Apakah yang membuatkan seorang lelaki itu terpikat dengan seorang wanita? Begitu juga sebaliknya. Mungkin ada pelbagai kriteria yang penting buat seseorang itu. Rupa yang cantik biasanya menjadi idaman lelaki. Begitu juga kekacakan. Ramai wanita yang akan lakukan apa sahaja hanya kerana ketampanan seseorang jejaka idamannya. Hari ini, selain daripada rupa, ada lagi perkara yang diutamakan. Bukan hati atau budi bahasa tetapi 'material' atau wang ringgit. Tak kira lelaki atau perempuan, ramai yang menyukat seseorang itu dengan harta benda yang ada padanya. Memang cerita sedih tetapi itulah hakikatnya. Kalau tak ada duit, tak ada pangkat, tak ada sesiapa yang mahu pandang padanya. Sekalipun tua, atau mungkin tak ada rupa, tetapi kalau koceknya penuh, sahamnya mungkin boleh naik melambung! Aduhai... sedihnya.
Jarang kita mendengar orang memilih calon pasangannya, wanita atau lelaki, yang berhati mulia. Kalau tak kerana rupanya, hartanyalah yang menjadi utama. Mana pergi hati kita agaknya? Kalau hati yang ada tidak melihat pada hati yang lain, bagaimana mungkin kita dapat menilai apa yang baik dan apa yang tidak. Mungkin kerana itu juga, ramai ibu bapanya yang meletakkan harga yang tinggi buat anak perempuan mereka. Macam jual lembu atau kambing! Ramai juga marah kalau perkara ini dipersoalkan kerana kata mereka harga barang rata-rata memang mahal. Macam mana nak buat kenduri kalau hantarannya tak tinggi. Bagi saya mudah sahaja. Buat apa yang kita mampu. Kalau dah tak ada duit, tak payahlah buat yang bukan-bukan. Mengapa harus kita cari susah sedangkan Tuhan tak pernah mahu menyusahkan kita.
Ke manakah pergi hati kita semua? masih ada lagikah perasaan yang dikatakan 'keikhlasan'? Tidakkah kita mahu keberkatanNYa?