Kami berebut-rebut untuk sampai ke MTC. Hujan lebat, dan jalan cukup sesak. Saya hantar teks mesej pesanan ringkas kepada ASH.
Tolong belikan tiket, ya? Akak tersangkut ni.
Sampai sahaja kami pun bergegas ke auditorium Tuanku Abdul Rahman untuk menonton pentas bangsawan. ASH sedang menunggu kami.
"Dah beli dah tiket, Ash?" Saya bertanya di pintu masuk.
"Kak... entah kenapa dia orang kata, tak apalah. Tak payah bayar. Free aje untuk akak."
"Eh... kami bertiga ni."
"Tak apa."
Seronoknya. Dapat menonton panggung bangsawan secara percuma. Anak perempuan sayalah yang paling teruja, kerana itu merupakan pertunjukan yang pertama untuknya. Tak pernah menonton bangsawan seumur hidup. Saya sendiri pun, sudah lama tidak menonton.
Pertunjukan memang bagus sekali. Walaupun lama, tapi kami tidak mengantuk, kerana ada pelbagai pertunjukan sampingan di antara babak bangsawan itu. Siapa ada 'Mawi dan M.Nasir' (tapi yang olok2lah... p.s..sebenarnya saya tidaklah minat kepada kedua-duanya itu).
Yang paling menyeronokkan ialah kerana bangsawan itu mengesahkan cerita di negeri Perak. Megat Terawis yang popular! Kebetulan, hero yang melakonkan watak itu, cukup macho orangnya dan pandai bersilat, dan watak jahatnya pula dipegang oleh karakter yang kelihatan begitu jahat sekali. Memang terasa hidup jalan ceritanya.
Hampir 11.30 malam, barulah persembahan selesai. Kami pun keluar dan cuba cari makan. Sebelum datang kami tidak sempat untuk makan malam terlebih dahulu.
"Nak makan di mana ni? I dah lapar sangat ni."
Putar punya putar, akhirnya kami bertemu sebuah tempat yang kelihatan menarik di Kampung Bahru. kami pun masuklah ke dalam restoran. Ramai lagi pengunjungnya di malam itu. Sebaik sahaja kami duduk, datanglah pelayannya.
"Encik... malam ni kami ada jamuan. Encik nak cuba stimbot?" Katanya kepada kami.
"Stimbot? Eh... dah malam benar ni. Tak ada mood pulak nak makan stimbot. Nak makan benda lain boleh tak?"
Tanpa banyak cerita dan dengan senyumannya, si pelayan lelaki itu pun pergi mengambil 'menu' untuk ditunjukkan kepada kami. Sementara itu ramai lagi yang datang untuk makan di tempat itu. Sangka kami ada jamuan khas untuk kumpulan di situ.
Anak perempuan saya memesan fish and chips, apple juice, suami saya, nasi goreng istimewa dan teh tarik, saya pula, nasi goreng juga dengan tomyam campur dan apple juice.
Memang makanan di restoran itu enak dan portion nya cukup besar. Semasa makan, kami melihat sekumpulan selebriti yang terdiri daripada seorang pereka fasyen yang terkemuka dan bebeberapa orang make-up artist yang berada di situ.
Tuan kedai juga ada di situ. Dia mengajak pekerja2nya untuk membaca doa. Kami pun tolong mengaminkan sama. Selesai makan, dan selesai membaca doa, kami pun memanggil pelayan untuk membuat pembayaran.
"Encik... tak payah bayar apa-apa. Hari ni... kami ada jamuan, sambut ulang tahun kedua restoran ni. Bos kata tak payah bayar."
Ya TUHAN... kami rasa bersalah kerana telah membuat pesanan beriya2. Rupa-rupanya malam itu sebenarnya mereka tidak menjual.
Terima kasihlah tuan kedai. Semoga murah lagi rezeki anda.