Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, July 16, 2012

Esok, Teman Nak ke Perak

Salah satu pekan yang dekat dengan kampung kawan saya

 Salam

Semoga anda berada dalam keadaan baik hendaknya. Semalam, saya mendapat tetamu jauh. Teman baik saya yang bertugas di Mexico telah pulang untuk mengikuti kursus dan sebelum pulang semula ke sana, dia telah datang ke rumah saya. Kebetulan juga, rumah yang terletak bersebelahan rumah saya ialah rumah kawan baik saya ini (kerana dia telah membelinya dari tangan jiran saya sebelum ini). Kiranya, kawan baik saya itu sudah pun jadi jiran saya, cumanya dia belum tinggal di rumahnya itu (dia mempunyai rumah lain di tempat lain). Satu hari nanti, insya-Allah, dia akan tinggal bersebelahan dengan saya. Itulah impiannya, untuk menjadi jiran saya, insya-Allah kalau kami panjang umur.

Apa pun, insya-Allah juga, esok saya akan teman kawan saya itu untuk pulang ke kampungnya di Perak yang terletak tidak jauh dari Kampung Gajah (sangat nostalgia). Malah, kisah dalam novel saya 'Seharum Kasih' telah saya pinjam kampungnya di sana. Saya tak tahu kenapa, tetapi saya sangat suka dengan kampungnya dan juga keluarganya. Walaupun saya agak sibuk, tetapi bila kawan saya menyebut yang dia ingin untuk pulang ke kampungnya (untuk menjengah ibu saudara, ibu bapanya sudah tiada), saya jadi teruja dan bersetuju untuk temankannya. Malah, cik abang saya pun bersetuju untuk ikut kami. Teringat masa dulu-dulu.

Saya pernah cerita di blog ini, semasa saya di tahun akhir Universiti Malaya, teman saya ini telah menjaga saya ketika saya mengidap demam Malaria. Ketika itu, saya mempunyai projek di perkampungan orang asli di kawasan hutan Cameron Highlands, dan kembali dari kerja lapangan itu, saya telah ditimpa demam Malaria. Kawan saya itulah yang menjaga saya siang dan malam (hampir seminggu) kerana saya tak boleh bangun, asyik muntah. Malah, dialah yang memimpin saya untuk ke bilik air dan bila saya muntah dia yang mencucinya. Waktu malam, dia tidur di kamar saya, saya di atas katil, dia pula di atas tikar di atas lantai. Bagi saya, dia merupakan teman yang baik hati. Sangat ikhlas dan kami berkawan baik, dari dulu hinggalah sekarang. Sekarang ini, teman saya itu memegang jawatan penting dan sudah bergelar 'Datuk', namun kami tetap baik macam adik-beradik yang sangat rapat. Anak-anak kami juga sangat rapat. Alhamdulillah. Saya sangat bersyukur kerana Tuhan izinkan saya mempunyai kawan-kawan yang sangat baik hati.

Kemungkinan besar saya tak update blog ini esok. Mungkin ada cerita menarik yang akan saya ceritakan bila balik dari Perak nanti. Take care semua.

Wassalam.