Ini adalah restaurant Ayam Penyet di Jogja - saya suka tengok sinkinya. Lain kan?
Salam Eidul Adha buat semua
Buat masa ini, saya memang sibuk menulis. Maklumlah, deadline saya dah terlepas pun, terpaksa buat deadline yang baru. Esok dah hari raya, kan... jadi mesti tak dapat menulis lagi. Tak apalah, saya kena juga korbankan masa saya dan perhatian buat semua yang saya sayang. Walaupun saya juga sangat sayang dengan kerjaya saya, saya tak boleh abaikan keluarga. Insya-Allah.
Baru-baru ni, saya ada terbaca tentang mereka yang jadi penulis dan mampu bertahan di dunia penulisan buat tempoh yang lama. Serupa juga dengan bidang seni yang lain. Bila kita memasuki dunia ini, terpulanglah pada kita sama ada kita nak masuk dengan hati yang ikhlas atau kita nak masuk sebabkan 'trend'. Orang lain buat, kita pun nak buat sama. Kalau kita berada di platform penulisan sekadar untuk cuba-cuba atau hangat-hangat tahi ayam, memang kita akan datang dan berlalu pergi begitu sahaja. Malah, mungkin juga kita akan jadi popular atau meletup-letup buat seketika, lepas itu kita hilang terus dan orang pun lupa. Boleh jadi begitu. Sebenarnya untuk jadi penulis yang kekal lama di alam penulisan, terletak kepada keikhlasan dan kejujuran hati kita. Bukanlah bermakna bila kita cepat hilang kita tak jujur atau tak ikhlas, tetapi bermakna kita tak serius dalam bidang yang kita ceburi itu. Ia bermakna kita tak beria-ia dan tak bersungguh-sungguh.
Macam pakai bajulah. Kalau kita beli baju yang trendy dan up-to date, esok-esok kita dah tak boleh pakai baju itu lagi, sebab ia dah tak trendy lagi. Tapi kalau kita buat baju kurung atau jubah, lamalah ia bertahan dalam almari kita. Serupalah dengan apa yang kita tulis. Kalau kita pilih untuk tulis sesuatu yang terlalu 'fasionable', mungkin hayat karya kita itu tidak bertahan lama. Dua tiga tahun, lepas tu orang dah tak nak baca lagi. Tapi kalau kita pilih sesuatu yang 'ever green', buku kita mampu bertahan lama. Mungkin masa keluar tu ia tak meletup, tetapi sepuluh lima belas tahun masih ada yang mahu membacanya. Kalau bertuah, buku itu akan terus ada di pasaran hingga akhir hayat kita dan mungkin akan terus ada selepas kita di alam barzakh sekalipun.
Tidak mudah untuk jadi penulis yang bertahan lama, tapi untuk jadi penulis memang tak susah. Tapi, kalau sekadar tulis sekali atau dua kali meletup, lepas tu tak berdaya nak tulis lagi, kita tak akan berada di persada dunia penulisan untuk jangka masa yang lama. Kita merupakan pakaian yang trendy, bila hilang trend, kita pun hilang sama.
Nak jadi penulis yang bertahan lama, kita perlukan stamina. Tak boleh hilang stamina selalu. Bila tak ada stamina, payahlah kita nak kekal lama. Jadi, bila kita nak jadi penulis, kita kena bersabar. Janganlah asyik nak jadi penulis yang menulis buku 'meletup'. Bila meletup kita rasa hebat, tapi lepas tu kita hilang stamina, maka kita tak mampu untuk meletup lagi. Lebih baik kita jadi penulis yang mampu bertahan lama. Sampai bila-bila pun kita boleh berkarya, kerana sebenarnya kita adalah seorang penulis yang berjiwa penulis.
Bacalah banyak-banyak, tak kira karya apa sahaja. Kalau tak cukup baca tapi dah jadi penulis, mungkin kita tak mampu untuk bertahan lama. Bila kita tulis pula, tulislah baik-baik. Bila tak baik, kita buang dan tulis lagi. Jangan putus asa, jangan putus semangat dan jangan hilangkan stamina menulis.
Selamat menyambut dan meraikan Eidul Adha buat semua yang datang ke blog ini.
Wassalam.