Assalam
Mungkin ramai yang pilih untuk bercuti pada hari ini. Tentunya, mereka yang bekerja di bawah Wilayah Persekutuan pasti bercuti kerana hari ini ialah cuti ganti untuk hari wilayah persekutuan. Esok pula ialah cuti Thaipusam. Tetapi ahli keluarga saya semuanya bekerja pada hari ini dan anak-anak saya akan terus bekerja esok juga kerana mereka memilih untuk ganti hari Thaipusam pada cuti hari raya puasa nanti. Kebetulan juga, anak-anak saya sedang sibuk dengan pelbagai projek yang sedang mereka uruskan hinggakan hujung minggu pun mereka tetap sibuk. Semoga semua yang mereka sedang aturkan berjalan lancar, aamiin.
Alhamdulillah masih ada umur lagi dan alhamdulillah masih sihat, in syaa Allah. Sekalipun tak sihat, kita sepatutnya bersyukur kerana apa sahaja yang Allah berikan, itu adalah nikmat buat kita. Pahit atau manis, tetap nikmat kerana semua itu adalah ilmu dan pengajaran. Biarlah akal kita terus berjalan dan fikirkan tentang pelbagai hal dalam dunia ini, tidak jadi buntu dan beku. Kita akan berasa sedih apabila kita sudah tak mampu untuk berfikir lagi, tak mampu untuk membuat keputusan dan tak mampu untuk bersuara. Mungkin satu hari nanti, suara kita hanya berbunyi di dalam hati sahaja, tiada sesiapa yang mendengar kecuali Allah swt. Ketika itu, hanya dengan Tuhan sahaja yang mampu kita luahkan perasaan. Namun, adalah lebih baik kalau kita sentiasa bercakap dengan Tuhan kita tak kira apa jua keadaannya, kerana apabila kita ingat pada Allah swt, kita akan jauhkan segala perbuatan jelek dan perlakuan jahat. Ketika itu, kita akan berasa malu pada Tuhan.
Sepatutnya begitulah. Kita boleh lakukan apa sahaja yang baik-baik, asal kita sentiasa beringat untuk tidak melakukan kejahatan dan kerosakan, kerana sepatutnya kita malu pada Tuhan. Kita menjaga akhlak kita, kita jaga perhubungan kita dengan insan lain, kita jaga kelakuan kita, agar kita tidak mendekati sebarang maksiat dan perbuatan yang dibenci Allah swt. Kita jaga tingkah laku kita, kita jaga peribadi kita, kita amalkan kelakuan yang ikhlas kerana kita malu pada Tuhan kita. Bila kita tak berasa malu, maka akan berlakulah segala perbuatan yang tak baik. Ketika itu, kita tidak dapat mengguna akal kita dengan baik. Wallahuaklam.
Kalau kita mahu jadi insan yang baik, amalkanlah segala-segalanya dengan satu rasa, iaitu untuk berlaku baik. Fikir yang baik-baik, tidak pentingkan diri kita sahaja, pelihara perasaan ahli keluarga, jaga hati orang yang dekat dengan kita, malu pada Allah... semoga kita jauhkan diri daripada semua yang tidak enak yang mampu kita lakukan tanpa mengguna akal fikiran.
Wassalam.
Fikir yang baik-baik, ingat yang cantik-cantik