Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, March 31, 2014

Tempat Termahal Di Dunia

Assalam

Saya sibuk dengan skrip drama buat masa ini, tetapi saya tetap akan update blog ini. Hari ini, saya bercadang untuk bawa anda kembali ke tanah suci Mekah dan Madinah, mungkin juga Jeddah. Ramai yang suruh saya cerita lagi, kata mereka tak puas membaca berita tentang tempat-tempat itu.

Okeylah, bagi saya dan famili, memang tak rugi ke sana, walaupun mungkin akan ada perkara-perkara terjadi yang buat kita rasa geram (dengan perangai manusia sebenarnya), namun Tanah Haram adalah tempat-tempat yang perlu kita kunjungi dalam hidup ini sebagai orang Islam. Di sana barulah kita dapat bayangkan keadaan hidup Nabi agong kita, Muhammad SAW. Padang pasir, gunung ganang yang gersang, bayangkan bagaimana mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Dari Madinah ke Mekah setiap kali baginda tunaikan umrah dan haji (kita hari ini bergerak dalam kenderaan yang dingin). Mereka tinggal dalam khemah, (kita tinggal dalam hotel yang selesa). Malah, tak ada apa-apa yang boleh membebankan kita bila ke sana (kecuali hal manusia).

Tetapi yang penting, bila berada di sana, hati dan jiwa kita akan jadi tenang setenangnya (Alhamdulillah), kita kerjakan pelbagai ibadah dengan rasa seronok teramat sangat, malah kita panjatkan doa kepada Allah SWT dengan terasa dekat pada-Nya. Berkali-kali ustaz kami berpesan agar kami semua perbanyakkan doa kepada Ilahi, kerana katanya di tanah suci terutama ketika berada di depan kaabah dan tempat-tempat strategik yang lain, doa kita insyaa-Allah akan dimakbulkan. Semestinya kita mempunyai perasaan yang sangat lain daripada biasa. Ketika di sana, kita berlumba-lumba mahu berada di masjid dan tunaikan ibadah. Pahalanya beribu ganda (itu yang dijanjikan). Kita sentiasa berdoa pada Tuhan agar semua dosa-dosa kita diampunkan-Nya. Subhanallah. Apa yang lebih indah dari itu?

Di Madinah, kita berasa dekat dengan Rasul kita Muhammad SAW. Berada di Masjidil Nabawi, terasa baginda sedang melihat kita dan perasaan itu membolehkan kita bercakap-cakap dengannya. Masya-Allah. Rindu kepada Baginda terubat.

Langit, burung yang berterbangan, gunung-ganang membawa kita kembali kepada zaman Rasulullah, terbayang bagaimana baginda dengan hati yang ikhlas berdakwah, melakukan semua yang baik-baik agar ummatnya dapat mencontohi akhlaknya.

Kerana itu juga, sesiapa yang sudah ke tanah suci, mereka mahu kembali lagi dan lagi. Mahu berada di tempat yang mempunyai pelbagai manusia dari pelbagai pelosok dunia. Insyaa-Allah, selagi ada umur, ada rezeki, ada kudrat, pasti akan sampai lagi ke tempat yang paling mahal di dunia, hari ini.

Di Jeddah (kota yang terdekat dengan Mekah), segala-galanya kelihatan moden dan canggih. Rumah besar-besar, kereta canggih-canggih... bangunan pun begitu. Segala-galanya ada. Tak ada apa-apa yang kurang di sana. Semoga rakyatnya juga turut peka pada kewujudan orang Islam di dunia ini.

Wassalam.