Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, November 30, 2009

Masalah? Small Matter Je!



Kalau kita rasakan kita ada masalah, ingatlah, orang lain juga bermasalah.Mustahil ada orang yang hidupnya tanpa sebarang masalah. Perfect! Kita mungkin risau, ingatlah, ramai lagi yang lebih risau daripada kita. Kita tak berduit, lebih ramai yang hidup tak bermakanan, tak ada pakaian dan tak berbumbung. Kita putus cinta... sebenarnya itu sekadar 'small matter', ramai yang sedang berdepan dengan penyakit yang tak tentu lagi ubatnya.

Saya teringat cerita lama, sebuah kisah benar. Suatu ketika dahulu, kawan saya (biar saya namakan dia Y)sedang gundah gulana kerana suaminya ada 'awek' baru. Suami Y memang berjawatan tinggi dan gaji yang lumayan. Y macam orang gila dibuatnya, tak dapat terima kenyataan yang suaminya gilakan perempuan lain. Saya dan teman seorang lagi (saya namakan N), selalu juga bincangkan soal Y.

Saya bertanya kepada N, "You risau tak kalau suami you jugak buat hal macam suami Y tu?"

Kata N kepada saya, "I tak kisah. Small matter sahaja. Kalau Y jadi I baru dia tahu macam mana I rasa."

Ketika itu N sedang mengidap barah yang teruk. Baginya, penyakitnya jauh lagi berat daripada segala masalah domestik seperti itu. "Apa yang I boleh buat, kecuali berserah pada Tuhan. Kalau suami buat hal, kita masih ada masa depan lagi.Tapi kalau sakit macam I ni... I tahu nyawa I berada di hujung pedang."

Memang benar, sekitar setahun setengah selepas itu, N meninggal dunia. Saya menangis dan hingga hari ini, saya teringatkan kata-katanya. Y pula, sudah berkali-kali suaminya buat hal hinggakan dia juga sudah lali. Life goes on, selagi kita mempunyai kesihatan yang baik. Begitulah hidup kita, kerana setiap kali kita bermasalah, kita terlupa yang semua kita mempunyai masalah dunia. Yang penting, ingatlah, kita ada Tuhan yang sentiasa menyayangi kita. Sayangilah Dia.

Sunday, November 29, 2009

Seronok Beraya!



Alhamdulillah, saya panjatkan syukran ke hadrat Ilahi,biasanya Hari Raya Korban tidaklah sesibuk tahun ini. Kali ini, hingga ke hari raya ketiga pun masih ada tetamu yang datang menziarahi kami. Seronoklah pulak. Sibuk melayan teman-teman yang datang dari Sabah dan Singapura. Kakak saya dari Muar pun beraya dengan kami, dan tahun ini, kami dah ada dua orang menantu. Bakal menantu saya pula, turut datang ke rumah, kerana kebetulan dia tak dapat cuti, tak boleh balik ke kampung. Riuh rendahlah rumah kami.

Petang nanti, mungkin akan mula berasa sunyi kerana teman saya akan pulang ke Sabah, kakak saya juga akan balik ke Muar. Anak-anak pula balik ke rumah masing-masing.

Tetapi, saya dah biasa begini... sunyi dan sepi. Bila tak ada orang, apa lagi, senanglah saya nak menulis.Tetapi apabila ada tetamu, seronoklah melayan mereka.

Sepanjang cuti kali ini, rumah tak kering dan tak putus dengan makanan, kerana kawan saya dan kakak saya suka memasak. Ada-ada saja menu yang disediakan, semuanya istimewa!

Walaupun ini rumah saya, tetapi kerana mereka sibuk di dapur, saya macam orang datanglah. Duduk di depan dan melayan tetamu yang datang. Bila adik-adik ipar saya datang dari Gombak,mereka pun bawa makanan, bertambahlah meriah rumah kami. Macam berkelah lah kami semua. Begitulah suasana Hari Raya EidilAdha tahun ini. Semoga anda semua turut bergembira dan sama-sama meraikan pengorbanan yang kita amalkan buat agama yang tercinta.

Thursday, November 26, 2009

Salam Eidil Adha!



Salam Eidil Adha buat semua yang berkunjungan ke blog ini! Semoga segala pengorbanan kita akan menguatkan iman dan mengukuhkan perjalan hidup kita sebagai seorang Muslim. Tentunya, kemunculan Hari Raya Korban ini mengingatkan saya kembali, bertahun-tahun yang lalu, semasa saya sedang mengerjakan ibadah haji di tanah suci Mekah. Semasa saya ke sana dulu, saya terus ke Mekah dan ketibaan kami ketika itu telah melihatkan kepada keadaan yang sudah penuh sesak. Manusia sudah ada hampir 2 juta. Bayangkanlah. Ada ketika, semasa hendak keluar dari masjidil haram, jam dan tak bergerak!

Tahun itu juga, semasa kami di Mina, ramai yang mati akibat terhempap dek manusia. Lebih seratus yang meninggal dunia akibat tidak sabar. Tetapi kami yang berada di situ tidak tahu akan hal itu, hanya melihat helikopter berulang alik di ruang udara. Kemudian, barulah kami dengar cerita. Salah satu saat yang mencemaskan ialah semasa melontar, tetapi ada suatu hari itu, langsung tak sibuk hingga mengahirankan kami. Kuasa Tuhan. Tahun itu juga, ramai yang kena sakit (virus) hinggakan ada yang kena paru-paru berair. Salah seorang room mate saya hampir tak dapat mengerjakan hajinya kerana diserang sakit.

Namun alhmadulillah, saya langsung tak sakit apa-apa. Sebelum pergi untuk menunaikan haji, doktor mengesahkan bahawa darah saya berada di tahap yang teramat rendah (problem anemik saya) dan menasihatkan saya supaya tak usah pergi dulu tahun itu. Tetapi saya berkeras untuk pergi. Kerana itu, puas saya berdoa agar apabila saya di tanah suci nanti, Tuhan berikan saya kesihatan yang baik. Takut tak dapat mengerjakan haji dengan sempurna. Alhamdulillah, Allah SWT menghadiahkan saya kesihatan yang baik dan kecergasan dan walaupun ramai yang jatuh sakit (malah, kumpulan pakej kami ada yang sakit teruk), saya telah dipeliharai-Nya. Semasa balik pun, saya masih sihat.

Saya berada di sana sekitar tiga minggu sahaja (21 hari) tidak 40 hari seperti yang biasa orang lakukan, kerana suami saya tak dapat bercuti lama. Pengalaman mengerjakan haji memang berbeza daripada mengerjakan umrah. Semasa ke tanah Mekah dan Medina untuk buat umrah, kami relaks sahaja dan tidak berpusu-pusu dengan lautan manusia.

Apa-apa pun, saya sentiasa teringatkan tanah suci Mekah dan Medina...insya-Allah, saya berharap akan dapat ke sana lagi dalam masa yang terdekat ini.

Tahun ini, seperti tahun-tahun yang lalu, saya mengirimkan korban kami sekeluarga ke tanah Kemboja. Semoga sumbangan kami akan membantu mereka di sana dan sama-samalah kita menghargai dan menghayati semangat korban yang ada dalam agama kita yang mulia ini.

Wednesday, November 25, 2009

Perwatakan



Sudah biasa,hampir setiap hari saya updatekan blog. Pagi ini pulak, lepas solat Subuh saya dah ada di depan komputer, tetapi kepala otak agak berserabut, mungkin banyak benda yang saya kena fikirkan. Ada kala, pagi-pagi macam ni, saya tenang sahaja, tetapi ada kala memang berserabut. Saya percaya saya jadi begini sebab ada benda yang masih saya belum siapkan. Ah, tapi kan biasa? takkanlah setiap hari sama sahaja. Boringlah pulak nanti.

Teringatlah pulak kisah semalam. Saya berbincang dengan salah seorang student yang sedang buat praktikal di KarnaDya. Pelajar itu banyak membantu menyemak manuskrip yang masuk KD untuk dibuat penilaian. Kebetulan, pelajar itu memang kaki membaca. Jadi, kami berbual lah tentang apa yang perlu dicari dalam sebuah manuskrip novel itu. Kami bersetuju, perkara yang terpenting ialah kelainan. Setiap manuskrip, bila kita baca, itulah yang kita cari. Apa yang lainnya tentang manuskrip itu. Lepas itu kita mencari turun naiknya jalan cerita. Cari juga'teka-teki' yang ada dan semua persoalan. Mesej, pengajaran dan info baru. Tentunya tentang watak-wataknya.

Pelajar itu bertanya dengan saya, "Kenapa kebanyakan watak dalam novel, mesti cantik dan segak?"

Saya kata, "Kerana itu yang pembaca nak tengok dalam novel. Kalau lakarkan watak yang hodoh, nanti pembaca tak suka." Kami ketawa.

Tetapi bagi saya, yang penting ialah perwatakan karakter itu. Kalau kita gambarkan hero yang handsome tetapi perwatakannya tak menarik, maka karakternya jadi tak menarik. Misalnya, kita gambarkan hero yang terlalu 'perfect' perwatakannya... asyik sabar dan 'give in' hinggakan makan diri, tentulah pembaca akan jadi bosan.

Apa-apa pun, terpulanglah kepada cara penulis menggambarkan watak-wataknya. Mungkin okey saja buat watak yang cantik, tapi karakternya mesti mencabar juga, barulah seronok membaca. Betul tak?

Bagi saya, kalau nak buat watak hero dan heroin yang nampak 'lain'sikit,okey jugak, tapi jalan cerita lebih sesuai kepada sesuatu yang mempunyai unsur humor.

Tuesday, November 24, 2009

Hidupkan Tulisan Anda!



Satu lagi tip yang ingin saya ketengahkan tentang penulisan, ialah cara kita mencari bahan untuk tulisan kita itu. Rajin-rajinlah melayari laman web yang berkaitan tentang isu yang hendak dibangkitkan, tak kira sama ada isu itu kecil atau besar.Jangan sama sekali kita main tembak-tembak atau hentam sahaja. Misalnya tentang bangsa atau agama orang-orang di sesuatu tempat itu. Kalau kita tak pasti, semaklah laman web yang berkaitan dengan subjek yang kita sedang cari itu. Saya bagi contoh, ya.

Saya sedang mencari maklumat tentang orang-orang Kemboja sekitar 30 tahun yang lalu. Saya kena pastikan kerajaan yang ada di negara itu ketika itu. Apakah amalan yang dipraktikkan ketika itu dan negara apa yang rapat dengan negara Kemboja sewaktu itu. Kalau saya main hentam sahaja, mungkin cerita saya tidak hidup, kerana saya tak mampu menonjolkan persekitaran yang tampak natural. Akan ada pembaca yang tertanya-tanya, kenapa isu itu dibangkitkan kalau penulis tidak dapat mengaitkan dengan alasan yang kukuh?

Misalnya, kita sedang bercerita tentang sesuatu tabiat pelik yang diamalkan karakter dalam penulisan kita. Bawalah pembaca dekat dengan 'mengapa tabiat seperti itu boleh wujud'. Semaklah dulu sebelum kita tulis. Biarlah pembaca kita belajar sesuatu yang baru. Kalau kita tidak berikan maklumat yang baik kepada pembaca, maka pembaca sekadar berhibur sahaja tetapi tak belajar apa-apa yang berguna untuk mereka.

Bagi saya, janganlah suka bercerita sahaja tetapi langsung tak memberi info yang kukuh untuk pengetahuan pembaca kita. Walaupun kita melakarkan sebuah fiksyen, kita perlu ingat bahawa sebagai penulis, kita juga bertanggungjawab untuk mengembangkan pengetahuan pembaca-pembaca kita. Malah, sebagai penulis, kita sentiasa belajar sesuatu yang baru.

Teruslah menulis!

Monday, November 23, 2009

Jemu Ke Berkahwin?



Semalam, saya menghadiri majlis perkahwinan anak buah di Kelana Jaya. Majlis yang gilang-gemilang lagi meriah itu diwarnai oleh pelbagai artis terkenal (tak payahlah saya sebutkan nama-nama mereka yang hadir). Siap pengantin lelaki menyanyikan sebuah lagu romantis untuk pengantin perempuannya. Maklumlah, pengantin perempuan bertugas di sebuah stesen televisyen di negara ini. Apa yang saya suka tentang majlis perkahwinan ialah kerana dapat bertemu dengan ahli keluarga dan teman-teman lama dari dekat dan jauh.

Apa-apa pun, setiap kali menghadiri majlis yang seperti itu, macam-macam yang datang di benak hati, terutamanya tentang keseronokan bertemu dan keseronokan mengadakan majlis perkahwinan seperti itu. Biasanya juga, pengantin 'happy' semasa mula-mula berkahwin. Tetapi mengapa agaknya setelah beberapa ketika, banyak yang berubah?

Kenapa setelah berkahwin, suasana romantis dan bahagia itu boleh menyepi? mengapa tidak pasangan terus hidupkan segala yang meriah dan seronok itu? kenapa kita jemu dan kenapa pula banyak yang dah tak kena?

Semasa jatuh cinta, semuanya harum dan hati pula sentiasa mengembang bak bunga di taman. Kalau boleh setiap hari nak dengar suara, kalau dapat setiap saat nak berjumpa. Tetapi...bila dah lama kahwin (Kadang-kadang tu tak lama mana pun)semuanya serba tak kena. Tak usahkan nak bermanja-manja, nak pandang muka pun dah tak suka. Mungkinkah kita tak pandai bersabar, tak pandai mengalah, tak pandai mengambil hati dan tak reti nak menilai kehidupan berumah tangga?

Alahai... malasnya nak membebel di awal pagi. Okeylah, lain kali ajelah kita membebel lagi. Hasta lavista!

Saturday, November 21, 2009

Jangan Cemburu, Sayang



Pagi Semalam, seorang teman lama telah tiba dari Sabah. Memang dah lama saya tak bertemu dengan teman saya ini. Kali terakhir dia datang ke rumah saya, anak bongsu saya baru sahaja berusia setahun. Semasa itu, saya baru pulang dari UK. Bayangkanlah, anak bongsu saya sekarang sudah 17 tahun. Kakak saya yang tinggal di Muar pun tiba dari rumahnya untuk 'join' kami berdua. Semasa saya kahwin dulu, kawan saya inilah yang menjadi pengiring saya. Dia berketurunan Sino-Kadazan. Ayahnya Cina dan ibunya Kadazan.

Malam tadi, panjanglah cerita kami. Sampai ke lewat malam, kami masih belum tidur sebab berbual-bual. Banyaklah kisah lama yang diceritakan. Salah satu ialah tentang seorang teman yang sangat cantik orangnya. Saya namakan dia Jay. Hingga sekarang, dia masih cantik lagi. Jay berkahwin dengan seorang doktor pakar, tetapi bagi mata kami, suaminya itu tidaklah 'hensem' mana. Kami selalu bayangkan tentulah suaminya itu cemburu kerana isterinya cantik. Tetapi mengikut cerita kawan saya yang datang dari Sabah ini,Jay pula yang cemburu gila! Walaupun suaminya tak 'hensem' mana, Jay cukup main takut kalau suaminya itu diambil orang.

Memang manusia ini pelik-pelik,kan? Kebanyakan kita ini takut dengan bayang-bayang sendiri. Bimbangkan benda-benda yang tak perlu kita bimbangkan. Cemburu merupakan penyakit yang sangat tidak sesuai untuk kita semua. Mungkin cemburu yang sedikit-sedikit tu, okeylah... tetapi cemburu yang gila-gila tu mampu merosakkan segala-segalanya.Pasangan kita akan berasa bosan kalau hidupnya terpaksa dikongkong. Kalau keluar rumah sahaja, bagaikan kena buat laporan tentang aktiviti kita pula. Tadi pergi ke mana, dengan siapa, buat apa. Memang tidak sesuai diamalkan orang perempuan. Bertambah kita cemburu, lagi sakitlah hati kita kerana kita akan bayangkan yang bukan-bukan. Benda tak ada pun mungkin akan jadi ada.

Yang penting bagi saya, kita kena percaya 'partner' kita. Kalau tak percaya, macam mana rumah tangga kita nak jadi aman? Kalau kita asyik syak-wasangka sahaja, macam mana nak bahagia? Perkara yang bukan-bukan akan merasuk jiwa kita dan akhirnya nanti akan makan diri.

Wallahua'lam.

Friday, November 20, 2009

Tak Dapat Ikut Kata Hati



Biasanya, banyak benda yang kita hendak buat ikut kata hati. Tetapi malangnya, ada benda yang memang kita tak dapat mengikut kata hati. Salah satunya ialah judul buku kita. Inilah yang sedang saya alami. Setiap kali saya menulis manuskrip untuk novel saya, saya akan berikan tajuknya. Tetapi sebaik sahaja masuk untuk diterbitkan, tajuk saya akan ditolak oleh bahagian SALES. Kata mereka, "Tak boleh tajuk ni, dah ada buku bertajuk itu," atau mungkin, (ini merupakan alasan yang paling biasa diberikan)"Tajuk ni tak komersiallah."

Terpaksalah saya menukarnya. Kadang-kadang dengan berat hati, kadang-kadang dengan suka hati. Apa nak buat, bukannya senang. Kita boleh katalah, "Saya ni penulis, ini tajuk buku saya," tetapi mereka itu yang nak pergi jual buku kita. Kalau tajuk yang tak cukup komersial, mungkin susah pulak nak jual.

Salah satu tajuk yang saya berikan dan tidak diubah, ialah BUNGA-BUNGA KEMBOJA... Alhamdulillah, walaupun buku itu laris dijual, tetapi kalau dibandingkan dengan yang lain, BBK agak ketinggalan sedikit, sekalipun kualiti ceritanya tidak ada beza dengan yang lain-lain. Mungkin judulnya tidak cukup komersial! entahlah...

Tetapi, saya tak kisah sangat. Di Malaysia memang macam itu. Kalau di Barat, bolehlah kita katakan, "Don't judge a book by its cover," tetapi di Malaysia, ungkapan itu memang tak boleh pakai. Pembeli dan pembaca, apabila nak pilih buku, mereka lebih suka melihat kepada cover nya. Di depan dan juga di belakang. BBK juga mempunyai masalah yang sama semasa cetakan asalnya, kerana di bahagian belakangnya yang biasanya kita cerita tentang sinopsis ringkas, hanya surat sahaja yang diletakkan. Pembaca di Malaysia lebih suka tahu sedikit sebanyak cerita yang akan mereka baca dalam buku itu. Jadi... tak usahlah buat kelainan yang pelik-pelik, takut pembeli susah nak pilih buku kita.

Begitulah kisahnya... kadang-kadang memang tak dapat mengikut kata hati kita dalam pilihan COVER BUKU yang akan diterbitkan!

Thursday, November 19, 2009

MATA HARI



Oh, bukan... saya bukannya nak bercerita tentang Matahariku, novel saya itu, tetapi tentang satu karakter penari bogel di era perang dunia pertama, yang pernah menjadi terkenal di Eropah,terutamanya di Peranchis. Mungkin anda pernah dengar kisah wanita ini, tetapi bagi anda yang tidak pasti, inilah kisahnya secara ringkas. Mata Hari ialah nama samarannya. Nama asal ialah Margarethe, berketurunan Belanda. Ketika beliau berusia 19 tahun, Mata Hari telah berkahwin dengan seorang pegawai tentera Belanda dan tinggal di Pulau Jawa dan juga Sumatra. Semasa di Indonesia, beliau telah jatuh hati dengan pelbagai tarian Jawa dan di situ juga beliau telah kehilangan anak lelakinya dan selepas itu, setelah pulang ke Belanda, dia dan suami telah bercerai. Ketika usianya mencecah 30, Mata Hari mula bertukar kulit, menjadi rama-rama malam.

Wanita Eropah ini telah berlakon seolah-olah dia adalah seorang puteri Jawa yang berbapakan seorang Berahmin Hindu dan nama Mata Hari mula diperkenalkan di dunia berkuasa dan berharta. Beliau telah menjadi seorang penari eksotik, dan kemudiannya bertukar menjadi penari bogel, selebihnya dia memilih untuk menjadi gundik kepada pelbagai orang ternama dan atasan di Eropah. Dari situlah, peranannya mula berubah menjadi seorang perisik. Pada asalnya dia menjadi perisik Jerman dan kemudian berperanan sebagai 'double agent'untuk Jerman dan Peranchis. Akhirnya, Mata Hari telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman tembak mati. Begitulah kisah hidup glamor yang pernah diharungi oleh seorang wanita biasa-biasa yang berubah menjadi luar biasa!

Wednesday, November 18, 2009

Aku Aje Yang Ada Masalah!


Kenapa kita sering rasa begini ya? kita rasakan bagaikan kita seorang sahaja yang ada masalah, orang lain tak ada!

Baru-baru ini ada seorang teman memberitahu saya, "Aku tak tahu nak buat macam mana lagi, husband aku ni... memang tak boleh diharap langsung!"

"Kenapa?" saya menyoal.

"Dia tak pernah teringin nak tolong aku kat rumah ni. Kami sama-sama kerja, tapi kerja kat rumah aku buat sorang-sorang. Aku kena masak, aku kena cuci kain, lipat lagi, bila anak-anak kat rumah, aku yang jaga... semuanya aku."

"Husband kau bila kat rumah, buat apa?"

"Dia baca buku, surat khabar, kadang-kadang tengok TV, tak pun dia tidur."

"Dia tak keluar ke, main golf ke, lepak-lepak dengan kawan ke?" soal saya lagi.

"Tak. Dia lepak kat rumah."

"Okeylah tu. At least dia ada dengan kau kat rumah. Walaupun tak tolong kau, dia ada aje... kalau dia melepak kat luar, lagi kau sakit hati." Kata saya pula.

"Iyalah... husband orang lain, tak ada macam husband aku ni. Tengok husband neighbour aku ni... asyik tolong wife dia. Sidai kainlah, gosok bajulah... macam-macam yang dia buat."

"Bukan semua orang sama." Kata saya lagi. "Tapi okeylah tu husband kau. Dia tolong kau bayar bills, kan?"

"Iyalah... tapi mana boleh macam ni? asyik aku aje yang penat."

"Kalau kau rasa penat, kau janganlah masak. Kau suruh dia beli makanan yang siap. Kalau kau malas nak gosok baju, kau hantar dobi. Berbelanjalah sikit. Carilah jalan supaya kau tak penat."

"Nanti husband aku bising pulak." Katanya.

"Katakan kepada dia, kau penat. Kalau tak nak kau penat, suruhlah dia tolong. Kau kena buat macam tu, kalau tak dia mana tahu yang kau penat?"

Kawan saya mula tersenyum-senyum.

Bukankah itu masalah kita semua? Kita rasakan seolah-olah kita sahaja yang berdepan dengan masalah hidup sedangkan orang lain tidak?

Tuesday, November 17, 2009

Kenapa Rasa Sunyi?



Ramai yang tak sedar bahawa kesepian yang dihadapi dalam diri boleh ditepiskan, atau dibuang pergi. Namun kalau dibiarkan, akan terus-terusan memakan diri dan akhirnya mungkin boleh menjadi racun kepada diri.

Mengapa kita rasa sunyi? mungkin kerana masa kita banyak dan tak tahu nak buat apa. Ada orang memang masanya banyak terluang dan dia jadi bingung kerana tak tahu apa yang boleh dilakukan. Bila disuruh buat sesuatu, mungkin sahaja dia akan memberi alasan itu dan ini, padahal memang sah waktu dia sememangnya terbuang begitu sahaja.

Ada orang pula terasa sunyi, mungkin kerana sesuatu yang berlaku dalam hidupnya. Misalnya kematian, perpisahan, berjauhan, pergaduhan... apa-apa saja yang boleh membuat perasaannya sepi.

Apa-apa pun, kalau kita usahakan, perasaan sunyi lagi sepi itu kita boleh buang jauh-jauh. Asal kita tahu sebabnya, kita pasti dapat menepisnya.

Carilah aktiviti yang kita suka lakukan. Lakukan dengan rela hati dan penuh semangat. Insya-Allah, apa-apa sahaja yang boleh melemahkan semangat kita, mampu kita atasi.

Monday, November 16, 2009

Godalah Dia




(SAMBUNGAN)
Ada yang menghantar e-mel kepada saya. Katanya, dia pun mengalami keadaan yang sama seperti kenalan saya yang bernama Hanim. Katanya lagi, dia sudah berumah tangga selama dua belas tahun.

Apa agaknya yang kita boleh lakukan kalau berdepan dengan situasi demikian? Mungkin kita kena tanya diri, masihkah aku sayang kepadanya? jangan tanya hati yang biasa-biasa, tetapi tanyalah hati kecil kita. Hati kecil kita lebih mengenali kita. Kalau masih sayang, maka lakukanlah sesuatu.

Sesuatu yang saya maksudkan ialah bagaimana untuk membuat dia melihat kita dengan mata hatinya. Maknanya, dia melihat dan sekaligus terasa di hatinya. Mungkin kita kena buat sesuatu... PERUBAHAN. Lakukanlah perubahan pada diri kerana kita mampu lakukan itu. Kita tak boleh mengubah pasangan kita, tetapi boleh mengubah diri kita,jadi bermulalah di situ.

Tengok pada diri kita. Apakah aset besar kita pada matanya? kita mesti tahu itu... apa yang dia paling suka tentang diri kita. Mungkin mata kita, mungkin cara kita bercakap, mungkin juga tangan kita, atau apa-apa sahaja yang orang lain tak melihat. Pastikan aset kita itu kembali seperti dulu.

Lakukanlah senaman. Tak kiralah kita kurus atau gemuk, senaman memang baik untuk semua. Selain daripada lebih fit dan mungkin membentukkan tubuh dengan lebih baik, senaman dapat mengeluarkan segala ketegangan pada diri. Senaman juga mampu membina keyakinan diri kita.

Semasa di rumah, pastikan kita sentiasa bergaya di matanya.Tak usahlah over-over pula hinggakan dia berasa pelik melihat kita. Memang ramai yang tak sedar, pakaian semasa di rumah selalu menjadi sebab suami hilang mood melihat isteri. Pakailah pakaian yang boleh meningkatkan selera dia apabila melihat kita. Jangan pakai kain batik macam 'mak cik-mak cik' atau macam 'tok nenek' kita. Kalau di rumah, jangan suka pakai serkup kepala. Kalau nak pakai tudung, terus pakai elok-elok, kalau tidak, bukalah tudung kita (apa salahnya kalau tak ada orang lain yang bukan muhrim).Pastikan rambut kita sentiasa cantik dan berbau wangi. Malah, pastikan diri kita sentiasa wangi. Bermodal lah sikit.

Eloknya,kita juga meluangkan masa dengan membelai muka dan badan kita. Pergilah ke salon kecantikan, kalau tak cukup modal, usaha untuk buat sendiri. Jangan biarkan kulit muka kita tak berjaga. Berikanlah cahaya kepadanya. Kalau rajin, cuba pula mandi bunga. Mandi bunga mampu memberi kita tenaga dan menambah 'attraction'. Kalau tak tahu nak buat macam mana, carilah maklumat.

Ubah cara kita bercakap dengannya. Buatlah perlahan-lahan. Mungkin juga cubalah menggodanya. Hantar-hantarkan mesej kepadanya. Mungkin dia akan berasa pelik, tetapi kita buat-buat bodoh saja. Tanyakan khabar dia dan kemudian, bila sudah bersedia, ajak dia teman kita pergi lunch atau minum petang.

Banyak lagi yang boleh anda lakukan untuk memperbaiki keadaan. Yang penting, carilah jalan dan usahakan. Jangan biarkan anda hidup dengan kebosanan dan akhirnya merobohkan segala harapan. Berdoalah kepada Tuhan. Lakukanlah semua ini kerana-Nya.

Saya sekadar memberi tip, dan tak semestinya tip ini yang terbaik buat anda. Anda mengenali diri sendiri dan dirinya, buatlah apa yang terbaik untuk anda berdua.Insya-Allah... Tuhan akan memberi jalannya.

Sunday, November 15, 2009

Bila Semuanya Dah Jadi Bosan



Saya ingin berkongsi cerita seorang teman. Tak usahlah saya sebutkan siapa dia, sekadar menamakan dia sebagai Hanim sahaja. Mungkin apa yang dilalui Hanim,dilalui juga oleh orang lain. Kata Hanim kepada saya, selama tempoh perkahwinannya, hanya di awalnya sahaja dia bahagia. Mungkin hingga ke tahun ketiga. Selepas itu, semuanya membosankan. Kalau mula-mula dulu, semuanya bagaikan indah belaka, terasa berada di awang-awangan, tetapi sebaik sahaja sudah ada cahaya mata, kemesraannya mula hilang. Dia tidak menyalahkan suaminya sahaja, kerana katanya dia juga tidak berjaya menarik perhatian suami lagi.

Masing-masing sibuk bekerja dan apabila pulang ke rumah, masih sibuk lagi. Melayan anak, dan bila hujung minggu pula, tak habis-habis pulang ke kampung, kalau tak ke kampung dia, ke kampung Hanim pula. Masa tidak pernah ada untuk mereka berdua. Kalau berjalan shopping pun, tak pernah berpegang tangan lagi. Rasa macam janggal. Malah, tiada lagi 'intimate moments' antara mereka berdua.

Mengikut cerita Hanim, bukan dia tidak teringin untuk lebih mesra dengan suami, tetapi semuanya berubah tanpa disedari dan tanpa dapat dikawal. Tahu-tahu gaya hidup mereka sudah berubah. Malah, katanya lagi, mungkin kerana dah lama sangat begitu caranya, agak janggal kalau mahu diubahkan. Hanim mula cari peluang untuk mengisi 'kekosongan'yang dirasakan itu. Katanya, dia hampir jatuh cinta dengan seorang teman yang ditemui semasa bekerja. Mujurlah tak sampai ke mana. Mujur juga dia teringatkan anak dan Tuhan, katanya.

Sekarang ini, setelah sepuluh tahun berkahwin, Hanim dan suami memang sudah lama hilang semuanya. Mereka sekadar hidup sebumbung, tetapi hati di tempat lain-lain. Hanim mengesyaki yang suaminya mempunyai 'kekasih' kerana kadang-kadang suaminya itu kelihatan sibuk berSMS, kadang-kadang juga sibuk melayan panggilan pada masa-masa yang dikirakan janggal. Tetapi, masing-masing tak pernah sentuh pasal hal-hal ini. Mereka mempunyai rumah yang dibeli secara berkongsi bersama. Mungkin malas nak fikirkan tentang perceraian, tetapi kata Hanim kepada saya, dia terasa sunyi dan bosan giler dengan hidupnya. Malah, walaupun masih kongsi kamar tidur, tetapi mereka tidak pernah kongsi apa-apa kemesraan. Mungkin masing-masing sedang tunggu untuk pasangan membuka mulut.

Kata Hanim, hatinya memang tidak ada lagi pada suami. Walaupun dia tiada orang lain, tetapi suaminya juga tiada lagi di hatinya.

"Umur saya baru 35 tahun, tapi saya dah hidup dalam kedaan yang membosankan, kak... apa yang boleh saya buat?"

Tentunya saya bersimpati, namun bukan mudah untuk saya beri nasihat. "Saya bertanya juga kepadanya, "Pasti ke Hanim dah tak sayang dia lagi?"

"Tak tahulah, kak... sebenarnya, kak... kami memang dah lama tak berbual, tak bercakap-cakap. Setakat apa yang perlu dan patut-patut sahaja. Sekarang ni, kak... saya dah jadi segan nak salin baju depan dia. Kalau saya terserempak dengan dia dalam bilik, saya masuk bilik air untuk salin pakaian."

Saya sedang fikir-fikirkan apa jalan terbaik untuk selamatkan keadaan. Kalau anda ada idea yang baik, emel lah kepada saya. Mungkin anda dapat membantu teman saya ini.

Friday, November 13, 2009

Korea vs Bollywood






Pagi ni nak cerita sikit pasal kegilaan gadis-gadis (gadis aje ke?), mak gadis pun sama... masing-masing seronok tengok drama Korea, bukan setakat syok dengan jalan cerita yang jiwang-jiwang, tapi lagi syok dengan aktor-aktornya. Kadang-kadang rasa peliklah jugak, ada lah jugak hero Korea ni yang nampak macho, tapi ada jugak yang tak berapa macho (nampak macam perempuan sebab cantik sangat, atau nampak macam lembut?) hehe... tapi ada lah satu dua yang memang macho. Muka macho (hidung mancung mata sepet), badan... huhu! berotot-otot...nampak seksi. Yang tu kot yang budak-budak perempuan syok tengok. Diaorang tak teruja sangat dengan drama Jepun, mungkin sebab aktor Jepun tak sehebat Korea.

Zaman gila kat aktor bollywood dah hampir berlalu kot. Dah jarang dengar budak-budak perempuan 'talk about bollywood guys'... dah tak syok sangat tengok mamat2 berjoget-joget kot...

Tapi inilah trend hari ini. Rasa saya, aktor Indonesia pun tak sangat digilai gadis-gadis kita. Aktor drama Melayu...lagilah kureng. Agaknya aktor kita tak nampak macam romantik kot. Satu dua aje yang okey-okey.

Apa-apa pun, aktor Korea menang sebenarnya ialah kerana mereka pandai berlakon kot.Macam real...pandai menjiwai watak jiwang dan sebab tu lah, walaupun matanya sepet-sepet, tetapi mereka kelihatan romantik and seksi. Gadis Melayu suka hak macam tu.

Okeylah... saja aje teringat, sebab saya selalu berborak dengan pembaca-pembaca saya, dan ramai yang suka bercerita tentang drama Korea!

Thursday, November 12, 2009

Sindrom Paranoid



Saya bukan seorang doktor perubatan, jauh sekali seorang pakar psikologi, tetapi dalam entree kali ini saya nak bercerita tentang sindrom ini. Sindrom di mana seseorang berdepan suatu 'personality disorder'... perasaan tidak percaya kepada orang di sekelilingnya. Orang yang berdepan dengan sindrom ini biasanya suka bersyak wasangka dengan orang lain. Mereka suka mencari apa-apa maksud tersorok yang ada pada orang lain dan kerana itu, setiap kebaikan yang dilakukan orang lain kepada mereka tidak akan diterima dengan baik pula. Bagi mereka, orang-orang ini ada motif jahat tertentu. Seterusnya, bagi orang yang mengidap sindrom paranoid, mereka akan berjauh dengan orang lain dan selalunya sangat 'dingin' sifatnya!

Huh! siapa yang selalu macam ini ya? kalau ikut apa yang saya baca, siapa-siapa pun boleh dapat sindrom 'syak wasangka'ini. Tetapi jangan hairan kalau orang yang biasa terkena sindrom ini merupakan mereka yang bijak pandai. Mungkin tanpa disedari, kerana mereka pandai, mereka tidak mampu melihat orang lain boleh memberi nasihat dan boleh juga berkongsi perasaan dengan mereka. Biasanya juga, orang yang mengidap sindrom ini, pernah melalui sesuatu yang meninggalkan kesan negatif kepada mereka. Mungkin latar belakang keluarga atau mungkin juga pengalaman hidup yang dilalui mereka!

Mungkin kerana itulah kadang-kadang kita melihat ada pasangan yang payah nak hidup bersama, kerana perasaan 'syak wasangka' sentiasa ada. Perasaan ini sebenarnya boleh membunuh kesetiaan yang dihulurkan. Kadang-kadang, mereka payah nak ngam dengan sesiapa pun, termasuk kawan baik, apatah lagi orang yang disayangi!

Wednesday, November 11, 2009

Memori Silamku



Tuesday, November 10, 2009

Lagu-lagu Lama



Lagu-lagu lama sering membawa kita kembali kepada nostalgia lama. Mungkin kerana itulah banyak lagu-lagu lama mampu bertahan dan terus menjadi evergreen. Saya ni bukanlah peminat lagu-lagu Melayu Asli, tetapi ada beberapa lagu, bagi saya memang sedap dan mendayu-dayu.Kalau tak percaya, pergilah ke You Tube dan dengar kembali lagu-lagu yang saya maksudkan. Antaranya ialah lagu Datuk Sharifah Aini... 'Di Pinggir Kayangan' dan 'Penawar Rindu'. Saya juga senang dengan lagu 'Bunga Tanjung'. Suara Sharifah Aini memang lunak dan sedap didengar. Saya tak pernah mendengar Sharifah Aini menyanyi secara live, tetapi saya pernah dengar biduanita Saloma, Aishah dan juga Hetty Koes Endang menyanyi secara live... memang meremang bulu roma apabila mendengar mereka menyanyi.

Saya memang suka sangat-sangat suara Aishah dan salah satu lagu favourite ialah 'Pulanglah'... lagu Hari Raya. 'Janji Manismu'pun sedap. Suara Aishah memang power! malah, memang payah nak dapat suara power macam suara Aisah tu.

Wajah Aishah dan Hetty koes Endang, banyak persamaan dan kedua-dua mereka tidak tinggi, tetapi kedua-duanya mempunyai suara yang power giler!

Kalau Hetty, saya suka sekali lagu dia yang berjudul 'Kasih', saya boleh dengar berulang-ulang kali. Sangat romantik dan syahdu.

Dalam pada itu, ada satu lagu dangdut yang saya suka... dangdut original dari negara seberang, 'Kopi Dangdut' nyanyian Fahmi Shahab. Memang seronok dengar lagu tu... rasa macam dulu-dulu.

Apa lagi, jom layannnn!

Monday, November 09, 2009

Identiti Diri



Pada entree kali ini, saya ingin bercerita tentang luahan hati seorang kenalan, yang tiba-tiba sahaja dapat tahu yang dia sebenarnya adalah seorang anak angkat!

Umur kenalan saya ini sudah mencecah 30-an, tetapi masih belum berkahwin. Katanya, selama hidupnya, tak pernah sekalipun terlintas di fikiran atau di hati, yang dia sekadar anak peliharaan sahaja. Katanya, ibu dan ayahnya membelanya bagaikan menatang minyak yang penuh. Tak pernah terdengar 'gosip' atau terjadi apa-apa yang boleh mendetikkan hatinya tentang kedudukannya itu. Perkara itu berbangkit, apabila ayahnya meninggal dunia dan kakaknya mahu menikah. Ketika itu, kerana dia merupakan anak lelaki tunggal, sangkanya dialah yang akan menjadi wali untuk menikahkan kakaknya. Tiba-tiba, pak ciknya yang datang dari utara telah menjadi wali.

Kenalan saya itu hairan dan merungut kepada ibunya. Semasa itulah cerita tentang 'anak angkat' itu berbangkit. Dia terkejut teramat sangat. Tiba-tiba sahaja dia terasa terasing, sedangkan dari dulu lagi tak pernah perasaan seperti itu datang kepadanya.

Sekarang ini, kenalan saya sedang berusaha untuk mencari identiti dirinya. Dia ingin tahu dia anak siapa. Siapakah ibu bapanya dan macam-macam lagi yang dia ingin tahu. Katanya, sebagai insan mahluk Allah SWT, dia ingin tahu dia datang dari ibu bapa yang seperti mana.

Saya bersimpati kepadanya, kerana saya tahu perasaannya itu. Kalau sejak kecil lagi dia sudah tahu tentang dirinya itu, mungkin tidaklah terluka sangat hatinya. Mungkin dia sudah mampu untuk mengawal perasaan.

Siapa pun, pasti ingin mengenali identiti diri. Kalau tidak, hati akan terasa kosong!

Saturday, November 07, 2009

Selera Lelaki Melayu Sudah Berubah?



Muna bercerita kepada temannya, "Aku nak kahwin tak lama lagi, Mel."
"Dengan Fendi lah ni?"
"Kau tahu kan, aku dah lama berkawan dengan dia."
"Asal kau happy, okeylah tu."
"Aku happy dan aku tahu dia pun happy. Cuma aku tak tahulah famili dia macam mana."
"Kenapa? sebab umur kau ke?"
"A'ah. Aku tua lima tahun daripada dia."
"Apa salahnya? kau tak nampak tua pun. Muka macam budak-budak, okeylah tu."
"Aku tahu. Sebenarnya kan , Mel... aku tak tahu kenapa dia selesa berkawan dengan aku? nak kata aku ni cantik sangat, aku ni biasa-biasa aje."
"Dia nak isteri yang matang, Muna.Dia senang macam tu. Ramai lelaki hari ini merasakan yang mereka perlukan isteri yang jauh lebih matang daripada mereka. Dia suka dimanja-manjakan. Kalau isteri muda sangat, tahu-tahulah... macam-macam yang dia demand. Dah tu, mengada-ngada pulak. Letih agaknya melayan kerenah perempuan yang mengada-ngada ni."
"Yalah... mungkin sebab tu agaknya dia selesa berkawan dengan aku. Aku bukan jenis demanding."
"Kau kenal dengan Hakim tak? Hakim yang pernah berkawan dengan Aisyah tu? Hakim baru saja kahwin... dengan Lisa. Lisa tu janda anak tiga. Lisa juga tua daripada Hakim, tua lapan tahun.Okey apa. Hakim nampak happy. Dia kata pada kami,"Aku tak kisah kahwin dengan janda ni. Aku rasa senang nak urus, sebab dia banyak bertolak-ansur, tak ada nak mengarah aku itu ini.Yang bestnya, dia layan aku, dia manjakan aku... aku nak apa lagi? mestilah happy."
"Kau rasa, Mel...trend sekarang memang macam tu ke?"
"Lelaki dah ubah cita rasa? mungkin juga. Lelaki Melayu hari ini, dah tak macam dulu-dulu lagi. Stail hidup hari ini dah berubah,jadi selera mereka pun berubah."
"Yalah...mungkin betul kata-kata kau ni."

Friday, November 06, 2009

Kegagalan Yang Membahagiakan


Ada orang di dunia ini, dilahirkan sebagai insan yang selalu menang. Dan kerana itu,dia tidak tahu bagaimana hendak kalah. Baginya,kekalahan itu adalah satu kelemahan yang teramat dahsyat. Dia hanya mahukan kedudukan yang terletak di depan dan teratas. Kalau tertinggal, dia tidak mampu untuk mengendalikan hati yang kecewa. Baginya, hidup mestilah berjaya, tidak mungkin boleh gagal!

Kalau anda merupakan orang yang jenis ini, mungkin anda juga merupakan orang yang malang.Kerana anda tidak tahu bahawa sebenarnya kekalahan dan kegagalan itulah yang membuat seseorang itu lebih kuat, lebih tabah dan mampu untuk berdepan dengan apa-apa jua rintangan.Janganlah kita melihat kegagalan itu sebagai satu kelemahan kerana setiap kegagalan itulah yang akan membuat kita lebih kuat untuk menjadi orang yang menang dan berjaya.

Setiap kegagalan akan mendatangkan perubahan dalam hidup kita, insya-Allah. Kita akan ubahkan perspektif kita dan kerana itu, kita akan berusaha untuk mengatasi kejatuhan yang menimpa kita itu.

Janganlah kecewa kalau kita gagal hari ini dan jangan biarkan kegagalan itu menghancurkan masa depan kita.Bangkitlah, fikirkan strategi yang boleh mengubah, yang penting kita mestilah usahakannya!

Jadilah manusia yang tidak takut untuk gagal. Kalau kita takut mencuba, itulah kegagalan yang sebenarnya. Banyak yang jadi kaya-raya dan berjaya dalam hidup dek kerana pernah tempuhi kegagalan dan kekecewaan dalam hidup.

Life is beautiful... jangan takut untuk menikmatinya.Insya-Allah, sekalipun kita pernah gagal atau jatuh tersungkur, itulah yang akan datangkan kebahagiaan kepada kita.

Thursday, November 05, 2009

Ending yang Positif


Kebetulan, saya mendapat e-mel daripada pembaca-pembaca yang menceritakan kisah hidup mereka. Mungkin sebagai wanita, kita tak dapat lari daripada berdepan dengan pelbagai dugaan hidup. Kalau tidak semasa kanak-kanak, mungkin semasa remaja, atau mungkin juga selepas berumah tangga. Tuhan Maha Adil... setiap insan akan diduga dan tahap dugaan-Nya itu mungkin seimbang dengan kemampuan insan itu juga.Cuma mungkin kita yang tidak sedar.

Kemurungan merupakan satu penyakit di mana lebih ramai orang perempuan yang mengidapnya. Orang perempuan mudah dilanda murung, mungkin juga kerana perubahan hormon. Ada di antara kita, yang payah mengatasi perasaan tertekan yang kadang-kadang terpaksa berdepan dengan kita.

Ada remaja yang sukar berdepan dengan tekanan ibu bapa, ada yang tak tahu membawa diri dalam masyarakat,kadang-kadang pula tak pandai nak mengendali hati dan jiwa. Bila dewasa, masih payah nak 'handle' perasaan. Bila tertekan, mereka jadi kucar-kacir. Ingatkan bila dah kahwin boleh jadi okey, ramai juga yang masih tak okey. Malah, ramai yang berputus asa dengan perkahwinan mereka.

Saya percaya, keadaan seperti inilah yang membuatkan ramai orang perempuan membaca, terutama sekali novel cinta. 'ESCAPISM' merupakan tujuan utama mereka. Tapi salah ke? kalau itu menjadikan terapi untuk membuatkan seseoarng itu lega dan tenang... saya tak rasa ia salah. Malah, ia sangat-sangat membantu. Biar mereka tahu ada orang lain juga mengalami pelbagai masalah dalam dunia ini.

Walaupun novel cinta membawa kepada 'ending' yang bahagia, apa salahnya? bukankah itu yang kita carikan dalam hidup ini? Kebahagiaan.Biarlah semangat positif mencari kebahagiaan tersemat dalam jiwa kita. Ini adalah lebih baik daripada sikap negatif yang mungkin ada pada sesetengah orang.

Yakinlah, kita boleh mencapai kebahagiaan, insya-Allah.

Wednesday, November 04, 2009

Rugi Ke Baca Novel Cinta?


Ada orang mengatakan bahawa apabila kita membaca novel, terutamanya novel-novel bertemakan cinta, kita sebenarnya membuang masa. Tak ada faedah yang kita dapat, sekadar hiburan kosong semata-mata. Betulkah tuduhan seperti ini?

Sebenarnya terpulanglah kepada diri kita untuk menilainya. Kadang-kadang,kita membaca mungkin buku-buku ilmiah, buku-buku serius misalnya tentang sejarah, atau mungkin tentang sesuatu pendapat, atau mungkin juga buka agama, selesai baca, kita bertanya diri sendiri, apakah kesan pembacaan itu kepada diri kita? mungkin ada ilmu yang kita perolehi, fakta baru, nasihat, mesej, ajaran dan macam-macam lagi.

Apakah novel tidak mampu melakukan semua itu? terpulanglah kepada penulisnya dan bagaimana pula pembacanya menilainya. Penulis yang bijak akan selitkan pelbagai mesej penting yang sesuai dijadikan panduan pembacanya. Penulis yang bijak akan mengaturkan mesej agar pembacanya tidak lupa kepada kebesaran Tuhan.

Ketenangan serta 'hiburan' yang ada dalam novel itu sendiri dapat merelakskan pembacanya dan ini merupakan satu terapi yang tiada nilainya. Jalan cerita dalam novel juga biasanya banyak teka-teki dan ini membuatkan pembacanya berfikir-fikir dan tentunya tidak menjumudkan daya pemikirannya.

Banyak penulis menyelitkan fakta-fakta menarik, mungkin ada kaitan dengan kerjaya karakter dalam novel, latar tempat dan pelbagai lagi yang merupakan maklumat baru buat pembacanya. Yang penting, novel 'bertema cinta' mampu memberi injection kepada mereka yang terasa kosong dan sunyi. Kekosongan jiwa dan kesunyian diri boleh mencederakan seseorang itu... dan kadang-kadang membaca novel dapat menepis segala perasaan yang terdera itu!

Apa-apa pun bagi saya, jadilah orang yang bijak... yang tahu mengambil apa-apa yang baik dan buangkan apa-apa yang kita rasa tidak sesuai untuk diamalkan. Jadilah orang yang rajin membaca agar hidup kita sentiasa teransang.

Tuesday, November 03, 2009

Bersih Di Luar Bersih Di Dalam


Awal petang itu, sekitar 2.20 petang, saya sedang menunggu anak bongsu tamatkan waktu sekolah di depan pintu masuk sekolah. Kebetulan, sebuah sekolah rendah juga terletak tidak jauh dari sekolah anak saya ini. Sedang saya duduk-duduk dalam kereta sambil menunggu, tiba-tiba saya terlihat seorang kanak-kanak lelaki sekitar 10 tahun, yang sangat 'happy' kerana ibunya sudah tiba untuk menjemputnya. Anak tadi, yang sedang minum air, terus sahaja menghumban bekas airnya (gelas plastik) di kawasan padang yang berdekatan lalu terus sahaja membuka pintu untuk masuk ke dalam kereta. Ibunya tadi (bertudung litup), relaks sahaja dan langsung tidak menegur perbuatan anaknya itu. Memang bersepah sampah sarap (plastik minuman) di kawasan itu. Saya percaya budak-budak sekolah yang mencampaknya dan mengotorkan kawasan di depan sekolah.

Saya tidak faham kenapa kanak-kanak dibiarkan melakukan pencemaran alam seperti ini? sungguh menyedih dan memalukan. Dalam Islam, kebersihan adalah sangat penting. Mengapa agaknya ibu bapa tidak mengajar anak mereka untuk menjaga kebersihan? Mungkinkah bagi mereka kawasan itu bukan rumah mereka, jadi biarkan sahaja? kalau di luar kotor, bagaimana pula rumah mereka?

Bagi saya, anak-anak mesti dididik dari kecil lagi. Ajarlah mereka supaya jangan membuang sampah merata-rata. Buang dalam tong sampah. Kalau tak ada tong sampah, simpan dan kemudian buang dalam tong sampah! Kebersihan tandas pun begitu. Di rumah lagi ibu bapa sepatutnya mendidik anak-anak, supaya mengguna tandas dengan betul. Jangan biarkan tandas berbau!

Kalau di rumah mereka tak tahu menjaga kebersihan, jangan haraplah di sekolah mereka akan menjadi orang yang bersih. Mungkin kerana itu juga, kita jarang-jarang melihat atau terjumpa tandas yang bersih di sekitar kawasan surau dan masjid. Kenapa begitu? bukankah itu tempat kita mengerjakan sembahyang? takkanlah kita hanya jaga tempat solat, tetapi tandas kita biarkan kotor?

Pagi-pagi lagi saya dah membebel, tetapi memang saya terkilan. Saya tak kisah kalau keadaan sesebuah rumah itu tidak teratur atau pun kelihatan daif. Tetapi saya tak suka kalau sampah dibiarkan merata-rata tempat, berbau busuk dan tandasnya berbau!

Ajarlah anak-anak kita supaya jadi orang yang pentingkan kebersihan. Kalau bersih di luar, insya-Allah hatinya juga bersih. Tetapi kalau di luar kotor, bayangkanlah di dalam!

Monday, November 02, 2009

Di Manakah Kau Suraya?


Pernahkah anda membaca novel saya yang berjudul 'Bunga-Bunga Kemboja'? Kisah Nabil, Nur Qahira dan juga Nadya. Nur Qahira atau Chaya merupakan gadis kacukan Kemboja-Melayu, ibunya Melayu tetapi ayahnya berketurunan Kemboja yang asalnya bukan Islam. Chaya dibesarkan datuk dan neneknya dalam agama yang berbeza daripada agama asalnya, iaitu Islam. Kisah Chaya atau Nur Qahira ini, saya ambil dari kisah benar seorang teman yang sememangnya berasal dari Johor. Dalam cerita benar ini, anaknya itu bernama Suraya dan bekas suaminya itu pula berasal dari Burma atau Myanmar.

Kami bertemu dengan kawan kami ini semasa kami tinggal di England dulu. Dia dan suaminya bertemu dan kahwin di sana,beberapa tahun kemudian, mereka datang lagi ke England bersama anak mereka itu. Saya percaya, Suraya kini berusia dalam 24 atau 25 tahun... namun kami dah lama tidak menemuinya lagi. Anak gadis itu, memang sangat cantik. Ibunya merupakan seorang yang sangat cantik. Namun, ibu bapa Suraya telah bercerai.Ibunya pulang ke Malaysia (bekerja sebagai pensyarah). Pada mulanya Suraya tinggal dengan ibu, namun sesuatu terjadi, tahu-tahu Suraya sudah berada di Myanmar. Kini, kami sudah tidak tahu Suraya berada di mana... setahu kami, dia tidak lagi berada dengan ibunya, tetapi terus tinggal di Myanmar dan ada kala berada di UK.

Saya percaya memang banyak cerita benar yang sebegini... perkahwinan campur, satu orang Malaysia dan satu lagi orang luar. Memang malang bagi kanak-kanak yang terpaksa berpisah dengan ibu bapa mereka dan bertambah malang sekiranya agama mereka juga hilang dek kerana keadaan tertentu yang memaksa mereka berada dalam situasi yang tak menentu itu.

Hari ini, saya masih teringatkan kanak-kanak comel yang bernama Suraya itu. Apakah nasib dia, saya tidak tahu kerana kami tidak lagi mendapat berita tentangnya. Mungkinkah satu hari nanti, dia juga akan jadi seperti Nur Qahira... bertemu dengan cahaya yang akan memulangkannya kepada agama asalnya, iaitu Islam? Saya sentiasa doakan untuknya. Insya-Allah.

Sunday, November 01, 2009

Panggilan Buat Kekasih



'ABANG'? panggilan buat kekasih lelaki yang menjadi favourite kekasih perempuan Melayu. Biasanya, sang isteri akan menggunakan panggilan ini buat suami mereka.Saya bertemu dengan sepasang suami isteri, suaminya orang Arab (dari Mesir), isterinya Melayu. Mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi si isteri panggil suaminya 'Abang'. Very sweet and loving.

Banyak juga isteri Melayu yang suka memanggil diri sendiri 'Ayang' bila bercakap dengan suami.Mungkin si suami memanggilnya 'Sayang'. 'Sayang' semestinya merupakan panggilan favourite buat 'couple' Melayu. Mungkin antara yang paling romantik. Bagi sayalah... hehe

Saya pernah bergurau dengan menantu saya (yang berbangsa Uzbek), tentang panggilan isteri buat suami yang menggunakan 'abang'. Dia berkata kepada saya, "Why called 'brother'?" Nak tergelak juga, kan? A'ah... kenapa panggil 'Abang'? mungkin kerana panggilan itu menunujukkan hormat seorang perempuan buat suaminya.

Lain-lain panggilan yang saya sering dengar ialah 'baby','darling', 'honey', ada juga panggil 'dear'. Masa dulu-dulu, isteri Tok Guru Quran saya memanggil suaminya 'Dia', bunyi macam 'dear' jugak... hehe

Jadi... apa panggilan 'favourite' anda semua?

Saya suka 'sweetheart' (walaupun saya sendiri tak guna buat suami), 'princess'... biasanya saya gunakan untuk kanak-kanak,termasuk anak-anak saya. Saya guna 'sayang' buat semua yang saya sayang... termasuk teman-teman, pembaca-pembaca dan orang-orang yang jauh lebih muda daripada saya.

Satu lagi: Intan payung... hehe macam kat Upin Ipin tu... best jugak.