Sekadar hiasan
Salam semua
Petang semalam, saya ke Seremban untuk melawat kawan baik saya yang baru sahaja melakukan pembedahan. Alhamdulillah dia okey sahaja, saya bersyukur. Semasa bertemu dengannya, dia bertanya, "Mak you macam mana? Okey ke?"
Saya pula membalas, "Alhamdulillah, mak I sihat. Sekarang ni mak I dah pun 76, tetapi masih cergas. Masih kuat memasak lagi."
Kawan saya tu memang biasa benar dengan ibu saya, kerana dulu semasa saya di Bangi, dia selalu datang ke rumah saya. Kadang-kadang, anaknya tumpang di rumah saya bila balik dari sekolah. Kami pun bersembanglah tentang ibu saya. Kawan saya tu dah lama kehilangan ibunya. Kata saya lagi, "Sekarang ni saya dah biasa benar dengan ibu saya dan insya-Allah, dia tak akan tinggal dengan anak-anak yang lain lagi. Dia memang senang tinggal dengan saya. Dia pun seronok di rumah saya kerana ada cicit-cicitnya. Budak-budak kecil buat dia bertambah semangat. Alhamdulillah."
Memang benar, saya rasa bersyukur kerana ibu saya tinggal dengan saya. Banyak hikmah dan barkatnya, alhamdulillah.
Kebetulan, kawan saya bercerita lagi. "You ingat tak Yati? Kawan kita yang kerja di Pejabat Bendahari?"
"Kenapa dengan dia?" soal saya lagi.
"Semalam, anak dia meninggal dunia. Accident. Baru 26 tahun umur dia."
Tentunya saya terkejut. Suatu ketika dahulu, kami sama-sama muda dan sama-sama melayan kerenah anak-anak. Yati hanya mempunyai satu-satu anak itu dan saya sungguh bersimpati di atas kehilangannya itu. Semoga Allah SWT memberi dia kekuatan untuk teruskan perjalanan. Sesungguhnya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ini.
Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, setiap apa sahaja musibah yang menimpa kita, ada sebabnya dan kemungkinan besar kita akan melihat kepada sebab itu bila kita fokus dan fikirkan tentang apa yang berlaku pada kita. Insya-Allah, segala kesusahan yang menimpa pada kita akan membuatkan kita bertambah dekat dengan Allah SWT. Tuhan menguji iman kita dan kerana itulah kita menempuhi keadaan itu. Tuhan sayangkan kita kerana Dia mahu kita dekat pada-Nya.
Wallahua'lam dan Wassalam.