Keindahan Alam - Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Thursday, January 05, 2012

Bila Dah Jadi Orang Kaya...

            Rumah orang kaya - sekadar hiasan


Salam

Ini merupakan entri saya yang ke 1,084. Okey jugak, kan? Alhamdulillah, masih lagi saya di sini, bernafas, menulis dan tentu sekali berfikir-fikir. Macam-macam yang saya fikirkan, kadang-kadang tentang apa yang saya masih mampu lakukan, teringin untuk lakukan dan tentu juga hal-hal lain yang berkaitan. Saya percaya anda juga begitu, tentu fikirkan macam-macam dalam hidup ini. Selagi kita bernafas dan selagi ada akal fikiran, kita akan terus berfikir, insya-Allah.

Dalam hal ini juga, saya ingin membawa beberapa kisah tentang orang-orang yang sangat takut kalau orang lain tidak tahu yang mereka sedang hidup senang atau dalam kemewahan. Sebelum itu, saya juga ingin maklumkan bahawa saya dan suami mempunyai beberapa orang teman-teman yang sememangnya merupakan orang kaya tetapi 'low profile'. Mereka tak ambil kisah untuk menunjuk-nunjuk, mungkin kerana mereka memang jenis humble, tak perlu beritahu orang lain yang mereka itu sebenarnya berada dalam golongan orang berada.

Alkisahnya... ada satu cerita ni, tentang seorang hamba Allah yang mungkin dulu-dulunya tak pernah semewah sekarang ini. Tuhan curahkan rezeki yang melimpah-limpah buatnya dan kerana itu sudah mampu memakai pelbagai jenis kereta mewah. Malah, rumah pun sudah disiapkan untuk menambahkan kecanggihannya. Biasalah... status kekayaan di Malaysia ini terletak pada dua material yang 'wajib' iaitu rumah dan kereta. Kalau kedua-duanya nampak gah dan mewah, itu melambangkan 'kekayaan'. Maka hamba Allah tadi mula menarik perhatian rakan-rakan, orang di sekelilingnya, termasuklah saudara-mara. Ada-ada sahaja 'jamuan' yang dibuat untuk mengajak semua ke rumahnya bagi meraikan kemewahan yang ada. Alhamdulillah. Masing-masing tumpang suka kerana dapat juga merasa.

Tapi yang tak sedapnya, hamba Allah tadi sudah pandai merentah-rentah. Habis rakan-rakan dan orang sekelilingnya terpaksa mengikut arahannya. Apa yang disuruh lakukan, terpaksalah mereka ikut perintah, walaupun tidak rela buat begitu! Huh! Yang tak best juga, hamba Allah ini sukalah nak berjalan-jalan dan katanya dia tidak gemar menaiki kapal terbang 'bajet', sebab tidak standardnya. Adoi. Dah tu pergi heboh sana-sini. Huhu... kalau iya pun, diam ajelah, sebab ramai lagi orang lain yang suka naik kapal terbang bajet ni (saya pun suka apa dan selalu naik kapal terbang bajet bila berjalan-jalan). Iyalah... bila dah rasa kaya, begitulah agaknya. Kapal terbang pun kena pilih maa...

Tetapi, ini lain pulak ceritanya. Ada satu lagi hamba Allah yang berada dalam keadaan yang serupa. Yang ini memanglah lagi kaya-raya, siap ada kapal layar, ada kereta Ferrari, ada porsche dan apa-apa lagi lah! Malah, rumah besar pun digantikan dengan rumah yang jauh lagi besar dan mewah! Kalau diikutkan, memang dahsyatlah sebab heboh dia bercerita sana-sini bahawa syarikat mereka dapat beratus juta dalam setahun, pada hal mereka masih muda lagi. Iyalah... bila Tuhan nak beri rezeki, memang tak kisah umur berapa pun. Tapi malangnya, sejak dah jadi kaya-raya ni, statusnya pun sudah berubah. Dulu-dulu kalau boleh bercampur dengan siapa-siapa, sekarang ni tak boleh lagi. Lagi malang, kerana sejak kaya-raya ni, hamba Allah ini jadi bertambah berkira-kira. Tak usah haraplah nak tolong ahli keluarga yang susah, walaupun dah sah sahih nampak susah. Malah, bukan main takut kalau ada saudara-mara yang datang dekat, takut kalau minta hartanya pula nanti! Huh!

Tapi... yang ini pelik pulak. Kalau yang tadi tu tak nak naik kapal terbang bajet, yang ini pula lagi suka naik yang paling termurah kalau dapat berjalan-jalan . Lagi murah lagi bagus. Kalau ada orang nak beri tempat tinggal masa berjalan, lagi kaw!

Hahaha... beginilah kisahnya bila duit melimpah-limpah, sampaikan tak tahu nak buat macam mana. Yang penting, orang semua mesti tahu mereka 'kaya'!

Masih ingatkah anda kisah 'Pak Arab' kaya yang saya pernah saya cerita dalam blog ini? Hahaha... yang itu baru betul kaya. Datang Malaysia dari Timur Tengah naik 'private jet' dan duduk hotel termahal, bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk semua yang dia jemput datang bertemunya. Siap bagi semua orang merasa makan mewah, seolah-olah kita pun sama kaya macam dia. Tak kisah pun nak tunjuk apa-apa, siap 'low profile' lagi. MasyaAllah... semoga Tuhan berkati hidupnya dunia dan akhirat.

Okeylah... anda yang membaca blog saya ini, kalau satu hari nanti anda jadi kaya-raya, jangan lupa untuk maintain 'low profile' agar orang di sekeliling anda menyenangi kehadiran anda. Insya-Allah.

Wassalam.