Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, June 29, 2009

Bahagia Kerana Sederhana

Bagaimana agaknya kita menyukat kebahagiaan dan kejayaan? Kalau kita bertanya, kebanyakan orang akan menyukatnya dengan harta dan juga wang ringgit. Mungkin material yang ada pada seseorang itu merupakan lambang kejayaan atau sukses. Betul tak? Mungkin juga material mudah disukat sebab kita nampak.

Dunia pada hari ini memang meletakkan material sebagai 'benchmark' kejayaan. Kalau berharta (lagi banyak lagi bagus) dengan rumah yang besar, kereta besar dan banyak, pakaian berjenama, makan di hotel, orang gaji berduyun-duyun dan macam-macam lagi, itulah yang kita akan kata 'SUKSES'. Kita tidak pernah melihat kejayaan di luar kotak 'material' yang menjadi begitu penting untuk manusia hari ini. Apa sahaja yang hendak dilakukan, 'keuntungan material' yang akan diambil kira. Sehinggakan manusia terlalu bergantung kepada 'wang ringgit' dan tidak pedulikan perkara lain yang mungkin lebih tinggi nilainya.

Ada ketika,manusia jadi panik dan takut bila berdepan dengan keadaan yang 'tak berduit' atau 'kurang duit'. Seolah-olah apabila kita kurang 'material', kita akan terus mati dan hidup sudah menjadi tak berharga. Orang akan jadi 'murung' dan tak tahu bagaimana hendak berdepan dengan masyarakat. Kemungkinan ini terjadi kerana 'material' menjadi perkara penting dalam sebuah kehidupan dan itulah 'benchmark' kejayaan.

Kita tidak pernah ambil kira tentang perasaan yang ada pada jiwa. Tenang atau berserabut? Mungkin dengan segala wang ringgit dan material yang kita ada, jiwa tidak juga berasa tenang. Kita masih berserabut dan masih tak dapat tidur lena. Ada orang, sekalipun kaya-raya, hatinya tak pernah rasa akan 'kebahagiaan' yang patut ada pada dirinya. Bukankah kalau sudah lengkap segala material, kita sepatutnya terasa berjaya? Tapi... kenapa rasa itu tetap tak ada?

Pernah tak kita fikirkan bahawa kejayaan itu terletak pada perasaan yang ada pada diri? Hati patut tenteram dan aman. Kita lebih mudah redha dengan apa yang berlaku di sekeliling kita dan yang penting, jiwa kita terasa bahagia, sekalipun mungkin wang ringgit kurang dan material tak banyak mana.

Islam mengajak kita jadi insan yang hidup bersederhana. Sekalipun kita diizinkan untuk menjadi kaya-raya, dalam kehidupan itu kita harus bersederhana sahaja. Jangan melampau-lampau kemewahan yang kita beri pada diri, kerana segala apa yang dianugerahkan kepada kita, bila-bila masa sahaja boleh diambil pergi, termasuk nyawa dan kesihatan diri.

Melihat akan kehijauan pohon-pohon di sekeliling kita, lebih bermakna dan bernilai tinggi daripada sekadar wang yang berjuta-juta, namun mempunyai hati yang sakit dan merana. Senyuman seseorang itu yang datangnya dari hati yang bersih dan ikhlas, lebih indah dari datanganya daripada seseorang yang berperasaan dengki dan sakit hati.

Hati dan jiwa yang murni itu, jauh lebih tinggi nilainya daripada segala material yang ada. Kebahagiaan yang kita rasa dalam diri itu tak mungkin dapat kita samakan dengan 'sukses' yang disukat sekadar 'material' sahaja.

Tuhan Maha Kaya... dan kita sebagai manusia tak mampu untuk dapat segala-galanya, kecuali kesederhanaan yang Tuhan berikan. Bahagiakanlah jiwa kita, kerana perasaan itu tak mampu kita sukat dengan benda-benda yang lain, mungkin kita rasa penting, sebenarnya ia tidak sepenting keharmonian yang kita rasa di dalam dada kerana Tuhan berada dekat dengan kita.
Wallahuaklam.

Thursday, June 25, 2009

Kisah Hidup Macam Dalam Novel

Ada orang mengatakan bahawa banyak cerita yang tertulis dalam novel tak ada realitinya. Hampir dogeng semata-mata. Kan itu sekadar kisah fiksyen rekaan penulis semata-mata?

Setahu saya, ramai juga penulis yang menulis berdasarkan kisah benar. Sekalipun bukanlah kisah benar 100%, tetapi apa yang ditulisnya itu ada kaitan dengan sesuatu yang dia tahu. Bukan rekaan semata-mata. Biasanya ada kaitan dengan kehidupan orang sekelilingnya dan mungkin ditokok-tambahkannya.

Setiap kali saya menulis manuskrip baru, biasanya itulah yang saya lakukan. Saya kumpulkan sesuatu yang saya tahu atau mendengar cerita tentangnya. Termasuklah karakter yang saya lakarkan. Saya akan lakarkan perwatakan orang-orang yang saya tahu, cuma namanya saya tukar dan mungkin jalan cerita pula tentang kisah orang lain.

Ada orang berkata kepada saya, "Kisah hidup saya, Kak Aina... kalau orang dengar, mesti ingat yang saya bercerita tentang kisah dalam novel."

Saya jawab balik, "Kenapa? bukankah banyak novel yang ditulis adalah tentang kisah hidup orang lain juga?"

"Betul tu, Kak Aina. Kadang-kadang saya baca novel... tahu-tahu, hidup saya saling tak tumpah macam cerita dalam novel tu jugak. Pelik, kan?"

"Tak ada apa-apa yang peliknya." Jawab saya lagi. "Hidup kita ini, memang macam drama atau filem. Sama juga macam dalam novel. Kadang-kadang kita macam tak percaya ada benda yang kita anggap pelik tu, akhirnya terjadi juga pada kita. Penulis menulis pun berdasarkan sesuatu yang dia tahu. Dia pun manusia juga. Macam pembaca. Jadi, jangan hairan kalau hidup yang kita alami tu saling tak tumpah macam cerita dalam novel."

Wednesday, June 24, 2009

Dari Mataku

Saya perhatikan mereka yang berjalan-jalan dan berlegar-legar di sekitar Pulau Phuket, terutamanya lelaki mat salih yang lebih daripada 40/50 tahun usia mereka. Kebanyakan mereka ke pulau itu, untuk mencari pasangan yang boleh menghiburkan hati mereka. Ada di antara mereka (malah ramai juga) yang memilih untuk beristeri dengan orang-orang Thai dan memulakan keluarga (mereka bersantai dengan anak-anak juga). Seperti yang saya katakan sebelum ini, ramai di antara wanita-wanita Thai yang bertugas sebagai 'entertainer' kepada lelaki-lelaki yang begini tidaklah cantik mana pun. Malah ada yang kulitnya jauh lebih gelap daripada warna kulit saya (hehe). Tetapi, saya percaya ada sesuatu yang ada pada mereka (wanita Thai) ini, yang menyenangkan hati-hati lelaki-lelaki yang saya maksudkan.

Saya percaya, ramai di antara mereka (lelaki mat salih), hidup dalam keadaan yang sunyi sepi, dan mereka datang ke tempat seperti Phuket untuk mencari sesuatu yang dapat menghiburkan hati mereka (di sini saya tak maksudkan tentang soal seks). Apa yang saya lihat, lelaki-lelaki ini, sungguh senang berdamping dengan wanita-wanita Thai, kerana kemungkinan besar, wanita-wanita ini pandai menjaga hati mereka(lelaki yang saya maksudkan) dan pandai melayan mereka (dari segi percakapan dan keprihatinan). Wanita-wanita Thai sangat lembut dan pandai berbahasa. Mungkin ini yang tak ada pada pasangan atau isteri mereka di negara masing-masing.

Ini adalah teori saya berdasar pada pemerhatian saya. Saya cuba fahami apa yang tersarang di hati orang lelaki seperti mat-mat salih yang saya lihat itu. Saya terfikir juga tentang lelaki-lelaki Malaysia. Adakah mereka 'happy' dengan layanan 'wanita-wanita' yang menjadi pasangan mereka?

Saja saya seronok bertanya pada diri. Mungkin memang begitu yang selalu datang di benak saya. Saya suka perhatikan dan berfikir-fikir tentang sesuatu. Lain kali kita bercerita pula tentang isu ini lagi dan mungkin isu lain yang hampir serupa.

Warna-warna di Phuket



Pantai yang Cantik di Phuket


Something to remember


Tuesday, June 23, 2009

Sambungan Cerita Phuket

Memang tak dinafikan, pantai di Phuket cantik-cantik. Namun, mata juga boleh jadi sakit... maklumlah tempat komersial, terlalu banyak mat salih (dan bukan mat salih) yang berpakaian mandi, di merata-rata tempat. Tapi, tak apa... kalau ke Eropah atau Amerika, memang sama saja keadaannnya. Dalam begitu, banyak juga keluarga Arab yang relaks-relaks di sana, siap isteri-isteri mereka dengan jilbab lagi... yang penting niat di hati. Pun begitu, saya lebih selesa bersantai di tepi pantai yang tak banyak orang. Malah, saya memang selesa di mana-mana sahaja yang tak sibuk.

Phuket berubah wajah (terutama di Patong dan di tepi kawasan pantai yang lain) apabila malam tiba. Banyak tempat menjadi kawasan 'Red Light District'. Sebagai penulis, saya tak boleh berasa takut untuk ke kawasan seperti itu (tak adalah pulak saya masuk ke dalam), sekadar berlalu-lalang sahaja untuk dapatkan pengalaman'first hand'. Semasa saya ke France, Belgium dan Holland (Masa dulu2), saya pernah melihat keadaan seperti itu... malah semasa di Singapura suatu masa dahulu, pun saya pernah berlalu-lalang di kawasan seperti itu.

Di Patong, mereka langsung tak ganggu kami, mungkin kerana melihat pakaian saya... apa-apa pun, saya rasa kita perlu tahu juga apa orang lain lakukan untuk bersenang-lenang. Tentunya kita bersyukur kerana tahu keadaan hidup kita tidak begitu.

Berbeza di Phuket, kebanyakan rama-rama(pelacur perempuan)tak lawa mana.Ada tu, badannya okey-okey jugaklah, tapi rata-rata, payah nak jumpa rama-rama yang berwajah cantik. Mungkin,perempuan Thai yang cantik-cantik, tidak melibatkan diri dalam dunia pelacuran. Kalau kita melihat perempuan yang cantik giler di Phuket... kemungkinan besar (99%) mereka bukan perempuan tulen!

Saya tidaklah pelik sangat tengok telatah kaum Yahudi di sana. Rata-rata mereka sangat prihatin tentang makanan yang mereka makan. Kerana itu, ramai kaum itu yang memilih untuk makan di restoran orang Islam(kerana tak ada babi dan dagingnya disembelih), tetapi bab perempuan... mereka kelihatan macam tak terkawal! Kesian sungguh. Tapi bila difikirkan, ramai juga orang Melayu kita yang macam tu. Takut sangat makan babi, tapi tak kisah kalau makan ganja(dadah yang lain) atau minum minuman keras. Aduhai...

Alkisahnya... kami merancang namun Tuhan yang menentukan. semasa nak pergi tu, anak-anak saya sungguh risaukan kesihatan saya, tapi alhmadulillah, saya okey sahaja. Tetapi anak saya, Irfan telah jatuh sakit semasa di sana. Dia demam kerana tekak dia bengkak. Kami panik... kami tahu dia tak ada H1N1(sebab masa kat Malaysia lagi dia dah mula sakit tekak). Terpaksalah kami ke hospital Thai di Patong. Mujurlah servis hospitalnya bagus. Alhamdulillah kami balik dengan selamat dan alhamdulillah anak saya juga dah sihat.

Gambar masih belum ada lagi. Nanti saya letakkan ya.

Monday, June 22, 2009

Tentang Phuket

Saya sudah pun kembali dari Pulau Phuket lewat malam semalam. Mujurlah saya ke pulau itu, kerana apa yang berada di kepala saya langsung tak sama dengan apa yang saya lihat di sana. Mula-mula, biarlah saya ceritakan apa yang saya rasa menarik tentang Phuket ni. Saya tak tahu pun yang Phuket ni bukan kecil. Bandar Phuket besar, ada ketika saya rasa macam berada di George Town. Malah, pekan Patong pun tak kecil. Begitu juga pekan-pekan lain. Sekalipun ini bukan merupakan musim sibuk, tapi bagi saya, ada tempat-tempat di Phuket memang agak sibuk. Ada ketika, sangat sibuk. Jadi bayangkanlah ketika musim sibuk, tentu terlalu sibuk. Malah, walaupun Phuket pernah di landa ribut tsunami, kami tak perasan pun. Kebanyakan bangunannya sudah pun dibaikpulih. Ada tu, sedang dibaikpulih. Pantainya, tak ada yang tak cantik. Airnya bersih dan berwarna yang menarik. Dari atas (kawasan tinggi)memang sungguh cantik pantainya. Pasir yang halus dan putih bersih, air pula berwarna-warni( biru kehijauan). Hotel-hotel, menarik dan cantik. Kebanyakannya taklah besar sangat.

Pulau itu juga mempunyai banyak penduduk beragama Islam. Malah, penduduk Islamnya tidak hanya tinggal di sekitar kawasan Kamala, tetapi di seluruh pulau Phuket itu. Di Patong sahaja, ada tiga buah masjid yang sederhana besarnya. Nak cari makanan Islam, memang tak jadi masalah. Bukan hanya penduduk Melayunya yang ada menyediakan tempat makan Islam, tetapi ada juga restoran India dan Arab yang menyediakannya. Pilih sahaja. Ke mana-mana sahaja kita pergi, tempat itu memang dipenuhi pelancong pelbagai bangsa. Semuanya ada di sana. Orang Arab, orang Eropah, orang Jepun, Korea China, India,Afrika, Malaysia... malah sebut sahaja, mesti ada. Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah tentang orang Yahudi.Ramai sungguh. Siap ada kawasan tu(tak jauh dari hotel saya) ada ditulis bahasanya sekali.

Kami tinggal di sebuah hotel yang terletak di Patong dan hotel kami tidaklah terlalu jauh dari pantai dan tidak juga terlalu dekat (sengaja kami pilih begitu). Kami sempat juga melawat di sekeliling pulau, terutama kawasan Kamala, Kata dan Karon. Kami ke view point (atas bukit) dan kami juga ke Sunset view point. Memang cantik. Kami sempat juga pergi ke shooting range (saya tak menembak, anak-anak saya sahaja). Saya suka dengan pantai di Kamala, tetapi saya paling suka dengan pantai Laem Sing. Saya terpaksa turun jauh ke kawasan pantai, mujurlah saya tak lelah. Alhamdulillah, saya sihat dan mampu untuk turun dan naik ke atas semula. Pantainya memang first class. Sempatlah kami lepak sambil minum air kelapa.

Secara keseluruhan, saya suka Pulau Phuket... cumanya saya rasa pulau itu terlalu komersial. Malah, bagi saya, pulau itu terlalu-terlalu komersial dan kerana itu, banyak benda yang jadi menyakitkan. Manusia terlalu ramai (mujurlah bukan musim pelancongan) dan hampir segala-galanya lebih mahal dari di Bangkok, termasuk transport. Hotel... okey sebab bukan musim. Makanan, boleh tahan. Kalau makan di restoran kampung, lebih murah. Mengurut, lebih mahal di Phuket. Barang-barang pun (seperti pakaian)lebih mahal di Phuket. Paling saya tak suka ialah semasa kami melawat ke Pulau Phi-Phi. Memang satu 'rip-off'. Harganya mahal dan tak berbaloi langsung kerana perjalanannya terlalu jauh dan memeningkan kepala. Sebaik sahaja kami sampai, kami dah keletihan dan masa yang diberikan di tempat itu, terlalu singkat. Pulau itu juga terlalu komersial hinggakan kami tak dapat melihat apa-apa kecuali jualan sahaja.

Esok saya akan cuba sambung cerita saya ini. Malam ini, saya keletihan. Saya akan letakkan gambar kemudian, ya. Selamat malam.

Thursday, June 18, 2009

Okey... Off lagi!

Dalam beberapa jam lagi, saya akan ke luar negara sekali lagi. Tapi kali ini, tak jauh mana... sekadar lebih satu jam penerbangan. Saya akan ke Pulau Phuket yang terletak di selatan negara Thai. Oh ya... memang tak habis lagi ke negara Thai ni. Sekali lagi kunjungan saya ke sana ialah untuk kajian novel saya yang akan datang ini. Sebenarnya saya akan ke Kamala, di sebuah kawasan perkampungan Thai Muslim. Ramai penduduk kampung itu telah dihanyutkan semasa Tsunami beberapa tahun yang lalu. Saya akan tinggal di sebuah hotel di Patong, tapi saya akan ke kampung Kamala... untuk bertemu dengan cucu-cicit Mahsuri, yang suatu ketika dahulu telah lari dari Pulau Langkawi. Ingat tak legenda Mahsuri? Eh, tak adalah... kajian saya tak ada kena-mengena dengan cerita Mahsuri ni, tapi tertariklah jugak apabila teringatkan kisah wanita kental itu.

Kali ini, suami saya tak ikut saya, kebetulan pada hari Ahad nanti, dia akan ke Indonesia pula (hal kerjanya). Jadi, kami bergilirlah melawat negara-negara jiran. Sebenarnya masih banyak lagi kawasan di negara Thai yang menarik dan saya belum sampai lagi. Begitu juga Indonesia. Insya-Allah akan saya usahakan untuk ke tempat-tempat ini.

Ada juga pembaca saya bertanya, "Kak Aina tak ada plan ke nak buat rombongan dan ajak kami sekali, bila Kak Aina pergi ke mana-mana?"

Alahai... bukan tak ada plan, cuma saya ni jenis bila teringat je, main terus booking dan main terus pergi. Tak ada nak rancang lama-lama. Main ikut gerak hati je. Lagipun... kalau nak buat rombongan ni, kenalah atur betul-betul. Saya ni bukannya kisah sangat. Apa-apa pun okey... makan pun macam tu, asal halal je, Kak Aina tak kisah. Very simple.

Selain dari Karmala, kami juga akan pergi ke Pulau Phi-Phi. Insya-Allah. Sebenarnya, saya ni bukanlah sihat seratus peratus. Badan masih tak berapa sihat, tapi... tak boleh kisahkan sangat. Insya-Allah, saya okey je. Manalah tahu, angin laut, kan?

Sebenarnya, suami saya memang tak teringin nak ke Pulau Phuket ni. Dia tak berapa selesa dengan cerita-cerita orang tentang pulau tu (Selepas Tsunami). Sebab tu lah saya tak terkilan yang dia tak ikut sekali.

Okeylah... insya-Allah saya akan balik dengan cerita-cerita menarik tentang Pulau Phuket ni.Okey, off dulu hinggu minggu depan.

Wassalam.

Wednesday, June 17, 2009

Yang Mana Satu?

Memang payah nak jumpa kaum Hawa yang memilih tak mahu berkahwin. Biasanya, semua orang perempuan mahu berkahwin, cuma terpulang kepada Qada' dan Qadar, jodoh dan ketentuan Tuhan. Ada ketika, sekalipun sejak awal-awal lagi sudah terasa mahu mempunyai teman dan berkahwin, tetapi mungkin kerana tiada rezeki, sehingga umur sudah meningkat, masih tidak juga berkahwin. Pun begitu, siapa tahu apa yang akan terjadi di masa akan datang, kecuali Tuhan yang Maha Esa.

Ada juga keadaan di mana sejak kecil lagi, ibu bapa mengahalang anak perempuan mereka untuk berkenalan dengan kaum lelaki. Mereka takut anak mereka akan terpedaya dengan ucapan dan janji manis sang lelaki. Mereka juga mahu anak perempuan mereka tumpu pada pelajaran. Dan setelah habis belajar, mereka mahu anak perempuan mereka bekerja dan mungkin membantu keluarga. Ada juga kes, sememangnya anak perempuan itu tak biasa dan tak suka berkawan dengan budak lelaki, sekalipun dari jarak jauh. Dalam kes-kes yang begini, banyak anak perempuan yang terus membesar tanpa mengenali mana-mana lelaki yang merupakan bukan muhrimnya.

Bagi saya, dalam kes-kes yang begini, ibu bapa seharusnya berusaha untuk dapatkan orang ketiga bagi mencari pasangan anak perempuan mereka. Janganlah biarkan anak perempuan dibesarkan tanpa berpeluang untuk bertemu jodoh. Sungguhpun jodoh itu ditentukan Tuhan, namun dalam apa jua keadaan, kita sebagai manusia patut berusaha. Lakukan sesuatu agar anak perempuan kita akan hidup seperti orang lain juga.

Pun begitu, ramai yang takut untuk mencuba kerana melihat di sekeliling mereka. Hari ini, perceraian terjadi tak henti-henti bagaikan satu trend yang patut diikuti oleh semua. Perceraian terjadi dalam perkahwinan yang baru dan juga yang lama. Pasangan hari ini bagaikan payah hendak berunding, bagaikan payah hendak bersabar dan masing-masing, tak mahu bertolak-ansur.

Bagi saya, hendak kahwin kita juga yang memilihnya. Hendak bercerai, kita juga yang mencarinya. Yang mana satukah patut menjadi pilihan kita? Bukankah kalau kita memilih untuk berkahwin, kita juga sudah bersedia untuk berdepan dengan apa jua rintangan dan dugaan yang akan datang dalam perkahwinan kita? Dalam kehidupan, memangnya begitu, tak ada yang mudah. Ada naik turunnya. Hidup memang macam roda, ada kala kita di atas dan ada kala kita di bawah. Tetapi kenapa kita mesti dihantui dengan ketakutan untuk berjuang dalam menguruskan rumah tangga?

Mungkinkah kerana keadaan seperti ini juga membuatkan ramai kaum Hawa yang lebih senang untuk memilih tinggal bersendirian tanpa sang lelaki untuk menjadi teman? Lebih baik membujang daripada ada suami yang tak mampu untuk membahagiakan? adakah teori ini tepat? Tapi, kalau tak cuba berkahwin, mana nak tahu, kan?

Apa-apa pun, bagi saya... biarlah kita fikirkan yang indah-indah dan yang baik-baik. Fikirkan yang positif tentang perkahwinan. Usahakan untuk mencari pasangan, tak kira berapa umur kita sekalipun. Carilah jodoh yang paling sesuai untuk kita, insya-Allah, Tuhan akan membantu.

Tuesday, June 16, 2009

Dekat di Hati

Hampir setiap hari, saya menerima e-mel daripada mereka yang ingin menulis. Soalan utama ialah, macam mana nak mula menulis dan juga apa yang boleh ditulis?

Tentang bagaimana nak mula menulis... senang sahaja jawapannya. Saya selalu menasihatkan mereka yang ingin menulis, untuk terus tulis sahaja. Jangan tanya bagaimana, tetapi lakukan sahaja. Itulah caranya. Kalau kita tak mulakan, maka sampai bila-bila pun kita akan terus tertanya-tanya, 'macam mana nak tulis?'. Lontarkan soalan itu jauh-jauh, dan jangan hiraukan tentangnya. Yang penting, mulakan sahaja. Kalau ada komputer, terus bukakan fail, dan berikan tajuk sementara untuk manuskrip kita itu. Jangan pedulikan tentang stail penulisan, atau tentang gaya bahasa. Buat sahaja. Dari situ nanti, kita akan lihat sesuatu yang lebih 'real'.

Saya percaya, mereka yang bercita-cita untuk menulis, sudah melakarkan sesuatu dalam kepala. Tentu ada benda yang ingin diluahkan. Kalau teringin untuk menulis karya yang bercorak 'novel', tentu ada jalan cerita yang sudah berlegar-legar dalam kepala. Tak mungkin kita teringin untuk menulis tetapi langsung tak terfikirkan apa-apa.

Sekali lagi saya ingin mengingatkan mereka yang ingin menulis. Tulislah sesuatu yang paling dekat dengan hati. Sesuatu yang kita tahu, sesuatu yang mungkin menyentuh perasaan kita dan sesuatu yang kita suka ataupun berkesan dalam hidup kita. Dengan cara itu, kita akan mudah untuk meluahkannya dan akan berupaya untuk melakarkannya untuk dijadikan bahan bacaan.

Menulis tak jauh beza dari melukis. Kita bayangkan sesuatu dan lakarkanlah di atas kertas atau kanvas yang kosong. Kita melihat sesuatu yang mungkin sudah berada di hati dan sekarang ini, kita mahu orang lain turut melihatnya. Jadi, lakukanlah. Tulislah sesuatu yang selalu berada di hati. Insya-Allah, akan menjadi.

Monday, June 15, 2009

Dunia Buku Yang Tak Besar Mana

Semenjak berada di persada dunia penulisan, banyak perkara yang saya pelajari. Sebagai penulis, syarat pertama yang perlu kita ada selain daripada kebolehan dan bakat untuk menulis, ialah sifat profesionalisme. Kita harus bersifat profesional agar kita akan selalu disenangi oleh siapa sahaja yang berurusan dengan kita. Sebagai penulis, mungkin kita menghantar karya kita ke merata-rata tempat. Itu adalah hak kita dan tiada sesiapa yang boleh menyoalnya. Pun begitu, sebagai penulis, kita juga perlu ada tanggungjawab untuk pastikan apa sahaja 'info' yang kita ada tentang mana-mana pihak penerbit yang berurusan dengan kita, kita tidak menyampaikannya ke tempat lain. Kita perlu menghormati penerbit yang menerbit karya kita, sekalipun mungkin ada perkara tertentu yang kitab kurang senang tentang sesuatu penerbit itu. Percayalah, dunia penerbitan buku di tanah air kita ini, tidak besar mana pun. Lambat-laun, apa-apa yang kita katakan itu akan sampai juga kepada yang berkenaan.

Saya masih teringat lagi sebuah cerita benar yang terjadi di dunia penerbitan buku ini. Adalah seorang penulis (biar saya namakan X), pernah berhubungan dengan sebuah penerbit dan telah berjanji untuk terbitkan sebuah karyanya. Tanpa sedari, pihak berkenaan (penerbit itu, biar saya namakan 'S') telah menceritakan kepadanya tentang kewujudan lain-lain pihak penerbit yang ada termasuklah penerbit W. Tahu-tahu, Si X tadi telah pun berhubung dengan penerbit W ini(seperti yang diceritakan kepadanya dan kebetulan penerbit itu jauh lebih besar daripada penerbit S tadi). Tiba-tiba sahaja penulis X berbuat janji dengan penerbit W ini pula, untuk menghantar karyanya yang sama (yang sudah dijanjikan kepada Penerbit S).

Penerbit S tidak tahu tentang hal yang dilakukan oleh penulis X. Namun karyanya itu tidak pernah sampai, sehinggalah satu ketika apabila penerbit S menerima mesej e-mel daripada Penerbit W, menceritakan kepadanya tentang perbuatan penulis X. Apabila Penerbit W tahu tentang tindakan tidak profesional penulis X, penerbit W telah menolak terus karyanya itu dan tidak mahu lagi bekerjasama dengan penulis berkenaan. Pun begitu, Penerbit S pula, di atas perasaan simpati, telah menerima karya penulis X (karya yang lain pula).

Namun begitu, mungkin kerana ketiadaan sifat profesional pada penulis X, Penerbit S juga susah hendak berkerjasama dengannya. Malah, sikapnya itu sudah dihebahkan di sana-sini (mungkin banyak kali dia melakukan perkara yang sama dengan penerbit yang lain pula) dan banyak penerbit yang sedar akan sikapnya itu.

Bagi saya, sebagai penulis yang mahu bersifat profesional, biarlah kita berlaku adil kepada mereka yang menerbitkan karya kita, kecualilah kalau penerbit berkenaan tidak berlaku adil kepada kita. Janganlah mudah sangat kita menjaja sana-sini tentang mana-mana penerbit yang kita tak suka dan janganlah kita melambung tinggikan pula penerbit yang menjadi kegemaran kita. Kalau kita bersifat demikian, suatu hari nanti, semua orang akan tahu juga. Percayalah... dunia penerbitan itu tak besar mana pun.

Sunday, June 14, 2009

Siapa Pun Boleh!

Walaupun masih tak sihat, tetapi kerana hendak beri sokongan, saya ikut juga rombongan KarnaDya (staf) untuk ke 'Bowling Alley'. Saya duduk saja di kerusi yang disediakan dan menyokong mereka yang hebat dan mereka yang 'lembik'... hehe. Yang penting, saya berusaha juga untuk ikut sama, sekalipun sekadar bersorak dari tepi.

Memang seronok tengok kelakuan mereka semua termasuk suami saya, yang berubah jadi seperti remaja. Terjerit dan terlompat bila berjaya buat 'strike'. Seperti biasa, saya akan 'support' mereka yang agak lembik (yang perempuanlah) dan mungkin kerana galakan, sekalipun main tak hebat mana(pada mulanya), mereka juga boleh berubah. Walaupun lembut sahaja 'throw' yang dibuat, masih mampu juga buat strike.

Bagi kami, sekali-sekala keluar begini, memang menyeronokkan. Bukan sekadar dapat mengeratkan silaturahim di antara rakan kerja, tetapi juga kami dapat menghilangkan segala stres yang ada. Sekali-sekala memang sihat kalau kita dapat berkelakuan macam remaja atau budak-budak. Kami makan-makan bersama, mengerjakan solat di surau berdekatan (maklumlah cuti sekolah dan terlalu banyak orang di premis membeli-belah itu)dan terpaksa bersesak-sesak.

Banyak benda yang kami pelajari. Jangan cepat buat andaian siapa yang akan menang atau kumpulan mana yang lebih hebat. Jangan sangka yang lembik itu tidak kuat. Kadang-kadang fokus seseorang itulah yang boleh memenangkannya, bukan sekadar kekuatan fizikal sahaja. Dalam permainan ini, praktis boleh mengasahkan bakat atau kecekapan. Malah, dalam apa jua perbuatan (termasuk kerja), kalau kita rajin praktis, kita akan jadi orang yang cekap. Yang penting, kita boleh lakukan apa saja kalau kita berusaha untuk lakukannya. Siapa pun boleh!

Huhu... memang best. Malah kami bercadang untuk aturkan lebih banyak lagi aktiviti selepas ini. Insya-Allah.

Friday, June 12, 2009

Hajatku sampai, tapi...

Beginilah jadinya kalau sudah ditakdirkan tidak sihat. Saya memang berkobar-kobar untuk ke Gunung Ledang. Dah lama sangat nak pergi ke sana. Memanglah tak ada niat nak panjat sampai ke hujung, tapi cadangnya tu, nak tengok-tengoklah tempat tu. Jadi, hari Rabu yang lepas saya pun bertolaklah dari Nilai. Satu jam sahaja saya dah tiba pekan Tangkak. Okeylah tu. Lima belas minit lagi, dah sampai di kaki gunung. Kami pun bersedialah untuk naik tinggi sikit. Sempatlah saya mengintai-intai di Resort Gunung Ledang yang terletak di kaki bukit. Okey jugak resort tu... penuh pun. Memang sesuai untuk keluarga bercuti di situ. Kami terus berjalan untuk naik ke atas lagi, sambil perhatikan orang ramai yang sedang bermandi-manda di sungai. Air sungainya bersih (maklumlah datangnya dari atas gunung) dan berbatu-batu besar dan berair terjun. Riuh rendah di kawasan itu.

Dalam perjalanan, terserempak pulak dengan buaya. Eh,bukan buaya, tapi biawak! Terkejut kami sebab biawak tu memang besar... macam anak buaya. Dah tu, biawak tu main lepak aje kat tepi lorong yang kami lalui tu. Menggerunkan!

Mula-mula, saya okey saja, sebab tangga yang saya naiki tak adalah yang teruk. Tetapi, sebaik sahaja saya terpaksa naiki tangga curam yang disediakan untuk naik ke atas lagi, terpaksalah juga saya lakukan. Perlahan-lahan, berjaya juga saya menapak sampai ke hujung tangga itu, tapi malangnya mungkin kerana saya memang dah tak sihat (darah rendah), saya hampir pitam. Dada saya sesak. Macam tak ada oksigen. Terus terduduk (mujurlah ada bangku yang disediakan) dan tak bergerak-gerak lagi. Kepala saya jadi macam besar dan pemandangan saya terus jadi gelap. Saya tak boleh nak buka mata dan tak boleh berdiri lagi. Jenuhlah kena rehat di sekitar kawasan itu kerana saya dah tak boleh pergi ke mana-mana lagi.

Setelah berehat lama dan setelah rasa agak okey, kami pun turun semula. Terpaksalah kami tinggalkan kawasan Gunung Ledang dan pergi terus ke pekan Sagil. Mujurlah saya bawa anak bongsu saya sekali, kerana dialah yang terpaksa membawa kereta kami. Walaupun dia baru lagi dapat lesen memandu, saya terpaksa menyuruh dia memandu kerana saya sudah tidak berdaya. Kemudiannya kami menghala ke Bukit Gambir untuk singgah di rumah kakak saya (kakak saya berkahwin dengan orang sana). Sebaik sahaja saya tiba di rumahnya, saya terus berbaring merehatkan badan. Rupa-rupanya saya demam. Terpaksalah makan ubat pulak. Tekanan darah saya rendah. Terpaksalah anak saya yang memandu untuk pulang ke rumah kami lewat petang itu. Alhamdulillah kami selamat sampai ke rumah, tetapi sehingga ke hari ini, saya masih belum sihat.

Apa nak buat... hajat saya untuk ke sana sudah pun ditunaikan, cuma saya tak puas melihat tempat itu. Lain kali, terpaksalah saya berjaga-jaga kalau hendak mendaki bukit. Saya juga kena pastikan yang badan saya betul-betul bersedia.

Tuesday, June 09, 2009

Puteri Gunung Ledang

Insya-Allah, esok pagi saya akan cuba bertemu dengan Puteri Gunung Ledang... hehe. Memang dah lama saya nak ke sana, tapi... alahai macam payah sangatlah pulak. Setiap kali saya nak ke sana, ada-ada saja yang menghalang. Kebetulan, suami saya memang tak suka pergi tempat-tempat yang macam tu, tempat yang ada cerita-cerita misteri. Dia tak minat dengan Puteri tu...(dah ada puteri lain kot), jadi, kalau ajak dia, memang tak jadilah.

Esok, saya akan pergi dengan anak saya yang kecil (kebetulan, dia dah ada lesen memandu... tapi rasa-rasanya, sayalah yang akan memandu) dan juga adik saya. Sebenarnya saya akan ke sana kerana manuskrip yang sedang saya garap ni. Kalau tidak, mungkin tak akan sampai ke sana. Apa-apa pun, saya memang 'look forward' untuk ke sana. Mungkin dalam perjalanan pulang nanti, saya akan singgah di rumah kakak saya yang tinggal di sekitar kawasan Muar.

Okeylah... nanti saya cerita lagi bila dah balik dari sana, insya-Allah.

Monday, June 08, 2009

Cuti-cuti Malaysia

Hujung minggu, saya telah ke Lumut. Ke Damai laut sebenarnya. Kepada siapa yang dah baca 'Hanya Kita Berdua', saya telah ke lokasi permulaan novel saya itu. Malah saya telah menginap sekali lagi di Swiss Garden Hotel. Saya memang suka sekitar resort itu. Sempat juga saya ke Telok Senangin, satu lagi lokasi nostalgia dalam novel itu. Lalu juga di Pantai Remis... kampung Najla dan Adil.

Mungkin kerana cuti sekolah, keadaan sungguh sibuk. Lebuh raya menuju ke utara sentiasa sesak. Malah, hotel juga penuh (mujur saya dah lama tempah)dan terpaksa menunggu sebelum dapat masuk bilik (Housekeeper teruk kena kemas). Pantai penuh dengan orang, kolam renang juga penuh. Bila kami ke pekan Lumut, nak parkir kereta pun payah... tak ada tempat. Aduhai... tapi nak buat macam mana, kan? Kalau ikutkan hati, saya memang tak suka berjalan semasa musim cuti sekolah, tetapi kerana kami hendak menghadiri majlis perkahwinan staf suami saya (Kedua-dua pengantin adalah stafnya), kami terpaksalah bersesak dengan orang ramai yang sedang bercuti. Kami bawa anak bongsu kami sahaja (yang kecil tapi berbadan besar), kebetulan hanya tinggal dia seorang sahaja yang masih bersekolah.

Majlis perkahwinannya ialah di bahagian Bagan Datoh (di Selekoh), dan itu merupakan kali pertama saya ke kawasan itu (tak tahulah kalau saya pernah ke sana semasa kecil dulu). Sepanjang jalan, mungkin ada lebih dari 20 majlis perkahwinan! Terpaksalah kami perhatikan betul=betul, takut juga kalau tersilap rumah. Apa-apa pun, memang seronok sekali-sekala masuk ke kawasan kampung. Dah lama saya tak makan nasi kenduri stail orang Perak (Ada umbut kelapa dan rendang tok), siap dapat bawak balik lagi. Ada bunga telur masin (jarang dapat yang macam ni).

Tapi, masa nak balik tu, (Kami ikut jalan pantai melaui Sabak Bernam-Klang), alahai... teruk betul jamnya. Sampai ada ketika kereta tak bergerak. Semasa itulah kami berhenti seketika untuk makan mee udang banjir (nampak tanda promosi kat tepi jalan). Apa lagi, memang syoklah pulak! Di Sekinchan pun ada jual mee udang utara...

Sungguhpun penat, tetapi mungkin sebab dah lama tak merayau di kawasan perkampungan, percutian kami tu sungguh menyeronokkan. Mungkin saya ni memang jenis payah tak suka kalau berjalan kot. walaupun terasa letih sebab lama sangat berada dalam kereta, tapi tetap syok! Cuti-cuti Malaysia... tempat kita pun macam-macam ada. Dapatlah saya beli pisang raja, kelapa pandan dan ikan kering.

Memang best!

Friday, June 05, 2009

Takut Dimadukan?

Saya percaya perkataan 'MADU' merupakan satu perkataan yang menjadi taboo buat kebanyakan wanita. Takutnya kalau disebut-sebut pasal hal ni. Maklumlah, siapa yang teringin nak bermadu? kena kongsi segala-galanya. Sebagai wanita, mungkin kita dijadikan begitu, berjiwa sensitif dan sentiasa mahukan perhatian dan kasih sayang. Kalau bermadu, bermakna suami tak dapat memberi perhatian dan tumpuan kepada diri kita sepenuhnya. Masa dan kasih sayangnya terpaksa dibahagi-bahagikan. Betul tak? mana boleh macam tu, kan? siapa yang sanggup?

Tetapi dalam begitu, kita sebagai manusia, makhluk Allah SWT, kita juga kena terima hakikat bahawa kita hanya menumpang sementara di dunia ini.Tak ada yang kekal. Bila mati nanti, suami yang kita sayangi itu tak ada di liang lahad bersama-sama diri kita. Malah, rumah, kereta, barang kemas... apa sahaja, semuanya kita tinggal jua. Yang ada hanyalah amalan kita sahaja.

Begitu juga semasa hidup kita. Sekalipun mungkin suami tidak kahwin lebih daripada satu, itu tidak bermakna bahawa masa dan tumpuan mereka hanya pada kita sahaja. Masih ada benda lain yang perlu mereka fikirkan. Mereka mungkin jenis 'gilakerja', mungkin suka pada kereta, mungkin juga gila bola... atau golf... atau memancing... dan macam-macam lagi. Ramai juga yang merupakan ahli kumpulan tertentu dan aktif dengan kumpulan mereka. Dan kerana itu juga, mereka juga tak termampu untuk memberi perhatian seratus persen kepada kita!

Janganlah panik kalau tiba-tiba suami kita nak kahwin lain. Sudah dijadikan Tuhan yang kebanyakan lelaki memang mampu untuk menyayangi lebih daripada seorang wanita. Mungkin betul ada lelaki yang kurang bertanggungjawab dalam hal menguruskan keluarganya, tetapi dalam hal yang begini, kita pun tahu bahawa lelaki seperti itu, memang jenis tak bertanggungjawab sekalipun isterinya hanya satu!

Huhuhu... mungkin ada yang tertanya-tanya bila membaca artikel ni. Kenapa dengan Kak Aina ni? Hah... sebenarnya tak ada apa-apa pun, cuma saya cemas apabila melihat terlalu banyak rumah tangga yang runtuh hanya kerana suami mereka hendak berkahwin lagi. Seolah-olah dunia akan kiamat, seolah-olah kita mati kalau wang berkurangan... seolah-olah kita hidup di dunia ini hanya untuk kepentingan diri kita sahaja, tak ada soal bertolak ansur, tak ada soal kasih sayang dan tak ada soal 'sharing and caring' dalam kamus hidup kita. Seolah-olah perceraian itu mudah dan menguntungkan. Mungkin juga kerana saya dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga poligami... saya tak pernah rasa pelik dengan keadaan seperti itu.

Wallahu'alam.

Thursday, June 04, 2009

Yang Tidak Digemari

Percaya tak? Biasanya apa yang kita tak gemari itu, itulah yang kita akan dapat. Misalnya, kawan saya ni. Dia tak suka benar pada orang-orang yang datang dari negeri X ni. Katanya, kalau dia nak cari pasangan hidupnya, tak boleh orang negeri X. Dia tak suka. Tetapi, Tuhan lebih mengetahui. Kebetulan pasangan yang telah menambat hatinya adalah orang dari negeri X. Aduhai... terpaksa tukar pandangan.

Begitu juga kisah dengan kawan saya seorang lagi ini. Dia pula paling tak suka orang yang berketurunan S. Macam pantang tok nenek dia, tak boleh langsung sebut pasal orang-orang yang berketurunan itu. Tetapi, seperti kawan saya tadi, itulah pasangannya. Dia telah berkahwin dengan orang yang berketurunan S itu.

Cerita seorang kawan saya lagi, dia pula paling meluat dengan M, rakan pejabatnya. Ada-ada sahaja yang tak kena pasal M tu. M sombonglah, M berlagaklah... macam-macam lagi. Tetapi akhirnya, M telah menjadi rakan baiknya. Hinggalah ke hari ini.

Seorang kawan pejabat saya dahulu (lelaki), selalu berkata yang dia mahu mencari isteri yang cantik dan bergaya. Malah,semua makwe-makwenya memang begitu.Tastenya memang tinggi. Nak yang cantik dan bergaya sahaja. Tetapi akhirnya, dia telah berkahwin dengan seorang wanita yang biasa-biasa sahaja, dari segi rupa dan juga gaya. Malah, ada juga kawan-kawan yang terkejut apabila melihat pilihannya itu. Saya masih teringat lagi saat bertemu dengan isteri yang baru dinikahinya. Memang terbalik daripada apa yang kami sangkakan.

Sebenarnya, sebagai manusia, apa yang mampu kita lakukan ialah berdoa untuk dapat yang baik-baik sahaja, sama ada sebagai teman atau pasangan hidup. Jangan kita sukat orang dari segi paras rupanya, keturunannya, atau tempat asalnya. Lihatlah hati mereka. Kadang-kadang kita sekadar mampu membuat andaian, dan biasanya 'First Impression' tak mestinya tepat. Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Tuhan sebenarnya sengaja menduga lalu mengaturkan sesuatu untuk kita kerana apa yang berada di hati kita itu.

Wallahu'alam

Wednesday, June 03, 2009

Tebal Atau Tidak

Ada pembaca memang suka mencari novel atau buku yang tebal-tebal. Ada pula tu lebih selesa dengan novel atau buku yang sedang-sedang ketebalannya. Ada juga yang mencari novel yang tak tebal langsung, kerana katanya cepat dibaca dan senang membawa buku itu. Ini memang menunjukkan yang cita rasa manusia memangnya berbeza. Tak pernah sama.

Apa-apa pun, saya suka mengingatkan kepada pembaca supaya jangan tertipu dengan ketebalan sesebuah novel atau buku itu. Kadang-kadang, bilangan huruf/perkataan yang terkandung dalam sebuah novel yang sedang-sedang saiznya, sama sahaja jumlahnya dengan sebuah novel yang tebal. Ini adalah kerana format yang digunakan dalam 'layout' novel itu berbeza. Dari segi fontnya, susun aturnya dan macam-macam lagi. Tetapi, kerana saiznya kelihatan tebal, maka harganya berbeza. Mungkin empat atau lima ringgit lebih mahal daripada saiz novel yang biasa-biasa ketebalannya. Jadi, janganlah kita cepat buat andaian yang novel 'A' yang jumlah muka suratnya mungkin melebihi 600 itu lebih panjang ceritanya daripada novel 'B' yang mungkin jumlah muka suratnya sekitar 540 sahaja. Walaupun anda membayar lebih untuk mendapatkan novel 'A' tetapi jumlah perkataannya atau huruf, mungkin sama sahaja dengan novel 'B'.

Kita juga perlu berhati-hati, kerana ada novel yang tebal tidak semestinya penuh dengan isi yang 'menarik' untuk kita baca. Mungkin ia menjadi tebal kerana banyak perkara-perkara yang tak perlu atau meleret yang dimasukkan sekali. Sebagai pembaca, kita harus bijak menilai perkara-perkara seperti ini. Yang penting, jangan nilai sebuah buku atau novel itu sekadar melihat saiz atau harganya sahaja. Yang penting ialah isi dan ilmu yang dapat kita pungut daripada pembacaan buku itu.

Sebagai penulis, kita juga bertanggungjawab untuk pelbagaikan bahan pembacaan dari segi ketebalan karya-karya kita. Ada pelbagai kumpulan di luar sana yang mencari bahan bacaan. Ada yang suka buku tebal ada juga yang tidak suka begitu. Berilah peluang untuk mereka membaca bahan-bahan yang sesuai dengan selera mereka.

Tuesday, June 02, 2009

Yang Menarik di Singapura




Mungkin Singapura sekadar sebuah pulau sahaja, yang tak besar mana saiznya, namun Singapura sangat terjaga dan tersusun dan dipenuhi dengan kehijauan yang sungguh menakjubkan. Walaupun mempunyai bangunan yang mencakar langit dan berbentuk moden dan canggih, namun alam sekitarnya cukup nyaman. Masih ada kawasan yang dipeliharai sebagai tinggalan warisan dan tempat-tempat ini menjadi pusat pelancongan.

Singapura merupakan sebuah tempat yang banyak meninggalkan kenangan buat diri saya. Semasa saya kecil (sekitar lima tahun), saya selalu ke pulau itu dan ibu saya selalu membawa saya untuk bertemu dengan kenal-kenalannya. Kebetulan, di salah sebuah tempat itu, merupakan tempat tinggal arwah nenek suami saya (Masa tu tak tahu pun yang cucu arwah nenek itu akan menjadi suami saya), dan mungkin di suatu masa itu, saya pernah bertemu dengan suami saya. Sebenarnya, suami saya memang dilahirkan di Singapura (ayahnya pernah kerja di sana), tetapi dia adalah rakyat Malaysia.

Apa-apa pun... Singapura tetap berada di hati ini.

Lagi Foto di Singapura


Bergambar Dengan Penulis dan juga Penyanyi


Foto di Pesta Buku Singapura


Monday, June 01, 2009

Terima Kasih, Singapura!

Salam, semua.

Terlebih dahulu saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong dan pembaca saya dan juga Mimie Afinie, yang telah datang beramai-ramia dan bersusah payah untuk bertemu kami berdua di Pesta Buku Singapura (Suntec City), pada hari Sabtu yang lepas. Kami sungguh terharu dengan sambutan para pembaca kami. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Kami berjumpa, berbual dan berkenal-kenalan. Sangat-sangatlah best!

Selain daripada pembaca-pembaca kami, kami juga bertemua dengan beberapa orang penulis Singapura, antaranya Zaleha Isnin dan Ria Andrianna. Kami juga bertemu dengan penulis buku kanak-kanak,Rilla Melati Bahri. Kami bertemu juga dengan selebriti Singapura, Najib Ali dan penyayi remaja, Alif Aziz! Wow! seronoknya. Saya juga sempat ditemuduga secara live untuk radio Singapura.

Terima kasih tak terhingga kepada pihak Warisan Media, yang telah bersusah payah mengaturkan semuanya. Semoga Allah merahmati usaha anda dan semoga kita dapat terus mengukuhkan Bahasa Melayu di Singapura.

Saya akan letakkan beberapa gambar yang sempat dirakamkan di sana, kemudian. Apa yang ingin saya nyatakan ialah saya dan Mimie... kami memang seronok ke kota singa itu. Walaupun tak lama kami di sana, dapat juga kami bersiar-siar dan sempat berkunjungan ke Kampung Glam. Best sangat! Terima kasih semua dan semoga kita akan bertemu lagi, insya-Allah!