Entah mengapa, saya terasa rindu kepada semua. Mungkin kerana lama tidak dapat berInternet! Malang sungguh. Tapi hari ini saya seronok, kerana akhirnya, setelah begitu lama menunggu, barulah berjaya dapat berInternet semula. Hari ini, line Internet aktif di rumah saya ini. Betapa leganya! Bayangkanlah... kalau hidup bergantung untuk berkomunikasi melalui alam maya sahaja. Mujurlah masih ada cara lain. Alhamdulillah, saya sudah mampu untuk kembali beraktif dalam dunia alam maya.
Kebetulan, saya baru sahaja selesai menulis novel keenam saya. Insya-Allah novel ini akan berada di pasaran semasa Pesta Buku nanti. Saya dimaklumkan bahawa novel ini hanya akan berada di Pesta Buku sahaja. Di kedai-kedai, mungkin di pertengahan bulan Mei nanti.
Selama beberapa bulan yang lepas, saya sememangnya sibuk menulis, hinggakan ada ketikanya, saya menjadi seperti watak utama manuskrip saya itu. Adakalanya, saya termimpi-mimpikan watak-watak dan latar belakang cerita saya itu. Kali ini, saya membawa pembaca ke Kluang, Ayer Hitam dan Batu Pahat di Johor, dan yang penting, saya juga membawa pembaca ke negara Kemboja (Cambodia). Mungkin ramai yang tidak mengenali tempat-tempat ini. Saya harap, selepas membaca novel saya nanti, pembaca saya akan dapat bayangkan tempat-tempat yang menarik ini.
Apapun, hari ini, rindu saya untuk berada di alam maya, agak terubat juga. Salam sayang saya untuk semua yang rajin berkunjungan di blog saya ini.