Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, April 07, 2017

Buat Apa Yang Aku Senang

Assalam

Dah lama saya tak update blog ni. Dah masuk bulan April pun. Tak sedar betapa pantasnya waktu berubah. Sekarang ini memang sibuk dengan pesta buku sana sini dan entah mengapa saya memang terasa lega kerana dah lama tak terlibat. Kalau tidak, pasti saya pun sedang kelam kabut sekarang ini. Alhamdulillah.

Ramai pembaca saya yang tanya, "Kak Aina ada tak kat Pesta Buku nanti?". Hihi... memang tak ada. Dunia saya sekarang ini memang dah berbeza. Sibuk dengan kebun, sibuk dengan famili dan sibuk dengan kawan-kawan lama. Alhamdulillah.

Dulu, sebab terlalu sibuk dengan penulisan, banyak yang saya terpaksa ketepikan. Sekarang ini, saya lebih selesa dan lebih seronok sebenarnya. Puas hati juga kerana pernah sibuk menulis. Walaupun kini tak lagi, tapi saya tak kempunan. Allah swt memberi kesempatan itu buat diri ini yang pernah suatu ketika dahulu memang terlalu suka untuk menulis.

Namun begitu, kini saya lebih tenang, lebih aman dan mungkin jauh lebih bahagia... kerana saya mampu menghabiskan lebih banyak masa dengan orang-orang yang saya sayang, termasuk kawan-kawan sekarang dan kawan-kawan lama. Melalui penulisan, saya mempunyai ramai pembaca yang akhirnya menjadi kawan-kawan saya. Insyaa-Allah hingga ke syurga.

Kawan-kawan sekolah kini kerap muncul dalam hidup. Kalau dulu, masing-masing sibuk, kini kami semua merasakan bahawa kawan-kawan juga penting dalam hidup kita. Saya memang ramai kawan, sejak sekolah rendah hingga ke menengah. Kawan-kawan universiti lagi. Alhamdulillah... semuanya penting buat saya. Merekalah penghibur hati saya selain daripada ahli keluarga. Syukur di atas nikmat anugerah Ilahi.

Kini, saya juga ada masa yang terluang dan sempat membaca. Syukur kerana masih terdaya untuk membaca kerana membaca adalah kesukaan saya sejak kecil. Bukan sekadar buku biasa-biasa sahaja, namun banyak masa yang saya luangkan untuk membaca al Quran dan mendengar kutbah-kutbah daripada mereka yang pakar. Semua ini saya jadikan ubat untuk jiwa. Jiwa kita perlukan sesuatu yang luar biasa hebatnya dan tiada penulisan yang lebih hebat daripada al Quran.

Semoga Allah swt memberi saya kesihatan dan umur untuk terus lakukan apa yang saya suka dan cinta. Aamiin ya Rabbal alamin.

Wassalam