Awek Siam
Salam Pagi Sabtu
Hari ini hari relaks, sebab saya tak pergi mana-mana, cadang nak duduk rumah dan menulis banyak-banyak. Tapi pagi ni nak bercerita sikit. Saya memang jarang-jarang cerita hantu, sebab Alhamdulillah, kalau diikutkan, saya tak adalah takut sangat ngan hantu ni, hehe... walaupun kat Malaysia banyak betul orang buat filem hantu... banyak sangat hantunya kot! Dikatakan banyak sungguh cerita hantu yang akan masuk ke panggung tahun ini...
Saya bukannya nak cerita pasal hantu kat panggung, tapi kisah yang diceritakan anak bongsu saya Si Nabil. Dia tu bukanlah berani sangat macam anak kedua saya Irfan, tapi tak jugak jenis takut. Kira okeylah...
Anak saya ni belajar di Multi Media University kat Cyberjaya. Dia berulang-alik dari rumah setiap hari, tapi petang hari Khamis tu, dia singgah kat rumah kawan dia yang menyewa di sebuah kawasan (apartmen) berdekatan dengan kawasan universiti (tak payahlah saya sebutkan nama kawasan tu). Dia pergi dengan seorang teman lagi. Sesampainya di tingkat bawah untuk naik ke atas, kedua-duanya terdengar bunyi suara perempuan minta tolong dari lif (ada dua lif) sebelah, "Tolong, Tolong..." siap diketuk-ketuknya pintu lif. Lif itu tersangkut di tingkat empat. Tiba-tiba lif yang lagi satu tiba di tingkat bawah dan terbuka. Ada makcik cleaner yang keluar (rakyat Indonesia) dan dia berkata, "Ada awek sangkut kat tingkat empat."
Anak saya dan kawannya menaiki lif yang cleaner tu keluar dan teruskan perjalanan ke atas, ke tingkat lapan. Makcik cleaner tu kata dia akan memanggil maintainance man yang menjaga pasal lif tu. Sampai di tingkat lapan, mereka berdua (anak saya dan kawannya tadi), bercerita pada teman-teman lain yang menyewa apartmen di atas. "Ya ke? Ada awek tersangkut ke? Jom pergi tengok!" Masing-masing sibuk nak pergi tengok.
Mereka berjalan kaki ke bawah, ke tingkat empat. Di luar pintu lif, mereka mendengar suara orang menangis. Jadi mereka pun rasa kasihan dan bertanya, "Are you okay in there?" Tetapi tak ada suara yang menjawab. Mereka bertanya lagi tapi senyap sepi. Maintainance man pun tiba dan baru bercadang nak buka pintu lif dengan kunci, bila tiba-tiba lif itu berjalan semula dan terus turun ke tingkat bawah. Anak saya dan kawan-kawanya terus mengintai dari tingakt atas (macam ada kawasan kosong yang terbuka dan boleh nampak lif itu). Lif itu berhenti di tingkat bawah dan pintunya terbuka tapi tak ada siapa-siapa yang keluar. Maintainance man tadi tekan butang lif dan lif naik semula ke tingkat empat. Maintainace man tu buka pintu lif dengan kunci sebab pintu lif tidak buka dan bila terbuka, lif itu kosong sahaja. Masing-masing terkejut dan memandang sesama sendiri. Maintainance man (orang India) berkata kepada mereka, "Awak tak payahlah guna ini lif," lalu ditutupnya dan berjalan kaki ke tingkat bawah. Wajahnya kelihatan cuak giler!
Kata anak saya, kawan-kawannya biasa balik rumah masing-masing hari Jumaat, tetapi petang itu, kawan-kawannya yang sewa di apartmen itu semua angkat beg masing-masing untuk pulang ke rumah walaupun hari itu hari Khamis. Hahaha... mereka tidak tahu bunyi siapa yang mereka dengar yang duduk di dalam lif di bangunan itu!
Saya sekadar mengulangi cerita anak saya itu, tidak berniat untuk menakutkan siapa-siapa. Malah, saya tak kata pun ada hantu dalam lif itu. Suatu misteri. Semuanya wallahua'lam, hanya Tuhan yang tahu.