Buatlah apa yang hati kita suka dan apa yang kita tahu Allah akan suka. Buat baik akan dibalas baik...
Nature
Cinta baru dalam hidupku
Followers
Friday, October 21, 2011
Hati Yang Terusik
Salam pagi Jumaat buat semua,
Semalam, hati saya terusik bila membaca sesuatu yang pernah diingatkan oleh seorang peninju ternama dunia. Katanya, apa-apa yang mempunyai nilai tinggi, tidak terletak di tempat yang mudah kita dapat. Ia tersorok. Misalnya batu permata, termasuk berlian dan juga emas. Kalau mahukannya, terpaksalah kita bekerja keras untuk masuk ke tempat-tempat yang jauh ke dalam atau tersorok. Begitu juga mutiara yang tersimpan nun jauh di dalam lautan. Kalau seorang wanita meletakkan nilai yang tinggi pada dirinya, itulah yang perlu dilakukan, tidak 'expose' kan dirinya seperti barang-barang yang tidak ada nilainya. Huh! Memang dalam maksud yang ingin dipaparkan, sedalam Lautan China yang luas.
Saya juga membaca sesuatu yang telah diceritakan oleh seseorang, katanya dengan adanya Internet, banyak orang tergamak untuk meluahkan segala perasaan di laman-laman sosial. Bila berlaku satu perceraian, akan adalah tuduh-menuduh dan paparan yang mengaibkan yang dibuat kepada pasangan. Masing-masing tidak mahu menerima hakikat bahawa jodoh mereka sudah tiada. Malah, akan melegakan kalau dapat menyakitkan hati pasangan yang sudah menjadi 'bekas'. Malangnya, perbuatan aib-mengaib, akhirnya akan menjadi melarat dan merosakkan segala ikatan, malah memunahkan aib sendiri.
Saya tidak tahulah... tetapi mungkinkah laman-laman sosial yang wujud sekarang ini akan menimbulkan lebih banyak kesan yang tidak baik daripada yang baik? Atau mungkinkah terlalu banyak yang menggunakannya sebenarnya merupakan mereka yang tidak matang fikiran dan tidak bijak? Maka dengan itu, laman sosial tidak digunakan untuk perkara yang baik, tetapi sebaliknya. Ramai sangat yang guna laman sosial untuk melepaskan perasaan marah dan dendam dan akhirnya mendatangkan mudarat kepada orang yang bertindak demikian. Yang pasti, orang lain yang membaca akan jadi meluat dengan perbuatan mereka yang begitu!
Fikir-fikirkanlah.
Okeylah... bekas Presiden Libya, Muammar Gaddafi telah pun mati dibunuh. Beginilah berakhirnya satu kehidupan seorang bekas ketua negara. Apabila kuasa dan harta menjadi keutamaan, dan perasaan rakyat tidak dihiraukan, sekalipun mungkin pernah melakukan yang terbaik buat negaranya, kematiannya berubah menjadi sesuatu yang sangat mengaibkan. Sungguh malang. Semoga perkara seperti ini akan membuka hati kita semua. Biarlah kita dijauhkan daripada perkara-perkara buruk yang kini sedang menimpa negara-negara di Yemen, Syria, Bahrain dan lain-lain.
Apa pun, keadaan ekonomi global sungguh meruncing. Di Malaysia, kesannya masih belum terasa dengan serius, namun sudah ada gelombang kecil yang datang menghampiri pantai. Walaupun belum serius, bahangnya sudah ada. Maka, berjaga-jagalah kita. Jangan terlalu relaks dan buat andaian bahawa kita 'kebal' dari segala masalah dunia.
Semoga Tuhan melindungi kita.
Subscribe to:
Posts (Atom)