Assalam
Hari ini macam kelam kabut sikit sebab tukang urut saya akan datang sebentar lagi. Mula-mula cadang nak ke Lenggeng tetapi saya minta suami postpone ke belah petang. Banyak pulak hal nya!
Okeylah, sajalah nak bercerita pada hari Rabu ni... bukanlah apa, tetapi sekadar untuk mengingatkan diri sendiri dan juga anda yang rajin ke mari. Bagi saya memang elok kita sentiasa beringat-ingat jangan sampai tak ingat dan tersesat jalan. Hidup di dunia ini, memang mudah sangat digoda syaitan dan kerana itu, kalau iman kita rapuh, kita akan tergoda dan mungkin kerana itu mudah terlupa.
Biasa tak, dengar orang yang bersembang-sembang seolah-olah tempat duduknya terletak di atas langit dan bukan di bumi nyata? Hah... mesti selalu, kan? Asal jangan kita yang begitu sudahlah. Kadang-kadang kita memang suka kongsi cerita dan mungkin juga teruja dan kerana itu kita pun beritahulah pada member-member. Kalau member tu memang kawan baik kita atau pun yang memang dah lama biasa dengan kita, tak apalah kot. Tapi kalau first time jumpa atau jenis jarang-jarang jumpa, takkanlah kita nak cerita benda-benda di atas langit kot?
Huhu... malulah, kan? Lagipun mungkin tak elok dan tak baik kalau kita suka cakap tinggi-tinggi ni. Baru-baru ni, masa sembang-sembang dengan seseorang yang kami tak kenali di satu majlis, kami keep semuanya 'cool'. Sebabnya orang yang ada dengan kami tu kami tak kenal, jadi kami bersembang-sembang tentang benda-benda biasa saja. Tiba-tiba muncul lah si B ni. Kami memang lah kenal dengan B, tapi tak biasa sangat. Jarang-jarang jumpa dia. B mula bercerita tentang tugasnya. Konon-kononnya jawatannya itu sangat penting. Mulalah B bercerita tentang-tentang hal di atas langit termasuklah tentang pendapatannya. "siapa nak bagi kita sebulan sebanyak RMXXXX ni?" Berulang-ulang kali dia bercerita tentang pendapatannya itu seolah-olah kami yang mendengar akan ternganga mulutnya. Adoii... kami mula berasa malu kerana member yang mula-mula tadi tu terdiam sahaja, mungkin hairan kot dengan B yang datang dan bercakap di atas langit!
Kenapa kita tak nak pijak kaki di bumi nyata? Rugi ke kalau kita tak menunjuk-nunjuk ni? Okeylah... ada lah seorang ni, ibu bapanya bukan main megah lagi sebab anaknya berjaya berkahwin dengan mamat ni, konon-kononnya loaded sangat. Si anak perempuan pulak tu bila berjumpa dengan orang lain, wah lagaknya macam mak datin-mak datin. Terasa macam duduk di atas langit. Kami semua sekadar memandang sahajalah lagaknya itu. Tiba-tiba satu hari kami terdengar cerita bahawa si anak itu tadi dah pun berada di penjara bersama-sama sang suami. Rupa-rupanya mereka selama ini terlibat dengan bisnes dadah! Sekarang ini sedang tunggu dibicarakan, kalau bersabit dengan kesalahan, mungkin akan ke tali gantung! Allahuakbar!
Moral of the story... jomlah kita terima hakikat bahawa walaupun mungkin kita hebat, kita masih melekat di bumi yang nyata ini, tak mampu untuk duduk di atas langit, atau di atas awan. Biarlah kita merendahkan diri kerana sebenarnya itu tidak merugikan.
Wassalam.