Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Friday, January 27, 2012

Wanita Sukses Berat Jodoh

                     sekadar hiasan


Salam semua

Dah pun hari Jumaat. Masa berlalu begitu pantas sekali, kan? Dan kerana itulah kita tak sedar bila umur sudah bertambah dan tentu sekali bagi mereka yang sangat berjaya dalam kerjaya, masa itu emas dan sangat berharga. Maklumlah, dalam masa yang ada itulah semuanya kita kena buat. Barangkali juga, kerana masa yang tak cukup, ada orang terpaksa tolak tepi tentang hal-hal yang berkaitan dengan 'cari pasangan', tumpuan utama ialah untuk career.

Mungkin apa yang saya bangkitkan ini sangat sensitif buat sesetengah orang, tapi inilah realitinya. Dalam zaman serba moden ini, memang biasa kita melihat kaum Hawa yang sudah banyak usianya tapi tak berkahwin lagi. Bertambah menjadi kalau Si Hawa tadi sangat sukses dalam hal kerjayanya. Saya sendiri mempunyai ramai rakan-rakan sekolah dan juga universiti yang sampai hari ini tak pernah berkahwin pun. Ada yang sudah memegang gelaran 'Dato' (yang Sultan bagilah) dan memegang jawatan penting, tetapi tak pernah bertemu jodoh. Inilah realitinya.

Ramai juga yang saya kenal (anak-anak kawan, rakan-rakan anak, anak-anak saudara mara dan kenalan) yang begitu keadaannya. Umur semakin tinggi setinggi jawatan yang digenggam, namun jodohnya sangat berat.

"Kot rupa tak cantik kot?" ada juga yang buat teori macam tu. Memang teori itu tak boleh pakai, sebab apa yang saya lihat tidak begitu pula. Ramai yang cantik (subjektif sebenarnya) dan berparas rupa menarik, tetapi itulah kisahnya. Misalnya, saya mempunyai dua orang anak saudara yang berparas rupa sangat menarik dan cantik, tetapi masing-masing masih belum berkahwin walaupun usia dah hampir 40.

Ada juga yang beranggapan, bila mempunyai kerjaya yang hebat, kaum Adam takut nak dekat. Mungkin juga, kan?

Ada juga yang berkata, bukanlah mereka yang begini (lanjut usia dan berkerjaya baik) berkira sangat bila mencari jodoh, tetapi mereka juga dah tak tahu nak menguruskan hal ini. Mereka jadi kekok dan takut hendak berkenalan dengan 'kaum Adam'. Mungkin juga (kalau di pejabat), kaum Adam takut untuk menghampiri mereka kerana kerjaya mereka itu! Maklumlah... kadang-kadang bukannya senang nak mengurat bos perempuan ni!

Jadinya memang banyak teori yang agak relevan. Makin tunggu makin payah jadinya. Yang paling menakutkan ialah bila tersalah pilih dalam keadaan umur sudah meningkat. Takut terkena jerat buaya dan harimau yang 'desperate' di luar sana. Memang banyak kes yang macam ni. Banyak buaya darat yang berkeliaran dan perhatikan pergerakan wanita-wanita solo yang berkerjaya tinggi ini. Siapa yang tak mahu, kan? Kalau dapat berkahwin dengan wanita yang semuanya dah complete, siap ada kereta mewah, rumah besar. Boleh duduk goyang kaki, beb!

Saya dah tengok banyak juga yang jadi macam ni. Dan mungkin kerana itu, ada yang takut untuk berkahwin. Baik duduk solo dan tak terikat dengan 'bencana alam' yang dicari sendiri. Saya ada dua orang kawan yang pernah berada dalam situasi begini. Yang satu pilih untuk berkahwin (tahulah akibatnya) dan yang satu pilih untuk tidak berkahwin (amanlah kot).

Apa-apa pun, Tuhan Maha Kaya dan Maha Adil. Ada ketika kita dapat ini, dan ada kala kita dapat itu. Jarang kita dengar seorang insan itu dapat segala-galanya dalam hidup ini. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Pun begitu, kalau itu yang kita mahukan, berdoalah banyak-banyak, insya-Allah Tuhan akan dapatkan kita seorang suami yang salleh. Ameen.

Wallahua'lam.