah saya kembali membaca buku sejarah. Tak ingat dah masa tahun bila, tetapi rasa-rasanya sekitar tingkatan empat atau lima agaknya.
Kebetulan saya mendapat jemputan untuk menonoton pementasan teater yang berjudul 'TENGKU KUDIN' di auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang menjemput saya ialah penulis skripnya, seorang pemuda yang berkebolehan tinggi.
Saya tertarik dengan sebuah pementasan yang seolah-olah mengajak kita berfikir tentang masalah orang Melayu, bukan sekadar di masa silam, tetapi masalah orang Melayu pada hari ini.
Saya seronok melihat watak-watak Raja Mahadi, Kapitan Cina, Mat-Mat Salih dalam pentadbiran British dan anak-anak raja Selangor ketika itu. Yang menarik tentang teater ini, selain kita diajak berfikir tentang masalah orang Melayu, kita juga didekatkan dengan konsep Sufism. Banyak persoalan agama diketengahkan dan kita sebagai penonton akan tertanya-tanya 'bukankah itulah yang menjadi masalah kita semua?'
Saya maklumkan kepada penulis skripnya dan kata saya, "kamu patut berbangga kerana kamu diberi peluang untuk melakarkan sebuah sejarah dari matamu, seorang pengamal sastera." Sejarah menjadi cantik bila ada unsur fiksyen diselitkan. Sekalipun TENGKU KUDIN merupakan sebuah pementasan teater sejarah, namun ia tidak langsung membosankan. Tahniah kepada mereka yang terlibat dalam pementasan itu!

Friday, December 14, 2007

Cik Dah, Janganlah Marah!

Cik Dah marah sungguh.

"Weh, aku menyampah sungguh nengok Si Hanim tu. Kot ya pun dah jadi penyanyi la ni, tak payahlah kecoh sangat! baru empat aje lagu dia... ingatnya dah macam Ct Nuraliza agaknya. Buat malu aje!"

"Iyalah... dia kata lagu dia gempaq! Biaqpi lah kat dia."

"Gempaq tak gempaq, biaqpi lah orang lain yang menilainya. Tak payahlah dok pukul canang heboh sana sini. Macamlah orang lain pekak." Cik Dah tergelak. "Meluat sungguh aku. Kotlah suara merdu macam Celine Dion, yang ni macam burung Celine Dion pun dak!" Tambahnya lagi.

"Dah tu nak buat macam mana? Dia dok perasan yang suara dia merdu macam suara Saloma."

"Tulah penyanyi la ni, hebat tak mana sangat tapi dok perasan lebih-lebih. Kalau dah memang sedap, tak payah heboh kat orang. Orang ada telinga, depa tau lah. Kalau depa suka, depa belilah... tak payah dok paksa-paksa orang sana sini. Konon buat promosi. Promosi kepala otak dia!"

"Awat yang hang dok marah sangat ni?" Sambut Leha lagi sambil tergelak.

"Aku bukanlah marah apa, cuma aku irritating dengan kerenah dia tu. Pi sana, pi sini, tak habis2 cerita yang dia sekarang dah popular. Rasa macam terkenal sangat. Perasan sungguhlah! Yang tulah yang aku meluat. Kita kalau rasa hebat, tak payah pukul canang, orang semua tahu. Tu lah... ni yang aku rasa pelik dengan dia ni. Tak tau bawak diri. Dia buat lagu tu, sat lagi orang ramai pun menyampah kat dia. Baik lagu nak laku, nanti siapa pun tak mau beli!"

Leha tergelak pula. "Cik Dah... Cik Dah... Si Hanim tu... tak ada pengalaman. Dia ingat buat lagu macam tu, dah boleh jadi popular macam Sharifah Aini kot. Hang toksahlah kisah sangat, Cik Dah... kasilah dia can. Nanti bila dia kena sekali... baru dia tau!"

Monday, December 10, 2007

Sesak Nafasku

Huh! Pulang ke utara memang menyeronokkan untuk kami sekeluarga. Dah lama tak ke sana. Kali ini kami ke Pulau Pinang kerana nak menghadiri majlis perkahwinan Fahmi, akauntan 'freelance' kami.

Perjalanan ke utara agak meletihkan juga kerana jalan raya sesak dengan kenderaan. Walaupun bertolak agak awal lah juga, tapi kami hanya tiba di pulau itu hampir tengah hari. Maklumlah, tak boleh nak bergerak laju. Kami pula ber'convoy' dua kereta. Seperti biasa bila kami ber'convoy' kami juga akan ber'walkie-talkie', mudah untuk berkomunikasi.

Kami berhenti seketika di kawasan rehat Gunung Semanggol (menghampiri Bukit Merah). Selepas itu kami terus menyeberangi jambatan Pulau Pinang dan menghala ke Bayan Baru, ke hotel penginapan kami. Jambatan pada tengah hari itu, tidaklah terlalu sesak, tetapi kami terpaksa bergerak dengan perlahan.

Sebaik sahaja bersiap, kami keluar ke lobi menunggu adik Fahmi, Faiz untuk menjemput kami ke tempat pengantin perempuan. Di lobi, kami terserempak dengan satu rombongan sepasang pengantin yang datang dari Melaka. Rupa-rupanya kami berjumpa dengan mereka lagi ketika di tempat pengantin perempuan. Kebetulan, majlis telah diadakan untuk dua pasang pengantin. Fahmi dan pasangannya Azlinda, dan abang Azlinda dan pasangannya yang datang dari Melaka. Majlis diadakan di sebuah rumah banglo yang disiap khas untuk majlis perkahwinan. Rumah itu dinamakan Rumah Mutiara. Rupa-rupanya sekarang ini sudah ada trend sebegitu. Pengantin mengadakan majlis di kawasan rumah besar yang berkawasan besar, bukan sekadar di dewan sahaja. Memang menarik!

Persiapan serba keemasan, mengindahkan suasana perkahwinan dua pasang merpati sejoli.
Malam itu, saya bertemu dan bersembang dengan seorang rakan (juga pembaca) saya yang tinggal di pulau itu. Terima kasih kepadanya kerana sudi membeli laksa 'kaw' untuk saya sekeluarga.

Esoknya pula ialah majlis yang diaturkan keluarga Fahmi. Mereka mengadakan majlis di dewan marin Polis, yang bertempat tidak jauh dari tepi laut. Memang cantik. Kali ini, majlis bertema unggu pula. Cukup menarik, apatah lagi pengantin lelaki yang berupa ala-ala Shahruk Khan dan pengantin perempuan yang serupa puteri Pulau Mutiara...

Tetapi... malangnya, perjalan pulang ke Kuala Lumpur cukup meletihkan. Jambatan sesak dari bandar lagi dan kami terpaksa berangkak perlahan-lahan. Kami singgah di Kuala Kangsar seketika untuk bertemu dengan adik ipar saya dan kemudian terus berangkat lagi. Kami bergerak perlahan kerana sepanjang jalan malam itu, hujan turun tidak henti-henti. Berkali-kali kami melihat 'accident'. Semasa turun dari Terowong, kami melihat kemalangan yang melibatkan kematian. Kami sendiri hampir terlibat dengan kemalangan bila tiba-tiba kenderaan di depan berhenti secara kecemasan. Alhamdulillah, kami sempat mengelak. Perjalanan pulang memang meletihkan, mungkin kerana musim percutian sekolah dan juga musim perayaan dan kerana itu, sepanjang jalan, kereta penuh sesak dan keadaan itu juga menyesakkan dada saya.

Tak sabar menunggu bila lebuh raya akan dibesarkan. Dalam keadaan hari ini, lebuh raya KL-Utara tidak seperti lebuh raya lagi. Terfikir juga di hati, mengapa tolnya mahal sedangkan tiada langsung keselesaan mengguna lebuh raya itu. Yang peliknya, harga tol akan dinaikkan lagi, sedang pengguna lebuh raya semakin hari semakin meningkat jumlahnya. Hai... takkanlah tak untung-untung ya?



Monday, December 03, 2007

Jangan Takut Kalau Gagal

Kegagalan adalah satu proses pembelajaran. Tanpa melalui kegagalan, kita tidak banyak belajar tentang kehidupan. Bila kita berdepan dengan kegagalan, ingatkan diri bahawa itu hanyalah ujian untuk menduga kekuatan diri. Kalau kita mampu menghadapinya, maka kekuatan diri akan terbina. Bukan itu sahaja, tetapi kita akan belajar untuk bersedia dan memperbaiki diri kita agar kita tidak lagi berdepan dengan kegagalan.

Ramai di antara kita tak mahu mulakan bisnes kerana takut berdepan dengan kegagalan. Kita lebih selesa makan gaji sahaja kerana kita rasa itulah keadaan yang paling selamat untuk kita. Cuba kita lihat di sekeliling kita. Siapakah yang hidup lebih selesa daripada kita? Bukankah mereka yang menjalankan bisnes?

Dalam dunia perniagaan, bila kita berjaya mengharungi segala rintangannya, kita akan belajar memperkuatkan strategi dan dari situ bukan sekadar material sahaja kita berjaya memperolehi tetapi juga kekuatan spiritualnya. Kita mampu membantu yang miskin melalui sedekah dan berzakat dan mampu melalui ibadah yang lain dengan lebih bersemangat. Orang Islam yang mempunyai kekuatan materiallah yang dapat menguatkan semangat perjuangan untuk agamanya.

Saya pernah makan gaji selama 17 tahun dan saya juga pernah berdepan dengan kegagalan dalam dunia bisnes. Namun alhamdulillah, saya sentiasa ingat pesanan Nabi S.A.W. bahawa menjalankan bisnes ini ada banyak barakahnya dan dari situlah saya terus berjuang dan saya percaya kita boleh lakukan apa sahaja, sama macam mereka yang bukan sebangsa kita, untuk berjaya dalam dunia bisnes.

Menulis atau penglibatan anda dalam dunia penulisan merupakan sebahagian daripada aktiviti perniagaan. Berjuanglah untuk memperbaiki diri dan jangan takut kalau kita gagal, kerana seperti apa yang saya kata, kegagalan hanya mengajar kita untuk jadi lebih kuat dan berjaya! InsyaAllah.

Wednesday, November 28, 2007

Hantar Depa Naik Bas Pak Ali!

Opah mengaruk. Minah terkejut.

"Kenapa opah marah sangat ni?"

"Mana aku tak marah. Orang-orang kampung ni, memang tak sedarkan diri! Kita tolong dia, tiba-tiba dia tuduh kita macam-macam! Kalau macam nilah perangai dia orang, Minah, kamu suruhlah depa pakat balik kampung depa tu. Tak usah lagi datang sini! Buat habih beras aku je!"

"Kenapa, opah? Apa yang depa buat?" Minah tak faham.

"Depa tak tahu untung diri! Kalau depa dok lagi kat kampung depa tu, entahkan makan, entahkan tidak. Mari di sini, dah macam-macam kita beri. Pun tak cukup jugak. Memang tamaklah! Aku tak kisah sangat kalau nak tamak ke, atau tak sedarkan diri... ini pulak dia tuduh kita macam-macam. Kononnya aku ni pilih kasih. Pilih kasih kepala otak depa!" jerkah opah lagi. "Kalau aku pilih kasih, aku suruh depa tidok kat luar sana, tak adalah aku bagi depa tidok kat dalam. Dahlah tu, kadang-kadang sebab depa, aku terpaksa ketepikan anak buah aku sendiri. Pastu, depa nak buat tu nak buat ni kat atas tanah aku tu... mana boleh macam tu. Bukan tanah bapak depa! Tanah aku! Eh, Minah... aku geram sangat ni. Kamu pergi cari bas Pak Ali tu... kamu sewakan, pastu kamu hantarlah depa balik kampung depa tu! Biar jangan datang lagi. Baru depa tau, senang ke susah ke. Biar dia matinya!"

Berasap-asap telinga opah. Minah terkebil-kebil mendengar. Patutlah opah marah sangat. Memang tak patut benar orang kampung buat macam tu. Memang tak sedarkan diri. Eloklah kalau opah nak halau suruh dia orang pergi!

Minah pun bersiap untuk mencari bas Pak Ali.

Monday, November 26, 2007

Cerita Thriller

Saya tertarik membaca ulasan Saudara Panaharjuna (rakan penulis) tentang persediaan untuk menulis, di ruang forum KarnaDya. Apa yang Saudara Panaharjuna terangkan boleh dijadikan panduan bagi mereka yang mahu mula menulis. Saya bersetuju dengan pandangannya yang mengatakan bahawa walaupun sinopsis itu penting, tetapi semua penulis patut sediakan 'storyline' atau jalan cerita apa yang mahu diceritakannya itu. Penulis perlu sediakan plot utama dan sub-plot sub-plot nya. Kalau itu sudah ada, penulis bolehlah mula untuk menulis.

Namun demikian, cara penyediaan plot dan sub-plot, mungkin ada kelainannya bila mahu menulis sebuah cerita 'thriller'. Unsur-unsur saspens, 'twister' dan plot yang berteka-teki harus kuat dan ada dalam perjalanan cerita. Penulis harus beri tumpuan yang utama dalam perancangan ini. Penulis perlu kreatif dan banyak kajian perlu dilakukan untuk membantu. Mungkin anda juga perlu rajin menonton cerita-cerita thriller di peti televisyen untuk dapatkan lebih banyak idea, selain daripada membaca.

Kalau anda sudah biasa menulis cerita genre keluarga/cinta, mungkin anda boleh cuba menulis cerita 'thriller' pula untuk mendapatkan kelainan mood dalam penulisan itu. Selamat mencuba!

Thursday, November 22, 2007

Satu Rahsia

Tahukah anda bahawa kita boleh guna pelbagai strategi untuk pastikan buku kita tersenarai dalam pelbagai carta penjualan yang ada. Namun, sekalipun buku kita mungkin duduk di senarai yang teratas, itu tidak bererti bahawa kita telah mencapai penjualan yang tinggi dan buku kita itu sedap sekali.

Ini adalah kerana, mungkin carta di kedai itu (kedai yang ada konsep carta) sahaja yang jualannya laris, sedangkan ada beratus-ratus kedai lain juga menjual buku-buku kita. Biasanya, pengedar akan mengguna strategi ini; ia itu mengumpul buku kita dengan jumlah yang banyak dan adakan promosi 'gempak', seolah-olah buku kita itu memang 'gempak' di kedai yang dimaksudkan itu sahaja.


Bila pembaca datang ke kedai itu mereka pun belilah buku kita kerana mereka fikir buku itu memanglah 'gempak' seperti yang diuar-uarkan. Itulah cara yang paling popular digunakan para pengedar untuk mempopularkan buku-bukunya. Bila nama buku sudah masuk dalam senarai, maka penjulan mungkin akan naik juga, kerana ramai pembaca yang suka melihat pada carta penjualan itu!

Malangnya, banyak buku lain yang lebih 'gempak' tapi tidak mendapat promosi yang sepatutnya. Apapun, kalau buku kita sedap, percayalah.... tanpa promosi besar-besaran pun buku itu akan laku. Mungkin penjualannya tidaklah laju macam buku-buku yang tersenarai dalam carta, tetapi sekalipun perlahan-lahan, akhirnya penjualan akan mencecah puluhan ribu. Yang penting juga, buku itu akan terus laku setiap tahun untuk bertahun-tahun lamanya sekalipun mungkin tidak pernah tersenarai dalam mana-mana carta penjualan yang terlaris. Buku ini mungkin akan jadi buku yang Evergreen.

Jangan lupa, kadang-kadang penjualan di kedai-kedai kecil di luar sana jauh lebih tinggi daripada kedai-kedai buku mewah atau besar yang terletak di kompleks membeli-belah. Kalau kita ada kedai-kedai kecil ini lebih dari 200 yang menjual buku kita, apakah mustahil untuk mendapat penjualan yang jauh lebih tinggi sekalipun kedai-kedai ini tidak mencatatkan sebarang carta penjualan yang terlaris? Ada kedai-kedai kecil yang menokok buku-buku hampir setiap minggu kerana penjualan di kedainya memang laju!

Jadi, macam mana?

Monday, November 19, 2007

Selamat Pengantin Baru

Selamat pengantin baru saya ucapkan kepada semua pembaca dan kenalan, termasuk kaum kerabat yang akan atau yang baru lagi mendirikan rumah tangga di musim cuti sekolah kali ini. Hari sabtu yang lepas, saya telah ke rumah Mohd Faizal di Ampang untuk menghadiri majlis perkahwinannya dengan Wasilah. Mohd Faizal juga dikenali sebagai Elmaniiq, dikalangan rakan-rakan dunia penulisan. Terima kasih kepada kaum keluarga pengantin yang memberi layanan baik kepada saya dan suami.

Hari Ahad pula, saya telah ke Singapura bersama suami, Irfan dan FJ untuk menghadiri majlis perkahwinan anak seorang pembaca setia saya. Alhamdulillah, kami tiba di sana tepat pada jam yang dijanjikan dan saya berterima kasih kepada pembaca saya dan kaum kerabatnya yang telah melayan kami dengan baik sekali. Orang Singapura memang best!

Kami sempat juga bersantai di Mount Faber Park sambil minum jus enak di atas bukit yang indah, seraya menikmati panorama yang menakjubkan, sebelum masuk semula ke JB dan pulang ke Nilai.

Awal Disember, kami akan ke Pulau Pinang untuk menghadiri perkahwinan Fahmi (Akauntan kami) yang akan melangsungkan perkahwinan dengan orang Pulau itu juga. Seminggu selepas itu, kami akan ke Klang untuk menghadiri perkahwinan Ezmeer, anak saudara saya, antara yang terapat dengan kami.

Selamat pengantin baru kepada semua, semoga Allah SWT panjangkan umur, selamatkan mereka sehingga akhir hayat.

Friday, November 16, 2007

Semua A?

Semalam, heboh di sana sini kerana keputusan UPSR sudah diumumkan. Ibu bapa ada yang menangis-nangis kerana anaknya mendapat 5 A! Aduhai... mungkin itu merupakan pengalaman pertama mereka dan kerana itu mereka teruja.

Nasihat saya pada semua, tak usahlah sedih-sedih atau terlalu teruja kerana perjalanan masih jauh lagi. Dalam perjalanan hidup kita ini, yang penting ialah langkah yang kita ambil untuk memilih apa yang patut kita lakukan. Kalau langkah yang betul kita ambil, mungkin kita akan perolehi kejayaan, tapi kalau kita tersilap langkah, terpaksalah kita berdepan dengan risikonya.

Jadi, kalau anda mempunyai anak-anak, eloklah dibimbing dan memberi nasihat kepada mereka agar mereka berupaya untuk memperolehi kejayaan yang sebenarnya. Sekalipun kita mendapat semua A dalam semua peperiksaan yang kita ambil itu, tetapi kalau langkah yang kita pilih tidak tepat, terpaksalah kita mengharungi 'frustrations' nanti.

Mungkin anda keliru dengan apa yang saya katakan ini, namun bagi mereka yang sudah melaluinya, mereka akan faham bahawa tak semestinya kita mendapat banyak A semasa bersekolah akan memastikan kejayaan bagi hidup kita di masa akan datang. Apa-apapun, tahniah kepada anak-anak yang telah pun menduduki peperiksaan UPSR itu, tak kiralah anda mendapat semua A atau tak ada A langsung! anda tetap berjaya kerana perjalanan dan peluang masih terbuka untuk semua, insyaAllah.

Thursday, November 15, 2007

Cerita Fasal Oprah Winfrey Lagi

Tahukah anda bahawa selain daripada pandai menjadi hos program 'Talk Show' nya, Oprah juga mempunyai bisnes dalam bidang penerbitan? Itulah yang menarik perhatian saya. Beliau mempunyai majalahnya sendiri dan majalah-majalah lain yang berkait dengan 'O Magazine' nya itu. Menarik, kan?

Oprah juga merupakan seorang wanita yang paling berpengaruh di Amerika Syarikat hari ini. Bayangkanlah. Seorang wanita berkulit hitam yang satu ketika dahulu mempunyai datuk dan neneknya dari keturunan hamba abdi. Kalau masa dikembalikan sekitar 100 tahun yang lampau, mungkin Oprah masih sibuk mengutip kekabu di ladang-ladang kekabu di Amerika Syarikat, atau menjadi tukang cuci pinggan di rumah orang kaya berkulit putih!

Hari ini, semua rakyat Amerika berebut-rebut untuk dapatkan tempat bagi menontoni programnya secara 'live', dan bagi mereka yang ada kepentingan, masing-masing mahu menjadi tetamu Oprah! Hebat!

Dalam begitu juga, Oprah, walaupun asalnya daripada keluarga yang bukan senang, tetapi telah dianugerahkan kepintaraan. Dia sudah boleh membaca sekitar umur 3 tahun. Ayahnya, walupun hanya seorang buruh, telah berusaha untuk memberi pelajaran yang terbaik buat Oprah. Wanita kulit hitam itu berjaya hingga ke menara gading dan dari situlah dia berjaya memperhebatkan anugerah yang ada pada dirinya.

Kalau kita perhatikan, kita semua boleh lakukannya kalau kita bersemangat kental, fikir secara waras, kreatif dan jangan berfikiran negatif. Kalau kita takut untuk mencuba, kita tak usahlah mimpi untuk menjadi seperti Oprah, satu-satunya BILLIONAIRE berkulit hitam!

Monday, November 12, 2007

Tak Ada Rupa Pun Tak Apa

Kita selalu mengandaikan bila kita cantik dan menarik, mungkin lagi senang menarik perhatian orang. Mungkin ada kebenarannya di situ. Rata-rata, orang memandang kepada yang cantik dan indah.

Kalau kita lihat kepada dunia 'Hiburan' kita di Malaysia, mereka yang cantik dan ada rupalah yang selalunya muncul di muka-muka surat khabar dan kaca televisyen. Kalau rupa kurang, walaupun berbakat, kadang-kadang nasib tidak menyebelahi mereka. Entah kenapa, tak mudah kita dapat katakan sebab-musababnya. Mungkin orang kita memang macam tu. Lebih minat dan suka kepada mereka yang ada rupa kalau dibandingkan kepada mereka yang kurang rupanya walaupun ada bakat.


Apa yang hendak saya katakan kali ini di entri ini ialah tentang betapa rupa tidak menjadi hal yang besar di negara barat. Bukanlah saya nak sanjungkan mereka di sana, tetapi ada ketika saya tertarik dengan cara mereka menilai sesuatu itu, walaupun tidak semua yang mereka lakukan itu saya sokong. Malah banyak juga perkara yang saya meluat dengan sikap orang-orang barat. Apapun, perkara ini tetap menarik minat saya.

Mungkin ada di antara kita yang rasa hairan dengan kejayaan yang dapat dilakukan oleh mereka dalam dunia 'Hiburan' di Amerika Syarikat walaupun tanpa rupa atau warna kulit yang bukan putih melepak. Ramai di antara golongan selebriti Amerika Syarikat mampu memperolehi kejayaan dengan bakat besar mereka. Mungkin lakonan atau nyanyian.

Tetapi paling berjaya di antara mereka yang berjaya ini, ia lah seorang wanita berkulit hitam, satu ketika dahulu dia juga gemuk, dan wanita ini juga tidak berupa. Apa yang dia ada hanyalah karismanya dan bakatnya untuk berkata-kata dan menjadi hos kepada 'Talk Show' di negaranya.

Oprah Winfrey merupakan selebriti yang terkaya dan paling berjaya di Amerika Syarikat. Hari ini, pendapatannya mengatasi semua penyanyi dan pelakon terkemuka di negara barat. Hah! seronoknya dia, sekalipun tanpa mekap, Oprah Winfrey tidak langsung mempunyai rupa yang menarik. Malah Oprah juga merupakan anak orang susah yang pernah suatu ketika dahulu, terkapai-kapai mencari jalan untuk hidup. Namun kerana keupayaannya berbual dan memaparkan perkara-perkara yang menarik minat masyarakat di negaranya, Oprah berjaya diangkat sebagai orang yang paling disukai dan disayangi oleh rakyat negaranya! Hebat!


Kalaulah kita juga dapat berbuat perkara seperti ini. Kita menilai orang dengan apa yang mampu orang itu lakukan kepada masyarakatnya, bukan kerana dia segak, bergaya, berkulit cerah atau anak orang kaya.

Sunday, November 11, 2007

Opah Marah Adli

Opah bersembang dengan Minah.
"Aku rimas betul kalau Si Adli datang ke mari."
"Kenapa, opah?" Minah bertanya, agak hairan melihat raut wajah opah yang mengerutkan dahinya yang sememangnya sudah berkedut-kedut itu.
"Kalau dia datang sini, mesti dia bercerita di atas langit. Tak tahu cerita di bumi nyata." Keluh opah. Minah tak faham apa yang mahu dikatakan opah. Dia mengecilkan sepasang matanya yang agak sepet itu. Tanda bertambah hairan.
"Kamu tengok, Minah. Bila dia datang sini, dia pun berceritalah. Konon-konon pangkat dia tak besar mana, tapi dia laki bini gajinya banyak. Bukan main bangga lagi dia." Opah tersenyum sinis.
"Memang Si Adli tu perak. Dia ingat gaji dia besar sangat! Dia tak tahu orang lain pendapatannya lagi besar, berganda-ganda daripada dia, tapi orang lain tak heboh pun!"
"Ohhhh... itu yang opah marah sangat ni?" soal Minah sambil tersenyum.
"Yalah, Adli tu pun cucu aku, tapi aku meluat tengok perangai dia. Baru gaji seciput itu, tapi cerita pada orang macamlah orang lain heran sangat dengan pendapatan dia tu. Kalau balik kat kampung, bolehlah pukul canang, tapi ini di sini. Orang di sini lagi banyak gajinya. Gaji kamu aje, Minah, lagi besar daripada gaji dia laki bini. Itu tak masuk gaji laki kamu lagi. Buat malu ajelah Si Adli ni! Opah memang menyampah dengan lagak dia tu." Bebel opah lagi.
"Biarlah, opah. Kita kan tahu dia memang macam tu. Dia memang jenis cakap besar, kita nak buat macam mana lagi?" Minah cuba menyejukkan hati opah.
"Aku tahu, Minah... tapi aku meluat! Dia yang suka perasan sorang-sorang. Rumah tak besar mana, tapi pukul canangnya macam orang semua heran. Cuba kamu tengok, Minah... nak tambah rumah pun nak cerita pada orang. Tambah ajelah. Siapa yang heran? Pada hal yang dia heboh-heboh sangat tu pun, bukannya duit dia!" Opah belum habis merungut.
"Habis tu, duit siapa lagi, opah?"
"Duit orang kedailah! Dia sedap aje minta sana sini. Mentang-mentanglah kerja dia macam tu. Bukan nak buat kerja, cari rezeki elok-elok, tapi ambil sana-sini harta orang! Lepas tu awak berlagak macam awak yang banyak duit! Memang muka dia muka tak malu!" opah marah bagaikan berasap telinganya.
Minah tersenyum lagi.

Monday, November 05, 2007

Strategi Baru Cari Calon

Kalau kita merupakan seorang perempuan, masih muda, ada rupa dan pelajaran dan ada juga pekerjaan mantap, tetapi masih belum mempunyai calon untuk dijadikan pasangan hidup, mungkin kita akan jadi 'tension', terutama sekali bila ada yang asyik bertanya 'bila lagi nak kahwin ni?'. Apakah yang anda akan lakukan? Takkan nak masuk program 'Mencari Cinta' seperti yang dianjurkan sebuah stesen TV sedikit masa dahulu, kerana nampaknya program seperti itu tidaklah berjaya untuk membantu.

Di musim hari raya kali ini, dalam kesibukan mengunjungi rumah teman dan saudara mara dan dalam kesibukan menghadiri 'open house' di sana sini, saya sempat perhatikan satu strategi menarik yang dilakukan oleh 'orang ketiga' untuk membantu anak-anak rakan mereka bagi mencari calon yang sesuai. Selain daripada gambar ada juga disertakan CV yang menceritakan sedikit sebanyak tentang gadis itu, termasuk kegemarannya di waktu lapang dan latar belakang keluarga. Yang pentingnya, orang ketiga juga buat promosi tentang kebaikan gadis itu dan keluarganya.

Mungkin ada yang ketawa bila baca entri saya kali ini. Tetapi bagi saya, mungkin cara ini ada kebaikannya. Saya sempat bertanya kepada beberapa orang 'jejaka' tentang pendapat mereka berkaitan dengan hal ini. Nampaknya ramai yang tak kisah malah merasakan cara ini agak praktikal juga untuk mereka. Sebelum cuba menghubungi gadis melalui telefon, mereka sudah ada 'info' tentangnya untuk dijadikan panduan. Malah,' orang ketiga' juga hanya menghulurkan gambar dan CV itu hanya kepada mereka yang diarasakan sesuai untuk dijadikan calon kepada gadis berkenaan. Tidaklah terbuka untuk sesiapa sahaja! Menarik, kan?

Saya rasa strategi seperti ini adalah lebih baik daripada berkenalan dengan jejaka melalui Internet, kerana cara yang terbuka begitu mungkin mendedahkan gadis-gadis 'baik' kepada mereka yang tidak boleh dipercayai. Sekali lagi saya bertanya (dulu pernah juga saya bincangkan hal seperti ini dalam blog saya ini) ada tak yang nak buat macam ni? Maksud saya jadi 'orang ketiga'.

Friday, November 02, 2007

SAYA TABIK DIA!

Kawan saya bercerita lagi.

"Saya kenal seorang marketing executive ni. Dia perempuan Melayu, tetapi bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa yang pusatnya terletak di salah sebuah negara Timur Jauh. Dari mula saya kenal dia, saya tengok cara kerja dia yang berbeza daripada budak Melayu lain. Stail kerja dia macam orang China, langsung tak pedulikan masa. Dalam macam tu, dia ni alim juga orangnya. Berpakaian sopan, bertutur dengan lembut dan sangat menghormati orang yang berurusan dengannya." Beria-ia kawan saya itu menjelaskannya.

"Saya tabik dia! payah nak jumpa orang muda yang boleh buat kerja macam dia. Mungkin exposure dia di tempat kerjanya itu. Kalau kita berurusan dengan dia, dia tak suka kalau kita beria-ia nak belanja dia makan. Setakat minum tu dia tak kisahlah, tapi dia tak suka kalau kita cuba 'mengampu' dia. Saya tahu dia buat kerja dengan ikhlas dan dia juga bersusah payah nak tolong kami sebab dia mempunyai niat yang baik mahu menolong orang sebangsanya tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran daripada kita. Tak langsung macam di tempat satu lagi tu. Kalau di situ, alamak... semuanya nak berbayar dulu. Kena bawa makanlah, ada pula tu sampai kena bawa dia shopping baru nak tolong kita. Itulah yang rosak bangsa!" Dia mengeluh.

"Saya memang respect dia ni. Kalaulah ramai orang kita macam dia ni, alhamdulillah, bangsa kita mesti cepat maju. Sekarang ni, memang payahlah. Ke mana-mana kita pergi, kalau tak ada rasuah, jadi tak jadi. Depan belakang, kiri dan kanan, semuanya nak berupah." Panjang keluhnya. "Patutlah Tuhan marah... orang kita ramai yang dah terlupa. Kalau kita ke bulan sekali pun, apalah gunanya kalau orang kita di bumi sendiri tak maju-maju. Yang tahunya dari atas sampai ke bawah, semua nak kutip upah. Kerja tak juga!"

Thursday, November 01, 2007

Orang Melayu Tak Suka Baca?

Malam tadi, lama juga saya berbual dengan seorang teman. Kebetulan dia merupakan seorang guru yang menjalankan kerja-kerja pentadbiran dan juga merupakan penyokong kuat saya. Kebetulan juga, walaupun kami dah lama berkawan tetapi sehingga ke hari ini kami masih belum berjumpa.

Kawan saya bercerita tentang kepayahan mengajak anak-anak Melayu kita membaca buku. Teman saya yang berada di utara ini, rajin bercerita tentang masalah yang dihadapi untuk menggalak pelajar sekolah berminat dengan buku. Katanya, semasa menjalankan projek 'NILAM' di sekolah-sekolah di tempatnya itu, dia mendapati bahawa pelajar bukan Melayu lebih banyak memberi perhatian tentang hal ini.

"Budak-budak kita, tak minat langsung. Kalau ada pun, tak tahu apa yang mereka baca. Main hentam saja." Rungutnya.

"Semasa kami buat pilihan untuk mendapatkan pemenang, payahnya saya nak jumpa budak Melayu yang serius minat membaca. Saya tak tahu nak buat macam mana lagi." Sambung kawan saya lagi.

Kebetulan, kawan saya itu telah diberi tanggungjawab untuk meneliti projek ini yang dijalankan di kawasannya. Katanya lagi, "Apa agaknya yang boleh kita lakukan untuk menjadikan membaca ini budaya orang kita?"

Ada juga cadangan yang saya berikan kepadanya. Dalam hal ini, mereka yang membaca artikel ini, kalau mempunyai cadangan yang baik untuk menggalakkan anak-anak kita membaca, sila hantarkan email kepada saya. InsyaAllah, saya akan sampaikan cadangan itu kepada pihak yang berkenaan. Email saya : emir_aina@yahoo.co.uk

Tuesday, October 23, 2007

Boleh Beritahu Pada Badan Pencegah Rasuah Ke?

Nampaknya sejak kebelakangan ini, BPR sibuk dengan pelbagai aktiviti penangkapan mereka (kakitangan kerajaan dan pembekal) yang terlibat dengan pelbagai cara penipuan dan juga aktiviti rasuah. Kebetulan juga, 'Big Boss' BPR ini mempunyai rumah tak jauh dari rumah saya sekarang ini. Saya pun bersembang-sembanglah dengan seorang teman tentang perkara-perkara rasuah yang dilakukan oleh kebanyakan orang ramai.

"Eh... kalau bagi gula-gula macam mana, ya? Rasuah ke tu?"

"Tengoklah niatnya macam mana pula. Kalau setakat suka-suka nak bagi, tak apalah kot. Tapi kalau niatnya nak dapatkan sesuatu daripada pemberian tu, memang rasuahlah namanya tu."

"Eh... kalau bagi gula-gula pada orang kedai, macam mana pula?" soal kawan saya lagi.

"Pada orang kedai? Apa cerita ni?"

"Ada kedai tu, pekerjanya diberi gula-gula oleh orang tertentu supaya produk yang dihantar oleh orang tertentu itu ke kedai tempat pekerja itu bekerja dijaga baik-baik oleh pekerja kedai. Orang tertentu berpesan pula, katanya kalau ada orang lain hantar produk yang sama, tolonglah ketepikan. Biar produknya sahaja yang dilihat oleh pembeli kedai yang datang ke kedai itu."

"Isy... kedai apa tu?"

"Kedai buku."

"Kedai buku? Macam mana ni?"

"Baru-baru ni kawan saya ada menghantar buku-bukunya ke kedai itu seperti biasa. Tiba-tiba tak sampai dua minggu, buku-bukunya dipulangkan oleh kedai itu. Katanya buku-bukunya orang tak beli, sedangkan hampir separuh sudah pun dijual oleh kedai itu. Malah, seminggu sebelum itu, wakil kawan saya itu sudahpun ke kedai itu dan mendapati banyak buku-bukunya yang dihantar dulu sudahpun habis. Pengurusnya berjanji untuk membuat pesanan baru untuk buku-buku yang sudah habis tu. Jadi... cukup menghairankanlah bila tiba-tiba buku yang baru sahaja dihantar (title baru) dipulangkan. Kawan saya itu pun bertanyalah kenapa jadi macam tu. Pekerjanya kata penjualan bukunya 'slow'. Memang peliklah. Kalau 'slow', kenapa laku? Jadi kawan saya tu cuba mengorek rahsia. Rupa-rupanya ada pekerja2 di kedai itu sudah menerima gula-gula daripada orang-orang tertentu."

"Oh, macam tu ceritanya. Kedai buku tu, kedai kecil ke atau kedai besar?"

"Kedai itu adalah salah satu daripada rangkaian kedai besar. Mungkin bos besarnya tak tahupun tentang hal ini. Maklumlah, masing-masing cawangan diuruskan pekerjanya. Sebelum ini pun saya ada dengar tentang hadiah yang diberikan orang tertentu kepada pihak kedai. Hadiah seperti 'carpet' dan macam-macam lagi. Konon-kononnya untuk membantu pihak kedai. Tapi salah seorang pekerja (yang tak suka pada perbuatan seperti itu) berkata memang selalu sangat perbuatan seperti itu diamalkan oleh orang-orang tertentu, termasuklah mereka yang melaung-laungkan kebesaran agama."

"Isy... takutlah saya dengar."

"Memang takut... tapi benar. Sebab tu lah saya nak tahu... kalau kes macam ni, boleh tak kita bagitahu pada pihak BPR?"

"Setahu saya, rasuah bukan satu perbuatan keji yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan sahaja, tetapi oleh sesiapa jua, termasuklah orang yang memberinya. Hmm... kalau ada bukti... beritahulah pada BPR. Kalau kita diam, mungkin kita pun terima perbuatan jijik macam ni. Lagipun, kita tak naklah orang kita mengamalkan budaya macam ni. Bukan sahaja ini perbuatan haram, tapi memang merupakan satu penyakit dan tabiat yang payah nak dibuangkan nanti!"

Sunday, October 21, 2007

Kasih Sayang Ibu Bapa dan Anak

Biasanya bila tiba sahaja musim hari raya, televisyen di Malaysia akan menayangkan program-program drama sedih dan menyentuh perasaan, terutama sekali tentang anak dan ibu bapa. Bagi saya, hari raya sepatutnya disambut dengan perasaan yang gembira bukan dengan perasaan yang sedih sentiasa. Apapun, saya sempat juga menonton sebuah program (bukan drama) yang menceritakan tentang orang-orang tua yang tinggal di rumah orang tua. Beberapa orang tua telah ditemuduga dan pihak hos menanyakan tentang keadaan mereka di rumah orang tua itu. Rata-rata mengatakan yang mereka seronok tinggal di situ kerana mereka dilayan dan ada kawan-kawan yang boleh berbual dengan mereka.
Sebagai masyarakat, kita selalu mengandaikan bahawa sekiranya ada orang tua yang tinggal di rumah orang tua (atau nursing home/ rumah kebajikan) itu menunjukkan bahawa orang-orang tua ini telah diabaikan anak-anak mereka dan kita juga mengandaikan bahawa anak-anak mereka tidak bertanggungjawab kerana membiarkan orang tua mereka di tempat-tempat itu. Kita jarang mahu ambil tahu sama ada orang-orang tua ini lebih seronok tinggal di rumah-rumah orang tua atau tinggal dengan anak-anak mereka. Kita juga tidak tahu latar belakang anak-anak mereka ini, mungkin ada yang susah dan tak mampu, jangankan untuk membela ayah dan ibu mereka untuk menanggung diripun mungkin tidak mampu. Kita juga tak tahu sama ada anak-anak mereka ini mempunyai tempat tinggal yang ada ruang yang cukup untuk keluarga yang besar. Mungkin sekiranya ayah atau ibu mereka tinggal dengan anak-anak ini, ayah dan ibu mereka lebih sengsara hidupnya kalau dibandingkan kalau tinggal di rumah orang-orang tua. Kita juga tak tahu keadaan yang terpaksa dilalui anak-anak ini dan kemampuan mereka untuk menampung keluarga yang besar. Kita hanya tahu menghukum mereka kerana bagi kita itulah tanggungjawab anak-anak ini. Kita juga tak tahu sama ada semasa anak-anak ini muda atau kecil dulu, ibu bapa mereka telah menunaikan tanggungjawab mereka juga untuk membesarkan anak-anak dengan perasaan kasih sayang dan sama ada ibu bapa ini telah memberi apa yang sepatutnya dihulurkan kepada anak-anak semasa mereka kecil dahulu. Biasanya, bila ibu bapa menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak, tak mungkin anak-anak mereka akan melupakan mereka bila mereka sudah tua.
Sebagai ibu bapa, kita sepatutnya menghulurkan kasih sayang dan menjalankan tanggungjawab kita sebaik mungkin semasa kita membesarkan anak-anak tanpa mengharapkan balasan, kerana itu adalah tanggungjawab kita sebagai ibu bapa. Janganlah kita pilih kasih, kerana kita tidak tahu anak yang mana yang akan mendoakan kita nanti bila kita sudah tidak ada di dunia ini. Sebagai ibu bapa, sayangilah anak-anak kita agar mereka juga menanam sifat kasih sayang itu dalam jiwa mereka. Bila kita membesarkan anak-anak kita, ketahuilah kita bahawa itulah tanggungjawab kita kepada mereka. Janganlah besarkan anak-anak dengan mengharapkan perbuatan itu sebagai satu pelaburan di mana kita mahukan ganjarannya satu hari nanti. Percayalah, kasih sayang itu akan datang kepada kita kalau itu yang kita hulurkan kepada orang lain, tak kira sama ada anak kita atau anak orang lain!

Thursday, October 18, 2007

Keindahan Hari Ini

Walaupun Ramadhan sudahpun berlalu pergi, namun hati ini masih terkenang-kenang kepada setiap hari di bulan Ramadhan. Apa sahaja yang dilakukan, diri sentiasa mengingatkan agar berlaku sebaik mungkin bagi menghormati bulan istimewa itu. Kini, Syawal sudah berkunjungan dan kita sama-sama insan, ramai yang saling bermaaf-maafan. Biarlah budi baik yang kita amalkan ini akan berterusan tidak kira di bulan apa sekalipun. Sebagai orang Islam, biarlah amalan yang mulia kita praktikkan setiap hari agar hari-hari kita menjadi bertambah indah dan bahagia.
Lakukan apa sahaja kerana Tuhan kita. Muliakan budi pekerti kita agar kita menjadi muslim dan muslimah yang boleh dicontohi. Bersedekahlah sentiasa kerana ganjarannya tidak mudah kita kira. Paling penting dalam hidup hari ini, elakkanlah amalan rasuah! Jangan kita ambil ringan tentang perbuatan ini kerana tanpa kita sedari amalan rasuah (yang menerima atau yang memberi) akhirnya akan memakan diri kita sendiri. Sebagai orang Islam, jadilah umat yang menggembirakan Nabi junjungan kita. InsyaAllah, hari-hari yang kita tempuhi akan menjadi lebih indah dan membahagiakan.

Tuesday, October 09, 2007

Selamat Hari Raya Sahabat-sahabatku!

Sepanjang hidup saya, apabila saya berkawan dengan seseorang dan senang dengan perhubungan yang terjalin, saya akan menjadi seorang sahabat yang setia. Saya akan menghormati kawan saya itu dan tentu sekali akan membantunya bila dalam kesusahan. Sekalipun mungkin tak mampu membantu dari segi wang ringgit, saya akan sentiasa memberinya semangat. Begitu juga kalau kawan sakit, saya akan sentiasa berada di sampingnya agar dia tidak mengharungi kesakitan seorang diri. Dari sekolah rendah lagi sehinggalah ke hari ini, masih ada kawan-kawan saya yang terus kekal rapat dan merupakan kawan baik. Begitu juga dengan rakan-rakan yang saya kenali semasa di sekolah menengah, tingkatan enam, universiti, rakan kerja dan juga rakan semasa saya melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana. Kini, banyak juga rakan baik yang terdiri daripada penulis dan pembaca buku-buku saya. Bagi saya, nilai persahabatan payah untuk diukur, hanya hati yang ikhlas sahaja yang mampu menyatakannya.
Dalam begitu, saya juga selalu berjaga-jaga, kerana dalam hidup, kita akan bertemu dengan kenalan yang ingin menjadi sahabat kita. Mungkin sekali imbas, kerana kata tutur yang baik dan mungkin pertolongan yang dihulurkan, kita akan keliru dengan perhubungan yang terjalin itu. Namun begitu, sudah berkali-kali saya diduga dan bertemu dengan mereka yang bukan merupakan kenalan yang boleh dijadikan rakan. Kenalan seperti ini akan berbaik dengan kita kerana ada udang di sebalik batu dan bila kita tidak berjaga-jaga, tanpa kita sedari akan termasuk dalam perangkapnya. Kenalan yang begini sebenarnya mahu berbaik dengan kita kerana ada niat tertentu yang mungkin akan menguntungkannya. Apabila kita kelihatan seperti sedang bersaing dengannya atau dilihat sebagai musuh, dia akan berusaha untuk menikam kita dari belakang. Bagi saya, bila ini yang terjadi, saya akan terus menjauhkan diri.
Pun begitu, saya sentiasa menghormati sahabat-sahabat yang kekal setia berkawan dengan saya, tak kira sama ada saya berada dalam kesusahan atau sedang berada dalam kegirangan, rakan-rakan baik ini akan berada di sisi untuk terus memberi semangat!
Selamat Hari Raya buat semua kawan-kawan setiaku. Keikhlasan hati anda semua merupakan kebahagiaan hidup ini, semoga kita akan terus kekal bersahabat hingga ke akhir hayat.
Semoga rakan-rakanku ini mengampuni segala kata tuturku yang mungkin menyinggungkan dan terima kasih kerana kamulah aku menjadi insan yang sentiasa bersemangat. Terima kasih kerana menerimaku seadanya!
SELAMAT HARI RAYA!

Saturday, October 06, 2007

SAMBUTAN AIDIL FITRI - Dulu dan Sekarang

Hanya tinggal kurang seminggu sebelum satu Syawal tiba. Hari ini, saya macam biasa sahaja. Tak sibuk dengan persiapan hari raya. Mungkin usia membuatkan kita begitu. Bagi saya, hari raya sama sahaja macam hari yang lain juga, kecuali mungkin ramai yang akan datang ke rumah saya kerana kebetulan juga ibu saya memang tinggal dengan saya. Adik-adik, sepupu-sepupu dan saudara mara yang lain biasanya akan datang untuk menziarahi ibu saya yang kini sudah 72 usianya. Dengan cara yang sederhana saya pasti akan menyediakan sedikit juadah untuk mereka yang datang ke rumah saya nanti, insyaAllah. Biasanya memang begitu, tetapi tidaklah beria-ia.

Dalam begitu, saya teringat semasa saya kanak-kanak. Hari raya bagaikan satu hari yang paling penting dalam hidup saya ketika itu. Mesti ada kasut baru, mesti ada baju baru. Kasut dan baju baru itu akan saya cuba berkali-kali sebelum memakainya pada hari raya. Saya dan adik-beradik yang lain juga akan memaksa ibu-ibu kami (Saya banyak ibu) untuk menyediakan pelbagai jenis kuih-muih (biasanya kuih tradisional seperti buaulu, dodol, putu kacang, kuih bangkit) dan kami juga membantu ibu-ibu kami menyediakannya. Dulu, gula dan kacang hijau kami kena tumbuk pakai lesung kaki. Masa itu juga, tak ramai orang menjual kuih macam sekarang. Jadi, terpaksalah membuatnya sendiri sekiranya mahu merasa. Yang paling memerit ialah bila mahu mengacau dodol. Macam nak pengsan! Namun, suasana begitulah yang memeriahkan hari-hari menjelang Aidil Fitri.

Hari ini mungkin lebih mudah untuk orang seperti saya yang selalu sibuk. Apa saja yang saya teringin, saya 'tempah' sahaja. Mungkin juga kerana itu, hari raya tidak semeriah semasa zaman kanak-kanak/remaja saya. Pun begitu, saya bersyukur kerana tak perlulah saya mengadap dapur panas untuk menyediakan kuih-kuih itu. Janji ada sedikit duit untuk membelinya.

Sebagai anak Perak juga, semasa kami kecil dahulu, bila hampir hari raya, rumah kami akan dihiasi pelita bagi memeriahkan suasana sambutan itu. Bagi orang Perak, memang tak sah kalau tak ada 'panjut'! Begitu juga dengan meriam. Adik-adik lelaki saya akan sibuk bermain meriam (buluh atau meriam tanah). Bunyi detupan meriamlah kadang-kadang membuatkan saya rasa rindu kepasa suasana berhari raya di kampung.

Hari ini, saya sudah tak berkampung lagi. Namun, alhamdulillah, di tempat saya sekarang, suasana menyambut hari raya masih ada unsur-unsur seperti di kampung, kerana kawasan tempat tinggal kami di kelilingi kampung-kampung.

Wednesday, October 03, 2007

Nostalgia Bulan Ramadhan

Masih teringat lagi semasa saya budak-budak di bulan Ramadhan. Ketika itu, Ramadhan jatuh di hujung tahun semasa musim cuti sekolah. Biasanya bila cuti sekolah, saya balik ke kampung nenek saya di Sungai Dua, Seberang Prai. Saya, kakak saya dan semua adik-adik saya, termasuk adik-adik yang berlainan ibu, (walaupun nenek itu adalah ibu kepada ibu saya) kami balik ke Sungai Dua.

Ketika itu, televisyen merupakan barang mewah dan hampir semua rumah tidak mempunyai barang mewah itu. Begitu juga dengan nenek saya, rumahnya tiada TV. Bila Ramadhan, pertandingan bacaan Al-Quran di adakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa (bukan seperti sekarang). Kerana mahu menonton pertandingan tersebut, masjid di kampung nenek saya menyewa sebuah peti televisyen yang besar untuk ditontoni penduduk kampung selepas selesai sembahyang tarawih.

Memang seronok, kerana ketika itu, setiap bulan Ramadhan, masjid sentiasa penuh dengan orang dewasa yang mahu melihat pertandingan itu di peti TV. Kami kanak-kanak turut sibuk juga. Tetapi kami lebih sibuk bermain dan berlari-lari, dan juga sibuk makan bubur kacang yang disediakan setiap malam di masjid. Yang menghairankan, kami tidak pernah jemu makan bubur kacang hampir setiap malam. Selepas itu nanti, kami juga sibuk membeli sotong bakar tumbuk yang dijual oleh budak-budak kampung itu.

Saya masih ingat, hampir setiap malam juga, saya akan menziarahi pusara datuk saya (datuk lelaki) yang pusaranya berada di pekarangan masjid itu. Saya dan kawan-kawan tak pernah takut untuk berada di tanah pusara kerana kebetulan tanah pusara di kampung itu memang bersih dan terlalu hampir dengan bangunan masjid. Maklumlah, di bulan Ramadhan bertambahlah kami tidak takut!

Hingga hari ini, saya masih dapat bayangkan kenangan semasa di kampung nenek saya itu. Nenek saya dan juga ibu kepada nenek saya (Moyang yang hidup lebih seratus tahun), memang rajin melayan kami semua. Mungkin kerana itu jugalah kami rajin pulang ke kampung bila cuti sekolah. Kini, nenek saya sudah lama kembali ke rahmatullah, semoga rohnya dicucuri rahmat, insyaAllah.

Monday, September 24, 2007

Sastera dan Dunia Kita

Sejak kebelakangan ini, saya banyak membaca hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan sastera dalam dunia seharian kita. Kalau kita perhatikan, silibus sekolah tidak lagi mementingkan sastera dalam pembelajaran pelajar hari ini. Mungkin ini adalah kerana pemimpin kita merasakan bahawa negara patut memberi tumpuan kepada sains dan teknologi.
Malangnya, saya rasa banyak pemimpin kita yang keliru tentang hal yang diperkatakan ini. Kenapa kita harus pisahkan sastera daripada dunia sains dan teknologi? Sebenarnya, melalui sasteralah seseorang pelajar itu dapat matangkan fikirannya dan dapat berlaku lebih kreatif. Pengajian sastera itu dapat memberi peluang kepada pelajar untuk fikirkan tentang sesuatu penulisan. Bukan hanya sekadar melihat kepada watak atau plot, tetapi dapat memikirkan akan kesan, objektif dan juga tujuan sesuatu penulisan itu dilakukan, tak kira sama ada penulisan itu baru ditulis atau sebuah karya yang lama. Tiada jawapan yang tepat bagi subjek ini. Dari situlah seseorang pelajar itu dapat berlaku kreatif dan dapat mengembangkan cara dia berfikir.
Tak kira sama ada dia mahu menjadi seorang doktor, jurutera atau pakar fiziks, subjek sastera patut dijadikan sebahagian daripada subjek yang perlu dihayati untuk membina dirinya sebagai insan yang intelek dan berkeyakinan. Kerana kekeliruan inilah kita dapati pelajar-pelajar kita, rata-rata tidak sebijak yang diharapkan. Sekalipun mereka dapat berpuluh-puluh A dalam peperiksaan yang diambilnya, pelajar kita masih tidak mampu untuk bersaing dengan orang lain.
Cabaran yang kita hadapi setiap hari bukan dapat diselesaikan oleh mereka yang dapat berpuluh-puluh A dalam peperiksaan, tetapi oleh mereka yang bijak berfikir dan bijak memilih alternatif yang tepat. Mampukah anak-anak kita lakukan itu semua?
Kalau di Barat, kita perhatikan, pengajian sastera dan falsafah adalah merupakan satu pengajian yang dihayati oleh anak-anak orang kaya juga orang yang berkepentingan dalam dunia politik dan ekonomi. Pernahkah kita terfikir bahawa menghayati pengajian sastera, bergandingan dengan subjek-subjek sains yang lain, akan menjadikan kita manusia yang lebih tinggi nilainya? Dalam Islam, sastera tidak pernah dipisahkan daripada sains dan teknologi. Semuanya dijadikan sebagai asas kehidupan kita. Kalau kita perhatikan betul-betul, anak muda kita hari ini tidak mempunyai keyakinan diri yang kental kalau dibandingkan dengan generasi yang lebih tua daripada mereka. Kejayaan kita, bukan dilihat daripada kemodenan yang kita sedang alami, tetapi kejayaan secara total itulah yang sepatutnya ada dalam diri setiap insan hari ini.

Friday, September 21, 2007

Termimpi-mimpi!

Malam tadi, saya bersembang-sembang dengan anak-anak, juga dengan seorang adik, tentang cerita kriminal dahsyat yang ada di negara kita. Banyak kes-kes lama yang kami bualkan. Tentulah bila kisah kriminal dahsyat yang dibicarakan, banyak peristiwa ngeri yang berbangkit.
Malam tadi juga, saya termimpi-mimpi! Walaupun masa tidur tu tak lupa baca ayat-ayat suci, namun lena saya diganggu. Sebenarnya apa yang terjadi ialah fikiran saya masih teringat lagi perkara-perkara yang dibualkan itu. Kebetulan, sebelum tidur, saya sempat pula menonton sebuah cerita (tak habis tonton pun) thriller tentang seorang penulis.
Pagi ini, bila buka email, ada seorang kenalan yang juga sedang merancang untuk menulis cerita thriller memberitahu saya yang tidurnya selalu terganggu dengan pelbagai kisah yang mengerikan hinggakan payah hendak tidur. Katanya, dia terlalu fikirkan tentang subjek yang mahu ditulis itu. Hah! Jadinya, bukan saya seorang sahaja diganggu mimpi. Dia juga!

Tuesday, September 18, 2007

Tak Tahu Hendak Buat Cerita?

Kalau kita perhatikan, hampir setiap hari ada-ada sahaja kes kriminal yang terjadi di negara ini. Tentu kita tertanya-tanya, macam mana kes itu boleh terjadi. Mungkin juga bila kita fikirkannya, kita akan ada teori sendiri. Mungkin teori kita tepat atau pun tidak.

Tetapi yang penting, kita mula berfikir. Jadi, kalau anda sedang berfikir-fikir untuk menulis, kenapa tidak mulakan dengan sebuah cerita bergenre kriminal? Mesti ramai yang mahu membacanya. Pastikan plot anda berbelit-belit, kerana cerita thriller biasanya berformula yang begitu.

Bagi saya, cerita genre thriller, kriminal atau misteri, memang menarik kerana banyak persoalan diwijudkan dalam jalan cerita yang membuatkan pembaca terpaksa berfikir. Bukan hanya penulis kena bekerja keras, tetapi pembaca juga. Jom, kita cuba menulisnya pula.

Saya percaya industri buku Melayu perlu lebih banyak cerita yang begini. Kita mahu remaja kita terus belajar memikirkan tentang perkara-perkara yang menjadi misteri kehidupan harian.

Saturday, September 15, 2007

Seni Untuk Siapa?

Ada orang menganggapkan bahawa seni itu adalah untuk sestengah orang sahaja. Bukan untuk semua. Bagi saya pula, seni itu adalah hak semua orang tak kisah anda itu siapa. Sekali pun anda pakar sains atau pakar perubatan, seni sepatutnya merupakan sebahagian daripada anda.
Seni bukan sekadar bahasa, lukisan, nyanyian atau lakonan sahaja, saya kaitkan seni untuk segala keindahan dalam dunia ini. Dalam bulan Ramadhan ini, saya cuba melihat seni dari sudut yang berbeza, kerana biasanya orang kita bila masuk sahaja bulan Ramadhan, mereka akan mula mengemaskan rumah dan menghiaskannya.
Tanpa menghayati seni, anda akan memulakan pembaziran, kerana kemungkinan besar wang anda terbuang begitu sahaja tanpa menyedari bahawa apa yang anda lakukan bukan sesuatu yang ada seninya. Mungkin anda keliru dengan apa yang ingin saya sampaikan. Menghayati seni, atau apa yang saya anggapkan sebagai keindahan, tidak semestinya bermakna anda terpaksa mengeluarkan wang dalam menghiasi rumah atau kawasan rumah anda. Apa yang anda perlu lakukan ialah pastikan apa sahaja corak hiasan atau pengubahan, dilakukan dengan cara yang berseni, atau mempunyai estetik yang terserlah.
Bila kita melakukan sesuatu tanpa pedulikan moral estetikanya, maka kesenian akan termusnah. Sebagai contoh ialah warna yang kita gunakan. Biasanya bila kita beli rumah yang sudah siap, warna yang dipilih oleh arkiteknya sepatutnya sudah sesuai dengan rekabentuknya sekali. Janganlah kita menukarkannya dengan sesuatu yang akan merosakkan keindahan warnanya nanti. Kalau kita tidak pasti, tanyalah kepada mereka yang celik warna. Jangan kita main hentam menukar warna dan akhirnya kita memusnahkan keindahan itu sendiri.
Begitu juga bila kita mahu mengubahsuai rumah kita. Cuba lakukannya dengan mengikut konsep rekabentuk yang ada, supaya kita tidak matikan keindahan seninya. Kalau nak tanam pokok pun begitulah caranya. Cuba nikmati dan hayati seni agar keindahan akan menyerap ke dalam jiwa kita. Kita hanya menumpang dunia yang fana ini, janganlah kita menjelekkan keindahan alam sekitar tanpa mempedulikan kesenian yang sepatutnya ada dalam diri setiap insan.
Wallahu'alam

Wednesday, September 12, 2007

MARHABAN YA RAMADHAN!


Kepada semua pengunjung blog ini... jadikanlah nafas kita tasbih di bulan yang mulia ini. Jadikanlah ibadah kepada tidur kita. Semoga segala amalan diterima dan doa diijabah. Selamat menunaikan ibadah wajib ini. Semoga Ramadhan yang mulia menguatkan lagi semangat dan tiang agama kita. ALLAHU AKBAR!

Tuesday, September 11, 2007

Yusri Si Budak Pulau

"Dah lama kamu bawa van ni?" Saya bertanya.

"Lama juga," jawabnya.

"Sebelum ni, tak pernah kerja di luar pulau?" Saya tanya lagi.

"Pernah, kak... tapi tak sesuai. Jadi saya balik ke pulau ni. Mungkin saya ni orang pulau... tak sesuai tinggal di tempat lain."

Itulah Yusri, pemuda Pulau Pangkor yang saya temui baru-baru ini. Kerjanya ialah untuk membawa van pelancong mengelilingi Pulau Pangkor. Macam-macam yang saya tanya Yusri termasuk umurnya. Kata anak muda yang segak itu, umurnya sudah 32 tahun dan sedang bercadang untuk mendirikan rumah tangga dalam sedikit masa lagi. Tentu sekali, sebagai penulis, segala macam perkara yang saya hendak tahu tentang pulau itu saya bertanya kepada Yusri. Saya kagum kerana anak muda itu tahu semuanya. Ini menunjukkan walaupun anak muda seperti Yusri sekadar tinggal di pulau sahaja, tetapi mata dan hatinya sentiasa terbuka. Tanyalah dia apa saja... semuanya dia beritahu kami. Saya tidak beritahu Yusri yang saya ni penulis, kerana saya tahu kalau saya beritahu dia begitu, mungkin lebih banyak perkara yang mahu diberitahu saya, atau mungkin juga dia tak akan beritahu apa-apa.

Apapun... saya mempunyai anggapan yang positif terhadap mereka yang terus tinggal di pulau seperti Pulau Pangkor untuk mencari rezeki. Kita perlukan Yusri yang begini di semua tempat di ceruk-ceruk tanah air.

Tuesday, September 04, 2007

Bila Babi Bermaharajalela

Opah membebel-bebel depan TV.

"Hai, Petronas tu... bukan ke orang beso nya ramai orang Melayu? Takkan tak boleh nak tolong orang Melayu kot? Kenapa yang biarkan sampai dah tinggal sikit aje kedai orang Melayu di Suria KLCC tu? Apa nak megahkan dengan bangunan tinggi kalau dah nak cari makan Melayu kat situ dah payah beno?"

Terpaksalah Minah melayan. "Nak buat macam mana, Opah? Adalah tu... depa saja nak biarkan Mat Salleh tu yang buat keputusan."

"Isy! Bodoh beno orang kita ni... benda macam tu pun payah! habis tu nak tunggu siapa yang tolong? Tiap-tiap hari Opah dengar benda yang sama dema cakap. Agaknya orang Melayu kita layak berniaga kat pasar malam aje kot. Hak tempat elok-elok tu, kita tak layak kot. Kalau pergi ke Suria KLCC tu, opah nengok banyak pulak orang Melayu yang datang... tapi yang berniaga yang tak ada. Isy! Apalah!"

Minah tidak menambah. Masih cuba fokus untuk melihat berita berikutnya.

"Cuba kamu tengok, Minah... apa nak jadi tu? Bukan ke itu orang-orang yang hilang rumah masa tsunami dulu? Kenapa masih dok kat tempat macam tu? Kesiannya opah nengok. Dema kat tempat kerajaan Pulau Punang tu buat tak tahu aje ke? Kot sebab orang Melayu kot... tu yang tak penting."

Belum sempat Minah jawab, opah dah melompat. "Isy, Minah... cuba kamu tengok tu! Babi-babi tu... lagi berkuasa daripada kerajaan negeri Melaka! Cuba kamu tengok, Minah... depa tak boleh buat apa-apa... ada polis, FRU... askar pun ada... tapi takut pada babi-babi tu. Katanya babi-babi tu... babi haram! Isy! babi tu lagi hebat daripada orang Melayu kat Suria KLCC dengan yang kat Pulau Pinang tu!" Opah terus menggeleng-geleng.

"Aku tak suka beno tengok berita macam ni. Apa bendalah kita ni... orang Melayu... kelmarin terjerit-jerit melaung Merdeka... soal babi pun tak boleh nak buat apa-apa. Soal lain tak payahlah! Kesiannya opah tengok. Kita ni nak jadi apalah agaknya!"

Minah terdiam. Sebentar kemudian, keluar iklan TV.

"Siapa kawan baik kamu?"

"Ni... mamat ni... dia India... mamat ni pulak... dia Cina... dan mamat ni... dia Melayu."

Opah menyampuk. "Iyalah tu..."

Saturday, September 01, 2007

Kemerdekaan Dari Mata Aina Emir

Saya cuba tunaikan permintaan seorang kenalan yang asalnya merupakan pembaca setia saya. Katanya melalui e-mel, tulislah tentang kemerdekaan dari mata Aina Emir.

Kebetulan, semasa pagi hari merdeka (31 Ogos), saya sempat membebel kepada anaka-anak semasa sedang memandu menuju ke pekan Nilai. Saya kata, "Kamu semua tak rasa apa yang Umi rasa masa budak-budak dulu. Walaupun Umi tak tengok masa negara kita merdeka, tetapi Umi merasa hidup dalam keadaan negara semasa Komunis masih menjadi cabaran negara. Kebetulan tempat tinggal Umi berada dalam kawasan hitam (Kawasan yang banyak kekacauan pihak Komunis). Umi juga ada semasa negara berkonfrontasi dengan negara Indonesia. Umi juga masih ingat semasa kekecohan yang berlaku ketika kejadian 13 Mei. Pengalaman ini banyak mengajar Umi untuk menghargai sebuah negara."

Anak-anak saya hanya mendengar. Saya sambung lagi. "Orang muda sekarang... melihat merdeka sebagai satu keadaan yang menyeronokan. Mereka melihat kepada hiburan yang dihebohkan sana-sini. Mereka tak rasa apa yang orang tua seperti Umi dengan Abah lalui. Kalau dibandingkan dengan Tok nenek kita, lagilah jauh."

"Malangnya... sekalipun negara dah capai kemerdekaan setelah 50 tahun, Umi tak rasa bahawa orang kita menghayatinya. Mungkin kemerdekaan itu tidak dirasai mereka, kerana sepanjang hidup, mereka tak pernah rasa apa-apa cabaran yang terpaksa dihadapi. Hanya tengok TV tentang negara orang."

"Tapi... cuba kita lihat diri sendiri. Merdekakah kita kalau budaya, amalan-amalan Barat, malah bahasa yang datang dari luar itu yang kita megahkan? Apatah lagi dengan semangat agama yang tak pernah orang ambil berat. Masa zaman Umi dulu... ada juga keadaan yang seperti 'jahiliah', tetapi ketika itu, banyak yang tak tahu itu dan ini tentang agama. Tapi sekarang... kita mungkin lagi malang, kerana ramai yang tahu itu dan ini, tapi tak mahu ambil peduli."

"Tengoklah di sekeliling kita. Nak buat apa pun, semuanya kena berupah. Tak'jolok' tak boleh. Rasuah sudah menjadi 'budaya' terlalu banyak orang hinggakan budaya rasuah tidak lagi dilihat seperti 'berdosa'... lebih kepada 'berdosa' kalau tak buat. SubhanaAllah!"

"Orang kita, sudahlah pakaian entah apa-apa, cara cakap pun ikut suka saja. Cakap Melayu pun ada loghat 'mat salleh', pada hal cakap 'Mat Salleh' pun bukannya betul."

"Tengoklah... betapa ramai di antara kita yang lupa daratan. Kita tak rasa macam orang yang merasakan peperangan. Mungkin kerana itu kita ambil ringan sahaja. Budaya 'Apa-apalah' sudah meresap ke dalam darah. Kita biarkan semuanya berlalu pergi kerana perasaan puas sudah sebati dalam diri. Kita lagi seronok nak berhibur hinggakan kita tak tahu bahawa mereka semua buat duit kerana menghiburkan kita. Kita dah jadi kaku dan tuli... kerana kita dah rasa terlalu puas hati."

Akhir sekali, kita pun turut melaung-laungkan perkataan Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Bukankah semua orang diminta untuk kata begitu?

Thursday, August 30, 2007

JANTAN KE BETINA?

Makcu menyoal Minah. "Siapa, Minah? Siapa yang Opah kamu maksudkan ni? Jantan ke betina?"

"Makcu ni... perempuanlah. Takkan makcu tak perasan kot. Kalau waktu berita tu, muka dia mesti ada. Ada saja isu yang hendak dia perkatakan. Dia kan orang penting? VVIP lah, makcu." Minah gelak.

"Ohhhh... yang itu. Baru makcu perasan siapa yang Opah kamu maksudkan tu. Iyalah... memang dia tu macam tu. Muka dia... taklah macam Melayu sangat."

"Alah, makcu... muka kita-kita ni, macam Melayu ke? takkan itu pulak nak dijadikan alasan. Sekali pun lama merantau, lama belajar di tempat orang... takkanlah sampai hilang identiti kot. Mat salih pun, kalau duduk tempat kita lebih tiga bulan, dah pandai cakap Melayu. Apa yang susah sangat?"

Makcu gelak. "Iyalah... betul kata kamu. Kata Opah pun betul. Kalau cakap orang putih sampai berbuih, cakap Melayu takkan susah kot? Bukannya nak suruh cakap Arab. Lagipun... memang mak ayah dia tu... VVIP tu, boleh cakap Melayu dengan fasih. Macam kita jugak. Kenapa dia tu tak boleh? Boleh pakai baju kurung aje!"

"Entahlah. Teman pun tak tahu nak kata dah. Agaknya bila cakap orang putih tu... nampaklah pandainya. Kalau cakap Melayu... tak adalah nampak pandainya. Macam biasalah, kan. Kita lagi percaya kalau orang putih bercakap daripada orang Melayu bercakap." Minah membebel.

"Aku tengok... Menteri tu... siapa nama dia? Hak jantan tu."

"Jantan yang mana?" Soal Minah.

"Haaaa... aku dah ingat. Rais Yatim! Boleh pun dia cakap Melayu elok-elok. Cakap orang putih pun berbuih jugak, tapi bila suruh cakap Melayu... ha bukan main elok lagi."

Minah tersenyum.

Wednesday, August 29, 2007

SUPER ELITE!

Opah Minah suka benar tanya soalan yang sama. Asyik-asyik itu saja.
"Dia tu... apa kenanya? Orang putih ke?"
"Taklah, Opah. Macam kita nilah." Jawab Minah.
"Tapi... aku tak pernah tengok dia cakap Melayu. Dia tak tahu ke apa?"
"Entahlah, Opah. Minah pun tak faham kenapa dia tak nak cakap Melayu. Lidah dia keras agaknya. Maklumlah... dia tak biasa sangat cakap Melayu ni. Entah-entah memang tak tahu. Minah tak tahulah, Opah." Terpaksa Minah jelaskan kepada Opahnya itu.
"Tiap-tiap hari dia keluar kat TV ni... tapi mesti cakap orang putih. Tak pernah ke ada yang nak tegor dia supaya jangan cakap orang putih aje. Cakaplah Melayu sama. Awak tu kan orang Melayu?" Bebel Opah Minah. "Opah nengok dia suka pakai baju Melayu, tapi takkan baju dia aje yang Melayunya, bahasa tak payah! Melayu ke apa bendanya macam tu? Dia tu orang beso... kuasa pun beso, tapi semangat Melayu langsung tak ada!"
'Betul juga kata Opah aku tu,' bisik hati Minah. Memang Minah sendiri pun tak pernah lihat VVIP tu bercakap Melayu. Bila ditanya, mesti berbuih mulutnya bercakap dalam bahasa penjajah. Hairan bin Ajaib!
Opah Minah masih tidak puas hati. Tambahnya lagi, "Rasa Opah... mak ayah dia okey aje cakap Melayu. Tak ada pulak tak tahu. Bukan ke mak ayah dia jugak selalu masuk kat TV ni?"
"Ya, betul tu, Opah." Jawab Minah lagi.
"Apa pasal yang dia malu beno nak cakap Melayu? Orang lain... raja ke, Sultan ke... Agong ke... boleh pun cakap Melayu. Kenapa dia tak boleh? Macam mana orang bodoh macam aku ni nak paham cakap dia?" Opah merungut lagi.
"Biarlah, Opah. Dia kan Super Elite. Takkan ada orang yang berani nak tegur dia. Semua orang lain mesti kena tegur kalau tak cakap Melayu... tapi dia ... orang segan kot. Maklumlah... kuasa dia memang besar benar di Malaysia ni." Jelas Minah lagi.
"Isy! Tak gemo beno aku nengok... pangkat beso pun... apa gunanya...kalau tak tahu bawak diri. Kalau dah malu... tak payahlah mengaku dia tu rakyat Malaysia. Tak payahlah pakai baju Melayu tu. Susah beno ke... nak jadi Melayu?"
Minah hanya tergelak sahaja. Tapi dia bersetuju dengan pandangan Opahnya itu. Kalau dah malu... tak payahlah mengaku jadi orang Melayu.

Monday, August 27, 2007

MERDEKA DAN BELACAN

Pada suatu hari, sedang Minah berjalan-jalan di sebuah kedai buku elit, dia terserempak dengan seorang kenalan lama. Mereka pernah kenal semasa tinggal di sebuah pekan kecil di utara. Kenalannya itu, bila melihat wajah Minah, terus menegurnya, dalam bahasa Inggeris. "Kita pernah kenal, kan?"
Minah pun jawab jugalah dalam bahasa pengantar yang sama. "Ya... saya rasa saya memang kenal kamu dulu."
Kenalannya itu bertanya lagi, juga dalam bahasa penjajah yang sama. "Kamu buat apa di sini?"
"Saya ni penulis."
"Oh, penulis? kamu tulis buku apa?"
"Saya tulis novel... dalam bahasa Melayu."
"Bahasa Melayu? Oh... saya tak biasa beli buku Melayu. Tak pandai sangat 'vocab' Melayu ni... teraba-raba dan tercari-cari. Anak-anak saya pun tak biasa. Kami memang tak beli buku Melayu." Kenalan itu bercerita dengan bangganya.
Minah pun beredar dari situ. "Tak apalah... saya nak pergi jumpa kawan-kawan yang ada di sana." Minah minta diri, juga dengan bahasa penjajah.
Dalam hati, Minah tertanya-tanya. 'Dia tak tahu dah cakap Melayu? Bukan nak suruh tulis buku, baca pun tak tahu?'. Masih hati Minah berkata-kata.
Minah terus tersenyum seorang diri, kerana Minah terasa hairan. Mungkin betullah kata orang sekarang, orang Melayu ramai yang dah tak ada identiti, atau pura-pura hilang identiti. Mereka lagi seronok kalau mengaku yang mereka tak pandai berbahasa Melayu. Sebabnya, tak 'cool' kalau mengaku yang mereka baca bahan dalam bahasa Ibunda itu.
Bila Minah fikir lagi, bertambah lucu rasanya. Sebab Minah tahu, kenalannya itu tak adalah merantau bertahun-tahun lamanya di tempat orang... sekadar berjalan-jalan (makan angin) sahaja.
Mungkin kerana kenalannya itu lama tinggal di Lembah Klang. Tapi Minah pun apa kurangnya. dah berpuluh tahun tinggal di Lembah Klang. Malah, Minah dah biasa tinggal lama di negara Mat Salleh, tapi lidah Minah masih lagi boleh bercakap macam orang kampung. Minah makin hendak tergelak, bila fikirkan betapa orang Melayu sekarang ini mudah sangat malu kalau dikaitkan dengan Melayu. Agaknya dia orang fikir yang dia orang tu bukan Melayu. Nak kata macam 'orang putih' tak boleh juga, sebab hidung mata dan kulit... tak ada kena-mengena.
'Apa-apalah... ' bisik hati Minah. Kalaulah Opah kenalannya itu tahu (Opahnya dah lama meninggal), mesti Opah dia sedih, kerana Minah masih ingat lagi. Masa dulu, Opah kenalannya itu memang pun cakap Melayu dengan cucu-cucunya. Begitu juga ibu kepada kenalannya. Memang bahasa Melayu merupakan bahasa Ibundanya. Habis tu, mana pergi bahasa yang dia belajar semasa keluar dari perut ibunya?
Minah tergelak lagi, sebab Minah juga tahu, tentu kenalannya tadi masih tak lupa macam mana nak makan belacan dan tempoyak. Habis tu, kalau belacan dan tempoyak masih dirasakan sedap, kenapa malu nak mengaku yang dia juga sebenarnya memang tahu berbahasa Melayu.
Sedihnya Minah tengok sikap orang Melayu. Tak macam orang Thai, orang Korea atau orang Jepun... yang tak pernah malu untuk bertutur bahasa mereka. Bahasa bukankah melambangkan bangsa dan budaya? Kalau tak ada bahasa, apa agaknya bangsa dan budaya kita? kesiannya....
Seribu kali menjeri 'MERDEKA!' pun tak ada gunanya, sebab merdekakah kita kalau identiti diri pun dah tak ada?
Minah terus pergi.

Bila Menulis Untuk Golongan Elit

Memang saya terlalu sibuk, sampai ada orang yang saya temui semasa hujung minggu lepas, mengatakan yang saya kelihatan cengkung. Mungkin tak cukup tidur. Dalam begitu, saya terpanggil untuk mengetengahkan isu ini. Isu 'Penulis menulis untuk siapa?'.
Ada forum yang saya hadiri baru- baru ini yang banyak membincangkan hala tuju penulis lokal, atau penulis tempatan. Rata-rata, penulis lokal ini merasakan kebimbangan kerana terlalu banyak buku dari luar, tetapi buku yang ditulis oleh penulis tempatan tiada tempat di dunia luar. Bukan itu sahaja, malah banyak rungutan yang dikemukakan oleh penulis-penulis lokal ini, berkaitan dengan betapa payahnya nak menjual buku mereka di negara ini. Ada yang merungut tentang perjanjian dengan penerbit, ada juga yang merungut tentang ketiadaan buku mereka di kedai buku.
Saya tidak terlibat dengan forum itu kecuali mendengar sahaja. Mungkin ketika forum itu dibuka kepada hadirin yang ada, saya tidak merasakan dapat menyumbang apa-apa kerana kebetulan, hampir semua yang merungut itu merupakan penulis-penulis buku elit!
Mengapa saya kata elit, kerana mereka menulis buku dalam bahasa Inggeris dan kerana itu juga buku-buku tulisan mereka itu hanya layak dipasarkan di kedai-kedai buku elit sahaja.
Mungkin kita tertanya-tanya, berapa peratuskah golongan elit di negara ini? Ada sampai 10% kah? Atau jauh lebih kurang daripada itu?
Bagi saya, kita sebagai penulis lokal, sebenarnya banyak potensi, tetapi kita juga perlu kreatif, fikir di luar kotak fikiran biasa dan kena berani untuk mencuba. Kita tak boleh hanya fikirkan golongan elit yang jumlahnya kita tahu memang tak besar. Walaupun golongan elit suka membaca dan mempunyai banyak wang kalau dibandingkan dengan masyarakat biasa, namun mereka juga mempunyai banyak pilihan yang produknya dibawa dari luar. Jadi, apakah potensi penulis elit yang mahu menulis untuk golongan elit di negara ini? Bagi saya... memang tak ada sangat.
Sebagai penulis, saya rasa bangga kalau penulisan saya dibaca oleh semua, tak kira mereka elit atau pun tidak. Lebih membanggakan kalau apa yang saya tulis merupakan mesej yang dapat membantu semua, tak kira mereka orang kaya atau pun tidak.

Wednesday, August 15, 2007

Cari Wanita Kaya?

Saya sedang memandu pagi tadi, bila terdengar perbualan dua orang juruhebah yang mengatakan bahawa mengikut kajian yang dilakukan terhadap 'Dating dalam Internet', 33% daripada lelaki, mencari pasangan wanita yang berpendapatan lebih daripada mereka. Ini bermakna bahawa mereka mencari wanita yang mempunyai pendapatan yang selesa agar hidup mereka (Lelaki) turut akan jadi lebih selesa juga. Kecantikan atau usia muda tidak lagi menjadi keutamaan. Mungkin anda tersenyum bila membaca entri saya ini. Mungkin itulah yang anda sendiri lihat di sekeliling anda.
Bagi saya, ada positif dan negatifnya tentang hal ini. Kalau orang perempuan berpendapatan lebih daripada pasangan mereka, mungkin rumah tangga lebih aman. Biasanya orang perempuan memang lebih jimat kalau dibandingkan lelaki, terutama mereka yang biasa berpendapatan lumayan. Lelaki pula, lagi banyak duit, lagi boros. Ini merupakan pemerhatian saya sahaja, bukan bermakna semua orang serupa.
Dalam begitu, bila orang perempuan lebih kaya daripada pasangannya, ada kecenderungan untuk bersifat lebih berkuasa di dalam keluarganya. Kalau kebetulan suaminya jenis tak banyak cakap dan tak suka tunjuk marah... bermakna bahtera mereka akan dinakhodakan Si Isterilah! Mungkin bila ini berlaku dan sifat 'kuasa' terlalu menonjol, Si Suami akan berasa rendah diri.
Apapun, yang penting ialah perasaan bertolak ansur. Tak kira siapa yang lebih kaya atau berpendapatan yang lebih lumayan, kalau sama-sama mahu berkongsi pendapatan dan perbelanjaan, berkongsi perasaan dan sama-sama memikul tanggungjawab rumah tangga, perkara seperti ini pasti dapat ditangani dengan baik dan rumah tangga akan kekal keharmoniannya.

Monday, August 13, 2007

Burung-Burung yang Berterbangan

Saya masih ingat lagi semasa bersembang dengan seorang remaja Orang Asli semasa di Ulu Geroh, Gopeng, Perak. Ketika itu saya dan Reina sedang berbual-bual di tepi sungai di kaki bukit sambil bermain-main dengan anak-anak ikan yang ada di sungai kecil itu. Sambil kaki menjulur di dalam air yang sejuk, banyak hal yang diceritakan Reina kepada saya, terutama tentang alam semula jadi.
"Siapa yang kejutkan kamu setiap pagi, Reina?"
"Burung," jawabnya.
"Burung?"
"Iya... burung kejutkan saya bila jam sekitar 5 pagi. Waktu itu nanti, akan ada burung yang datang berlagu-lagu dekat rumah saya menyuruh saya bangun."
"Setiap pagi... memang begitu?"
"Ya." Jawab Reina lagi. "Malah... bila jam 11 pagi pun begitu. Burung akan memberitahu kami yang mahu ke sekolah petang, bersiap-siap pula. Di sini, kami tak bergantung sangat dengan jam, kerana kemana kami pergi pun, burung akan maklumkan tentang waktunya."
Bunyi macam lucu, tapi saya percaya dengan apa yang dikatakan Reina. Sekarang ini, di rumah saya, perkara yang sama juga saya perhatikan berlaku kepada saya dan keluarga. Rumah kami agak jauh dari surau atau masjid, dan kerana itu saya terpaksa kunci jam untuk pastikan saya sedar bila masuk waktu Subuh. Tetapi... saya juga perhatikan, sekalipun saya tidak mengunci jam, burung-burung di persekitaran kawasan saya sentiasa mengerakkan saya bila Subuh hampir menjelma.
Malah, yang menariknya, awal pagi tadi, saya juga dikejutkan burung sekitar 4.15 pagi untuk bangun bersahur. Saya memang berpuasa hari ini. Sebelum tidur malam tadi, saya memberitahu anak saya yang saya tidak kunci jam untuk bangun bersahur. "Kalau sedar... nanti Umi kejutkan Nana juga..." katanya kepada saya. Alhamdulillah, burung telah mengejutkan saya untuk bangun bersahur!
Setiap hari, selain dari menulis dan mengaturkan taman, saya juga banyak menghabiskan masa mendengar burung-burung berkomunikasi sesama sendiri. Burung-burung yang berterbangan itu, rupa-rupanya banyak menyampaikan informasi kepada kita.

Friday, August 10, 2007

MIMPI ALHAMBRA

Semalam, saya tersentak buat seketika, bila Irfan menghantar e-mel kepada saya, disertakan sama imej buku berjudul 'CINTA ALHAMBRA' terbitan Dewan Bahasa. Penulis buku itu ialah Hassan Ali. Mula-mula saya agak hairan juga, selepas itu barulah saya perasan yang buku itu mengisahkan pengembaraan, mungkin di Andalusia, Sepanyol.
Untuk makluman pengunjung blog ini, semasa saya mula-mula menghantar manuskrip novel pertama saya kepada Alaf21 sekitar 4/5 tahun yang lepas, judul manuskrip saya itu ialah 'MIMPI ALHAMBRA'. Tetapi, sebaik sahaja novel itu hampir diterbitkan, editor saya (Wan Rohana) bincang tentang tajuk novel saya itu. Kerana orang belum mengenali saya, editor saya takut buku saya payah nak jual nanti , kalau kami terus kekalkan judul yang bunyinya agak berat. Setelah berbincang, kami bersetuju untuk ubah kepada 'SESUCI CINTA'. Walaupun saya terasa sedikit terkilan ketika itu, tetapi saya menaruh sepenuh kepercayaan kepada pihak Penerbit, kerana saya percaya mereka lebih tahu apa yang baik atau apa yang tidak. Alhamdulillah, orang ramai menerima dengan baik novel 'SESUCI CINTA' saya itu, dan dari situlah orang mengenali saya sebagai novelis.
Petang semalam , saya menghubungi Wan Rohan (Saja seronok berbual kerana lama tidak buat begitu dengannya), dan saya bercerita tentang imej buku yang saya terima daripada anak saya itu. Yang seronoknya, Wan Rohana juga tidak lupa nama asal manuskrip novel 'SESUCI CINTA'. Katanya, "Eh... ingatlah. Kita yang mula-mula baca manuskrip Kak Aina tu."
Kami berbual-bual buat seketika tentang 'SESUCI CINTA', dan tentu sekali 'BEHZAD', salah satu watak utama dalam novel itu, dibicarakan. Saya tergelak, kerana biasanya, watak itulah yang diingati pembaca saya, dalam 'SESUCI CINTA'.
Semasa saya di Kelantan dulu,menghadiri pelancaran kedai buku, saya didatangi seorang 'Makcik' yang beria-ia bertanya kepada saya, "Buku Behzad, ada? Makcik nak beli. Dulu pinjam orang punya."
Memang lucu bila diingatkan. Ada seorang pembaca saya, yang rajin berjumpa dengan saya di setiap pesta buku KL, akan selalu gunakan dialog yang sama kepada saya. "Kenapalah kamu matikan Si Behzad tu?"
Nampaknya Behzad memang sinonim dengan Sesuci Cinta, lebih daripada Nuraina atau Armand(hero dan heroinnya). Apa-apapun, bila teringat pengalaman pertama buku saya itu diterbitkan, terlalu banyak kenangan manis yang datang membuat saya tersenyum sendirian.

Thursday, August 09, 2007

Menumpang Rasa Sedih

Sejak kebelakangan ini, saya banyak betul buat kerja-kerja menulis. Kadang-kadang rasa penat tak terkira. Yang paling penat ialah otak. Bila terjadi begitu, saya akan berhenti menulis dan berikan tumpuan pada perkara lain.
Antaranya ialah membaca, selain daripada turun ke bawah untuk melihat-lihat taman yang baru kami siapkan (belum sepenuhnya).
Sekiranya saya memilih untuk membaca, biasanya saya akan pilih bahan bacaan yang bukan novel. Saya seronok baca cerita-cerita dalam sejarah Islam dan juga cerita-cerita pendek (kisah benar) dalam buku-buku dari Indonesia yang saya beli atau pun dari negara lain. Saya suka membaca kisah-kisah yang meninggalkan kesan positif untuk diri, atau apa orang kata, cerita yang bermotivasi.
Baru-baru ini, saya membaca sebuah kisah, ia itu cerita daripada seorang ibu yang kehilangan anaknya melalui penyakit AIDS. Anaknya itu telah dijangkiti virus membunuh itu ketika usianya 13 tahun, melalui penukaran darah (dia mengidap sejenis penyakit kekurangan darah ketika itu). Walaupun doktor menjangkakan yang usianya mampu bertahan selama 6 bulan sahaja, tetapi remaja itu terus hidup selama 6 tahun lagi.
Dalam cerita benar yang dipaparkan ini, saya tertarik dengan cara wanita (Si ibu) itu mengatasi perasaan sedih berdepan dengan satu kematian anak yang disayangi. Dia menceritakan bagaimana dia terpaksa memberi semangat kepada anaknya itu untuk berjuang dan dia juga menceritakan bagaimana dia terpaksa memujuk hati bila akhirnya anaknya itu menemui ajalnya.
Bila saya membaca cerita ini, saya tahu dan dapat rasakan bahawa bagi mereka yang berdepan dengan situasi yang begini, tentu sekali apa jua dugaan lain yang mungkin mereka tempuhi, tak akan meninggalkan kesan yang mendalam seperti apa yang terpaksa mereka tanggung bila kehilangan seorang anak. Bayangkanlah mereka yang terpaksa hilang banyak anak dalam satu masa. SubhanAllah!
Sebagai insan yang menumpang di alam fana ini, tentu sekali kita akan sentiasa berdepan dengan dugaan. Setiap dugaan yang kita lalui itu adalah sebuah ujian untuk kita, iaitu Tuhan menguji keimanan kita. Walaupun kadang-kadang perit, namun kalau kita percaya kepada Allah SWT, jiwa kita akan dapat mengatasi segalanya.
Bagi seorang ibu, nilai anaknya tentu sekali merupakan yang paling berharga... namun kita juga harus ingat bahawa semua yang ada ini tidak kekal.
Sebagai penulis, saya mencari ketenteraman jiwa dalam pembacaan seperti itu. Bila kita membaca tentang penderitaan orang lain, tentu sekali kita dapat merasakan keperitannya sama dan mungkin perasaan itulah yang membuatkan kita lebih waras untuk berdepan dengan dugaan yang sentiasa datang mungkin setiap hari!

Wednesday, August 08, 2007

JUAL BUKU

Bukannya mudah nak jual buku, terutama bagi penerbit yang masih berusia muda. Hendak dapatkan penulis dah satu cerita, tetapi yang penting bila buku dah siap, mana nak hantar?
Kalau kita terlalu bergantung pada pengedar, kita akan rasa keperitannya satu hari nanti. Pengedar rajin buat hal. Ada-ada saja. Kadang-kadang, pada mulanya dia bayar dengan baik. Bila sampai masa, dia pun bayar kita. Tapi bila dah banyak wang terkumpul, dia pun buat hal. Ada-ada saja alasannya untuk bayar lambat. Mungkin dia ingat senang nak buli penerbit baru.
Ada pengedar tu pula... dia ada agenda tersendiri. Dia akan edarkan buku mengikut prioriti yang dia sendiri tahu. Mungkin bergantung kepada jumlah keuntungan yang dia akan perolehi dari penjualan buku itu nanti, bukan bergantung kepada kesedapan atau sambutan pembaca. Sebagai penerbit, memang payah nak kawal, sebab dia yang berurusan dengan orang kedai. Mana dia nak letak buku kita, ikut suka hati dialah. Kadang-kadang, mungkin dia tak letak langsung!
Ada pula tu, kerana mungkin kutipan keuntungan kian hari kian merosot, maka pengedar tu pun bertukar dan mula jadi penerbit buku.
Apa akan terjadi bila pengedar dah jadi penerbit buku? Tentulah dia akan utamakan bukunya dulu. Di mana-mana pun, dia akan pastikan buku-bukunya diletakkan di depan. Tak kiralah sama ada buku dia sedap atau tidak, elok atau tidak, yang penting buku dia mesti ada di semua tempat dan di depan sekali. Tak cukup dengan itu, walaupun buku dia tak sedap dan tak elok, dia akan letakkan label 'best seller' di depan kulit bukunya atau mungkin pada posternya. Pembaca pun berebut-rebut beli!
Apa akan terjadi pada penerbit yang bergantung sepenuhnya pada pengedar tadi? Mudah saja... kalau tak buat sesuatu, atau tak cari jalan untuk atasi masalah ini, penerbit ini akan bungkus. Pengedar tadi akan besarkan syarikat penerbitannya, kerana semua penulis dari penerbit yang bergantung kepada pengedar tadi, akan lari kepadanya pula.
Memang bukan senang nak jual buku!
Kalau kita pilih untuk jadi penerbit, kia kena ada strategi. Kalau tidak, memang kita tidak selamat dalam dunia buku!