Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, May 04, 2011

Cari Populariti, Elok Pandang-Pandang


Salam sekali lagi.

Saya masih ada mood untuk tulis lagi, mungkin untuk ganti masa-masa saya bercuti di Tanah Suci.

Okeylah, ni nak cerita lagi masa Pesta Buku baru-baru ini. Ada seorang teman bertanya saya, apa pandangan saya tentang satu karakter ni yang sering masuk laman YouTube. Karakter itu berlakon dan menyanyi dan kerana itu dia mula jadi popular kerana semua orang hendak tengok aksinya yang kelakar dan pelik itu.

Hehe, saya pun tengok jugak YouTube tu. Memang kadang-kadang lawak giler! Tak dapat saya bayangkan yang karakter itu sanggup buat begitu, mungkin untuk mencari populariti. Wallahua'lam. Bagi saya, mungkin karakter itu inginkan 'attention' atau perhatian. Memang ada orang yang begitu, akan lakukan apa sahaja untuk dapatkan perhatian.

Hari ini, orang akan lakukan apa-apa sahaja melalui laman-laman sosial yang disediakan di alam maya, namun kalau kita tidak bijak menggunakannya, ia boleh memakan diri kita pula. Sudah berkali-kali saya ingatkan pembaca blog saya ini tentang bahana laman-laman sosial ini, termasuklah blog, youtube, friendster dan facebook. Sebab itulah dalam koleksi cerita menarik saya (Semalam Kubermimpi2) saya menceritakan kisah-kisah ini. Kisah mereka yang menggunakan laman web sosial untuk lakukan sesuatu yang mungkin boleh punahkan hidup mereka sendiri.

Saya sempat juga berborak-borak dengan seorang penulis semasa Pesta Buku yang lepas. Saya katakan kepadanya, kalau nak terus jadi penulis, kita jangan suka ambil tahu tentang orang lain. Jangan suka jaga tepi kain orang, jangan suka bergosip, kerana perbuatan itu akan memakan diri kita suatu hari nanti. Jadilah penulis yang profesional dan jangan emosional.

Kita guna laman web sosial untuk berinteraksi dengan teman-teman, bukannya untuk bergosip, menyebar fitnah, menghasut dan mengaibkan orang lain. Kalau kita tahu agama, maka kita juga tahu bahawa menabur fitnah adalah satu dosa besar. Malah, kalau sekalipun kita tahu apa-apa cerita benar namun kita tetap memukul-canang sana-sini, itu bermakna bahawa kita sedang amalkan satu kelakuan yang mengaibkan orang. Ini juga merupakan perbuatan yang tidak Islamik.

Semasa saya di kota suci Mekah dan Madinah, banyak perkara yang saya fikirkan tentang kehidupan hari ini. Tentunya saya amat kagum dengan sifat Rasul kita, Muhammad SAW, yang mempunyai sifat budiman dan akhlak yang tertinggi dan mulia, dan kerana akhlaknya itulah maka manusia yang jahil dan jahat boleh berubah dan memeluk agama Islam. Nabi Muhammad SAW juga sentiasa bersabar kerana bukan senang untuk berdakwah dan menyebar agama Islam ketika itu. Apatah lagi pada hari ini, Nabi junjungan kita sudah tidak ada. Manusia banyak yang bertopengkan agama dan berpura-pura mempunyai akhlak yang mulia. Namun, orang yang sama sanggup lakukan perbuatan seperti orang jahil.

Kata orang, kalau kita bergosip di siang hari, kita akan pandang kiri dan kanan. Kalau bergosip di malam hari, kita dengar-dengar. Tapi kalau bergosip di laman FB, kita buat macam mana? Main hentam sahaja? Tulis apa yang kita nak tulis?

Sebagai insan yang bergelar 'Muslim' dan 'Muslimah', biarlah kita sentiasa jaga dan amalkan perbuatan yang baik-baik. Kalau tak puas hati, kita boleh lakukan apa sahaja dengan cara yang baik juga, bukan main hentam ikut sesuka hati. Janganlah sampai kita sengaja nak terbalikkan periuk nasi orang, tahu-tahu periuk nasi kita pula yang dibanjiri air! Nauzubillah.

Apa yang saya ceritakan ini adalah sekadar untuk kita renungkan bersama-sama. Dunia ini terlalu kecil buat kita semua dan masa juga terlalu pendek untuk kita terus melakukan perkara-perkara yang tak elok.

Kalau nak cari populariti, carilah. Tapi apa sahaja yang kita nak lakukan, kita pandang-pandang dan fikirlah dulu.

Wallahua'lam.

Setahun Sekali

KarnaDya berpesta buku


Salam

Apa yang menariknya masa Pesta Buku bagi orang macam saya?

Tentulah kerana saya dapat berjumpa dengan pembaca dan penyokong saya, ada yang datang ke situ semata-mata untuk berjumpa dengan saya sahaja. Betul tu, tak tipu. Ada beberapa orang pembaca saya datang ke PWTC setiap tahun kerana nak berjumpa dengan saya dan membeli buku terbaru saya. Itu sahaja. Sebab itulah, sekalipun saya penat atau tak sihat, saya datang juga. Takkanlah saya tak datang sedangkan mereka sanggup datang?

Tapi, ramai juga yang datang berjumpa dengan saya dan penulis-penulis lain. Bagi mereka, Pesta Bukulah masanya untuk berjumpa dengan penulis-penulis kesayangan mereka. Setahun sekali sahaja. Oleh kerana setahun sekalilah, saya berusaha untuk ke sana walaupun tahun ini saya tak dapat ke sana setiap hari sepanjang tempoh Pesta Buku berjalan.

Alhamdulillah, setiap tahun saya akan berjumpa dengan orang baru. Ada yang merupakan pembaca saya dan ada juga tidak. Namun, Tuhan izinkan saya untuk berkenalan dengan orang lain dan mendapat kawan baru.

Alhamdulillah juga tahun ini, saya berjumpa dengan seorang teman lama. Kawan saya ini sangat rapat dengan saya ketika saya berada di Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Clifford, Kuala Kangsar. Namanya Mariani. Semasa saya kahwin, dia datang ke rumah saya dan semasa dia kahwin, saya pergi menghadiri majlisnya. Namun selepas itu, kami berpisah dan tak dapat hendak dijejaki tapaknya.

Kata Mariani, dia melihat gambar dan cerita saya di Berita Harian dan dari situlah dia mencari saya di booth KarnaDya ketika Pesta Buku. Saya terharu kerana bertemu dengan kawan lama saya ini. Mariani ialah seorang guru dan mempunyai dua anak perempuan dan kedua-duanya memilih untuk jadi doktor.

Ramai juga yang tanya saya, "Kak Aina KD tak bagi beg ke apa-apa ke tahun ni?"

Saya jawab, "KD lebih suka bagi diskaun yang lebih tinggi. Kan datang nak beli buku?" Hehe... memang begitu tahun ini. Diskaun yang kami beri pada pembaca adalah sangat baik. Kami mengajak anda untuk berpesta beli buku!

Okeylah... setakat ini dulu.