Sekadar Hiasan
Salam semua
Sekali lagi saya bawa anda untuk renung-renungkan satu judul yang agak sensasi. Kaki perempuan merupakan salah satu tabiat lelaki yang buruk perangainya. Malangnya, kadang-kadang sang isteri tidak sedar pun yang sebenarnya dia berkahwin dengan lelaki yang suka berfoya-foya dengan perempuan. Kalau setakat suka-suka sahaja, tak apa lagi. Yang merbahayanya kalau tabiatnya bukan sekadar suka-suka tetapi merupakan satu 'ketagihan'.
Kalau lelaki mempunyai tabiat ketagihan dadah, atau kaki minum, si isteri akan menyedarinya kerana tabiat ini mudah kelihatan. Begitu juga dengan lelaki yang kaki pukul isteri, si isteri akan menyedarinya.
Kaki judi pula, kadang-kadang si isteri payah nak sedar tetapi lama-lama akan sedar juga bila si suami kekeringan wang dan mula berhutang sana sini. Begitu juga suami yang kaki perempuan, banyak isteri tidak menyedari yang suami mereka begitu. Ada suami memang setiap hari balik ke rumah dan pandai pula berlakon seolah-olah dia sangat setia pada isteri. Tetapi, suami yang sama juga mempunyai tabiat buruk, suka mencari 'kepuasan seks' bersama perempuan jalanan! Huh... yang ini memang payah.
Ada lelaki berpura-pura konon-konon ada kerja, rupa-rupanya dia menghabiskan masa dengan perempuan 'yang dibayar'. Yang ini memang bahaya. Kerana suami yang suka tidur dengan 'perempuan berbayar' ini akan turut mengutip 'penyakit kelamin' atau apa kita panggil sebagai STD (sexually transmitted disease). Ada pelbagai jenis penyakit yang tergolong dalam STD ini dan semuanya sangat berbahaya kalau tidak dikesan. Dalam hal ini, mungkin elok saya berkongsi satu cerita yang pernah dialami seorang teman sekitar lebih sepuluh tahun yang lampau.
Teman saya mempunyai seorang suami yang berpangkat tinggi di sebuah badan swasta yang amat gah. Ketika itulah, suaminya telah disogok dengan 'perempuan' oleh pihak luar untuk dapatkan beberapa projek yang mereka mahukan. Tanpa disedari, suami teman saya itu sudah terperangkap dengan seorang GRO. Akhirnya, sepandai mana sekalipun tupai melompat, jatuh juga ke tanah. Bila teman saya tahu, tentulah dia mengamuk dan rumah tangganya hampir hancur. Namun, kerana anak-anak, dia terpaksa bertahan dan suaminya juga telah berjaya meninggalkan 'perempuan ' itu, tetapi malangnya, teman saya dijangkiti STD. Bertahun-tahun dia terpaksa menanggung derita.
Ada lelaki, sekalipun masih muda, mereka suka melakukan hubungan seksual dengan 'perempuan dibayar' ini, mungkin kerana mereka beranggapan bahawa mereka tak perlu 'komited', dan mungkin juga kerana 'thrill'. Tetapi mereka tidak sedar bahawa perbuatan itu akan menjadi satu ketagihan dan penyakit. Saya pernah ceritakan hal ini dalam buku saya 'Semalam Kubermimpi 2', dalam episod 'Aku Sayang Syidah'.
Kalau anda berkawan dengan lelaki yang ada tabiat itu, elakkanlah untuk berkahwin dengannya (biasanya anda tak akan tahu kerana lelaki yang begini, tidak tunjuk tabiat mereka itu). Kalau anda berkahwin dengan lelaki yang suka mencari 'seks' di luar, berjaga-jagalah. Bukan sekadar STD, tetapi HIV juga mampu dibawanya. Sebenarnya, tak ada guna apa pun kalau anda teruskan hubungan dengan lelaki yang begini, kerana hidup anda akan terus-terusan merana dan menderita. Wallahua'lam.
Wassalam.