Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, July 18, 2011

Mencari Jalan



Salam

Sudah dua hari saya tak update blog ini, almaklumlah bila hujung minggu kadang-kadang terlalu sibuk. Semuanya hendak dilakukan masa hujung minggu itu. Nak mengemas, nak beli-belah (yang ni saya memang tak suka buat kecuali mustahak), melayan tetamu (biasanya tetamu suka menziarah masa hujung minggu) dan tentunya untuk menghadiri majlis perkahwinan. Kebetulan, semuanya berlaku masa hujung minggu yang lepas ini.

Saya didatangi tetamu jauh pada hari Sabtu dan pada hari Ahad pula, kami menghadiri majlis perkahwinan anak teman yang juga sangat rapat dengan anak saya. Apa pun, tahniah Juman (anak kawan saya yang kami panggil Juju), semoga berbahagia hingga ke syurga. Iyalah, dari budak-budak hingga dewasa kita melihat mereka, dan kini sudah pun bergelar isteri orang. Kebetulan juga majlis perkahwinannya diadakan di pekarangan 'Taman Botanikal' Putrajaya dan berkonsep taman. Saya dan ibu pengantin, kami memang merupakan orang yang gila-gila bunga dan taman... jadi, sangatlah sesuai! Alhamdulillah.

Tergerak juga pagi ini untuk bercerita tentang sesuatu yang saya rasa mungkin semua orang merasakannya, hanya payah untuk menggambarkannya sahaja. Ianya ada kaitan dengan 'Mencari'. Seorang penulis Barat telah menulis tentang hal ini di dalam novelnya yang berjudul 'Freedom'. Dalam novel itu beliau bercerita tentang 'pencarian' sesuatu yang payah untuk dilakarkan.

Baginya, manusia hari ini hidup terlalu bergantung kepada 'wang' hinggakan tidak tahu untuk bebaskan diri dari soal itu. Segala-galanya berkaitan dengan wang. Seolah-olah kebahagiaan mampu dikecapi kalau berwang yang banyak. Penulis adalah seorang 'jutawan' dan dalam novel itu beliau bercerita tentang kebebasan untuk berfikir dan lakukan apa yang mahu dilakukan tanpa ambil kisah dengan hal wang. Mengikut pengalamannya, 'wang' tidak pernah mampu membahagiakannya.

Mungkinkah apa yang dikatakannya itu benar?

Tentu kita semua bersetuju bahawa 'wang' bukan semua dan segala-galanya dalam hidup ini. Wang hanyalah sebahagian sahaja dalam hidup kita. Ada ketika, wang tidak memberi apa-apa makna pun sekadar tolong membayar keperluan sahaja. Tetapi, ada insan tertentu di dunia ini, hidupnya hanya mahukan 'wang' sahaja. Baginya, wang adalah segala-galanya. Dengan wang dia mampu berkuasa dan semestinya bila ada kuasa, bertambah banyaklah wang datang. Kalau tidak, mungkin tiada mereka yang bersikap seperti 'Firaun', tamak haloba, sedangkan berjuta-juta manusia yang tak mempunyai makanan. Lihatlah negara seperti di Somalia, Bangladesh, India,Pakistan,Sudan dan banyak lagi. Malah, di negara kita, juga di negara Barat, ramai yang tak cukup makan dan pakai. Mereka yang tak cukup makan dan pakai tak semestinya tidak bahagia dan mereka yang mempunyai wang setinggi gunung tak semestinya akan selamat sejahtera.

Sebanyak mana kuasa yang kita ada, akhirnya kita akan hilang semuanya. Betul, kan?

Itulah yang saya maksudkan dengan mencari. Mencari kekebasan, ketenangan jiwa,kebenaran, kawan dan teman, tanpa perlu fikirkan tentang hal 'wang' atau harta. Bebas untuk hidup selagi ada umur tanpa perlu terikat dengan soal wang.

Di akhir zaman, ramai yang terus mencari. Namun ramai juga tersasul dan terlupa bahawa kita akan jumpa semuanya kalau kita dekatkan diri dengan Tuhan. Tuhan sediakan jalan yang lurus buat umat-Nya yang mahu mengikut jalan itu. Yang tidak mahu, mereka boleh lakukan apa sahaja kerana tentunya ada juga jalan yang luar biasa.


Wallahua'lam.