Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, May 15, 2015

Dengki Tahap Gaban

Assalam

Hari yang baik, hari yang dimuliakan. Malah, hari-hari pun hari yang baik kerana Allah yang sediakan waktu dan saat buat kita semua, asal sahaja ada umur lagi, insyaa-Allah.

Rajin ke tidak membaca kitab suci al-Quran? Atau ada yang tak pernah baca pun, atau mungkin baca sekali-sekala sahaja. Ketika Nabi Muhammad S.A.W ada umurnya, kitab al-Quran tidak ada dalam bentuk tercetak atau buku, yang ada hanyalah hafalan ayat-ayat Tuhan. Ketika di zamannya, umat Islam di Mekah dan Madinah dan umat Arab yang lain, mampu untuk lakukan itu dengan pantas kerana mereka semua berbahasa Arab. Ayat-ayat suci al-Quran telah diturunkan Allah dalam bahasa Arab. Hari ini, kita mampu membacanya melalui percetakan yang disediakan sekalipun mungkin kita tak tahu bahasa Arab. Kita juga mampu untuk menghafalnya dan memahaminya kerana banyak tafsiran yang disediakan dalam pelbagai bahasa yang digunakan di dunia ini.

Cuba kita lihat pada surah al-Fatihah. Betapa cantik dan indahnya ayat-ayat yang diatur Allah swt. Aturlah terjemahan dalam apa jua bahasa, tak mungkin akan jadi seindah apa yang diaturkan dalam bahasa Arab itu. Fantastic!

Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam, Yang maha pengasih dan maha penyayang. Satu doa buat kita ummat Islam dan surah itu mendahului surah-surah lain dalam al-Quran. Diakahiri pula dengan surah An-Nas, di mana manusia diminta untuk berlindung pada Tuhannya manusia. Kita diminta untuk berlindung dari segala kejahatan syaitan yang bersembunyi, yang membisikkan kejahatan ke dalam dada manusia.

Antara kejahatan yang mampu memakan hati manusia ialah 'DENGKI'. Surah Al-Falaq, meminta kita manusia berlindung pada Tuhan dari segala kejahatan termasuk mereka yang 'penyihir' dan juga kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki. Mungkin inilah yang dikatakan dengki tahap gaban! Mampu melakukan segala kejahatan apabila sifat dengki mentakluki dada dan iman.

Semoga kita berjaya menjadi insan yang mengutamakan kebaikan di atas nama Allah swt. Ketepikan segala perbuatan jahil dan jahat. Biarlah kita menjadi penghuni syurga. Aamin ya Rabbal alamin.

Wassalam.