

Hidup dalam dunia ni, kalau tak ada masalah mungkin pelik lah kot. Maknanya tak ada apa-apa yang terjadi pada kita. Agaknya kita hidup dalam gua. Takkanlah kot. Ah, biasalah kan, mana mungkin segala-galanya berjalan dengan sempurna, kerana kesempurnaan itu bukan kita yang punya. Setiap hari, ada-ada sahaja, kalau tak besar pun, mesti ada yang kecil. Tak apalah... jangan kita terlalu ambil kisah sangat, walaupun ada kala memang terpaksa kita ambil kisah juga, terutama kalau ia berkaitan dengan wang ringgit. Hari ini, kalau tak cukup wang, memang susah, kan? tapi nak cukup macam mana? Ada kala, kalau ikutkan selera kita, mungkin wang tak akan cukup-cukup. Kata orang Perak 'semedang tak cukup'. Huh!
Okeylah, berbalik kepada soal masalah hidup ni. Sebagai penulis macam saya ni, kadang-kadang lali juga dengan kata-kata orang di luar sana. Ada-ada sahaja cerita mereka tentang penulis macam saya ni. Ada-ada sahaja yang rasa tak puas hati. Paling bagus kerana penulis macam saya ni selalu diletakkan merata-rata dalam dunia penulisan. Tapi, tak usahlah sebut pasal dunia sastera kerana bagi mereka, penulis macam saya tak akan layak digolongkan dalam kumpulan sastera. Ada juga suka melabel penulis macam saya sebagai cebisan sastera yang dikenalkan sebagai sastera popular... itu pun kalau bernasib baik, kalau tidak, penulis macam saya sekadar dikategorikan sebagai penulis picisan.
Okeylah... semalam saya ada terbaca satu ulasan tentang 'Sastera'. Datangnya tentulah daripada mereka yang melabelkan diri mereka sebagai orang 'Sastera'. Kononnya, penulisan yang dianggap sebagai sastera itu adalah penulisan yang berilmu. Dalam hal ini, ilmu yang dikaitkannya mesti tentang isu negara, politik, agama... apa-apa sahaja yang dianggap berat dan penting untuk masa depan rakyat.
Saya bertanya juga pada diri saya ini, apakah yang dianggap berat dan berilmu itu? Dan macam mana kita sukat apa yang berilmu dan apa yang tidak? dan saya bertanya lagi, apakah hal-hal dan isu-isu sosial, isu kehidupan seharian, isu kasih sayang dalam keluarga, isu remaja hari ini, isu rumah tangga... semua ini bukan isu penting dan tidak kita lihat sebagi berat? tak mustahak untuk negara? dan bukan merupakan hal sastera?
Okeylah... mungkin saya tak cerdik sangat, tapi saya bertanya lagi pada diri, soal berat dan isu yang mereka anggap penting itu, sebenarnya untuk siapa? untuk masyarakat biasa-biasa? dan kalau isu ini dibangkitkan dalam novel yang ditulis, apakah masyarakat biasa-biasa ini akan membacanya?
Saya bertanya lagi. Hebatkah kalau kita tulis hebat-hebat dan berat-berat tetapi tak berapa kerat sahaja yang membacanya?
Sebagai penulis, tidakkah kita perlu melihat apa yang sedang berlaku di sekeliling kita dan dari situ kita cuba mendekati masyarakat dan bawakan sama isu-isu yang sering menjadi isu mereka yang membaca? apakah kalau kita buat begitu kita masih dianggap penulis yang tak bijak dan tidak menilai estetika sastera?
Tidakkah kita melihat hal sosial hari ini merupakan isu berat? hal kekeluargaan, hal kasih sayang turut merupakan isu penting? Salahkah orang-orang seperti saya menulis perkara-perkara ini yang saya anggap penting? dalam hal ini, penulis seperti saya selitkan juga isu-isu keagamaan agar pembacanya tidak terlupa kepada Tuhan dan lali dengan hal dunia semata-mata.
Cara penulisan orang-orang seperti saya kurang kelihatan berat kerana targetnya ialah masyarakat umum, tetapi yang penting bagi penulis seperti saya ialah apa yang saya tulis akan dibaca orang. Dan salahkah orang-orang seperti saya ini, kalau karya kami menyentuh hati pembaca lalu mereka membelinya? apakah masih kami akan dituduh sebagai mereka yang gilakan duit semata-mata, bukan pentingkan hal-hal estetika sastera?
Alamak... letih juka bila difikirkan hal-hal ini. Jadi... biasalah, penulis seperti saya akan terus menulis, kerana kalau kita nak ambil hati dengan kata-kata mereka yang sememangnya tak suka dengan kita, maka kita tak akan mampu menulis lagi. Takkanlah kita nak kosongkan ruang-ruang yang disediakan untuk 'buku-buku Melayu' di kedai-kedai buku? Nanti tak ada siapa pula yang nak mengisikannya. Kesian orang Melayu, terus tak payah baca. Bukan senang nak tulis benda-benda berat dan bukan senang juga untuk diterbitkan buku-buku ini!
Okeylah... kita cerita sikit pasal drama KLB malam tadi. Not so bad lah... tapi saja lah saya suka nak bercerita, semenjak ada drama ni, ramai juga yang bertanya tentang cerita tu. Kalau nak tahu... KLB mengisahkan seorang penulis dan kehidupan sehariannya sebagai seorang insan yang cuba mencari rezeki dari sudut itu. Kehidupan seorang wanita muda yang kadang-kadang terperangkap dengan pilihan-pilihannya dan tekanan yang datang berdepan dengannya. KLB adalah cerita simple tetapi mungkin dekat dengan kita, kerana ia bukan kisah anak Datuk atau Datin, bukan kisah orang kaya-raya, tapi sekadar cerita orang biasa-biasa, duduk di kawasan biasa-biasa, di mana ramai yang suka bergosip tentang jiran tetangga. Biasa, kan?
Righto! Saya nak terus menulis. Insya-Allah.