Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Friday, December 30, 2011

Mimpi Yang Menjadi Realiti


          Susan Boyle yang sudah berubah wajah
     Susan Boyle semasa mula-mula naik pentas


Salam semua

Mesti ramai yang seronok sebab hujung minggu ni cuti panjang. Masuk kerja hari Selasa nanti, dah pun tahun baru. Welcome 2012. Tapi, apa bezanya dengan 2011? Sama saja, masa masih berjalan dan apa yang kita persoalkan ialah tentang waktu. Waktu berjalan dan masa yang berlalu tak akan datang lagi. Begitu juga dengan umur kita. Selagi Tuhan izinkan kita hidup, syukur alhamdulillah, itu bermakna banyak hikmah yang tersirat dan kita sebagai manusia, eloklah gunakan masa ini dengan sebaik mungkin. Fikir-fikirkanlah, jangan asyik redah.

Tak kiralah anda tua atau muda, kerana kita sebenarnya tak tahu bila kita akan mati. Ada orang mati muda dan ada pula yang Tuhan izinkan hidup untuk lebih seratus tahun. Semuanya adalah di atas kehendak-Nya. Jadi, kalau anda muda, jangan pandang rendah pada yang tua, kerana satu hari nanti anda juga akan jadi tua, atau mungkin anda mati muda dan tidak merasa hidup sebagai orang tua. Sebagai insan, kita patut bersyukur di atas peluang untuk berada di bumi ini. Lihat ke arah depan, namun tak usah lupa saat-saat yang berlalu kerana saat-saat itu banyak meninggalkan kesan buat kita semua, wallahua'lam.

Jangan fikir bahawa peluang yang Tuhan berikan hanyalah untuk orang muda dan orang tua tak akan merasa. Kerana seperti yang saya katakan tadi, semuanya adalah di atas kehendak-Nya, kita tak tahu bila kita akan merasa apa yang kita mahukan di dunia ini.

Saya selalu melihat pada diri saya ini, kerana saya menulis secara profesional apabila umur saya sudah meningkat. Namun alhamdulillah, zat yang Tuhan izinkan ini tidak membuat saya terasa 'inferior', walaupun saya sedar ramai di luar sana yang ada ketika kurang senang dengan kehadiran orang-orang seperti saya. Bagi saya, siapalah kita untuk mempersoalkan semua ini?

Saya selalu melayari pelbagai laman web bila boring menulis dan ketika itulah saya mencari sesuatu yang mungkin boleh membuat saya tersenyum sendiri. Pernah tidak anda kenal dengan seorang penyanyi yang bernama 'Susan Boyle'? Beliau telah menyertai program realiti TV Britain yang bernama 'Britain's Got Talent'. Wanita yang berasal dari pekan kecil di Scotland, sudah pun berusia hampir 48 tahun ketika memasuki pertandingan itu. Malah, rupa (dia berbadan gempal) dan gayanya memang tidak ada. Bila mula-mula menaiki pentas, para hadiri berasa lucu melihatnya, apatah lagi dia sudah pun berusia. Masing-masing ketawa bila dia menjawab soalan-soalan para juri. Tetapi sebaik sahaja dia membuka mulutnya untuk menyanyi, para hadirin mula ternganga. Masing-masing terkejut dan tak percaya bahawa wanita hodoh lagi lucu itu mampu membuat mereka semua terpesona.

Mulai saat itu, Susan Boyle menjadi amat popular. Daripada tidak dikenali, dia menjadi glamor, bukan hanya di Britain, tetapi di Amerika Syarikat juga. Begitulah nasib manusia, kita tidak tahu bila seseorang itu akan merasakan apa yang menjadi impiannya. 'I Dreamed a Dream', itulah lagu yang membawa Susan Boyle untuk menjadi sukses.

Saya membawa cerita ini sekadar untuk berkongsi dengan anda semua, agar kita semua merenungkannya. Masa akan tetap berlalu, namun tidak menjadi salah untuk kita pasang angan-angan dan impian. Selagi kita berusaha, peluang itu akan ada, insya-Allah.