Aku sekadar menumpang di dunia ini. Selagi ada umur, selagi itulah aku cuba berbakti, semoga aku dirahmati dan diberkati... Tuhanku... berilah aku hidayah untuk berbicara dari sudut hati dan pandangan mata...
Thursday, January 26, 2012
Bila Hatinya Berubah
Salam semua
Mungkin saya dah pun bangkitkan hal ini berkali-kali dalam blog ini, tapi apa salahnya kalau saya bincang lagi isu ini, kerana saya percaya ramai yang mengalaminya. Ditinggalkan atau mahu tinggalkan seseorang kerana dah ubah haluan. Sudah tidak serasi lagi. Hatta kalau dah bertunang atau dah menikah sekalipun, kalau hati berubah hendak buat macam mana lagi, kan? Apatah lagi kalau masih dalam proses berkenalan atau bercintan-cintun. Memang tak boleh nak paksa, kan?
Saya tahu ramai yang benci dan fobia teramat sangat untuk berada dalam keadaan di mana pasangannya berubah hati. Paling takut kalau keadaan itu terjadi tiba-tiba sahaja. Tak kisahlah perempuan atau lelaki, sama saja rasanya. Masing-masing tak suka untuk ditinggalkan, tambah pula kalau diri masih teramat sayangkannya.
"Maaflah... I terpaksa buat macam ni. Entahlah, I tak tahu kenapa, tapi nampaknya kita memang tak ada jodoh." Itulah alasannya, tak ada jodoh. Sebenarnya dia memang ada sebab yang lain, tapi mungkin susah untuk dia berterus terang. Kalau masih berkawan dan terpaksa putus kerana dia ubah fikiran, masih okeylah kot, sekalipun hati tetap sakit. Ada yang mungkin akan merana. Kalau ada yang serius sayangkannya, mungkin akan frust menonggeng, tak dapat menerima hakikat dirinya kena tinggal!
Kalau dah bertunang pula, mungkin akan menjejaskan famili juga. "Mana nak letak muka?" mungkin itulah yang akan dikatakan oleh ibu dan bapa.
Bertambah malang kalau sudah berkahwin, tiba-tiba pasangan hilang rasa sayangnya. Apakan daya? Takkan kita terus nak memaksa. Macam mana nak paksa orang suruh sayang kita juga kalau dia dah tak mahu? Boleh bahagia ke?
Kenapa orang boleh berubah hati? Mesti bersebab, kan? Takkan saja-saja kot? Tak mungkin. Mungkin dia bosan dengan keadaan, dengan personaliti, dengan ahli keluarga, atau mungkin juga dia marah dengan apa yang pernah terjadi dalam tempoh perkahwinan atau persahabatan. Mungkin juga ada rahsia yang tersorok, dan kini dia dapat tahu lalu tak dapat menerimanya!
Paling sakit kalau dia berubah hati kerana jatuh cinta dengan orang lain! Yang itu... aduhai...boleh jadi gila, beb!
Memang ramai yang tak dapat menerima keadaan di mana pasangannya berubah hati kerana sayangkan orang lain dan tidak dirinya lagi. Keadaan ini juga berlaku kerana sebab-sebab tertentu, tak mungkin tiba-tiba saja dia boleh jatuh cinta dengan orang lain dan terlupa pada diri kita. Huh!
Kadang-kadang kita boleh terima alasannya dan kadang-kadang tak boleh. Tapi... kalau orang dah tak sukakan kita, nak buat macam mana lagi?
Terima ajelah...
Walahua'lam