Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, April 30, 2010

Dilema Kahwin Usia Muda


Dulu, saya memang kahwin berusia muda. Umur saya ketika itu, baru sahaja 21 dan masih lagi berada di Universiti Malaya, sedang menuntut di tahun akhir. Suami saya pula (dia tua empat tahun daripada saya) ketika itu akan melanjutkan pengajiannya ke peringkat sarjana dan terpaksa pergi ke England semula. Masa itu, kami dah berkawan selama lima tahun (kebanyakan masa, bercinta jarak jauh). Kalau tidak dia di luar negara, dia akan berada di Johor Bahru (saya pula berasal dari Perak).Hanya saat-saat sebelum kahwin dia dan saya berada di KL. Saya di kampus UM, dia pula di UPM.

Satu masa tu, saya diserang demam malaria. Saya selalu masuk hutan menjalankan projek kursus (tentang orang asli) dan balik dari hutan, saya sakit. Bila sakit, saya tak boleh bangun, terpaksa berbaring sahaja. Semasa suami saya datang nak melawat (masa tu belum kahwin), pak guard terpaksa izinkan suami saya masuk asrama saya, ditemani kawan-kawan perempuan. Sebaik sahaja saya baik, kami membuat keputusan untuk berkahwin sahaja, supaya mudah dia nak melawat saya. Saya balik kampung dan beritahu ayah saya. Masa tu, saya tak fikir pun, kalau kahwin muda saya tak dapat nak enjoy macam orang lain. Bagi saya, lagi baik kahwin, sebab dapat mengelakkan diri daripada sebarang gejala maksiat. Suami saya (masa tu belum kahwin), memang jenis tak tinggal solat dan dia sangat ambil berat tentang hal halal-haram ni. Mujurlah ayah saya sangat sporting dan faham yang kami tak berduit untuk kahwin. Bagi ayah saya (arwah ayah saya memang orang Arab), memang elok kami kahwin walaupun saya masih muda dan masih belajar.

Alhamdulillah, sampai hari ini, saya tak pernah menyesal dengan keputusan yang kami ambil itu. Saya selalu dengar kawan-kawan bercakap yang kalau kahwin muda, rugi. Hilang kebebasan, tak dapat nak enjoy lama-lama dan macam-macam lagilah. Tetapi bagi saya pula, walaupun kami kahwin muda, kami teruskan kehidupan seperti biasa sahaja. Saya masih ingat lagi, sebaik sahaja saya menikah, saya balik ke kampus dan tinggal di asrama. Suami saya pula, balik ke rumah sewanya. Mungkin sekitar dua minggu atau tiga minggu selepas itu, barulah kami tinggal bersama di kampus UPM (kami dapat apartmen), itu pun sebab saya bercuti. Kalau tidak, suami saya akan datang melawat saya macam 'couple-couple' lain.

Hampir semua warga kampus tak percaya yang saya dah berkahwin. Saya masih ingat lagi, masa tu suami saya sudah pun pergi ke England dan saya berada di kampus dengan status 'isteri'. Ada budak-budak junior (lelaki) yang selalu join kumpulan senior (kawan-kawan perempuan saya). Adalah mamat seorang tu, dia suka pada saya. Jadi, member saya yang lain beritahu mamat tu yang saya tak boleh 'dingurat' nya sebab saya ini isteri orang. Mamat tu tak percaya! Dia kata kawan-kawan saya tipu. Hehe. Malah, pernah kawan sekelas saya, cuba nak mengurat saya (tanpa tahu yang saya ni dah pun kahwin), dan bila teman baik saya beritahu dia yang saya bukan 'single', dia terkejut beruk!

Kahwin muda memang banyak cabaran. Tapi bagi saya,semuanya terpulang kepada diri kita. Kalau kita pandai jaga diri, insya-Allah, banyak hikmahnya. Yang penting, kita elakkan diri daripada menambahkan 'dosa'. Malah, semasa itu, saya senang fokus dengan pelajaran kerana berasa yang diri sudah stabil dalam hal berkasih, dan kerana itu, saya berjaya mendapat keputusan final yang cemerlang!

Okeylah... bagi saya, tak kisahlah kita nak kahwin cepat atau lambat. Tetapi kalau dah ada calonnya, elok kita jangan tunggu-tunggu. Tak usah bimbangkan hal material, kerana rezeki kita Tuhan yang sediakan. Kita berusaha sahaja.

PS: Gambar saya dengan anak sulung saya semasa kami di Chatsworth House di UK dulu. Masa tu anak saya bekerja di sana.

Thursday, April 29, 2010

Dia 'Blur'...

Kisah ini ialah kisah benar yang diceritakan teman saya (juga seorang pembaca novel saya). Namanya 'Z'. Dia adalah seorang guru kanan sebuah sekolah di utara. Dia bercerita melalui telefon tentang seorang pemuda Melayu berusia sekitar 23+,good looking, well mannered dan bercakap lembut. Katanya, 'S'(pemuda itu) datang ke sekolahnya untuk membuat latihan.Dia masih menuntut di sebuah maktab perguruan. Kebetulan, S berkata yang dia mahu ke Bangkok hujung minggu itu. Jadi Z pun bertanya, "Ada apa di Bangkok?"

"Saya ada isteri di sana." Jawab S.

"Kamu dah kahwin? aik... bukankah masih di maktab tak boleh kahwin? habis tu kamu nak ke Bangkok ni, dah ada kelulusan ke?"

"Saya selalu ke sana.Setiap dua minggu. Isteri saya tinggal di sana." Itulah katanya. S mengaku yang dia berkahwin dengan seorang wanita (Kaukasian)yang ditemui di facebook dan berkahwin melalui pendaftaran sivil, bukan secara pernikahan Islam. Isterinya juga tak masuk Islam, cuma tidak pula dijelaskan apa agama isterinya itu. Katanya lagi, ibu dan bapanya (kedua-duanya adalah guru juga di sebuah sekolah agama) tidak tahu tentang perkahwinannya itu.

Kata Z kepada saya, "Mamat tu macam 'blur' aje bila I tanya dia pasal hal dia dan isteri dia. I ingatkan dia juga, 'Kita ni orang Islam, mestilah kita buat cara Islam dalam apa hal pun.' Tapi... dia masih macam 'blank'."

Kata Z, pemuda itu pernah bersekolah Tahfiz sehingga umur 14 tahun.Dia memang hebat menghafal dan memang bijak orangnya dari segi akademik. Tetapi... dia 'fed up' gila dengan ibu bapanya yang dirasakan terlalu mengongkong hidupnya. Malah, adik beradik yang lain juga tidak senang tinggal dengan ibu bapa mereka itu. Adiknya, seorang perempuan, berkahwin dan sudah pun bercerai dalam usia 19 tahun, dan kini sudah lari dari rumah.

Kawan saya jadi bingung. Katanya kepada saya lagi, "Mamat ni memang tak ada kawan. Budak-budak lain dalam maktab dia tak berapa kenal dengan dia, kerana dia memang tak campur orang. Kesiannya I tengok dia ni... tapi serius, I tak tahu macam mana nak tolong dia."

Sama ada dia memerlukan pertolongan kita, itu adalah satu halnya!

Apa yang dapat saya rasakan, mungkin dia sedang melalui satu keadaan 'protes'! Mungkin juga dia tidak sedar yang apa sedang dilakukannya itu bukan sesuatu yang boleh membantu. Mungkin juga... dia lelaki muda dan ada gesa untuk ada 'pasangan' dalam hidup. Masalahnya, sebagai orang muda di negara kita ini, tak mudah untuk berkahwin secara sah. Banyak sangat pantang larang dan protokol yang membebankan. Entahlah... tetapi saya turut bersimpati dengannya. Mungkin cerita ini, bukan sekadar cerita 'S' sahaja, tetapi ramai lagi di luar sana sedang berdepan dengan sesuatu yang menyukarkan hidup mereka. Nauzubilah. Semoga 'S' cepat-cepat sedar, begitu juga yang lain, kalaulah mereka melakukan satu kesilapan. Tuhan Maha pengampun dan hidup kita sentiasa ada peluang kedua dan ketiga. Insya-Allah. Doakan buat 'S' dan juga anak muda yang lain yang begitu keadaan hidup mereka. Kita sebagai ibu bapa, jangan terlalu mengongkong dan rajin-rajinlah ambil tahu tentang anak-anak kita.

Wednesday, April 28, 2010

Lelaki Jahat Perempuan Baik?



Aduhai... beginilah kisahnya.

Seorang teman, juga pembaca saya, dia berkata kepada saya, "Kak Aina, saya jadi takut nak kahwin sebab kadang-kadang novel yang saya baca banyak sangat mengisahkan lelaki yang berubah selepas berumah tangga. Mula-mula masa berkawan bukan main lagi romantiknya. Tapi bila dah kahwin saja, mereka jadi suami yang teruk. Kaki pukul isterilah, marah-marah isterilah... macam-macam sifat negatif yang ada pada dia orang ni."

Saya terkedu. 'Betul ke ni?'

Dia menambah lagi, "Novel yang Kak Aina tulis... memang tak ada pulak cerita macam tu. Kak Aina tak pernah tulis yang negatif pasal lelaki, yang tu yang saya senang nak baca novel Kak Aina. Bersemangat rasa nak kahwin."

Huhu... mungkin penulis menulis ikut pengalaman masing-masing. Betul tak?

Memang saya tak tahu menulis yang negatif tentang lelaki kerana saya tidak pernah hidup dalam suasana yang begitu. Alhamdulillah,Suami saya... dulu baik dan romantik, sampai sekarang masih sama saja. Mungkin sifatnya itu membuat saya terasa yang lelaki baik-baik semuanya. Saya juga membesarkan anak-anak lelaki dengan sifat yang begitu.Insya-Allah.

Semestinya hidup saya tidak 'perfect', ada turun naiknya. Ada banyak masalah keluarga. Ada konflik-konflik, ada perasaan cemburu, ada perasaan kuat merajuk... Kami cuba kawal sebaik mungkin apa-apa sahaja yang berdepan.Kalau ada masalah, kami bincang dengan baik dan belajar bersabar.Bukan tak pernah menangis... selalu beb. Itulah yang dikatakan hidup berumah tangga.

Tetapi... kenapa kita suka menganggap yang lelaki, banyak yang jahat? bukankah banyak juga perempuan yang tak baik juga?

Kalau kita dengar tentang lelaki yang suka naik angin, berang, suka marah isteri, kaki pukul, apa ingat tak ada ke perempuan yang 'crook' juga?

Ramai isteri yang bersifat cemburu buta, suka meminta-minta, demanding, torture mental lelaki dengan kuat membebel, tak pernah bersyukur, suka banding dengan orang lain, terutama jiran tetangga, mulut celupar... dan macam-macam lagi. Bukan itu sahaja, banyak juga perempuan yang suka kacau rumah tangga orang lain. Kadang-kadang kita dengar juga cerita kisah perempuan yang tak setia pada suami. Mana lagi kaki yang suka bergosip dan menabur fitnah sana-sini!

Aduhai... bagi saya, sama saja. Lelaki atau perempuan. Kalau kita memang mempunyai sifat-sifat yang tak baik, maka kita akan bertemu jodoh dengan orang yang begitu juga. Barulah balance.

Bagi saya, kalau ada kekurangan dalam rumah tangga, jangan kita besar-besarkan. Kita cuba cari jalan penyelesaian. Kalau suami kita tak berapa 'baik', kita tengok pada diri kita pula. Elok sangatkah kita ni?

Orang lain di luar tak tahu apa yang ada dalam rumah tangga kita. Hanya kita dan Tuhan sahaja yang tahu. Sebaik-baiknya, kita juga melihat pada diri kita, kalau kita berasakan yang pasangan kita itu ada kekurangannya. Janganlah kita lihat semua yang elok pada diri kita tapi nampak hanya tak elok pada pasangan kita.Kalau begitu, memang rumah tangga kita tak boleh aman.

Ada teman saya (perempuan), suka merungut. Dia kata yang suami dia suka sangat melepak kat luar. Tak suka balik rumah. Tak suka melayan dia. Sebab itu, dia rasa boring. Bila saya tanya, dia gambarkan yang baik-baik sahaja tentang dirinya. Rupa-rupanya, teman saya ni kuat sangat membebel. Bila suaminya ada di rumah, tak habis-habis dia merungut itu dan ini. Cerita orang lain pun nak dikecohkan dalam rumahnya sendiri. Patutlah suami dia lagi suka melepak kat luar!

Okeylah... mesej saya dalam entri ini, sebelum kita kata pasangan kita tu tak baik, kita cerminkanlah diri kita sendiri. Baik sangat ke aku ini?

Tuesday, April 27, 2010

Tak Akan Cukup-Cukup!



"Aku ralat. Aku terkilan." Katanya.

"Kenapa?" Soalku.

"Aku tak hidup senang macam adik aku. Dia tak berpelajaran macam aku, tapi dia lagi kaya daripada aku. Kakak aku pun macam tu. Padahal dia bukan senang dulu, tapi anak dia kahwin dengan orang kaya, jadi kakak aku pun dah hidup senang. Lagi mewah daripada aku."

"Tak apalah. Itu kan rezeki dia?"

"Yalah... tapi aku dah lama kerja keras. Dalam ramai-ramai adik beradik, aku yang ada pelajaran, tapi aku tak kaya-kaya juga."

"Ada tak siapa-siapa dalam keluarga kau yang hidupnya susah?" Soal aku lagi.

"Kakak aku yang seorang lagi tu. Adik aku pun ada juga yang hidup tak senang sangat."

"Kau tak nak pulak bandingkan diri kau dengan dia orang tu?" aku bertanya lagi.

"Ah, buat apa? kalau nak dibandingkan, baiklah aku banding dengan yang lagi senang daripada aku!" Katanya, masih tak puas hati.

"Ada tak saudara-mara kau yang lain, yang lagi senang daripada adik kau dan kakak kau yang kau kata banyak duit tu?"

"Ada. Sepupu aku. Dia pun kahwin dengan orang kaya. Rasa aku, dialah yang paling kaya dalam keluarga kami agaknya."

"Mungkin kalau kau tanya adik kau dan kakak kau yang senang tu, mereka pun tak puas hati dengan apa yang mereka ada... sebab terpaksa banding pulak dengan sepupu kau tu. Habis tu, nampaknya, tak akan habis-habislah kau orang semua akan buat perbandingan macam tu! Tak akan cukup-cukup!" Tambahku lagi.

"Yalah..."

"Kalau kau bersyukur dengan apa yang kau dah ada, mungkin kau tak rasa macam ni. Tidak ralat dan tidak terkilan. Allah swt dah bagi kau rezeki, syukur alhamdulillah. Ramai lagi di luar sana yang susah, mungkin tak ada tempat tumpang teduh, tak ada pakaian dan tak ada makanan. Mungkin ada yang sedang sakit. Mungkin ada yang kaya-raya, tetapi hidup tak bahagia. Kau mana tahu? kau tanya ke adik kau dengan kakak kau tu... dia bahagia ke?"

Dia terdiam.

"Memang kita tak akan habis-habis merungut pada kekurangan yang kita ada, tapi... kita bersyukur ke dengan apa yang kita dah ada?"

Masih dia diam dan terkebil-kebil.

"Tidakkah kebahagiaan yang kita cari dalam hidup ini? Bahagia itu dan ketenangan jiwa itu sebenarnya tidak perlukan wang ringgit yang bertimbun macam gunung. Sedang-sedang itu sudah cukup baik, tapi yang penting hati aman, jiwa tenteram... tak punyai sikap sakit hati dan dengki. Terasa dekat diri dengan Tuhan... sayang semua yang ada di sekeliling kita, termasuk semua ahli keluarga, jiran dan teman."

Dia terus termenung dan berfikir lagi.

Monday, April 26, 2010

Nak Makan Angin Atau Nak Beli Beg Tangan?




"Hah? dia beli beg tangan mahal macam tu? Dua puluh ribu ringgit? beg tangan apa tu?" rungut seorang teman.

Kalau saya ada duit yang boleh saya leburkan begitu saja, saya tetap tak akan beli beg tangan atau kasut yang harganya bukan-bukan. Malah, saya memang bukan jenis orang yang begitu, pakai benda-benda yang mahal. Saya memang simple. Saya suka benda cantik dan elok, tetapi tak mahal.

Tetapi saya tahu ada teman-teman saya yang memang sanggup beli yang mahal-mahal macam tu, kerana katanya puas hati. Ada kelas! katanya lagi, barang mahal, nilainya lain, tak sama macam pakai benda murah, apatah lagi barang ciplak.

Okey, bagi saya ini pendapat masing-masing. Ada orang meletakkan nilai yang tinggi pada 'benda' atau 'barang'. Orang yang sama ini, mungkin tak akan bazirkan duit untuk berjalan-jalan atau makan angin. Saya pula, lebih suka habiskan duit untuk makan angin, berjalan, melancong atau tengok tempat orang. Bagi saya, berjalan bukannya mesti pergi ke 'London', 'Paris' atau 'New York' sahaja (walaupun saya sudah pun ke kota-kota seperti itu), tetapi lebih dari itu. Tengok tempat orang, tak semestinya ke tempat yang mahal atau ada kelas.

Bagi saya, asalkan tempat lain, mesti ada keistimewaannya. Kawasan sawah padi, atas bukit, dalam hutan... apa sahaja.Tak kira di mana, di dalam atau luar negara. Saya percaya, Tuhan sediakan keindahan alam ini buat manusia seperti kita mengahayatinya. Tak ada duit, atau tak ada nilai yang boleh kita letak pada 'perasaan' yang ada apabila kita diizinkan untuk menghayati keindahan alam.

Memanglah, kalau kita berbelanja untuk berjalan atau tengok tempat orang, nilainya ada pada diri kita. Memorinya terletak dalam kepala kita. Orang lain memang tak nampak. Tetapi bagi saya, asetnya besar. Ia merupakan pengalaman yang memberi kita pengajaran tentang kehidupan. Lagi banyak kita berjalan, lagi luas pengalaman dan pengajaran. Semestinya tak sama dengan harga beg 'LV' atau Channel. Tak serupa macam pakai jam tangan Patek Philippe. Memang orang lain tak nampak apa yang kita rasa tu. Namun, kepuasannya tetap ada. Malah bagi saya, memang tiada nilainya. Orang yang kaki 'berjalan', tak akan jemu-jemu untuk 'berjalan' lagi.

Friday, April 23, 2010

Berubah Hati Atau Tidak Setia?



Banyak orang perempuan tak suka dengan subjek ini. Pantang! Kebanyakan orang tak boleh menerima hakikat yang hati seseorang itu boleh berubah. Bagi mereka, kalau berubah hati, itu bermakna tidak setia. Apa yang saya bawa ketengah ini ialah tentang perhubungan wanita dan lelaki.

Okey... pernahkah kita mengalaminya? tiba-tiba hati kita berubah, tak rasa suka lagi kepada seseorang itu? mungkin kita tahu sebabnya atau mungkin juga tidak! tapi hati kita memang dah tidak berkenan lagi.

Adakah itu bermakna yang kita tak setia?

Kalau kita memaksa diri untuk terus menyayangi seseorang tetapi hati sudah tidak sudi, bagaimana pula? tidakkah nanti kita akan makan hati dan bahangnya akan berhijrah kepada pasangan kita itu? mampukah kita teruskan perhubungan kalau hati sudah kaku dan beku? mampukah kita untuk bahagia?

Atau lebih baik kita putuskan sahaja?

Kalau dah berkahwin, macam mana pula? Hendak berceraikah kita?

Bagi saya, dalam situasi yang begitu, kita harus kaji dengan baik-baik. Sekalipun sudah berkahwin, atau mungkin dah bertahun-tahun berkahwin, tetapi kalau kemesraan sudah hilang terus dan tak mungkin lagi boleh diperbaiki, apa gunanya kita mempertahankan pertalian itu lagi?

Bahagiakah kita kalau terpaksa berlakon? seronokkah kita kalau terpaksa menyeksakan diri dan pasangan?

Bukankah lebih elok kalau kita cari jalan penyelesaian dan teruskan kehidupan dengan cara yang berbeza?

Hidup di dunia ini bukan semestinya dicintai oleh seorang lelaki atau perempuan, begitu juga sebaliknya. Tanpa dikasih oleh insan yang bergelar lelaki atau perempuan, kita masih mampu untuk terus hidup dan bahagia.

Jangan kita salahkan 'si dia' kalau hatinya dah tak suka. Biarkan 'dia' berubah hati. Lebih baik kita putus sahaja daripada hidup merana kerana 'dia' yang sudah tak sudi.

Thursday, April 22, 2010

Nama Siapa Yang Sedap?



Salah satu perkara yang kadang-kadang boleh memeningkan kepala penulis ialah mencari nama-nama watak utama dalam manuskrip yang sedang digarapkan. Makin banyak novel yang ditulis, makin rumit jadinya. Sebagai penulis, kita tak nak 'repeat' nama-nama yang pernah kita gunakan. Kita juga tak nak 'clash' dengan nama-nama yang kawan-kawan kita gunakan. Juga... nama watak-watak utama, tak bolehlah bunyi macam nak sama. Nanti pembaca jadi keliru. Tak tahu watak siapa yang sedang dibacanya.

Dalam begitu, sebagai penulis, kita hendak juga cari nama-nama yang menarik, supaya pembaca tidak bosan dengan nama-nama yang selalu sangat berada di dalam novel. Bagi saya, saya suka pilih nama yang ada makna baik-baik.

Biasanya, saya cari nama anak-anak saudara, atau kaum kerabat yang ada di sekeliling saya. Tetapi, maklumlah... kadang-kadang ada juga nama kaum kerabat yang bagi saya sangat menarik, tapi takut pembaca susah nak sebut. Kebanyakan nama-nama dalam keluarga saya adalah nama Arab dan juga nama-nama Turki. Mungkin ada yang susah nak saya jadikan nama untuk watak buku saya... hehe

Kali ini, nama heroin saya dah berkali-kali saya ubah. Sekali tu, saya dah suka sangat dengan nama yang saya pilih, tetapi baru teringat yang nama yang sama saya dah gunakan dalam salah satu novel saya yang lepas (sebahagian namanya). Terpaksalah saya tukar. Kali ini, terpaksalah saya senaraikan semua nama-nama watak utama yang pernah saya guna, supaya saya tak tersasul lagi.

Ini, belum lagi tentang jalan cerita, plot cerita dan macam-macam lagi. Lagi banyak kita menulis, lagi 'complicated' jadinya. Tetapi inilah cabarannya. Yang penting, jalan cerita kita, termasuklah plot dan watak-watak yang ada, tidak kita ulang dari novel-novel yang lepas. Sebagai penulis, saya sentiasa cuba cari kelainan. Kadang-kadang, memang tak mudah. Malah, bertambah payah! Tapi... menulis tetap seronok.

Ada nama yang sedap-sedap tak yang boleh saya pinjam?

Wednesday, April 21, 2010

Yang Cantik-Cantik Dan Yang Baik-Baik



Sekali lagi saya nak bercerita tentang komen pembaca blog saya. Katanya kepada saya, "Saya suka baca blog Kak Aina sebab Kak Aina bercerita tentang benda-benda yang baik-baik, cantik-cantik dan indah-indah. Kadang-kadang serius, kadang-kadang lucu dan kadang-kadang romantik."

Huhu... mungkin betul kata-katanya itu. Ialah, bagi saya nak buat apa cerita benda-benda yang buruk-buruk dan yang menyakitkan hati? Bukankah di luar sana terlalu banyak benda yang tak baik yang sentiasa berlaku di sekeliling kita, hinggakan ada yang takut sangat-sangat dan merasakan bahawa hidup di dunia ini penuh dengan benda-benda yang negatif! Kalau tak percaya, bukalah surat khabar. Ada-ada sahaja cerita yang membuat kita rasa yang dunia ini penuh dengan benda-benda yang tak elok. Cerita orang mencuri, cerita orang merogol, cerita orang buang bayi, cerita kancah dadah, cerita orang tua ynag dihalau keluar rumah, cerita orang bercerai... kalau ada yang elok, semuanya cerita selebriti! Selebriti dan hantaran perkahwinan yang berpuluh-puluh ribu, selebriti jatuh cinta, last-last selebriti bercerai. Kalau tidak pun, kita akan membaca tentang perkara-perkara yang memilukan yang berlaku di negara luar. Aduhai... takkan di blog pun kita nak cerita benda-benda macam tu lagi, kan?

Apa pun, blog saya ni memang bukan blog yang serius. Semua yang saya bicarakan adalah perkara santai-santai, kadang-kadang ada kaitan dengan dunia buku, kadang-kadang ada hubungan dengan kenalan dan orang di sekeliling saya, jarang-jarang tentang politik dan hal negara, walaupun perkara itu saya bincangkan ikut musim.

Tetapi... saya memang suka beri semangat pada orang lain. Kalau boleh, saya mahu diri saya sendiri dan orang lain juga, menghayati dan menghargai masa dan peluang yang ada di dunia ini. Lihatlah yang indah-indah di sekeliling kita, buatlah perkara yang baik-baik untuk diri dan orang lain juga. Berilah penilaian yang tinggi buat diri kita, kerana ini adalah anugerah Allah Swt. Semoga hidup kita diberkati-Nya dunia dan akhirat. Biar cantik di dunia dan indah lagi di akhirat nanti.

Tuesday, April 20, 2010

Gunung Berapi-Kuasa Tuhan

Perjalanan di seluruh Eropah lumpuh, ekoran kepulan debu gunung berapi Iceland yang menyelubungi ruang udara. Berpuluh-puluh ribu penumpang terkandas di merata tempat di Eropah dan di tempat-tempat lain di dunia ini dan dianggarkan kerugian sekitar RM700 juta sehari!

Berbagai-bagai aktiviti yang dijadualkan terpaksa dibatalkan.

Dahsyat!

Hebat mana sekalipun teknologi yang dicipta manusia, hebat lagi kuasa Tuhan. Allah swt mampu merubah apa-apa sahaja dalam sekelip mata. Maka kita sebagi manusia jangan sekali-kali berlagak sombong dan bermegah-megah di atas apa sekalipun keupayaan kita. Segala-galanya mampu ditumpas, kalau itu yang mahu dilakukan Allah swt.

Kita di Malaysia, jangan sekali-kali berasakan yang kita tak akan ditimpa apa-apa bencana alam. Apa-apa sahaja boleh berlaku. Mungkin yang bergegar di tempat lain, yang meletup di negara lain, namun bencananya boleh sampai kepada kita. Lihatlah sahaja hari ini, apabila gunung berapi di Iceland mengeluarkan debu hitam, semua kapal terbang di Asia terpaksa membatalkan penerbangan ke Eropah dan tentunya menjejaskan ekonomi.

Bagi saya, apa yang terjadi ini, sepatutnya membukakan mata kita dengan lebih luas lagi. Sepatutnya kita lebih sedar bahawa kita manusia ini mempunyai kekuatan yang amat kerdil. Bayangkanlah kalau peperangan sedang berlaku dan debu seperti itu dikeluarkan di ruang udara, maka pihak yang bergantung kepada keupayaan kapal jet perang, mungkin lumpuh!

Gempa bumi, banjir, ribut taufan, kebakaran dan macam-macam lagi... apa-apa sahaja boleh terjadi di dunia ini.

Perkara seperti ini disebutkan dalam kitab suci al-Quran.

Maka kita sebagai makhluk Tuhan, pijaklah di bumi nyata dan mengakulah bahawa kita hanya sekadar manusia biasa. Yang Besar dan yang Agung itu, Tuhan yang punya. Allahhuakbar!

Monday, April 19, 2010

Terharu Dengan Pembaca



Betul ni, saya terharu dengan ramai pembaca-pembaca novel saya yang juga rajin membaca entre-entree di blog saya ini. Ada beberapa orang pembaca yang baru lagi jumpa blog saya ini dan telah pun membaca semua entre-entree saya sejak saya mula tulis pada tahun 2006! Memang saya terharu.

"Kak Aina... rasa macam baca novel Kak Aina." Itulah antara kata-kata mereka.

Alahai, memang inilah tempat saya meluahkan apa-apa sahaja yang nak saya coretkan. Kadang-kadang cerita biasa-biasa saja, kadang-kadang kisah yang lebih serius. Ikut mood sayalah.

Malam tadi, saya dapat e-mel daripada seorang pembaca, biar saya sebutkan nama dia sebagai 'Mel' sahaja. Mel meminta saya menyambung 'Kisah Romantis' yang pernah saya coretkan dalam entree pada 04 Mei, 2006. Kisah itu bersambung dari entree saya dalam bulan Mac 2006. Sepatutnya, entree 04 Mei itu saya sambung lagi... tapi entahlah, agaknya saya terus terlupa.

Kisah yang saya paparkan dalam kedua-dua entree itu adalah kisah benar yang terjadi pada diri saya. 'Something beautiful' yang terjadi dalam hidup saya. Pertemuan dua hati yang akhirnya membawa kepada sebuah perkahwinan. Perjalanan perkahwinan saya, malah, semasa saya berkawan dengan suami saya... bukan semuanya harum bak mawar di taman. Ada ketika, saya digigit duri dan ada kala, saya terasa hati. Semuanya normal belaka, kerana sebagai insan yang menumpang di dunia fana ini, mustahil perjalanan hidup kita tidak berdepan dengan rintangan.

Apa pun, saya tidak bercadang untuk sambungkannya buat masa ini. Macam menulis manuskrip juga, kita hanya lakukan bila mood sudah ada. Sekarang ini, mood romantis itu belum datang lagi. Insya-Allah, bila mood saya ada, akan saya sambungkan cerita itu. Sebuah kisah yang tak mungkin dapat saya lupakan.

Sekali lagi ingin saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pembaca blog saya ini. Semoga kisah yang saya paparkan dalam entree-entree saya ini dijadikan kisah-kisah yang dapat kita kongsi bersama. 'Something to share.'

Kepada Eja dan Mel... huhu... rajin-rajin baca lagi ya.

Sunday, April 18, 2010

Dulu Sayang, Sekarang Bertambah Sayang




Haha... cerita yang bertentangan dengan cerita entri saya sebelum ini. Ini kisah seorang teman juga. Dia bercerita kepada saya, semasa mengenali suaminya bertahun-tahun yang lalu... agaknya dah lebih dua puluh tahun, dia memang menyampah giler tengok suaminya itu. Masa tu, belum kenal lagi. Setakat tahu nama dan nampak dari jauh saja. Ketika itu, teman saya masih remaja sedangkan suaminya pula lapan tahun lebih tua. Maklumlah, semasa muda, sesiapa sahaja yang berusia bertahun-tahun lebih tua, dirasakan macam tua sangat-sangat!

Dipendekkan cerita, suaminya itu tak pernah putus asa untuk mengambil hatinya. Akhirnya, dia cair juga dan tanpa menunggu lagi, suaminya meminang dan akhirnya mereka pun dinikahkan dengan majlis perkahwinan yang sedang-sedang.

"Sekarang ni... dah lebih 20 tahun saya kahwin dengan dia. Kami dah ada lima orang anak." Katanya.

"Bahagia ke?"

Dia tersenyum-senyum. "Masa mula-mula kahwin tu, saya dah sayang pada dia. Tapi sekarang ni, saya bertambah-tambah sayang. Saya tak ingat pun yang dia tua lapan tahun daripada saya. Semuanya okey..." Begitulah bahagianya dia. Saya tahu dia happy kerana dengan sepasang mata saya ini, saya melihat betapa mesranya mereka berdua. Walaupun dah lama kahwin, reaksi mereka seperti sepasang pengantin baru saja. Asyik berkepit, melawak dan cukup mesra. Kalaulah semua pasangan macam ni, tentu senang, kan?

Seorang teman pula bercerita kepada saya, "Saya tak boleh nak lupakan dia, kak. Dah puas saya cuba, tapi masih ingat lagi. Susahnya!" Dia berkata yang mereka sudah pun 'putus' sekitar enam bulan yang lalu, tapi malangnya sehingga kini, dia masih tak dapat melupakan 'si dia'.

"Saya yang minta diputuskan, sebab saya tahu kami tak akan bahagia. Tapi... macam mana nak buat, kak? macam mana nak lupakan dia?"

Alahai... ini yang saya tak suka ni. Bukannya apa, saya tak tahu macam mana nak nasihatkan dia. Huhu... 'Lupakan, lupakan, lupakan! Buatlah benda lain, sayang. Jangan ingatkan dia lagi. Sibukkanlah diri anda tu. Lepas tu... berdoa. Puas-puas!'

*PS: Petang semalam saya mendaki Bukit Broga yang terletak tak jauh dari Semenyih. Best giler! Jom kita naik ramai-ramai, nak? jangan tercungap atau pengsan... dahlah!

*PS lagi: Malam tadi, masa balik dari Bukit Broga, kami menggunakan Lebuh Raya LEKAS (Kajang-Seremban) dan terserempak dengan sebuah kemalangan jalan raya. Pagi in, baca paper... rupa-rupanya penyanyi dan pelakon Achik Spin yang meninggal dalam kemalangan jalan raya yang kami lihat itu. Patutlah ramai betul orang di kawasan kemalangan. Al-Fatihah.Takziah juga buat keluarganya.

Friday, April 16, 2010

Dulu Sayang, Sekarang Dah Benci



"Kenapa dengan saya ni, Kak Aina? Sekarang ni saya dah tak sanggup nak tengok muka dia. Benci Giler!" Itulah keluhan seorang kenalan yang rajin menghubungi saya. Katanya, dia sudah berkahwin selama tiga tahun dan ada seorang puteri yang berusia hampir setahun.

"Masa saya mula kahwin dulu, tak ada pulak macam ni. Kami kahwin sebab cinta. Tapi sekarang ni, cinta tu dah tak ada lagi." Sambungnya.

"Kenapa? takkan tak bersebab?" soal saya.

"Saya tak tahu. Tak ada orang ketiga, Kak Aina, cuma perasaan saya ni. Sekarang ni, cara dia pakai saya benci, dia bercakap pun saya menyampah, apatah lagi nak tengok muka dia. Benci giler!"

"Hisy, tak baik tu," tegur saya. "Janganlah sampai macam tu."

"Tapi betul, Kak Aina. Saya betul-betul tak tahu kenapa. Yang saya tahu, saya dah tak suka lagi pada suami saya ni. Dah setahun dah."

Saya betul-betul tak tahu hendak berkata apa. Saya percaya dia dilanda penyakit 'post natal sindrom', di mana perubahan hormon boleh merubah perasaannya. Tapi... saya syak sahaja. Mungkin juga ada perkara-perkara lain yang terjadi yang membuat dia rasa begitu. Katanya kepada saya yang dia tidak pernah beritahu suaminya perasaannya itu, tetapi suaminya mengesyaki yang dia sudah benci kepadanya. Saya hanya bersimpati dan saya meminta supaya dia tidak terburu-buru mengambil keputusan yang boleh mencerai-beraikan mereka. "Berusahalah untuk baiki keadaan. Apa-apa yang tak suka tu, beritahu pada dia, mungkin dia boleh buat apa yang you suka."

Begitulah dengan perasaan kita. Saya selalu mendengar luahan hati yang begini. Dulu sayang, sekarang dah tak lagi. Perasaan benci pula yang datang menapak. Aduhai.

*PS: Dua tiga hari yang lepas, saya kesibukan kerana ibu saya uzur. Alhamdulillah, dia sudah beransur baik.

Tuesday, April 13, 2010

Suka Yang Pelik-Pelik



Bunyi macam pelik, tetapi inilah kebenarannya. Dia suka yang pelik-pelik. Tak suka yang normal, tak suka yang biasa-biasa. Membosankan katanya. Huhu... yang pelik macam mana ek?

Yang lain daripada yang lain. Orang tak buat, biar kita yang buat. Orang tak suka biar kita yang suka.

Inilah kata seorang jejaka yang saya kenali. Biar saya namakan dia 'UM'. UM kata, dia suka pakai baju yang orang lain tak pakai. Warna pelik-pelik, kadang-kadang bercorak, kadang-kadang dia pakai topi pelik-pelik, pakai seluar belang-belang semacam. Kadang-kadang seluar dia bertampal sana sini. Warna pun warna yang jarang orang kenakan... seluar hijau lumut, baju ungu belang kuning. Aduhai.

Hobi dia pun lain daripada orang lain. Orang kumpul stem, memancing, main bowling, menyanyi... dia pula 'mengumpul katak'. Ada macam-macam jenis katak yang dia kumpul. Katak kecil, katak besar, katak yang suka buat bising, katak yang pandai menyanyi.

Yang peliknya juga, mamat UM ni dia mempunyai ijazah dalam bidang kejuruteraan mekanikal, tetapi profesyennya sekarang ialah jurulatih motivasi. Mengikut kata kawan saya, dia merupakan seorang pakar motivasi yang baik. Dia interesting, kelakar dan sangat charming. Budak-budak suka pada dia. Aweks-aweks pun suka pada dia. Tetapi... mamat UM ni suka pada awek yang pelik-pelik. Dia pernah suka dengan seorang awek yang mempunyai hobi 'pelihara anak tenggiling'. Sudah itu, awek dia itu bekerja di rumah mayat. Tiap-tiap hari melayan mayat yang keluar masuk. Malangnya, pertaliannya dengan awek itu, tak lama.

"Sekarang ini saya sedang cari awek baru." Kata UM.

"Nak cari yang macam mana?" soal kami.

"Mesti lain daripada yang lain. Saya suka yang weird macam saya."

Huhu... mana nak cari ni?

Monday, April 12, 2010

Talk To Me...



Inilah ayat yang sepatutnya kita berikan kepada rakan-rakan baik atau orang-orang yang rapat dengan kita. "Talk to me..." atau "Luahkanlah kepadaku...".

Banyak orang ada masalah, atau sedang berdepan dengan sesuatu yang memerit atau menyakitkan, atau mungkin sesuatu yang mengharukan, namun tak tahu hendak berbuat apa-apa. Kebanyakan orang akan hanya menyimpan dalam hati. Malu nak bercerita apatah lagi hendak meluahkannya. Kerana itu, bertambah sakit dan peritlah perasaan. Tak tertanggung dek badan. Perasaan malu inilah kadang-kadang membuat kita menjadi bertambah lemah.

Macam mana kita nak mencari tempat untuk kita luahkan perasaan ini? Kadang-kadang, kita tak ada tempat atau tak ada teman yang kita yakin sanggup mendengar rintihan kita itu. Bukan semua orang sesuai untuk mendengar masalah kita. Tetapi, 'Life must go on'. Sebaik mungkin, carilah tempat untuk kita luahkan perasaan luka kita itu.Tak semestinya orang yang kita pilih itu rapat dengan kita. Pilihlah sesiapa sahaja asalkan kita yakin dan percaya, dia dengan ikhlas sanggup mendengar rintihan hati kita itu. Selain itu, kita kena cari sebab yang boleh membina keyakinan diri kita semula. Apa-apa sahaja perasaan negatif yang wujud dalam diri, kita kena gantikan dengan apa-apa positif yang mampu kita cari. Lihatlah di sekeliling kita. Apakah yang mungkin dapat memberi semangat kepada kita?

Pagi ini, saya mendengar dan melihat di televisyen, keadaan seorang anak muda berketurunan Cina, yang sekitar sebulan sebelum peperiksaan SPM nya, telah dimaklumkan bahawa kakinya yang sakit itu terpaksa dipotong akibat barah yang menyerang. Bayangkanlah, usia semuda itu, dia terpaksa berdepan dengan sesuatu yang sangat meruntunkan hati dan mungkin semangatnya. Namun, dia berterima kasih kerana masih hidup lagi.

Dan dengan semangat itulah dia berjuang dan berdepan dengan segala apa jua perasaan yang terperap di dadanya. Hari ini, lelaki muda itu bersemangat tinggi hinggakan sanggup mendaki dan memanjat segala gunung-ganang yang ada di Malaysia, walaupun hanya mempunyai sebelah kaki sahaja. 'Life goes on' dan dia berjaya menunjukkan kepada semua bahawa sekalipun, ada hanya satu kaki sahaja, dia mampu berjaya dan melakukan lebih daripada mereka yang ada dua kaki!

Okey, apa lagi? kalau kita rasa yang diri kita ini sedang menderita, ingatlah... ada ramai lagi yang lebih teruk daripada kita. Syukur alhamdulillah, kita masih hidup dan ada peluang untuk teruskan hidup kita ini. Kehidupan yang baik di dunia, kita gunakanlah untuk membawa kita ke jalan yang mulia di akhirat nanti. Lakukanlah yang terbaik, yang disukai Allah swt, semoga hidup dan akhirat kita terpelihara. Yakin dan teguhkan iman kita. Percayalah, segala yang kita lihat sebagai tidak indah itu ada hikmahnya.

Luahkanlah hati anda... carilah mereka yang mahu mendengar. Binalah keyakinan diri.

Friday, April 09, 2010

Asam Garam dan Macam-Macam Ragam



Baru-baru ini, saya bersembang-sembang dengan seorang kenalan. Katanya kepada saya, "Kak Aina... saya dan semua adik-beradik perempuan saya, kami tak kahwin-kahwin lagi. Kakak saya dah masuk 45, saya sendiri dah dekat 40. Adik-adik perempuan saya, seorang dah 37 dan seorang lagi dah 35."

"Kenapa tak kahwin? Saja suka tak nak kahwin ke?" soal saya, hairanlah juga sebab kenalan saya itu memang cantik orangnya.Adik beradiknya juga cantik-cantik.

"Entahlah, Kak Aina. Adik beradik lelaki kami, ada tiga orang. Semua dah kahwin."

Bertambahlah hairan saya. Kenapa tak kahwin agaknya?

"Kak Aina... masa kami sekolah-sekolah dulu, mak ayah kami tak bagi kami yang perempuan ni, berkawan dengan sesiapa pun. Kami tak boleh keluar rumah bila dah habis waktu sekolah. Tuisyen pun kat rumah aje. Mengaji al Quran pun kat rumah. Kami disuruh mak ayah kami supaya belajar rajin-rajin supaya bila dah besar nanti menjadi. Alhamdulillah, kami yang perempuan ni semuanya menjadi. Kakak saya... dia dah jadi ketua jabatan (Kakaknya bekerja di sebuah badan kerajaan). Saya sendiri... dah jadi pengurus bank. Adik saya, seorang dah jadi doktor dan seorang lagi pegawai tinggi dalam kementerian pertahanan."

"Bagus tu." Kata saya.

"Betul bagus, Kak Aina. Tapi... kami tak kahwin-kahwin." Katanya lagi.

"Cuba ceritakan, kenapa?" saya menyoal lagi, tak puas hati.

"Memang kami ni jenis tak pandai berkawan dengan orang sangat. Jadi... tak pandai nak mencari."

"Takkan tak ada orang yang berkenan kot?"

"Ada juga, Kak Aina. Tapi... kalau ada yang masuk pinang kami, mak ayah kami tolak. Abang-abang dengan adik lelaki saya pun tak suka kalau tahu ada orang berkenan dengan kami."

"Hisy, kenapa macam tu?"

"Entahlah, Kak Aina. Mak ayah kami tak suka kami yang perempuan ni kahwin. Dia orang takut kalau kami tak dapat bantu mak ayah lagi. Dia orang takut kalau suami kami mengawal pendapatan kami nanti. Sekarang ini, memang kami yang perempuan yang tanggung ibu bapa kami. Yang lelaki lepas tangan."

"Laa... tak adilnya." Kata saya.

"Nak buat macam mana, Kak Aina? Kami dah biasa macam ni. Kami pun tak pandai melawan, sebab mak ayah ajar dari kecil jangan sesekali melawan cakap mereka. Jadi... kami terima sajalah. Lagipun, adik beradik lelaki kami lebih selesa kalau kami tak kahwin. Mereka lebih senang. Mereka kata, memang tanggungjawab kami yang perempuan untuk jaga mak ayah selagi ada umur mereka."

Saya tidak terkata. Nak kata apa lagi? Mungkin inilah sebahagian dari asam garam hidup di dunia ini. Ada bermacam-macam ibu bapa, yang sayang anak, yang benci anak dan yang mempergunakan anak. Wallahua'lam.


*Malam tadi, saya dapat berita daripada teman lama (masa di UM dulu). Dia bercerita yang dia baru sahaja dapat berita yang mengatakan seorang teman kami semasa di kampus dulu, kini sedang sakit tenat. Dia mengidap barah payudara. Teman yang sakit ini ialah seorang doktor perubatan. Sedih saya mendengarnya kerana masih terbayang-bayang lagi wajahnya yang biasanya sangat ceria semasa di kampus dulu. Kami memanggil dia 'Rohani cute', kerana dia sangat comel. Orangnya kecil, mukanya comel dan kulitnya putih melepak. Dia sangat ramah.

Insya-Allah, saya akan cuba melawatnya nanti.

Thursday, April 08, 2010

Jemputan Jangan Ditolak



Pernahkah anda berada di dalam situasi di mana anda akan berusaha untuk hadirkan diri dalam apa-apa jemputan yang dihulurkan oleh orang-orang yang anda kenali? Tetapi, sebaik sahaja anda pula aturkan sebuah majlis dan menghulurkan jemputan kepada mereka, tahu-tahu mereka memberi pelbagai alasan atau tanpa memberi apa-apa alasan, tidak dapat hadir dalam program anda itu?

Apakah yang anda lakukan?

Merajuk dan berkecil hati?

Lain kali, anda pastikan anda juga tidak hadir lagi dalam apa-apa jemputan mereka pula?

Biasalah, kan... kita akan terasa hati. Kita akan tertanya-tanya, kenapa mereka buat begitu? apakah mereka tidak pernah menghargai usaha kita selama ini?

Seelok-eloknya sebagai teman, atau mungkin jiran, atau saudara-mara, kita menghargailah apa-apa sahaja undangan teman, jiran dan saudara itu. Mungkin ini giliran mereka, suatu hari nanti, giliran kita pula. Janganlah berkira-kira dan janganlah suka mencipta alasan, kecuali kalau kita betul-betul uzur.

Sebaik-baiknya, kita penuhi permintaan teman dan rakan ini, kerana dengan penglibatan kita, maka akan meriahlah lagi apa-apa majlis yang diaturkan itu. Kita tentunya membuat tuan rumah seronok. Janganlah kita fikir... 'Ah, aku sorang yang tak datang, takkan rosak majlis kot?' Apa pula akan terjadi kalau semua yang dijemput berfikir begitu? Tentu majlis tuan rumah akan rosak, betul tak?

Okeylah, saya tak berniat untuk membebel pagi ini, cuma teringat kepada 'mereka' yang suka sangat mengelak diri daripada menyambut jemputan orang.

Wednesday, April 07, 2010

Hidup dengan Kesyukuran



Salam,

Pagi ini ada amaran tsunami di utara Pantai Barat Semenanjung, kerana di katakan kepulauan Sumatra Barat dilanda gempa bumi berskala 7.7. Namun, mengikut berita di Yahoo, kemungkinan besar tiada sebarang tsunami akan berlaku. Apa-apa pun, lebih baik berjaga-jaga daripada tidak ambil tahu.

Saya teringat semasa di Sumatera Barat baru-baru ini. Saya bersembang dengan salah seorang pemandu teksi dan bertanyakan tentang perasaannya kalau berlaku gempa bumi lagi. Katanya, "Ini semua kerja Tuhan, kak. Kalau sememangnya sudah diajalkan kami dilanda gempa bumi lagi, kami terima dengan reda. Kami tak mahu hidup dengan ketakutan. Kalau asyik takut, kami tak boleh nak cari makan. Kami teruskan hidup macam biasa saja."

Mungkin betul katanya. Kalau kita sentiasa hidup dalam ketakutan, payahlah nak hidup macam biasa. Apa sekalipun keadaannya, kita tak boleh takut dengan sebuah kematian. Sebagai makhluk Allah swt, kita akan mati jua, cumanya sebagai orang Islam, kita wajib bersedia agar kematian kita itu akan membawa kita ke pintu syurga. Sebagai orang Islam, kita wajib mentaati perintah Allah dan bersedia bila-bila masa sahaja untuk kembali kepada-Nya. Dalam begitu, hidup perlu kita teruskan. Rezeki perlu kita cari, kebahagiaan perlu menjadi objektif kehidupan, dan kasih sayang terus kita tanamkan dalam sifat kita ini.

Buat yang terbaik untuk orang lain juga, bukan sekadar menjadi manusia yang tamak lagi bersifat dengki. Setiap kebaikan yang kita lakukan buat insan lain, semestinya ada ganjaran, kalau tidak di dunia ini, tentulah di akhirat nanti. Kuatkanlah iman... cintailah Allah swt dan Rasul kita, Muhammad SAW, semoga setiap saat kita hidup, tidak kita sia-siakan.

Bersyukurlah kerana kita masih hidup pada hari ini. Masih ada masa dan sekali lagi, jangan disia-siakan masa kita dengan dipenuhi perasaan sakit dan dengki.

Tuesday, April 06, 2010

Berkasih Sayang Dengan Hati yang Ikhlas



'Love is not about how to survive the storm but how to dance in the rain'.

'True love is neither physical nor romantic. True love is an acceptance of all that is, has been, will be, and will not be'

Kalau boleh saya huraikan lagi. Cinta adalah perasaan kasih sayang seadanya. Tak kira apa jua keadaan, kasih dan sayang tetap ada dan wujud.

Ketika kita masih muda, mungkin kasih dan sayang kepada seseorang itu mudah kita lihat. Maklumlah, sama-sama muda dan mudah meluahkannya. Sama-sama ada rupa, kulit pun masih tegang, dan pakai apa pun masih elok lagi. Tetapi kasih sayang yang ditunjukkan oleh pasangan yang sudah matang itulah yang lebih bermakna. Maklumlah, dalam keadaan ini, rupa fizikal sudah tidak bermakna lagi, apa yang ada adalah sekadar perasaan dan hati.

Kalau kita sedang bercinta sekarang ini, pernahkah kita menyoal diri, 'Sanggupkah dia mencintaiku seadanya, sekalipun aku sudah tua nanti? sanggupkah dia mengasihiku apabila aku sudah terlantar tak mampu bergerak lagi? atau mungkinkah dia akan pergi sebaik sahaja aku sudah tidak bermakna untuknya?'

Kalau kita masih muda dan terlihat kepada pasangan yang matang, yang sedang dan masih bercinta lagi, janganlah kita memperlekehkan mereka, kerana kita yang muda ini mungkin tak mampu bercinta sehandal mereka. Mungkin kasih sayang yang ada di antara kita yang masih muda ini tak pernah kukuh, tak seikhlas kasih dan sayang pasangan yang matang itu tadi.

Hari ini, ramai yang tidak menghargai perasaan kasih sayang antara pasangan. Kita terlalu ralit mengharapkan kasih yang berbentuk fizikal dan sayang yang romantik, hinggakan kita terlupa kepada perasaan ikhlas yang ada pada diri kita. Berkasih sayang tak kira apa jua keadaannya, kerana kita tahu, apa sahaja yang kita ada ada, termasuk paras rupa dan harta,adalah sementara sahaja. Suatu hari nanti, semuanya akan pergi jua. Kalau kita cantik, satu hari nanti kita akan jadi tak cantik, kalau kulit kita licin dan putih melepak, satu hari nanti ia akan jadi berkedut dan gelap, mungkin berbintik-bintik. Namun, hati yang ikhlas itu insya-Allah akan kekal ikhlas, dan itulah perasaan yang akan kekal dengan kita hingga akhir hayat.

Monday, April 05, 2010

Penulis Malaysia Boleh Jadi Kaya-Raya?



Salam, semua.

Alhamdulillah, sekalipun masih batuk-batuk, saya berasa lebih segar dari dua tiga hari sebelum ini. Apa-apa pun, segala kesakitan yang Tuhan berikan, ada hikmah di sebaliknya. Selama tiga hari saya tak dapat menulis apa-apa, namun alhamdulillah, ketika itulah saya dapat berfikir-fikir. Tuhan izinkan saya masa untuk mengaturkan idea yang lebih mantap buat penulisan manuskrip yang sedang saya garapkan. Masa yang terluang inilah, pelbagai idea dan cadangan yang datang untuk membantu. Kadang-kadang, semasa kita menulis, ada benda yang membuat kita rasa kurang senang atau selesa, namun kini saya tidak rasa begitu lagi.

Bukan sekadar manuskrip, malah banyak lagi ilham dan perkara yang berkaitan dengan bisnes penerbitan datang kepada saya dalam tempoh tubuh yang tidak sihat ini. Saya sentiasa bersyukur kerana Allah swt masih berikan kemampuan itu. Untuk berfikir-fikir. Dalam membincangkan hal ini, saya teringat kepada sebuah artikel yang terpapar di sebuah akhbar perdana. Kisah yang dibincangkan ialah tentang penjualan buku pada tahun lepas. Katanya kutipan penjualan buku bagi tahun 2009 ialah sekitar 2.1 bilion ringgit.

Jadi, Pak Menteri yang 'highlight' kan hal ini telah menyoal,'mengapa penulis tak boleh kaya dengan penulisannya?' Malah, Pak Menteri telah membuat perbandingan dengan penulis-penulis di negara Barat yang biasanya kaya-raya, hidup dengan taraf 'millionaire'. Sedangkan kebanyakan penulis Malaysia, tak usahkan nak jadi jutawan, nak hidup dengan pendapatan sebagai penulis pun mungkin tak mampu.

Soalnya, Pak Menteri itu tahu ke tidak tentang dunia penerbitan di Malaysia ni? Memang tak dinafikan ada penulis yang agak senang juga di Malaysia ini. Mungkin tak hidup mewah macam J.K. Rowlings atau Dan Brown, tetapi okeylah... mampu untuk makan angin ke sana ke mari, mampu beli rumah dan kereta, ada tu dapat gunakan duit royalti penulisan untuk pergi buat haji atau umrah, atau repair rumah... Tetapi kita mesti ingat, penjualan buku yang dikatakan berjumlah 2.1 bilion ringgit itu, bukan merupakan 100% buku tulisan penulis lokal.

Jumlah yang besar penjualan buku di Malaysia datangnya dari luar, terutama negara Indonesia, negara-negara Barat, China, India dan lain-lain. Sekarang ini, sudah menjadi trend kebanyakan penerbit dan pekedai yang lebih senang membawa masuk buku-buku dari luar. Mungkin lagi mudah dan tak payah kecoh nak bayar royalti.

Saya percaya, buku-buku penulisan penulis lokal, entahkan berapa persen sahaja. Kata orang 'ciput' aje... habis tu macam mana nak cerita pasal penulis lokal nak jadi kaya? Lagi satu, Pak Menteri yang komen tu, tak buat 'homework'. Dia tak tahu yang harga percetakan sangat tinggi di negara ini, malah tertinggi di rantau ini. Jumlah percentage yang diberikan kepada retailer atau distributor juga sangat tinggi... ada yang sampai 50-60 %. Bayangkanlah... apa yang penerbit boleh dapat? Printing dah 20%, atau lebih, dari harga buku. Bagi pada distributor dah 50 %, kerja-kerja design, layout, editing... takkan free kot? Kalau penulis dapat sekitar 8-10%, kira dah cukup baiklah tu.. Biasanya... penerbit dapat dalam 10-15 % sahaja... itu pun banyak benda yang nak kena bayar, sewalah, gaji staflah...

Sebab itulah, lebih banyak penerbit sekarang ini lagi selesa ambil sahaja buku dari luar. Misalnya Indonesia. Buku murah dicetak, penulisnya pun ramai dan dah banyak pengalaman. Terutama dalam hal keagamaan. Untuk pembaca berbahasa Cina pula, lagi mudah bawa masuk buku dari negara China. Murah dan berlambak-lambak.

Alahai Pak Menteri... elok kalau buat kajian sikit. Jangan main pukul canang saja, seolah-olah penerbit dah 'songlap' duit yang sepatutnya boleh buat penulis lokal jadi kaya-raya. Lagi satu perkara yang Pak Menteri juga harus tahu, selain daripada Malaysia, buku kita hanya pergi ke Singapura dan Brunei. Itu saja. Indonesia pun kita tak mampu masuk. Kalau masuk sana, boleh tahanlah jugak. Tapi nampaknya, kita lagi seronok bawak masuk buku-buku Indonesia. Habis tu, nak buat macam mana lagi? Macam mana kita nak kaya macam J.K. Rowlings? Berapa banyak naskah yang kita boleh jual setiap judul? Dan berapa banyak penulis lokal yang mampu menjual buku-bukunya dalam jumlah yang besar? Okeylah... yang cakap besar memang ramai, pukul canang sana sini, tapi realitinya... betul ke?

**Jumaat, Sabtu dan Ahad... dekat rumah saya sibuk dengan Perlumbaan Formula One. Tiap-tiap hari... Jet Sukhoi terbang di kawasan rumah saya. Alahai Mejar Arash, apasal lah tak singgah rumah saya ni?

Friday, April 02, 2010

Sakit...

Salam sayang buat semua.

Pagi ini saya tak bermaya untuk menulis. Jadi tak dapat nak updatekan blog ini. Saya kena flu. Huhuhu... kepala pening, hidung beringus, dah tu sakit tekak. Jumpa lagi esok-esok ya.

Thursday, April 01, 2010

Dunia Matang yang Okey Juga



Apa yang saya nak ceritakan ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi sentiasa terjadi. Ini adalah kisah penulisan buku. Atau tentang penulis dan bukunya. Sekalipun buku kita masuk carta nombor satu (tak kiralah carta apa), tak semestinya semua orang suka buku kita itu. Pembaca ada citarasa mereka sendiri. Tetapi biasanya, kalau kita dah ada followers setia dan mereka pula memang jenis yang faham dengan cara penulisan kita, mereka akan tetap setia dan mesti membaca buku-buku kita itu. Kebanyakan followers kita akan cuba menghayati apa-apa sahaja yang kita tulis dan biasanya mereka tak akan komen yang bukan-bukan.

Selama jadi penulis, saya dah tak kisah lagi dengan apa orang akan kata tentang novel atau buku saya. Bukan senang nak puaskan hati semua pembaca, tetapi kalau majoriti pembaca kita kata okey atau beri 'thumbs up', alhamdulillah... saya bersyukur dan terima dengan baik. Inilah yang dapat membakar semangat saya untuk terus menulis.

Rata-rata, boleh saya katakan bahawa kumpulan pembaca saya adalah mereka yang lebih matang. Bukan matang umur tetapi matang fikiran. Ramai pembaca saya yang berumur muda tetapi dapat menghayati penulisan saya dengan baik dan tentu sekali mereka yang lebih matang usianya tak ada masalah untuk membaca penulisan saya.

Saya cuba cari dan bawa kelainan dan tak semesti kelainan itu dapat memuaskan hati semua pembaca. Pun begitu, saya akan terus mencari kelaianan dan perbezaan dalam persembahan novel-novel yang akan datang kerana saya tak mahu pembaca bertemu dengan sesuatu yang terlalu klise. Asyik-asyik jalan cerita yang sama.

Bagi saya, perwatakan karakter-karakter, latar belakang cerita, termasuklah profesyen watak memainkan peranan penting dalam mencari kelainan. Saya ingin pembaca saya bertemu dengan sesuatu yang jarang-jarang mereka tahu. Kadang-kadang saya selitkan juga sesuatu yang mereka sangat tahu. Yang penting saya cuba yang terbaik, namun yang terbaik itu tak semestinya yang terbaik untuk pembaca saya.

Ada pembaca berkata kepada saya yang dia tak berapa suka novel 'A' atau 'B', tetapi ada pembaca lain memberitahu saya yang dia sudah baca novel 'A' atau 'B' itu berkali-kali kerana terlalu sukakannya. Saya terima sahaja seadanya. Mengikut rekod saya, ada seorang pembaca lelaki mengaku kepada saya yang dia sudah membaca salah satu novel saya sebanyak 37 kali! Mungkin kerana watak dalam novel itu ada persamaan dengan dirinya.

Bagi saya... saya happy sahaja asal Tuhan berikan saya nikmat untuk menulis ini. Kalau anda terhibur dan banyak menerima ilmu dari novel-novel saya, alhmadulillah... segala-galanya datang daripada Allah swt. Setiap yang kurang itu, ia datang daripada saya, manusia yang kerdil ini.



Semalam, saya sempat lepak-lepak dengan teman-teman yang juga merupakan jiran-jiran saya. Mereka bertandang dan minum-minum di rumah saya. Dah lama kami tak lepak sama-sama. Hidup sebagai wanita matang, memang seronok. Kami jarang-jarang besarkan perkara yang remeh-remeh dan kami sentiasa sokong di antara satu dengan yang lain. Alhamdulillah. Dunia kematangan tetap menghiburkan kami.