Assalam
Dulu-dulu, tak mudah kita dengar cerita tentang insan-insan yang dihinggapi penyakit murung. Namun hari ini, penyakit murung ini mudah sangat menghinggapi insan-insan di sekeliling kita. Malah, setiap kali saya berada dalam kereta dan mendengar radio, itulah peringatan yang diberikan, agar mereka yang berdepan dengan kemurungan cepat-cepat mendapat pertolongan.
Saya kenal ramai juga yang punyai penyakit yang begini. Asalnya mungkin kerana sebab-sebab tertentu dan tidak semestinya sebab-sebab yang berat. Kadang-kadang mungkin kerana sesuatu perkara yang tidak dapat dikawal, kemudian datang pula masalah lain yang bertimpa-timpa. Hati tidak tenang dan otak turut jadi serabut. Mulalah jiwa bergelora dan kalau tidak pandai mengawal, kemurungan akan datang berdepan dengan kita.
Pun begitu, saya sangat pasti dan yakin, setiap penyakit yang datang itu ada ubatnya, insyaa-Allah, namun kita sebagai manusia wajib mencarinya. Kalau kita biarkan, pasti kita yang akan menderita mungkin buat selama-lamanya.
Bagi saya, kita sebagai insan, wajib memberi keutamaan pada diri kita sendiri. Kalau kita sakit, kita perlu berusaha untuk mengatasinya. Jangan harapkan orang lain untuk tolong kita walaupun orang lain itu merupakan orang yang rapat dan penting buat kita. Kita boleh bercerita dan meluahkan perasaan, tetapi usaha itu seharusnya datang daripada diri kita. Kalau kita biarkan begitu sahaja, tahu-tahu semuanya hilang kawalan. Bila kita teruk, mungkin orang yang rapat dan sayang kita akan berubah hatinya.
Sebaik-baiknya, kita pastikan kita dapat mengawal diri kita sendiri. Carilah alternatif untuk ubah fokus kita, ubah perasaan kita. Seberat mana sekalipun beban yang kita tanggung, pasti ia tidak akan berada dengan kita buat selama-lamanya. Percayalah. Tetapi kalu kita biarkan diri kita sengsara dengan beban yang datang itu, maka kita akan terjerat, tak mampu untuk lepaskan diri.
Carilah hobi yang baik. Bagi saya, berada dengan pokok, bercucuk tanam, merupakan antara perkara-perkara yang terbaik yang dapat kita lakukan. Salah satu ialah kerana diri kita akan mempunyai oksigen yang cukup. Pokok-pokok dapat memberi ketenangan kepada kita. Sekali pun resah dan gelisah, bercucuk tanam mampu untuk relakskan minda kita. Itu bukan bererti yang kita perlu bercucuk tanam secara besar-besaran, sekalipun sedikit sahaja, namun setiap kali kita melihat pokok yang kita tanam itu tumbuh dan ada perbezaan, pasti keseronokan akan menjelma. Anugerah Ilahi. Ini merupakan antara ubat terbaik.
Semestinya bila diri berada dekat dengan Tuhan, jiwa akan berasa tenang. Tunaikan solat, bukan sekadar wajib, tetapi solat-solat sunat. Begitu juga dengan al Quran, sekalipun membacanya sedikit-sedikit, ia tetap membantu dengan secara yang besar, insyaa-Allah.
Kalau anda murung, please get out of it! Anda mampu untuk melakukannya, insyaa-Allah.
Wassalam.
Pasti akan tenangkan jiwa