Salam Jumaat buat kita umat Islam, semoga Allah berkati hari-hari kita, insyaa-Allah.
Hari ini saya nak bangkitkan tentang sesuatu yang mungkin menjadi sesuatu yang sedang diamalkan oleh banyak orang, terutama mereka yang muda dan yang tak pernah rasa susah. Penyakit malas!
Saya selalu berbual-bual dengan teman-teman yang biasa jadi bos besar atau jadi majikan. Rata-rata ramai yang bersungut, kata mereka hari ini memang payah benar nak dapat pekerja atau kakitangan yang rajin bekerja. Kebanyakan mereka yang makan gaji suka berkira tentang tenaga mereka, tetapi tak ambil berat pula tentang tenaga yang terbuang akibat menjalankan aktiviti personal seperti 'berwhatsapp, ber FB, bertelegram, berinstagram dan apa sahaja aktiviti lain yang 'personal' dan buang masa dalam waktu pejabat yang sepatutnya dihabiskan untuk kerja, sesuai dengan gaji yang dibayar!
Kalau kita jenis macam itu, tetapi sangat berkira dengan masa kita (bila sampai masa habis kerja bukan main laju lagi nak balik) dan tak ambil berat untuk ganti masa yang kita buang semasa bekerja, ini samalah dengan memakan duit yang bukan hak kita! Betul tak? Atau kita tak rasa macam tu sebab kita rasa orang tak tahu pun kalau kita buang masa atau ponteng kerja? Atau bagi kita okey sajalah macam tu sebab sebenarnya kita memang malas pun! Jadi hal-hal seperti ini bagi kita sangat biasa walaupun sebenarnya kita tahu bahawa itulah yang dikatakan sebagai amalan tak jujur! Tapi kita terus saja buat macam tu, sebab kita rasa tak apa kot... semua orang pun buat macam tu! nauzubillah min zalik.
Penyakit malas inilah yang sangat membimbangkan banyak orang yang mahu ambil berat dan ambil tahu. Apabila generasi yang ada merupakan generasi pemalas, maka negara akan menjadi lemah. Bertambah bimbang apabila kita tahu bahawa generasi itu merupakan orang Islam, maka sebagai manusia prihatin, kita takut negara akan menjadi layu dan tak bermaya dan akhirnya nanti akan hilanglah bangsa yang ada.
Maka peribahasa Melayu yang mengatakan bahawa 'Tak akan hilang Melayu di dunia' akan terbalik juga. Tahu-tahu, akibat penyakit malas ini, maka hilanglah Melayu bukan hanya di dunia tetapi di negara sendiri! Nauzubilah min zalik.
Hari ini, terlalu ramai yang hanya pentingkan 'material' tapi tak pedulikan amalan yang dituntut agama. Ramai yang tak ikhlas dan tak jujur dan itulah antara prinsip penting untuk jadi manusia beriman. Kalau iman goyah, maka goyanglah segalanya.
Kita wajib jadi manusia yang beramanah dan jujur. Dengan ciri-ciri itu kita mampu untuk jadi manusia yang ikhlas bekerja kerana kita tahu bahawa apa sahaja yang kita lakukan adalah kerana kita ini umat Islam yang sayangkan pada Allah swt.
Semoga kita fikirkan hal ini dan cubalah perbaiki diri kita untuk menjadi insan yang jujur lagi ikhlas melakukan kerja kerana Allah swt. Aamiin.
Wassalam.
Relaks-relaks setelah bekerja kuat
