Monday, November 16, 2009

Godalah Dia




(SAMBUNGAN)
Ada yang menghantar e-mel kepada saya. Katanya, dia pun mengalami keadaan yang sama seperti kenalan saya yang bernama Hanim. Katanya lagi, dia sudah berumah tangga selama dua belas tahun.

Apa agaknya yang kita boleh lakukan kalau berdepan dengan situasi demikian? Mungkin kita kena tanya diri, masihkah aku sayang kepadanya? jangan tanya hati yang biasa-biasa, tetapi tanyalah hati kecil kita. Hati kecil kita lebih mengenali kita. Kalau masih sayang, maka lakukanlah sesuatu.

Sesuatu yang saya maksudkan ialah bagaimana untuk membuat dia melihat kita dengan mata hatinya. Maknanya, dia melihat dan sekaligus terasa di hatinya. Mungkin kita kena buat sesuatu... PERUBAHAN. Lakukanlah perubahan pada diri kerana kita mampu lakukan itu. Kita tak boleh mengubah pasangan kita, tetapi boleh mengubah diri kita,jadi bermulalah di situ.

Tengok pada diri kita. Apakah aset besar kita pada matanya? kita mesti tahu itu... apa yang dia paling suka tentang diri kita. Mungkin mata kita, mungkin cara kita bercakap, mungkin juga tangan kita, atau apa-apa sahaja yang orang lain tak melihat. Pastikan aset kita itu kembali seperti dulu.

Lakukanlah senaman. Tak kiralah kita kurus atau gemuk, senaman memang baik untuk semua. Selain daripada lebih fit dan mungkin membentukkan tubuh dengan lebih baik, senaman dapat mengeluarkan segala ketegangan pada diri. Senaman juga mampu membina keyakinan diri kita.

Semasa di rumah, pastikan kita sentiasa bergaya di matanya.Tak usahlah over-over pula hinggakan dia berasa pelik melihat kita. Memang ramai yang tak sedar, pakaian semasa di rumah selalu menjadi sebab suami hilang mood melihat isteri. Pakailah pakaian yang boleh meningkatkan selera dia apabila melihat kita. Jangan pakai kain batik macam 'mak cik-mak cik' atau macam 'tok nenek' kita. Kalau di rumah, jangan suka pakai serkup kepala. Kalau nak pakai tudung, terus pakai elok-elok, kalau tidak, bukalah tudung kita (apa salahnya kalau tak ada orang lain yang bukan muhrim).Pastikan rambut kita sentiasa cantik dan berbau wangi. Malah, pastikan diri kita sentiasa wangi. Bermodal lah sikit.

Eloknya,kita juga meluangkan masa dengan membelai muka dan badan kita. Pergilah ke salon kecantikan, kalau tak cukup modal, usaha untuk buat sendiri. Jangan biarkan kulit muka kita tak berjaga. Berikanlah cahaya kepadanya. Kalau rajin, cuba pula mandi bunga. Mandi bunga mampu memberi kita tenaga dan menambah 'attraction'. Kalau tak tahu nak buat macam mana, carilah maklumat.

Ubah cara kita bercakap dengannya. Buatlah perlahan-lahan. Mungkin juga cubalah menggodanya. Hantar-hantarkan mesej kepadanya. Mungkin dia akan berasa pelik, tetapi kita buat-buat bodoh saja. Tanyakan khabar dia dan kemudian, bila sudah bersedia, ajak dia teman kita pergi lunch atau minum petang.

Banyak lagi yang boleh anda lakukan untuk memperbaiki keadaan. Yang penting, carilah jalan dan usahakan. Jangan biarkan anda hidup dengan kebosanan dan akhirnya merobohkan segala harapan. Berdoalah kepada Tuhan. Lakukanlah semua ini kerana-Nya.

Saya sekadar memberi tip, dan tak semestinya tip ini yang terbaik buat anda. Anda mengenali diri sendiri dan dirinya, buatlah apa yang terbaik untuk anda berdua.Insya-Allah... Tuhan akan memberi jalannya.