Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Saturday, March 04, 2006

Anak Siapa?

Malam tadi, saya dan suami terpaksa ke pusat kota Kuala Lumpur untuk menghantar anak perempuan kami dan kawannya (juga perempuan) menghadiri jamuan makan malam yang dianjurkan oleh kumpulan graduan universiti tempat pengajiannya (kebetulan anak lelaki kami yang baru sahaja tamat pengajiannya merupakan ahli jawatan kuasa).
Selepas menghantar mereka (anak lelaki saya pergi sendiri), saya dan suami pergi makan malam tidak jauh dari tempat itu.
"Lepas ni kita nak pergi mana?" saya bertanya. Kami terpaksa tunggu untuk menjemput anak perempuan kami dan kawannya setelah selesai jamuan nanti. Nak pulang ke Bangi, jauh sangat.
"Lambat lagi dia nak habis ni. I mengantuk sangat2." Suami saya bersuara.
Memang kami letih dan mengantuk, kerana siang tadi kami baru sahaja pulang dari Johor Bahru (JB). Kami pergi ke JB kerana melawat sepupu suami yang pulang ke rahmatullah. Kami pergi ke sana pada malam sebelumnya, dan terpaksa tidur lewat malam itu.
"Nak tidur di mana?" Saya bertanya lagi.
"Entah."
Kami meronda-ronda di sekitar Kuala Lumpur buat seketika, menghala ke kawasan KL Sentral hingga ke Bricksfields. "I mengantuklah. Jom kita park kat mana-mana."
Saya tak tahu bagaimana mahu cadangkan tempat yang baik untuk kami berhenti dan berehat. Yang pasti kami mahu cari tempat yang ada orang ramai dan terang.
Akhirnya, kami pilih di kawasan dekat dengan Dataran Merdeka. Kami lihat ada ramai orang di situ, dan kawasan itu memang sibuk. Kami berhenti dan kerana sudah tidak tahan lagi, suami saya pun tidur. Saya pun ikut sama. Lama juga kami melelapkan mata, tiba-tiba terdengar bunyi bising-bising di luar sana.
"Bunyi apa ni?" Saya hairan. Saya nampak banyak motorsikal berkeliaran. Ratusan jumlahnya. "Kenapa banyak sangat ni?" Saya jadi panik. Suami saya pun menghidupkan enjin kereta kerana sudah tidak selesa berada di tempat itu.
"Dia orang ni... nak berlumba ni." Kata suami saya.
Saya pernah terserempak dengan perlumbaan motor haram, berkali-kali di Kuala Lumpur. Tapi malam itu, pertama kalinya kami dikelilingi oleh ahli-ahli yang mahu berlumba.
Hebat sungguh mereka! Semuanya Melayu. Lagi hebat kerana rata-rata orang ramai sedang merungut kerana kerajaan menaikkan harga minyak. Tapi remaja kita tidak rasa apa-apa. Untuk mereka, 'life goes on' seperti biasa sahaja.
Anak siapakah budak-budak ini? Di manakah ibubapa mereka?
Saya berasa sungguh hairan. Bukan setakat lelaki, tetapi budak-budak perempuan pun ramai di situ. Begitu ghairah untuk mendengar bunyi kuat enjin motorsikal yang sedang dan akan berlumba.
Mereka tidak pernah serik! Pada hal sudah berkali-kali perkara ini dikemukakan dalam surat khabar dan televisyen. Saya masih tertanya-tanya. Mana pergi keluarga mereka ini?
Tak kira anak lelaki atau perempuan, saya sentiasa mahu tahu ke mana mereka pergi. Kalau pulang lewat sedikit, saya sudah hubungi mereka, kerana bimbangkan keselamatan mereka. Dengan anak perempuan, memang saya tidak benarkan dia ke mana-mana di malam hari, tanpa saya sendiri yang menghantarnya.
Apa nak jadi dengan anak muda kita? Saya gerun melihat keadaan seperti itu. Di sekitar kawasan Dataran Merdeka hingga sepanjang Jalan Raja Laut dan di sekelilingnya, bagaikan ada satu pesta besar-besaran. Riuh-rendah bagaikan kawasan itu mereka yang punya!
Sedih saya melihatnya. Walaupun sudah lama tahu, setiap kali berdepan atau terserempak dengan perlumbaan haram ini, saya akan terasa sedih lagi. Kenapa sampai jadi begitu? Hari sudah lewat malam, anak-anak muda ini terus berkeliaran seolah-olah mereka tiada rumah untuk pulang!