Saya tak tahulah kenapa tetapi banyak yang search mencari novel terbaru saya terutama yang diterbitkan pada tahun ini. Mungkin sebab dah lama saya tak keluarkan novel baru kot. Mungkin ada yang rindu nak baca karya saya. Mungkin juga ada yang terbiasa dan dah jadi tabiat untuk mencari novel saya.
Saya difahamkan bahawa sekarang ini memang terlalu ramai penulis yang menulis novel cinta dan macam-macam cerita cinta fantasi yang diceritakan hinggakan ramai remaja dan juga pembaca yang berusia, terasa seperti teringin untuk berada di dunia fantasi ini. Hahaha... biasalah kan, mungkin dunia ini penuh dengan ujian dan penuh dengan cabaran dan rata-rata, tak ada apa yang indah sangat bagi kebanyakan orang. Itulah sebabnya seronok untuk berfantasi dan berkhayalan. Orang kata mimpikan benda-benda yang secara logiknya tak mungkin dapat.
Begitu juga dengan penulis, seronok menulis cerita-cerita tak logik kerana terpengaruh dengan sesuatu yang berada di luar kebiasaan. Bayangkanlah, rata-rata kita tak mempunyai paras rupa seperti pelakon-pelakon di peti TV atau model yang rupawan. Rata-rata juga tak berduit banyak dan tak merasa benda-benda yang menjadi impian. Kadang-kadang rupa tak ada, tapi mungkin duit banyak kot, tapi ada yang berupa tapi tak berduit pula. Alangkah indahnya kalau ada rupa, ada duit yang berlambak pulak... mesti seronok, kan? Bertambah hebat kalau dapat pula kahwin dengan lelaki kacak yang punyai duit tinggi macam gunung, bawa pula kereta mewah yang menjadi idaman!
Huhu... memang seronok sangat-sangat! Saya ketawa mendengar cerita seseorang. Katanya, "Memanglah seronok baca novel cinta ni, sebab heronya tak ada yang tak handsome. Dah tu banyak duit pulak. Nak apa pun dapat aje. Kalau kita tengah baca di waktu malam, tiba-tiba kita kembali ke alam realiti dan terpandang pada suami yang sedang 'megholoh', mana dengan perut buncitnya, muka pun tak handsome, ternganga lagi, kalau silap-silap berdengkor pulak... memang tak ada selera nak pandang. Lebih baik terus ajelah baca novel yang ada kat tangan. Lagi seronok berkhayalan dan berangan-angan!"
Iya ke macam tu?
Saya tertanya-tanya juga. Kalau ada pembaca yang baca novel sebab mencari satu 'escapism', mungkinkah juga ramai penulis yang menulis cerita tak logik dan melampau fantasinya kerana penulis juga perlukan 'escapism' yang sama?
Hahaha... saya tak mahu jawab sebab saya pun tak tahu apa yang ada di fikiran orang hari ini!
Semoga negeri Sabah selamat dari bencana gempa bumi dan rakyat Sabah juga diselamatkan, amiin.
Wassalam.
Baca novel dalam kelambu