Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Thursday, March 27, 2008

Budak Suluq

Kami bergegas ke Jeti Jesselton yang terletak tidak jauh dari hotel kami yang berdepan dengan 'Water Front'. Malah, kerana nak cepat sangat, Cikgu Jani memilih untuk bungkuskan sahaja makanannya yang kami beli di sebuah restoran canggih. 'Rain Forest Kafe'. Sebenarnya, saya dan Zahirah terpaksa sahaja masuk ke restoran itu untuk makan tengah hari kerana kami mahu mengguna bilik airnya. Cikgu Jani hantar kami ke jeti dan barang-barang yang kami bawa turun dari 'National Park Kinabalu' kami minta Cikgu Jani hantar sahaja ke kaunter hotel kami. Tinggalkan sahaj di situ. Takut tak sempat nak kejar bot ke Pulau Manukan. Petang sebelumnya, kami dah buat janji dengan budak bot.
Sebaik sahaja tiba di kaunter jeti, 'mamat' yang jaga kaunter memberitahu kami, dah tak ada pelanggan lain selain daripada kami berdua yang hendak ke pulau. Memang dah lewat pun, dah melepasi tiga petang. Tapi agaknya bila melihat wajah kami berdua yang hendak sangat ke pulau itu, 'mamat' tu pun kesian. Dia mengatur untuk kami ke sana.
Itulah pertama kali kami bertemu dengan dua beradik budak Suluq yang membawa kami menyeberangi laut untuk ke Pulau Gaya dan Pulau Manukan. Kami berbual-bual di atas bot laju itu. Hari dah mula gelap. Mungkin nak hujan. Tapi kami berdua tetap nekad untuk ke sana, tak kira panas atau hujan!
Memang menakjubkan bila saya sampai di jeti di pusat peranginan Pulau Manukan itu. Pantainya indah, airnya jernih dan bersih... dan resortnya memang ada kelas!
"Wah! Banyaknya ikan... ikan todak lagi, betul tak?" saya bertanya kepada AlSarif, salah seorang daripada dua beradik yang membawa kami itu. Dia bercerita dan kedua-kedua kami mula bertanya itu dan ini.
"Ada tempat makan kat resort ni?" saya menyoal.
"Ada, puan... ada dua."
"Kamu pernah makan di sini? Sedap tak?"
"Mana ada saya makan di sini , puan... tempat ni bukan untuk saya. Saya bawa pelanggan saja."
"Jom... kita makan kat sana." Saya mengajak mereka dan kami terus ke kawasan resort yang kebetulan memang terletak di tepi pantai. Terasa seperti di Pulau Bali. Sebenarnya, saya tidaklah lapar sebab baru sahaja makan, tetapi saja suka-suka hendak mengajak mereka berdua.
"Makan di sini saja, cukuplah puan." Abang AlSarif berkata. Dia menunjuk kepada sebuah kafe kecil, yang digunakan oleh pengunjung yang datang untuk mandi-manda di tepi pantai.
"Ada yang lagi elok tak?"
"Ada puan. Di sana tu... itu mahal."
"Kalau saya nak belanja kamu makan, saya belanja kamu di sana tu. Kalau yang ini, kamu pun boleh bayar, kan?"
Mereka tersengih-sengih dan kami terus menapak ke ruang makan resort yang terletak berdepan dengan pantai yang indah.
Kami melayan kedua-dua beradik itu. Abang berumur 25 tahun dan adik pula baru 23 tahun. Kedua-duanya sudah berkahwin. Kami berbual dan saya banyak bertanya, maklumlah penulis.
Abang berkata yang dia dilahirkan di Filipina tetapi adiknya dilahirkan di Kota Kinabalu.
"Kamu ada IC lah?" saya menyoal adik.
"Tak ada, puan. Saya ada surat beranak sahaja."
"Surat beranak?"
Dia pun mengeluarkan sijil lahirnya yang dibawanya ke sana dan ke mari. Di sijil itu, semua butiran kelahirannya tercatat dan juga perkataan bukan warga negara bagi ayah dan ibunya.
"Kamu sekolah tak?" saya soal lagi pada adik, sambil kami menjamah makanan.
"Sampai darjah enam sahaja. Tingkatan satu tak lagi, sebab saya tak ada IC." katanya.
"Kenapa kamu tak boleh jadi warga negara? Bukankah kamu dilahirkan di sini?"
"Entahlah, puan. saya dah pohon tapi tak dapat."
"Habis tu... kamu rakyat mana?"
"Entahlah puan. Orang macam saya ni... tak ada siapa yang mahu. Saya hanya tumpang bumi Tuhan. Laut inilah mungkin negara saya. Orang miskin macam kami ni... beginilah puan."
Saya melihat anak matanya. Ada butiran mutiara yang mula bergenang dan saya dapat rasakan kehibaan yang dirasai anak muda itu. Begitulah kita agaknya... kalau tak berharta, miskin dan papa... tak ada siapa yang pedulikan. Sekalipun dilahirkan di tempat itu, masih tidak ada hak buatnya untuk menggelarkan dirinya rakyat.
Mungkin dia tidak diperlukan oleh orang-orang yang tidak sensitif, namun dia tetap hamba Allah. Apakah kita insan lain tidak bertanggungjawab bagi insan seperti dia? Patutkah kita tutup sahaja mata dan biarkan dia terus jadikan lautan tempat yang dikatakan rumah buatnya?
Saya sedih melihat AlSarif. Yang pasti, saya tahu dia baik, kerana petang itu sepatutnya kami tidak sampai ke Pulau Manukan sebab sudah lewat, tetapi mereka dua beradik sanggup menghantar kami tanpa meminta sebarang ganjaran yang lebih. Bagi mereka, tambang biasa itu sudah cukup. Alhamdulillah, petang itu rezeki mereka sudah disediakan Tuhan.
Malam itu, ketika memandang 'water front' di luar tingkap bilik kami yang terletak di tingkat 10, saya teringat kepada budak Suluq itu.
"Sarif... kamu masih ada di KK?"saya hubunginya melalui telefon bimbit.
"Ada puan." Jawabnya.
"Kamu buatkan salinan surat beranak kamu tu. Biar saya bawa pulang ke KL, okey?"
Kami berjumpa lagi malam itu. Saya dan Zahirah, dan kedua-dua budak Suluq itu.