Nombor satu atau dua?
Salam
Saya sambung perbincangan daripada entri semalam. Kalau semalam, saya mengisahkan tentang calon yang merupakan suami orang, hari ini pula, saya akan bercerita tentang kedudukan isteri dalam status poligami. Biar kita cerita tentang keadaan di mana rumah tangga itu ada dua orang isteri sahaja, tidak lebih. Sebab bila lebih daripada dua, ceritanya mungkin berbeza, walaupun mungkin juga ada persamaan.
Biasanya, mereka yang merupakan isteri pertama akan berkata bahawa mereka diabaikan oleh suami bila suami berkahwin lagi. Maklumlah, biasanya juga isteri kedua lebih muda (ada yang jauh lagi muda) dan kerana itu, mungkin juga akan mengada-ngada, meminta macam-macam hinggakan suami jadi pening kepala. Fokus suami mungkin berubah kepada sesuatu yang baru (tapi mungkinkah untuk selamanya?).Ada juga yang sanggup meminta suami menceraikan isteri pertama kerana mereka tak mahu berkongsi. Hoi! Berat tu. Dalam keadaan seperti ini, tentulah kedudukan isteri pertama sangat menyedihkan kerana terpaksa menanggung pelbagai beban, termasuk beban emosi.
Namun dalam hal ini, mungkin juga kedudukan isteri pertama tidak terjejas apa-apa. Ada para suami yang sangat prihatin dan ambil berat tentang isteri pertama dan anak-anaknya, walupun berkahwin satu lagi. Dalam keadaan seperti ini, isteri kedua mungkin tidak menjadi sangat istimewa di mata dan hati suami. Jadi, isteri kedua tak boleh mengada-ngada dan demand macam-macam kerana suaminya itu mungkin tak akan layan. Banyak juga kes di mana selepas berkahwin lagi satu, sang suami jadi menyesal dan kerana itu memilih untuk tinggalkan isteri kedua.
Kalau kita perhatikan betul-betul, memang payah untuk kita nyatakan kepada umum, siapa yang boleh jadi lebih istimewa, isteri pertama atau kedua. Kalau kebetulan kedua-dua sang isteri mendapat seorang suami yang 'first class', hal-hal begini tak akan terjadi. Kedua-dua isteri akan dilayan dengan saksamanya. Ada lelaki yang membeli baju yang sama untuk kedua-dua isteri, mungkin warnanya berbeza. Mungkin semuanya sama saja. Yang mana ada lebih anak, mungkin perbelanjaan akan menjadi lebih lagi.
Giliran tidur pun disamaratakan. Dua malam di sana, dua malam juga di sini. Tidak lebih di sana dan tidak juga kurang di sini. Bila tiba hari raya, mungkin semuanya dibawa sama, atau mungkin juga digilir-gilirkan.
Pun begitu, manusia tetap manusia. Mungkin niatnya ada, tapi tidak pula ditunaikan. Tambah pula kalau ada yang berkahwin lagi, secara senyap-senyap. Tentulah ada yang tak puas hati, terutama isteri kedua yang akan selalu diabaikan kerana dia merupakan 'isteri rahsia'. Huhu...
Paling sedih, bila kedua-dua isteri tak ngam dan sentiasa berperang. Bukan sekadar perang mulut, tetapi perang secara fizikal. Akan memudaratkan lagi, bila dimasukkan sekali kerja-kerja khurafat untuk melemahkan orang di sebelah sana, mungkin termasuk suaminya sekali. Haha... ada yang berani pergi cari bomoh untuk buat perkara-perkara syirik seperti 'makan nasi kangkang' (saya nak tulis pun rasa macam ngeri), atau apa yang dipanggil 'Tepuk bantal' (yang ni saya baru tahu tentangnya). Adoi... beginilah jadinya bila ada yang terdesak untuk mendapat perhatian sang suami. Bertambah takut bila ada yang merasakan bahawa semua di dunia ini adalah 'hak' nya. Nauzubillah.
Saya bukan berniat untuk menakutkan siapa-siapa, sekadar mengingatkan kita semua (termasuk saya juga), agar apa sahaja yang mahu kita lakukan, biarlah kita buat kerana Allah swt., termasuklah kalau nak berkahwin lebih daripada satu. Semoga kita lakukannya dengan cara yang baik, agar yang berada dalam keadaan itu akan berasa aman damai. Insya-Allah.
Wassalam.