Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Thursday, November 10, 2011

Aku Mahu Jadi Khadijah Mu

                           Sekadar Hiasan

Salam

Semalam, saya tak update blog kerana telah berada di luar kawasan dari pagi hingga petang. Bila tiba di rumah, saya dah keletihan. Pagi ini, alhamdulillah saya berasa sihat dan segar, insya-Allah.

Dulu, pernah saya bersuara kepada seorang teman penulis (dia merupakan seorang ustaz) dan mahukan sangat agar dia menulis sesuatu tentang suami-isteri dengan mengambil Nabi jungungan kita Muhammad SAW dan isteri-isterinya sebagai contoh latar. Tetapi malangnya, usaha itu masih belum kesampaian. Mungkin suatu hari nanti, akan diusahakan juga. Apa-apa pun, saya teringat kepada sebuah rancangan TV yang saya lihat baru-baru ini, yang datangnya dari sebuah negara Arab. Seorang penyampai telah menyampaikan amalan-amalan Nabi kita Muhammad SAW yang patut dijadikan contoh amalan kita setiap hari. Malah, kalau kita lakukannya, ia adalah sunnah Nabi dan sangat digalakkan untuk melakukannya. Antaranya ialah membasuh tangan semasa hendak makan, membasuh lagi setelah selesai makan, mengucap 'Bismillah' ketika mahu makan dan lakukan perkara-perkara lain, dan 'Alhamdulillah' setelah selesai. Nabi junjungan kita juga suka makan makanan manis seperti kurma dan tembikai dan suka makan makanan yang sejuk, bukan panas. Malah, Nabi Muhammad SAW tidak galak kita makan makanan yang terlalu panas (Wallahua'lam). Saya percaya tentu ada hikmah mengapa dia melarang kita buat begitu.

Nabi Muhammad SAW juga merupakan seorang lelaki yang romantis buat semua isteri-isterinya. Dia sangat ringan tulang dan tidak pernah melakukan sebarang kekasaran kepada isteri-isterinya. Mana-mana lelaki Muslim yang merasakan mereka patut berkasar pada isteri kerana mahu tunjukkan 'kejantanan' mereka, lelaki-lelaki ini sebenarnya tidak langsung mencontohi Nabi junjungan kita. Muhammad SAW sentiasa mengambil berat tentang kebajikan isteri-isterinya dan anak-anak perempuannya. Kerana kebaikan dan kemuliaan lelaki yang bernama Muhammad SAW itu, wanita seperti Siti Khadijah bt. Khuwailid r.a. sanggup mengorbankan harta benda, kasih dan cintanya buat lelaki itu, Subhanallah. Siti Khadijah r.a. kehilangan tiga orang anak kecil semasa hidup bersama Nabi junjungan kita, namun semangat dan kasihnya tetap terpancar buat suami, dan Siti Khadijah r.a. lakukan apa sahaja untuk membantu suaminya itu.

Banyak contoh-contoh yang diceritakan tentang Nabi Muhammad SAW, betapa dia merupakan seorang lelaki budiman dan salah satu kisah yang selalu diceritakan ialah bagaimana beliau telah menghulurkan lututnya buat isteri bernama Safiyah, yang ketika itu mahu menaiki seekor unta. Ibaratkan hari ini, bila seorang suami membuka pintu kereta dan juga pintu rumah buat isterinya. Aduhai...

Saya suka perhatikan tingkah suami-suami hari ini, memang jarang yang kita lihat mahu lakukan perkara-perkara begitu, mungkin dianggap sebagai remeh sahaja. Tetapi, itulah kelakuan yang boleh mengeratkan perhubungan suami isteri. Mungkin tak penting sangat, tetapi apa yang kita lakukan buat orang yang kita sayang menunjukkan kasih sayang kita kepadanya, sekalipun perbuatan itu hanyalah kecil dan tak penting. Wallahua'lam.

Saya percaya, bertambah cantik dan elok kalau kita cuba cari pelbagai amalan Nabi Muhammad SAW dan isteri-isterinya untuk kita jadikan contoh dalam hidup kita seharian. Biarlah lelaki kita mencontohi Muhammad SAW dan para perempuan menjadi Khadijah buatnya. Bagi mereka yang belum kahwin lagi, apa salahnya kalau sama-sama mengaturkan amalan-amalan ini dan insya-Allah, satu hari nanti akan menjadi amalan kita.

Memang tidak benar kalau ada manusia di bumi ini melaung-laungkan bahawa lelaki Muslim tidak berlaku adil kepada isteri-isteri mereka. Lelaki yang kasar kepada wanita bukan merupakan lelaki yang mengamalkan sifat-sifat dan amalan Nabi mereka, Muhammad SAW dan tentunya tidak mengamal perbuatan mulia seperti yang dimahukan dalam agama Islam.

Wassalam.