Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, January 23, 2015

Mula-Mula Cuba, Lepas Tu Terlupa...

                                                 Sekadar hiasan

Assalam

Semoga hari Jumaat ini kita diberkati Allah swt. Aamiin.

Hari yang elok untuk mengingatkan diri sendiri dan juga teman-teman yang kunjung ke mari. In syaa Allah.

Setiap hari saya cuba beritahu diri ini agar lakukan perkara yang baik-baik sahaja. Sememangnya kita mudah tergoda untuk melakukan perkara-perkara buruk (mungkin tak besar pun) tetapi kalau kita rajin berdoa, in syaa Allah diri kita terasing daripada segala perbuatan negatif.

Masalah yang sering berdepan dengan individu ialah untuk mencuba. Inilah yang dikatakan 'mula-mula cuba, lepas tu terpedaya... atau terlupa... atau terpengaruh... atau terbeban.' Terpulanglah bagaimana kita dapat menguruskannya. Setiap perbuatan tak baik atau negatif itu, kalau kita pilih untuk mencubanya, pasti akan membawa bencana dalam hidup.

Begitulah hidup mereka yang mula-mula mencuba, kemudian menagih. Seperti si penagih dadah, si penagih judi, si kaki minum, si kaki perempuan... dan macam-macam lagi. Biasanya juga perbuatan negatif berlaku pada diri individu kerana terpengaruh dengan pujukan rakan-rakan. Kadang-kadang seorang rakan sahaja sudah mampu untuk mengubah hidup dan masa depan kita. Seorang kawan, kalau tak betul gayanya mampu membawa kita ke pintu neraka!

Saya membaca kisah benar seorang wanita Mesir, yang pada asalnya hanyalah orang biasa sahaja, tetapi kerana tekanan hidupnya, tahu-tahu dia berubah dalam usia yang muda, daripada hidup biasa menjadi seorang pelacur. Katanya juga, di Mesir (ini kisah zaman sekitar 1960-an) ramai perempuan menjadi pelacur dengan cara tidak merancang. Mula-mula mereka cuba untuk melakukan kerja-kerja maksiat mungkin kerana terdesak, tetapi akhirnya mereka berubah dan terus jadi pelacur jalanan. Masalahnya, ramai yang tak tahu mereka ini sudah jadi pelacur, kerana mereka juga bekerja di tempat kerja biasa-biasa!

Bagi saya, kisah begini sangat menarik kerana saya juga percaya perkara seperti ini tidak hanya terjadi di Mesir, tetapi di mana-mana sahaja, termasuklah di Malaysia. Saya juga pernah mendengar cerita-cerita 'buruk' seperti ini yang sering diamalkan oleh wanita dalam pelbagai peringkat umur. Ada pelajar, ada yang bekerja dan ada yang sudah matang umurnya dan dah bekerja lama. Mungkin mereka bermula untuk sekadar mencuba (konon-konon buat suka-suka), tetapi akhirnya mereka terjerumus dalam kancah maksiat tanpa sedar yang mereka kini sebenarnya sedang menjalankan aktiviti pelacuran. Ada yang mengenakan bayaran (biasanya student dan mereka yang mahu lebih kemewahan) dan ada yang tidak kenakan apa-apa, sekadar seronok-seronok sahaja. Ada perempuan yang belum kahwin, ada yang merupakan janda atau balu, ada juga isteri orang yang mungkin sedang kesunyian atau sakit hati!

Masalah besarnya ialah bila kita bermula dengan mencuba, tahu-tahu diri sudah terlupa mungkin kerana sedang rasa seronok atau mungkin juga sudah tak tahu bagaimana mahu kelaur dari perangkap! Bukan hanya perempuan yang mudah terperangkap begini, tetapi lelaki juga. Mula-mula dengar cakap kawan dan mahu suka-suka 'flirt around', tetapi kerana dari mencuba sudah menjadi tabiat, memang mereka akan terus terperangkap dalam kerja maksiat! Allahuakbar.

Berjaga-jagalah wahai anda semua di luar sana. Perbuatan tak baik ini ada di mana-mana sahaja dan kita sebagai manusia, janganlah terpengaruh dengan apa-apa yang akan merosakkan hidup dan masa depan kita. Malah, bila terjerumus dalam aktiviti 'kejahatan' ini, tentu sekali kita akan ke pintu neraka kalau tak sempat bertaubat, atau taubat kita tak diterima Allah swt. Bagi orang perempuan di negara ini, anda berjaga-jagalah dengan tipu helah dan amalan 'nikah batin' yang menjadi sogokan sang lelaki untuk mendapat 'servis seks' yang percuma atau berbayar daripada anda! Bagi lelaki pula, janganlah mudah terpengaruh dengan kata-kata 'pikat' sang wanita yang terasuk dek syaitan.

Sebagai insan yang pegang teguh dengan amalan agama Islam, jagalah diri anda sebaik mungkin agar jangan sekali-kali berani mencuba apa sahaja yang negatif, yang akhirnya nanti memudahkan kita untuk terlupa lalu terperangkap dalam pelukan SYAITAN. Nauzubilah min zalik.

Wassalam.