Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, March 28, 2014

Kesakitan Yang Berbeza

Assalam

Bila saya melihat lautan yang luas dan berwarna biru pekat, saya cuba bayangkan juga jiwa-jiwa yang sedang sakit dan merana kerana orang yang disayangi berkemungkinan besar telah ditelan Lautan Hindi yang teramat dalam itu. Tentulah sayu terasa di hati ini. Bukan mudah untuk terima kenyataan tentang suatu pemergian yang berlaku tanpa diduga, tanpa sakit atau apa-apa. Namun, semua adalah ketentuan Ilahi. Ajal maut di tangan-Nya.

Semalam, saya bertemu dengan seorang teman lama (dia jauh lagi berusia daripada saya), katanya dia sudah setahun kehilangan suaminya yang meninggal dunia ketika mereka tunaikan ibadah umrah. Katanya juga, dia terkejut dan sangat terkesan dengan kehilangan pasangan yang sangat disayangi. Hampir enam bulan dia merana. Kini, dia sudah pulih, alhamdulillah. Katanya, banyak perkara yang cuba dikenang agar jiwanya dapat bertenang. Persahabatan, percintaan sejak zaman universiti hinggalah ke alam matang, kini menjadi nostalgia penting buat dirinya. Malah, dia teringat pada solat jenazah yang dilakukan selepas solat Asar di tanah suci Mekkah buat suami yang tersayang... beratus ribu yang tunaikan solat itu. (Ketika saya di tanah suci, saya tak akan miss tunaikan solat jenazah selepas solat wajib). Itulah yang menjadi ubat teman saya. Betapa agungnya Ilahi, bila diuji manusia ini, diberikan ubatnya sekali. Alhamdulillah.

Lain pula dengan teman yang seorang lagi. Kisahnya lagi menyedihkan. Bukan suatu kematian, tetapi satu penyeksaan batin dan jiwa kerana orang yang dipercayai telah menghampakannya, malah telah mengkhianati kepercayaannya. Suami teman saya, secara bersembunyi telah menikahi wanita lain tanpa pengetahuan isterinya. Sudah lapan tahun berlalu pergi dan baru inilah teman saya mengetahuinya. Itu pun secara mengejut, bila dia terjumpa emel kepada isteri kedua. Rupa-rupanya sang suami sudah beranak dua dengan isteri kedua. Kini, teman saya sedang meratapi rasa hampa dan kecewa. Katanya, "Mungkin lebih mudah menerima sebuah kematian pasangan daripada menerima sebuah pengkhianatan dan pembohongan pasangan." Katanya, dia begitu terluka dan sakit di jiwanya. Malangnya, si suami tidak mahu melepaskannya kerana mungkin takut hartanya kehilangan kepada sang isteri pertama. Betapa manusia ini jahil sesungguh-sungguhnya.

Saya teringat pada kata-kata Ustaz Faisal (ustaz kami di tanah suci) baru-baru ini. Katanya, banyak manusia tertipu dengan amalan sunnah yang diutamakan sedangkan manusia itu melakukan sesuatu yang haram untuk tunaikan yang sunat. Dia memberi contoh pada insiden di tanah suci Mekkah, kerana ada yang sanggup membayar wang sogok kepada penjaga kaabah untuk dapatkan kemudahan mencium batu hitam hajar al aswad. Perbuatan mencium batu itu adalah sekadar sunnah, namun memberi sogokan adalah HARAM. Dalam kes ini, perbuatan itu menjadi haram. Maknanya siapa yang buat begitu, dia berdosa. Begitulah dalam hal berkahwin lebih, di mana sang suami menipu isteri untuk melakukannya. Menipu, membohong dan putar belit adalah perbuatan HARAM, apatah lagi membohongi pasangan sendiri. Maka, mengutamakan sesuatu sunnah itu menjadi berdosa kalau dilakukan sesuatu yang HARAM untuk menegakkan yang sunnah. Kita mesti mencontohi Nabi Muhammad SAW, baginda tidak pernah membohongi isteri-isterinya. Yang penting, Baginda berkahwin lebih adalah kerana desakan dakwah, bukan untuk keseronokan. Baginda tidak pernah berkahwin lebih ketika bersama Siti Khadijah selama sekitar 25 tahun sehingga Siti Khadijah wafat.  Masya-Allah. Baginda sentiasa tidak mahu ummatnya mendahului sunnahnya daripada yang wajib yang ditetapkan Allah dalam al-Quran. Subhanallah.

Semoga kita sentiasa peka dan cuba lakukan yang terbaik, kerana setiap hati yang kita lukakan pasti ada balasan. Kata orang putih, "What goes around comes around."

Wallahuaklam.

Wassalam.