Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, January 03, 2008

Hidup Bagaikan Sebuah Penimbang

Tentu anda selalu fikirkan hal ini. Kenapa aku tak kaya macam dia? Kenapa aku tak pandai macam dia? Kenapa nasib aku tak baik macam dia? Kenapa aku tak dapat berjalan-jalan macam dia? Kenapa, kenapa, kenapa????

Mungkin kita juga selalu renungkannya. Setiap apa yang terjadi pada kita, kita rasa terkilan kerana sangka kita, hanya kita sahaja yang merasakannya. Orang lain tak susah macam kita. Orang lain tak menderita seperti kita. Macam-macam yang kita fikirkan dan kita rasa bagaikan Tuhan tidak menyayangi kita. Perasaan itu selalu datang bila kita dihimpit kesusahan.

Sama-samalah kita renungkan kisah ini, sebuah cerita benar. Maziah dilahirkan sebagai anak bongsu yang paling disayangi dalam sebuah keluarga besar. Dia mendapat pelajaran secukupnya dan berjaya mendapat jawatan yang baik kalau dibandingkan dengan adik beradik yang lain. Dalam ramai-ramai, Maziah bernasib baik kerana dilahirkan cantik. Semuanya hampir sempurna buatnya. Bila dewasa, Maziah bertemu dengan Haidir, juga seorang anak bongsu dari keluarga yang besar. Ayah Haidir orang ternama dan kaya-raya. Haidir pula telah diberi kuasa untuk menjaga harta keluarga yang menimbun itu. Haidir berkahwin dengan Maziah dan mereka hidup aman damai.

Oleh kerana Haidir kaya, puaslah Maziah berjalan-jalan mengelilingi dunia. Bukan sekadar berjalan-jalan macam orang lain, tetapi Maziah telah diberikan segala kemewahan dalam hidupnya. Naik kapal terbang kelas pertama, tinggal di hotel lima bintang dan diberi harta yang banyak. Rumah besar bagaikan istana, barang kemas bergantang-gantang, kereta mewah bersusun-susun... malah semuanya dia ada.

Namun Tuhan Maha Adil dan Maha Kaya... sekalipun hidup bahagia, Maziah tidak dikurniakan zuriat. Walaupun sudah puas diusahakan, Maziah tak berjaya untuk mendapat zuriat dari darah dagingnya. Dia membela anak-anak angkat.

Mungkin kerana terlalu biasa hidup mewah, anak-anak yang dipeliharainya tidak ada yang menjadi. Terpaksa sahaja Maziah berdepan dengan keadaan yang seringkali membuat hatinya bimbang dan resah gelisah. Paling hampa buat dirinya, Maziah telah mengidap penyakit barah yang dikatakan tiada ubatnya. Kini, Maziah yang suatu ketika dahulu pernah rasa semuanya, terpaksa sahaja berdepan dan berperang dengan sesuatu yang mungkin akan mengakhirkan riwayatnya. Paling sedih kerana dalam keadaan yang begitu, Maziah tidak ditemani sesiapa.

Sebagai manusia, kita semua akan akhirnya bertemu ajal juga. Sekalipun hidup mewah, namun bila ajal tiba, kita semua sama saja. Apa yang penting ialah amalan yang kita tinggalkan. Kalau ada anak yang soleh dan solehah, mungkin doa mereka akan membantu semasa kita berada di alam barzakh.

Renung-renungkanlah, apa sahaja yang Tuhan berikan kepada kita, sentiasa ada hikmahnya. Kalau kita kurang di sini, akan ada yang lebih di sana. Hidup kita bagaikan sebuah penimbang... biasanya tak berat sebelah. Tak mungkin akan sempurna. Nothing is perfect!