Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, September 09, 2009

Nasihat untuk yang Menulis

Apa yang ingin saya sampaikan kali ini ialah tentang pertalian penulis dan penerbit bukunya. Mungkin ramai yang terlupa atau masih tak faham dengan pertalian dua hala ini. Sebagai penulis, kita mahukan penerbit kita bersikap profesional. Semua perkara dilakukan dengan ada hitam putihnya. Tak mahu setakat bercakap mulut sahaja. Dalam begitu, kita sebagai penulis pula mestilah mempunyai sikap yang serupa. Sentiasa 'maintain' sifat profesionalisma kita. Janganlah kita mahukan orang lain berlaku adil kepada kita, tetapi kita pula tak berlaku adil kepada mereka, terutamanya apabila kita tahu pihak penerbit kita bukan jenis yang 'mengelat' atau menipu!

Sebagai penulis, kita harus teliti surat perjanjian yang kita tanda tangani. Jangan kita cepat melatah dan buruk sangka pada penerbit kita hanya kerana kita tak faham surat perjanjian yang kita telah bersetuju untuk tanda tangani.

Ada pihak penerbit yang membayar royalti kepada penulisnya tanpa ambil kisah tentang buku-bukunya yang masih belum dijual. Ada juga membayar royalti kepada penulisnya tanpa menolak jumlah buku yang rosak dan juga jumlah buku yang dibuat promosi. Kalau dah begitu caranya, janganlah kita sebagai penulis masih mendesak nak tahu berapa banyak buku kita yang rosak dan berapa banyak pula yang dijadikan buku promosi. Dalam keadaan seperti ini, ada pihak penerbit yang lebih selesa untuk menampung kerugian yang sikit-sikit seperti itu... mungkin kerana mudah begitu.

Kita kena faham cara pihak penerbit kita. Janganlah pula kita mula nak bandingkan dengan penerbit lain. Sepatutnya kita bersyukur sahaja yang pihak penerbit kita tidak terlalu berkira-kira.

Ini adalah lebih baik daripada penerbit yang sentiasa mencari peluang untuk menolak pembayaran royalti penulis mereka. Ada juga pihak penerbit yang akan menolak jumlah buku promosi setiap kali buku itu diulang cetak, padahal apabila buku sudah berulang-ulang kali dicetak, mungkin jumlah buku yang dijadikan promosi sudah tidak banyak atau terus tidak ada. Tetapi dalam perkiraan royalti, masih lagi ditolak jumlah itu. Namun biasanya, penulis terpaksa sahaja ikut caranya.

Sama juga dengan cara sesetengah penerbit yang rajin buat 'gimik promosi' dengan sengaja memukul canang tentang jumlah buku yang terjual. Ada ketika, jumlah yang disebut atau dihebohkan itu mungkin terlalu 'gempaq'! Sebenarnya ia sekadar promosi sahaja, tetapi apabila penulis menerima royaltinya, pembayaran yang diberi sekadar 'seciput' sahaja. Mungkin benar bukunya itu berkali-kali masuk dalam carta penjualan terbaik untuk segelintir kedai buku mewah yang mengamalkan promosi 'carta' sedemikian. Tetapi sekali lagi saya suka mengingatkan penulis, kita jangan cepat terpengaruh dengan gimik-gimik sedemikian. Ada kalanya, pihak penerbit sengaja pukul canang begitu dalam 'peperangan' mendapat publisiti!

Apa sahaja yang kita kurang puas hati, eloklah kita lakukannya dengan menghubungi pihak penerbit secara yang berhemah. Jangan pula kita amalkan budaya bergosip sesama penulis. Kerana kalau apa yang kita gosipkan itu tidak benar, maka kita sebenarnya sedang menabur fitnah. Perbuatan itu semestinya tidak sihat. Kita mestilah ingat juga bahawa penerbit kita sedang membantu untuk menjual buku kita agar kita nanti akan mendapat royaltinya.

Penulis yang baik dan profesional adalah penulis yang matang fikirannya, tidak mudah mendengar kata-kata orang tanpa usul periksa. Kadang-kadang, ada yang memang jenis suka memburuk-burukkan orang lain dan kalau kita mudah makan kata-katanya, akhirnya nanti kita jua yang rugi. Kita harus faham bahawa mereka yang menjalankan urusan penerbitan itu adalah manusia juga, sama macam kita. Mempunyai hati dan perasaan. Kalau kita dah tahu bahawa pihak penerbit kita memang jenis yang membayar royalti, janganlah kita macam tak sabar pula. Sikit-sikit dah hubungi penerbit, nak tanyakan tentang pembayaran yang mungkin ketika itu belum lagi sampai masanya. Bersabarlah dan tunjukkan sikap bekerjasama kita agar pihak yang di sebelah sana senang bekerja dengan kita. Seperti yang saya katakan tadi, mereka sebenarnya sedang membantu kita untuk sama-sama mendapatkan rezeki.

Kita juga harus mengerti bahawa pihak penerbit mempunyai tanggunjawab yang besar untuk membayar hal-hal percetakan buku, reka bentuk buku, promosi, penghantaran dan penjualan. Semua itu melibatkan kos yang teramat tinggi. Jangan pula kita fikirkan bahawa pihak penerbit sedang berjoli-joli dengan duit yang mereka dapat dari penjualan buku kita itu. Kita juga harus faham, bukan semua buku senang dijual dan apabila dijual, bukan pembayarannya dapat dikutip masa itu juga. Prosesnya panjang. Ada ketika, bayaran yang dikutip makan masa melebihi setahun!