Kacang Pool Ala Malaysia - makan dengan roti
Salam
Hari ini saya lambat update kerana banyak urusan pagi tadi. Okeylah, hari ini saya nak bercerita tentang makanan yang orang Melayu berketurunan Arab suka makan kat Malaysia ni, terutama di bulan Ramadhan. Kalau famili saya, kami memang ada macam-macam makanan yang menjadi makanan keluarga yang asal-usulnya merupakan makanan Arab, tetapi kerana arwah ayah saya bukan Arab yang berasal dari Yemen, makanan yang kami makan agak berbeza sedikit daripada yang dimakan oleh mereka yang berketurunan Yemen di Malaysia ni.
Bagi kami bila buka puasa, macam tak sah kalau kami tak makan sup Arab yang kami panggil 'syurba'. Kami juga makan lauk-lauk Arab yang lain seperti kufta, mahsyi, mafrom dan lain-lain yang kami makan dengan roti atau nasi. Pun begitu, setelah saya berkahwin dengan suami saya yang berketurunan Arab Yemen, kami juga selalu makan 'Kacang Pool' atau 'Kacang Foul', kini menjadi salah satu menu orang-orang Singapura dan sebahagian daripada orang Johor. Orang-orang Utara di Malaysia kurang biasa dengan makanan ini, tetapi orang Selatan biasalah. Kalau diikutkan, 'Kacang Pool' ni ada macam-macam jenis, selain yang berasal dari Yemen, ada juga yang berasal dari Parsi, Afghanistan, malah negara Arab yang lain, cuma rasanya berbezalah.
Sekarang ini orang-orang Malaysia memang suka benar makan makanan Arab, mungkin anda boleh cuba masak 'Kacang Pool' ni. Bukannya susah pun. Makanan ini memang sedap dimakan dengan roti perancis yang dipanggang, roti Arab atau roti biasa pun okey. Kalau diikutkan, makanan ini dimakan untuk sarapan, tetapi di Malaysia ni, 'Kacang Pool' dijadikan menu untuk 'main dish' dan sangat popular dijadikan makanan makan malam. Kalau bulan Ramadhan ni, 'Kacang Pool' merupakan kemestian di atas meja orang-orang berketurunan Arab, kalau tak selalu pun, kadang-kadang tu mesti ada.
Jom, beb... kalau tak biasa makan, jom cuba try... hehe... mesti sedap. Semalam, itulah antara makanan berbuka puasa kami. Kerana suami saya berketurunan Arab Yemen, jadi dialah yang memasaknya! Alhamdulillah.
Wassalam.