a.readmore{ /"CSS for read more links"/ }

Keindahan

Keindahan
Mount Fujii, Japan. Berehat dan Membaca di sini...

Followers

Thursday, May 07, 2009

Yang Menarik dan Tertarik di Bangkok



Salam, semua.

Alhamdulillah, sekalipun bonda saya masih dalam keadaan yang kurang sihat, tetapi sudah beransur pulih. Dia sudah pun berada di rumah dan setelah berehat, dapatlah saya updatekan blog saya ini.

Seperti yang saya janjikan, saya akan bercerita serba sedikit tentang pengalaman saya di Bangkok. Kebetulan, semasa kami ke sana kali ini, ini bukan merupakan musim pelancong datang ke negara Thai. Cuaca sangatlah panas, sibuk pula dengan virus 'Swine Flu' dan pertelingkahan kumpulan 'baju merah' dengan kerajaan negara Thai. Alhamdulillah, tak ada apa-apa yang mencemaskan berlaku ketika lawatan kami ke Bangkok.

Bagi saya, memang banyak yang menarik di sana. Kalau tidak, tak mungkin Bangkok menjadi pusat pelancongan. Sekalipun panas dan bukan musim, namun pelancong tetap ramai dan ada ketika, kelihatan berpusu-pusu di tempat-tempat yang menarik. Negara kita harus perhatikan bagaimana negara jiran kita dapat mengindahkan suasana tempat mereka untuk menjadi tarikan pelancong. Malah, negara itu dapat memajukan negara mereka kerana sumber pendapatan pelancongan sangat besar. Orang tempatan sangat rajin dan berusaha untuk puaskan hati pelancong. Industri pelancongan sangat aktif. Masing-masing saling bantu-membantu agar negara mereka terus dikunjungi pelancong. Teksi dan tuk-tuk sangat mudah didapati dan murah sahaja tambangnya.

Paling menarik dan penting ialah kemudahan tandas awam mereka. Ke mana-mana dan di mana-mana sahaja, tandas awam mereka sangat bersih, macam tandas hotel. Tidak berbau, tidak lecak dan sangat bersih dan sentiasa disediakan kertas tandas dan bakul sampah. Di kawasan kampung juga tandas awamnya sangat bersih. Ini merupakan satu perkara penting yang negara kita harus berikan perhatian. Memang saya terasa malu apabila teringatkan keadaan tandas awam di negara kita. Malah, tandas awam yang disediakan di Masjid Negara adalah sangat daif kalau dibandingkan dengan tandas-tandas awam di kawasan kota Bangkok.

Jalan rayanya juga memuaskan hati, begitu juga dengan kenderaan yang disediakan untuk membawa pelancong berjalan-jalan. Sangat luas dan selesa. Malah, pertunjukan budaya dan tempat-tempat yang menjadi tarikan pelancong dijaga dengan baik sekali. Barang-barang juga sangat murah. Kalau kita pandai cari tempat, bertambah murah jadinya.

Untuk mencari kedai makanan halal juga tak menjadi hal. Sangat senang. Kini, Bangkok mempunyai banyak masjid dan di mana-mana sahaja kita boleh mendapat restoran makanan halal. Di kota Bangkok juga, kita selalu terserempak dengan Muslim dan Muslimahnya. Hampir setiap malam, kami ke Arab Street (Macam di Dubai rasanya) dan di sana, macam-macam makanan halal yang disediakan. Makanan Arab (Lebanon, Mesir, Turki, Parsi), makanan tempatan dan macam-macam lagi sangat senang didapati. Di kawasan itu, memang kita terasa seperti di negara Arab, kerana terdapat orang-orang Arab bersepah-sepah seolah-olah itu adalah tempat mereka.

Bagi saya, apabila kita melancong, kita cuba berlaku positif dan belajar semua yang baik dan menarik tentang tempat orang. Dengan cara itulah kita boleh memperbaiki apa-apa yang kurang yang ada di negara kita. Orang tempatan Thai sangat sopan dan bercakap dengan lembut tidak seperti orang-orang kita yang kadang-kadang tak pandai berbudi bahasa, terutama di kedai-kedai besar.

Setakat ini dulu yang saya ingin sampaikan, semoga anda semua terhibur dengan gambar-gambar yang saya sertakan.