Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, April 14, 2008

Cerita Pesta Buku

Ramai yang saya temui dan macam-macam yang berlaku, tetapi semuanya menjadi kenangan manis buat diri ini. Saya bersyukur kerana Tuhan berikan peluang ini lagi untuk saya bertemu dengan semua pembaca saya yang bersusah payah datang dari dekat dan jauh. Brunei, Singapura, Sabah, Sarawak, dari utara di Perlis dan Kelantan hinggalah ke selatan di Johor. Alhamdulillah. Saya juga berbesar hati kerana mereka semua tidak lupakan saya dan masih menjadi penyokong buku-buku saya. Kepada semua pembaca dan penyokong saya, terima kasih daun keladi. Insya-Allah tahun depan kita jumpa lagi. Saya juga seronok bertemu dengan rakan-rakan penulis, tak kira sama ada mereka menulis untuk KarnaDya atau penerbit lain, mereka adalah rakan-rakan seperjuangan saya. Saya ucapkan terima kasih kerana sudi melepak di pondok kecil kami. Maklumlah, kami sekadar semut kecil yang terselit di barisan gajah-gajah yang gagah. Pun begitu, Pesta Buku telah merapatkan perhubungan kami semua. Sekali lagi saya ucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.
Seperti biasa, ramai pembaca lelaki datang untuk bertemu dan bergambar dengan saya, tetapi kali ini saya rasa jumlahnya mungkin meningkat. Sebab utama adalah kerana, ramai yang jatuh cinta dengan buku saya 'Bunga-Bunga Kemboja'. Dari Maktab Perguruan Islam hinggalah ke RMC... mereka memberi semangat kepada saya. Begitu juga para remaja yang terus setia dengan buku saya 'Aura Cinta' dan 'Kau Laksana Bulan' hinggakan stok KLB kehabisan! Saya bertanya juga apa yang seronok sangat dengan buku saya KLB tu. Mereka mengatakan bahawa mereka terasa seperti diri merekalah heroin buku itu, Adrianna a.k.a. Jenna Jehan. Ramai yang mahu tahu sama ada Firas Ali itu ada kena mengena dengan saya. Alamak!
Ada yang ralit menyoal saya tentang pengalaman saya semasa ke perkampungan Orang Asli semasa menulis Aura Cinta. Saya seronok bila diberitahu bahawa ada yang sudah sampai ke Pos Betau untuk melihat latar tempat yang saya tonjolkan dalam buku saya itu. Alhamdulillah, tak penatlah saya ke sana. Begitu juga tentang negara Kemboja dalam BBK. Masing-masing nak dengar cerita saya tentang pengalaman saya di sana.
Dalam kesibukan melayan para pengunjung di booth kami, ada juga beberapa kanak-kanak lelaki yang selalu datang berteduh di tempat kami. Mereka ini adalah kanak-kanak dari sekitar kawasan Chowkit. Mereka rajin menolong kami untuk edarkan brosur kami pada orang ramai. Sempat juga mereka tunjukkan kepada saya tarian 'shuffle'. Sebagai penulis, saya memang nak tahu sangat aktiviti remaja seperti mereka. Anak-anak saya rajin melayan mereka ini dengan membelikan mereka makanan. Balik sahaja dari sekolah (sekolah mereka tak jauh dari PWTC), mereka sudah ke tempat kami! Saya memang terhibur dengan kehadiran mereka.
Banyak lagi cerita menarik tetapi saya akan sambung lagi lain kali. Tubuh saya masih kepenatan. Pun begitu, sekalipun penat, saya memang sentiasa seronok untuk berada di tapak Pesta Buku. Pertemua saya dengan pembaca tentu sekali menghiburkan hati saya ini. Saya tidak tahu sama ada Tuhan akan izinkan saya untuk bersama mereka lagi. Panjang umur dan murah rezeki, kita akan bertemu lagi, insya-Allah.

Terima Kasihku

Pesta Buku baru sahaja berlalu. Pagi ini, saya tak sihat, namun saya kuatkan badan untuk ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca dan penyokong saya dan Mimie Afinie dan kepada semua yang datang ke booth KarnaDya, sama ada untuk melihat-lihat atau bertemu dengan penulis-penulis kami, atau untuk membeli produk kami. Terima kasih juga kepada semua penulis-penulis KarnaDya yang datang dari dekat dan jauh untuk memeriahkan suasana Pesta Buku kali ini. Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Ilahi kerana telah panjangkan umur kami dan bertemu dengan anda sekelian. Insya-Allah petang nanti saya akan update kan entri saya ini. Saya ada banyak cerita yang mahu saya kongsi bersama anda sekelian.