Assalam
Mungkin kita selalu anggap bila disebut sahaja tentang rezeki, pasti kaitannya dengan wang ringgit dan harta benda. Tapi, kita jarang-jarang sedar bahawa rezeki itu adalah lebih daripada itu. Malah, senyum itu juga rezeki. Kalau nak diikutkan, ketenangan jiwa, perasaan yang tidak kucar-kacir itu juga rezeki. Namun rezeki yang kita sentiasa mahu tentunya umur dan kesihatan yang diberkati Allah swt. Paling istimewa apabila hidup dan akhirat kita dijadikan Allah cemerlang bukan hanya untuk kita tetapi untuk ibu bapa, pasangan, anak-anak, cucu-cicit dan kaum kerabat yang lain. Itulah yang kita mahukan, bukan sekadar wang-ringgit yang kadang-kadang mungkin tidak membawa erti yang besar.
Bayangkanlah kalau kita mempunyai wang-ringgit yang bertimbun tetapi hati dan jiwa tidak tenang, malah mungkin kita jenis kedekut, kesihatan pula tak menentu dan kerana itu semua, diri kita jadi huru-hara tak bermakna. Jadi... tak guna juga kalau ada banyak duit tapi hidup macam katak di bawah tempurung. Bukan hanya tak melihat apa-apa, tetapi tak kisah apa-apa pun!
Mungkin elok kalau kita mencari kesederhanaan dalam hidup, biar kita hidup serba ada, tetapi yang penting hati dan jiwa kita bersih, tiada niat jahat buat orang lain, malah kita sentiasa dekatkan diri dengan Allah swt. Bukan hanya kita kerjakan ibadah wajib, tapi kita lakukan serba kebaikan kepada insan dan haiwan juga tumbuhan. Kita menghargai apa sahaja yang Allah berikan, tak banyak sungutan dan tak jadi manusia yang tak bersyukur. Mungkin kita ada kekurangan, namun kita tetap bahagia. Bahagia itu kerana kita rasa akan nikmat yang Allah berikan kita, kita bersyukur dengan apa adanya, tidak pula kita mahu hancurkan hidup orang lain kerana kita jadi tamak dan haloba.
Paling indah, kalau hidup kita tidak dikelilingi hutang yang membebankan. Tidak punyai perasaan sakit dan berdendam, malah tidak mahu lakukan apa-apa yang tak baik kepada orang lain. Kalau kita seorang anak, jadilah anak yang baik kepada ibu bapa, kalau kita merupakan seorang suami atau isteri, jadilah pasangan yang tidak mengkhianati pasangannya, kalau jadi seorang ayah, biarlah jadi ayah yang tahu tanggungjawabnya, kalau jadi seorang ibu, biarlah jadi ibu yang menyayangi anak-anaknya.
Itulah rezeki kita dan doakanlah agar Allah berikan dunia dan akhirat yang cemerlang.
Aamiin.
Orang lain mencari rezeki
