Bila belum kahwin, terlonjak-lonjak rasa macam nak kahwin. Teringin nak jadi macam orang lain yang ada pasangan. Berangan-angan bila balik rumah ada teman yang akan bertemu kita. Ada teman yang akan berbual-bual dengan kita, ada teman makan bersama dan tidur bersama. Masalahnya... kahwin bukan semudah itu saja.
Macam-macam yang kita kena adjust. Dulu kita tak tahu tapi sekarang dah tahu. Kita kena bertolak ansur dan tak boleh fikir diri kita sahaja tetapi kena fikirkan pasangan juga. Yang paling penting tetapi yang paling mudah orang lupa, bila kita berkahwin kita ada tugas dan tanggungjawab. Kalau kita perempuan, kita bertanggungjawab untuk menghormati suami. Kita kena belajar menyayanginya dan kena belajar menuruti perintahnya, bukan kita pula yang memerintahnya.
Begitu juga sang suami. Kenalah bertanggungjawab sebagai suami dengan menjaga makan minum isteri dan bertugas menjaga isteri dan mencari rezeki. Jangan pula suami mengharapkan isteri untuk mencari rezeki. Apabila kita suami isteri tidak tahu tugas dan tanggungjawab dan mengabaikan peranan yang diperintah Allah SWT, maka perkahwinan kita mungkin akan menemui kegagalan kerana kita yang menggagalkannya. Jangan ingat kahwin itu macam main masak-masak sahaja.
Suami isteri kena selalu menghormati satu sama lain, sayang-menyayangi, tahu peranan masing-masing, jangan bersikap kasar dan berkurang ajar, berunding selalu, tolong-menolong dan sentiasa bertolak ansur. Yang paling penting, ingatlah bahawa tujuan kita berkahwin ialah kerana Tuhan bukan kerana benda-benda yang lain. Yang lain itu sekadar support sahaja sebab-musabab kita berkahwin. Insya-Allah, perkahwinan kita akan diberkati Allah SWT.