Bunyi macam tajuk novel. Bukan novel baru saya (saya baru sahaja melakarkan apa yang berada di kepala - tapi belum ada tajuk). Ini sekadar sesuatu yang ingin saya luahkan kepada pembaca blog saya. Tentang apa yang saya anggap sebagai 'yang terindah' dalam hidup saya. Selain daripada perkara-perkara wajib yang saya tunaikan setiap hari (menulis merupakan antara perkara wajib yang saya lakukan kini), saya sentiasa 'look forward' untuk berjalan-jalan. Tak kiralah ke mana sekalipun. Mungkin kerana saya agak bebas kerana sudah lama tak mempunyai anak-anak yang kecil (anak saya semuanya dah besar), jadi saya tak payah risaukan tentang mereka bila ditinggalkan. Biasanya saya 'makan angin' dengan suami saya atau dengan anak-anak yang berkesempatan untuk meluangkan masa. Sekarang ini lagi menarik, kerana banyak syarikat penerbangan yang sediakan tambang istimewa. Saya selalu perhatikan dan apabila ada kesempatan, saya akan buat 'booking'. Insya-Allah, sebaik sahaja habis Pesta Buku, saya akan ke beberapa tempat yang sudah pun diuruskan. Inilah antara satu cara yang akan memberi saya ilham dan juga dapat merehatkan tubuh dan minda sambil menimba ilmu. Malah, inilah antara satu benda yang paling indah buat diri saya selain daripada menulis dan 'gardening'.
Ada satu destinasi di Malaysia yang sedang mengajak saya untuk ke sana. Tempat itu tidak jauh dari tempat saya, namun saya belum berkesempatan untuk ke sana. Mungkin kerana posisinya dan 'cerita' yang ada padanya. Pun begitu, saya sedang mengaturkan rancangan untuk ke sana, kerana ia ada kaitan dengan jalan cerita yang sedang saya lakarkan. Berjalan-jalan beginilah yang mewarnai dan mengindahkan perjalanan hidup saya. Insya-Allah akan saya usahakan selagi ada kudrat dan rezeki dan Alhamdulillah di atas segala anugerah yang diKurniakan Tuhan buat diri ini.