Imej Kota Kinabalu
Salam
Mungkin in merupakan soalan anda bila musim cuti sekolah. Ke mana nak bawa anak-anak bercuti? Kalau banyak duit, mungkin boleh ke luar negara. Awal-awal dah book tempat, hotel dan tiket penerbangan. Tak ada hal, sebab memang banyak betul tempat yang kita boleh pergi. Kalau duit memang banyak sungguh, bolehlah pergi jauh, ke Eropah, ke Timur Tengah, ke Amerika Syarikat, atau mungkin ke Jepun dan Korea... atau mana-mana lah. Memang dah jadi trend bagi keluarga yang berduit untuk aturkan rancangan bercuti-cuti di luar negara. Kalau ada duit tapi taklah berlambak sangat, boleh saja ke luar negara yang tak terlalu jauh. Boleh ke Indonesia... ada Pulau Jawa, ada Sumatera, ada Pulau Bali, ada Kalimantan dan ada macam-macam lagi. Berpuluh-puluh tempat yang kita boleh pilih, dari Acheh sampailah Ambon atau Flores. Terpulanglah apa yang kita teringin nak tengok dan tahu.
Ada juga Thailand yang dekat dengan kita dan kerana negara itu masih terlibat dengan banjir, banyak hotel turunkan harga gila-gila. Tapi kalau nak ke sana, kenalah pilih tempat yang tak kena banjir, barulah okey. Begitu juga Kemboja, mereka juga baru terlibat dengan banjir (tapi bukan semua tempat). Ada juga Vietnam, Laos, Filipina, Singapura dan macam-macam lagi. Malah, kita juga boleh pilih China dan India. China dan Inda memang besar dan ada macam-macam tempat yang boleh kita kunjungi dan tak semuanya mahal.
Kalau ada duit, tapi mungkin tak ada masa sangat, boleh sahaja kita pergi ke tempat yang tak jauh, ia itu di dalam negara. Dalam musim hujan yang tak henti-henti, kita boleh pilihlah tempat yang okey. Bagi mereka yang tinggal di Semenanjung, rasanya elok juga kalau pergi ke Sabah atau Sarawak. Nak juga tengok cara orang sana, kan? Memang macam-macam ada di sana yang mungkin tak berapa ada di sini. Saya syorkan anda ke Kota Kinabalu... memang best beb. Semua ada. Ada pulau, ada laut, ada pantai yang cantik, ada zoo, ada hutan, ada pelbagai pasar tradisional, ada gunung yang hebat, ada macam-macam yang boleh kita explore kat sana.
Kadang-kadang, kita memang malas nak pergi mana-mana yang jauh, mungkin tak cukup masa. Kita nak lepak-lepak aje di hujung minggu bersama keluarga, tapi tak tahu nak ke mana. Di Malaysia ni, memang tak banyak tempat lepak yang macam saya maksudkan. Kalau ada yang elok sikit, mesti jauh atau kena bayar mahal-mahal. Saya ingat lagi masa saya di Scotland (masa melawat anak saya belajar di sana), ada taman botanikal yang sangat cantik dan masuknya percuma aje. Saya macam tak percaya. Kat dalam tu, ada burung pelbagai jenis, ada macam-macam pokok yang cantik2 termasuk hutan tropika buatan. Malah, di negara seperti United Kingdom, memang banyak betul park atau taman yang disediakan untuk keluarga bersantai. Tak payah bayar apa-apa pun. Kalau berduit, kita boleh pergi tempat-tempat yang kena bayar macam masuk ke dalam 'castle'.
Di Malaysia ni, terutama di Lembah Klang, kalau ada apa-apa yang menarik sikit, semuanya mahal belaka. Bayangkanlah kalau anda kurang berduit dan mempunyai banyak anak. Macam mana nak bawa keluarga anda bersantai? Cuba pergi ke zoo, binatangnya tak banyak mana pun, tapi tiket masuknya mahal. Dah tu, nak beli makanan kat dalam zoo tu pun mahal jugak.
Kalau musim cuti sekolah, tempat-tempat percuma macam kat tepi sungai, semuanya penuh sampaikan tak ada tempat nak lepak.
Last-last, kita pun pergilah ke shopping complex sebab dah tak tahu nak ke mana. Aduhai... memang nahaslah, sebab kat situ pun, memang semuanya kena bayar.
Saya memang bersimpati kepada mereka yang tak mampu dan mempunyai anak yang ramai. Bila cuti sekolah, mestilah pening kepala fikirkan ke mana nak bawa anak-anak berehat. Mungkin tempat yang terbaik ialah balik kampung. Itu pun kalau kampung kita masih ada sanak saudara dan ibu bapa yang sudi nak tolong tengok-tengokkan anak-anak kita. Kalau kampung kita terlalu jauh, nak balik pun nak kena ada modal yang besar.
Dulu-dulu masa saya budak-budak, saya selalu balik ke Sungai Dua, kampung nenek saya di Seberang Perai. Nostalgia yang payah nak saya lupakan.
Wassalam.